Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Hikayat Laser Paling Popular

Selasa, 28 Disember 2010

1 Komentar
3-0!! Alhamdulillah. Gegak gempita seisi buana. Langit malam Kampung Harimau gemuruh dilanggar garuda.

"Syabas pasukan harimau." Jawapan yang bernas untuk sebuah aksi yang memberansangkan dan ditunggu-tunggu. Tidak sia-sia penyokong bersorok dan bertempik di gelanggang. Tidak ketinggalan peminat-peminat Pak Belang yang melompat keriangan di rumah dan warung-warung tepi jalan.

Kejutan tiba-tiba berlaku apabila seorang bangsawan yang terkenal di Kampung Harimau naik angin apabila sebuah pancaran cahaya bernama ' sang laser' dihalakan ke arah padang atau lebih tepat lagi hinggap di wajah cemas penjaga gawang negara seberang.

Merah padam wajah baginda.

Tiba-tiba 'sang laser' tersebut dikhabarkan menjadi penyebab kekalahan pasukan lawan. Kerana perlawanan diadakan di tanah air Pak Belang, maka pelakunya disabitkan (Ala-ala kes pembunuhan di mahkamah) ke atas rakyat kampungnya. Kasihan.

Arakian, masyhurlah 'sang laser' untuk satu malam dan malam-malam berikutnya. Mungkin akan terus bersipongang di sanubari rakyat untuk berkurun-kurun tahun akan datang.

Lalu, bersoraklah orang Kampung Harimau menuntut keadilan. Kata mereka, "bukankah di negara kita ini juga terdapat ramai orang seberang?" Mendengarkan itu, terpinga-pingalah hulubalang yang dilantik untuk mencari punca.

Kata hulubalang, "tidak mengapa tuanku. Akan hamba periksa selagi mampu. Kita tunggu kebenarannya kala rombongan pasukan Pak belang tiba ke tanah seberang beberapa hari dari sekarang." Sultan tunduk setuju. Rakyat jelata akur membisu.

Malam larut. Rakyat kabur bersama sorak-sorai keriangan. Gelanggang yang tadi bagai perang kembali sunyi dan lengang. Subuh menjelang. Azan berkumandang membawa sama rahmat Tuhan. Imam dan bilal saling memandang. Masjid kosong melohong.

Kata bilal, "berapa lama mahu ditunggu? Mungkin kita harus bersolat di gelanggang, baru ramai akan datang." Pak Imam senyum. Sayugia, takbir berseru beberapa waktu. Al-kisah...

MHT: Baca lagi kisah di gelanggang Pak belang (klik sini)

Kebangkitan Skuad Malaysia

Sabtu, 25 Disember 2010

1 Komentar
Boleh berjayakah pasukan kita?
Sudah sediakah skuad kita?
Tahu serang atau bertahan sahaja..?

Mungkin banyak lagi persoalan dan cakap-cakap kosong bersiulan di bibir masyarakat malaysia apabila skuad bola sepak Negara berjaya menjejakkan kaki ke gelanggang akhir Piala AFF Suzuki 2010.

Persoalan dan impian kini sudah hampir jadi kenyataan. Menyaksikan Malaysia beraksi di padang rumput Vietnam, cukup membuatkan saya tertanya-tanya, adakah pasukan kita hanya mampu bertahan dan sudah cukup berpuas hati dengan kemenangan di Malaysia sebelumnya?

Ini pentas akhir. Indonesia tidak mungkin akan berdiam diri walaupun ramai yang membuat spekulasi. Kebangkitan skuad mereka sejak puluhan tahun lagi dalam segenap aspek kehidupan samada rencah kemiskinan, penjajahan, pendidikan, seni dan semangat kemerdekaan jelas membuktikan mereka boleh jadi apa sahaja dalam keadaan yang kritikal dan rencam.

Lihat sahaja isu demonstrasi dan piket memprotes ketidakadilan pembantu rumah yang didera muncul saban hari dalam media massa. Indomee, jenama mee segera laris di tanah-tanah Arab termasuk Mesir dan Mekah. Isu hak pemilikan batik yang dicanangkan dengan tegas kepada dunia dan banyak lagi cukup membuktikan kesungguhan mereka dalam menaikkan nama negara mereka di mata dunia.

Mereka tidak cakap kosong.

Justeru, pasukan kita harus bagaimana? Anak muda kita perlukan apa? Generasi kita mesti bagaimana dalam menghadapi fenomena ini?

Ini bukan tentang bola semata-mata. Tetapi tentang semangat dan matlamat bangsa. Perang psikologi ini mesti kita hadapi.

Bersediakah skuad kita?

Hujan Dari Malaysia

Jumaat, 10 Disember 2010

1 Komentar

Bukan mudah.
Hampir 2 minggu saya mencumbui udara dan memesrai iklim khatulistiwa, baru hari ini saya punya masa dan semangat untuk menyuburkan kembali tapak blog ini untuk tatapan pembaca. [Tidak pasti berapa ramai yang membelek dan membaca persuratan digital saya di sini]

Matahari yang bersinar cemerlang, panas dan terik menyambut saya dan sahabat senior [Humair] ke bumi tercinta Malaysia 30 November lalu. Cuaca yang begitu kontra dengan bumi Mesir yang sedang diulit hawa dingin membuatkan tubuh terasa janggal.

Seminggu saya berlawan dengan waktu. Seminggu akal saya 'keliru' untuk menyesuaikan diri dengan masa dan keadaan. Seminggu saya berlawan dengan diri sendiri demi menyahut sebuah entiti bernama 'semangat'. Seminggu saya cuba memadam rindu dengan bumi Mesir.

Selepas 3 tahun tidak pulang, hari ini tidak boleh tidak saya harus menjerit dan berkata, "aku sekarang berada di Malaysia!!"

Babysitter.
Ya, saya sudah kerja; jika ada yang bertanya. Menjaga anak buah dan membantu kerja-kerja rumah adalah latihan dan tanggungjawab sambilan saya sekarang sebelum menjawat apa-apa jawatan yang dipohon. Bukan mudah. Kesabaran tahap kritikal amat diperlukan. Tersalah strategi emosi anda akan berubah. Tetapi jika anak-anak ini pulang ke rumah ibubapa mereka, saya akan rasa sunyi. Aduhai...(**.) Tolong saya!

Musim Hujan.
Sekarang musim hujan. Situasi yang anda akan tunggu-tunggu kala bergelandang di perlembahan Nil. Jaga kesihatan adalah perkara utama harus saya dahulukan. Tetapi keutamaan solat dan dakwah tidak harus saya ketepikan. Dakwah untuk diri sendiri dan keluarga. Malah masyarakat amat memerlukan saya. Tolong ingatkan saya!

Justeru, kepada sahabat-sahabat di Mesir, bersedialah. Masyarakat sedang menanti anda. Terima kasih kepada semua yang telah menjadi sahabat susah dan senang sepanjang keberadaan saya di Bumi Mesir. Teruskan usaha dan selamat berjuang!

Bengang!!

Selasa, 23 November 2010

3 Komentar
Perasan atau tidak, semenjak kemunculan filem Avatar yang meraih kutian tinggi hingga menjadi sangat popular beberapa waktu dahulu, kreativiti anak muda seperti mahasiswa mahasiswi jurusan seni grafik juga mula bercambah.

Impaknya, kelibat grafik ala-ala avatar mula menghiasi laman-laman web dan portal-portal di internet. Tidak pergi jauh, lihat sahaja paparan yang muncul di laman utama Yahoo saat mula-mula membuka internet; tidak kira samada melalui Internet Explorer, Mozilla Firefox ataupun Google Chrome.

Cantik memang cantik. Kreatif!

Tetapi yang merunsingkan dan menambah rasa bengang adalah subek yang digunakan. Rata-ratanya memapakan aksi porno dan menjelikkan. Bayangkan kita yang ingin mengakses maklumat ilmiah, al-Quran mahupun hadis, tiba-tiba terpapar grafik avatar yang berkelakuan tidak senonoh. Aduh!

Kartun yang dulunya '3D' sekarang dimajukan hingga entah berapa 'D' lagi. Bengang...

Bayangkan, kalau adik-adik kita tengok bagaimana? Kasihan mereka. Kecil-kecil lagi sudah tercemar. Kepada pereka grafik, tolonglah cipta ikon yang lebih bermotivasi untuk anak muda bukan menjatuhkan maruah anak bangsa! Blogger-blogger, ada tak cara nak tutup grafik tu? Tolong ajarkan...

MHT: Tidak beradab langsung! Bengangnya!!! :(

Iluminati Dalam Filem

Isnin, 15 November 2010

3 Komentar
Saat bersiar-siar di dunia maya, anak mata tertangkap sebuah video menarik. Video penuh rahsia dan tidak disangka-sangka. Bagi blogger yang mapan, ayuh sebarkan kepada pembaca-pembaca anda. Jangan lupa tinggalkan komen di sini. Sila tonton dengan penuh rasa tanggungjawab pada agama dan bangsa. Saksikanlah......




MHT: Selamat berpuasa kepada yang mengagungkan puasa sunat di hari Arafah [hari ke-9]. Memandangkan hari ini kita tidak berpeluang bersama saudara-saudara kita di padang Arafah, maka rajin-rajinlah bertasbih dan bertakbir.

Puasa Bulan Zulhijjah

Sabtu, 13 November 2010

0 Komentar
Ini ada kisah tentang puasa yang menjadi amalan Rasulullah.

PERTAMA.
Hafsah Radiallahu 'anha menceritakan, “empat amalan yang tidak ditinggalkan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘asyr, puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh.” [Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai]

Menurut ulama hadis, maksud puasa al-‘asyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Zulhijjah hingga hari ke sembilannya. [Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah]

KEDUA.
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari Rahimahullah, dari Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'anhuma bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

"Tidak ada hari dimana amal soleh pada saat itu lebih dicintai oleh Allah dari hari-hari ini, iaitu sepuluh hari dari bulan Zulhijjah. Mereka bertanya, "ya Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah? Baginda menjawab, "tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar [berjihad] dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun".

KETIGA
Imam Ahmad Rahimahullah, meriwayatkan daripada Umar Radhiyallahu 'anhuma, bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

"Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya daripada sepuluh hari (Zulhijjah) ini. Maka perbanyaklah pada saat itu tahlil, takbir dan tahmid."

KEEMPATHari ke-9 Zulhijjah dikenali sebagai hari Arafah. Sabda Nabi:

"Puasa sunat hari Arafah itu menggugurkan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya ." [Riwayat Muslim]

MHT: Sampai-sampaikanlah kepada yang belum mengetahui.

BAZAR NOGOGHI 2010

Sabtu, 6 November 2010

0 Komentar
















Apa anda TAHU tentang BAZAR?

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 BAZAR bermaksud kelompok kedai kecil atau gerai tempat menjual berbagai-bagai jenis barang seperti kain, buku, dan lain-lain.

Kata Kamus Pelajar pula, BAZAR ialah bahagian kota tempat membeli-belah; pasar, deretan atau kelompok gerai tempat menjual berbagai-bagai jenis barang dagangan yang agak murah.

Sekarang anda tahu apa TUJUAN BAZAR?

Apabila gerai jualan dibuka pasti keuntungan akan menjadi keutamaan dan objektif. Tidak ada orang yang membuka kedai dan menjalankan perniagaan untuk rugi. Namun, biarpun begitu anda perlu positif menilai sesuatu dengan lebih matang.

Dalam tempoh 3 hari bermula dari Jumaat hingga Ahad (5-7 November) BAZAR NOGOGHI akan dibuka kepada mahasiswa/wi yang ada di Mesir. BAZAR anjuran Majlis Tertinggi Pengurusan [MTP], Rumah Negeri Sembilan Kaherah [RNSK] akan menyediakan menu yang terbaik untuk para pengunjung.

Apa yang lebih penting, BAZAR kali ini akan mempertemukan anda dengan segenap lapisan wajah dan latar belakang kuliah yang bergelandang di Kota Kaherah. Justeru, matlamat untuk mengaut keuntungan bukan lagi menjadi keutamaan sebaliknya penyatuan ukhuwah itu lebih indah dan bakal menjadi objektif yang ampuh untuk dijadikan visi dan misi BAZAR NOGOGHI.

Saya sangat terkilan dengan beberapa insiden yang terjadi di Bumi Anbia' ini apabila ada dalam kalangan mahasiswa/wi yang memboikot bazar yang pernah dianjurkan oleh kelompok yang bukan daripada 'geng' dan 'persatuan' mereka sedangkan Nabi Muhammad sangat menganjurkan umatnya agar bantu-membantu sesama muslim.

Jika alasan politik menjadikan manusia bermusuhan [termasuk memboikot jualan saudara muslim mereka], maka mereka perlu muhasabah dan menyorot kembali sejarah umat Islam yang pernah diboikot oleh Kafir Kuraish kerana mengikut ajaran Rasulullah. Jika umat Islam enggan menyokong saudara mereka, siapa lagi?

Semoga tema "Berniaga Amalan Sunnah" pada BAZAR NOGOGHI kali ini mampu menyiram hati-hati mereka yang dahagakan nilai UKHUWAH di samping menjadi platform untuk anak-anak Malaysia mengasah bakat kepimpinan dan pengurusan di Mesir, bumi barakah.

Maklumat lengkap layari http://ukhwahn9.blogspot.com

MHT: Datang makan Chicken Chop [hot and spicy] LE8, enak hingga menjilat jari... [dah promosi tak kan tauke tak nak belanja=)

Kak Ros Saudagar Fesyen

Isnin, 25 Oktober 2010

3 Komentar
Akhir-akhir ini, susuk tubuh Kak Ros tidak kelihatan. Orang pasar dan kedai runcit juga kata tidak nampak Kak Ros. Ahli jawatankuasa kampung yang sering melepak di balai raya pun mengadu tidak nampak figura comel itu dua tiga minggu ini. Selalunya, bukan kata kelibat, bau harum minyak wangi jenama 'Pak Deris Hill Ton' yang sering dipakainya sudah dapat dicium walaupun jarak tidak dekat. Kalau bau itu menyapa hidung, biar mata tertutup rapat, pasti semua orang kampung sudah dapat menebak siapa si pemakainya kerana minyak mahal itu hanya Kak Ros sahaja yang berani beli dari kampung seberang. Itu fakta.

Demi perhimpunan hari ini dia akan muncul. Itu janji.

Perhimpunan agung sempena gotong royong perdana sudah hampir setengah jam tertangguh di laman balai raya Kampung Melangit. Kaum Hawa sudah mula mengipas-ngipas wajah dengan surat khabar dan hujung kerudung; bimbang solekan tercair dek bahang suria yang mula meninggi. Anak-anak kecil dengan keletahnya, berlari ke hulu ke hilir. Pemuda-pemuda pula sudah mencuka. Ada yang sengaja membunyikan-bunyikan enjin motosikal tanda protes. Melihatkan keadaan itu, Pak Bilal mula resah. Dalam kebanjiran, tampang Tok Imam dicari.

"Macam mana ni Tok? Orang dah mula kalut. Kalau dibiarkan, ada yang terbakar balai nanti." Bisik Pak Bilal. Wajah tuanya jelas berona cemas.

"Sabar dulu Pak Bilal. Kita ni kena ikut arahan. Kalau dia kata tunggu, kita kena tunggu. Lagipun

1 Telur + 2 Telefon

Jumaat, 22 Oktober 2010

0 Komentar

Saya baru mendapat satu emel daripada teman sesawang dan merasakan hal tersebut patut dikongsi dan dimanfaatkan. Sila baca dengan teliti.

Satu kajian telah dijalankan. Sebiji telur ayam diletakkan antara dua telefon bimbit seperti dalam gambar.

Panggilan dibuat melalui kedua-dua telefon bimbit tersebut dan berlangsung selama kira-kira 65 minit.

Pada 15 minit pertama, tidak ada apa-apa yang pelik berlaku.

Namun kira-kia 25 minit kemudian, telur ayam tersebut mula memanas dan terus panas sehinggalah waktu mencecah 45 minit.

Panggilan masih berlangsung dan tidak diputuskan. Akhirnya pada 65 minit kemudian telur ayam tersebut benar-benar masak seperti dalam gambar. Subhanallah!

Kesimpulannya, radiasi yang terhasil daripada panggilan yang terlalu lama antara kedua-dua telefon tersebut telah menukar kandungan protien dalam telur ayam.

Bayangkan, apa yang bakal terjadi kepada kandungan otak kita sekiranya kita membuat panggilan yang terlalu lama? Fikirkan...

MHT: Daripada banyak berbual lebih baik banyak berzikir.

Drama: Kenapa Susah Puasa 6?

Jumaat, 8 Oktober 2010

0 Komentar

SATU.
"Apa azam Hari Raya tahun ni?" Soal Azim sewaktu balik dari solat terawih di masjid.

"Aku rasa nak puasa enam. Tahun lepas tak pernah sekali pun aku buat." Balas Bidin bersungguh. Azim menyeluruhi tampang temannya. Senyumannya sengaja digulakan.

"Eh, kenapa pandang macam tu? Salahkah kata aku?" Soal Bidin kembali. Perlakuan Azim membuatnya tidak betah duduk.

"Bukan tahun lepas saja. Tiap-tiap tahun aku dengar benda yang sama. Mana natijahnya?" Perli Azim selamba.

"Itu dulu. Kali ni aku mesti boleh. Alah, aku rasa kau pun sama kan. Kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih." Ujar Bidin mengusik.

"Hei, kau tahu ke aku puasa ke tidak?!" Azim mempertahankan diri. Suaranya melonjak dua anak tangga dari tadi.

"Amboi, marah nampak. Dulu, aku pernah ajak ahli jawatankuasa rumah kita ikut berpuasa, tapi

3 Fasa Yang Keliru

Jumaat, 24 September 2010

2 Komentar

Kebiasaannya, hampir setiap orang akan melalui 3 fasa yang keliru dalam hidupnya.

PERTAMA.
Masa lalu.

KE-2.
Masa Sekarang.

Ke-3.
Masa akan datang.


Setiap satu fasa mempunyai ujian dan cabaran yang tertentu.

Oleh itu, selalulah rajin berusaha melakukan 3 jenis solat setiap hari kerana setiap satunya ada manfaat untuk ketiga-tiga fasa tersebut.

Apakah solat itu?

PERTAMA: SOLAT TAUBAT.
Dengan niat kita menyesali setiap kesilapan masa lalu dan bertekad untuk berubah ke arah yang lebih baik. Allah akan menerima taubat orang yang benar-benar menyesal. Yakinlah.

KE-2: SOLAT HAJAT.
Dengan harapan Allah akan mengabulkan setiap permintaan dan hajat kita supaya kehidupan masa sekarang akan lebih mudah dan dijauhi daripada cengkaman musibah. Bersungguhlah.

KE-3: SOLAT ISTIKHARAH.
Kita tidak mengetahui apa yang akan terjadi di masa hadapan. Mungkin kita berkehendakkan sesuatu tetapi Allah memberikan yang lain daripada itu. Ingatlah, Allah selalu memberikan apa yang kita perlukan lebih daripada apa yang kita mahukan. Ramai yang berpendapat solat Istikharah hanya untuk menentukan jodoh. Sedangkan Istikharah boleh dilakukan bila-bila sahaja agar kehidupan masa akan datang lebih teratur dan dipimpin oleh rahmat Allah. Ramai yang terlepas pandang dalam hal ini. Justeru, Istikharah dan tawakallah. Tentu Allah akan membukakan jalan fitrah. Pastinya.

MHT: Masalah paling jelas selalunya adalah bagaimana untuk kita terus istiqamah...

Ustaz Kamar Shah Masuk Kosmo!

Isnin, 20 September 2010

0 Komentar
Renungi firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu [untuk orang lain] maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan [segala halnya] untuk kamu. 

Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama [dari kalangan kamu)] beberapa darjat. Dan [ingatlah], Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan."

Kalam Allah dalam surah Al-Mujadilah ayat 11 tersebut sangat meruntun nubari. Benarlah, orang yang bersungguh-sungguh menuntut dan menyampaikan ilmu akan dimuliakan, bukan sahaja oleh Sang Kuasa malah seluruh makhluk seantero dunia.

Bersyukur, guru al-Quran saya sewaktu sekolah dulu kini telah diiktiraf dan diberi penghormatan untuk menerima Anugerah al-Syatibi 2010 oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Sebanding nama, ternyata beliau bak purnama. Cemerlang bersinar di dada langit. Langit ilmu tanpa sempadan.

Moga pengiktirafan ini akan terus memugar semangatnya untuk menyampaikan ilmu Allah dan meningkatkan lagi azam kita semua untuk meneruskan perjuangan menimba ilmu Islam yang tidak bertepi, insya-Allah. Tahniah Ustaz!

Baca kisah penuh beliau dalam akhbar Kosmo. [Klik Sini]

Serangan Laman Web Meningkat Masa Cuti Raya

Khamis, 16 September 2010

0 Komentar
Keratan akhbar Kosmo bertarikh 11 September 2010 melaporkan:

"KUALA LUMPUR - Pemilik laman-laman web dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang musim perayaan kerana serangan laman web dijangka akan meningkat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan akhbar berkata, peningkatan serangan itu kerana kebanyakan laman web yang beroperasi tidak akan dipantau ketika musim perayaan.

"Pada tahun 2009 seperti contoh, serangan ke atas laman-laman web ini meningkat semasa cuti perayaan seperti Aidilfitri.

"Jadi pemilik-pemilik laman web harus meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan aplikasi yang berkaitan bagi mengelakkan risiko digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Menurut SKMM, pada minggu pertama September tahun ini, sebanyak 262 kes laman web yang digodam dilaporkan berbanding 168 kes pada Ogos lalu.

Pemilik-pemilik laman web yang mengesan sebarang kegiatan penggodaman boleh melaporkan kepada SKMM di talian 03-8688 8303 atau melayari laman web di http: //www.skmm.gov.my/cybersecurity."

SMS Syawal

Jumaat, 10 September 2010

0 Komentar


PERTAMA:

Hali laya sula mali,

Baju laya satu loli,

Satu tawun satu kali,

wamikin silap wavely soli..


Silamat Hali Laya
Aidilfitri... ('',) Hi..Hi..Hi...

Kiriman: Abang








KE-2:


Tunggu-tunggu rayo dah dokek,

Baka lomang robuh ketupek,

Nak anta kad rayo da tak sompek,

Anta SMS jo yang copek...

Iklan Raya TV3 Hina Islam!!

Selasa, 7 September 2010

5 Komentar
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, saya paparkan kebenaran ini bukan sekadar untuk tatapan tetapi perhatian anda! Sesungguhnya ini bukan kebetulan tapi PENGHINAAN yang patut kita sebarkan!

Iklan-iklan Aidilfitri yang dipaparkan oleh sebuah saluran televisyen terkemuka Malaysia, TV3 seringkali mendapat sambutan hangat dan komen yang memberansangkan daripada para penonton samada dari segi kualiti atau mesej yang disampaikan; selain daripada iklan yang dikeluarkan oleh Petronas. Ramai yang tertunggu-tunggu di kaca televisyen setiap kali musim perayaan hampir tiba semata-mata untuk menonton iklan-iklan ini disiarkan. Namun iklan Aidilfitri 2010 tampil dengan membawakan 1001 kelainan. Apakah yang lainnya?
Lihat sendiri..


Di sini ada beberapa ulasan tentang iklan yang dipaparkan. Samada anda yang bijak sekalian hendak mempercayainya atau tidak, terserah.
Tetapi sebagai umat Islam, anda harus ambil perhatian.


Babak 1 - Budak Lelaki Melayu sedang menilik-nilik sebuah buku bergambar di malam yang gelap dalam sebuah pondok buruk beratap rumbia dengan bertemankan sebiji mentol. Terdapat sebuah sangkar burung yang tergantung di sebelah kanan tingkap yang terbuka.
1.Budak Lelaki Melayu - Orang Melayu/Islam
2.Buku - Bible

3.Pondok Buruk Beratap Rumbia - Kemiskinan
4.Malam Yang Gelap - Islam yang mundur
5.Mentol Lampu - Pencerahan (Illumination) - Lucifer@Iblis
6.Sangkar Burung - Simbol manusia yang terkurung dan terkongkong dengan ajaran ISLAM
7.Tingkap Terbuka - Jalan keluar dari kemiskinan dan kemunduran




Babak 2 - Close up sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca bewarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah pokok Krismas dan North Star (Bintang Utara), menutup sehelai muka surat lain bertulisan JAWI yang diterbalikkan (inverted).


1.Mukasurat Bergambar - Bible (Christianity)

2.Mukasurat Jawi terbalik - Al-Quran yang dihinakan

3.Beca Merah - Samaran untuk kenderaan Santa Claus
4.North Star - Bintang Kelahiran Horus (Dajjal)

5.Pokok Krismas - Simbol Paganism



Babak 3 - Keluarnya bintang-bintang kecil beraura yang membawa cahaya dari gambar beca. Budak Melayu delighted (kagum dan gembira). Bintang-bintang berterbangan keluar dari tingkap rumah buruk lalu membentuk sebuah beca merah berlampu lip-lap dengan seorang lelaki separuh abad yang memakai songkok (bukan ketayap) putih dan berambut putih. Lelaki separuh abad mempelawa budak Melayu untuk bersama-sama menaiki beca merah dan seterusnya meninggalkan pondok buruk.

1.Bintang-bintang kecil beraura - Keajaiban, kekayaan, kemahsyuran dan kemodenan.
2.Lelaki Rambut Putih Dan Bersongkok Putih - POPE - Ketua Agama Kristian

3.Pelawaan Menaiki Beca - Pelawaan masuk Kristian


Babak 4- Budak Lelaki Melayu dengan seorang budak perempuan Melayu masuk ke dalam beca dan terus duduk bersandar. (Ini memaparkan kejayaan memurtadkan/merosakkan Bangsa Melayu dan Islam)


1.Budak Lelaki Dan Budak Perempuan Melayu - Bangsa Melayu/Islam.


Babak 5 - Beca terbang ke Pulau Pinang, Teluk Intan dan Kuala Lumpur. Tempat-tempat ini bercahaya dan bersinar (illuminated) dengan kehadiran beca merah.

1.Pulau Pinang - Tempat Illuminati mula bertapak (Francis Light)

2.Teluk Intan, Hilir Perak (Anson) - Ada Illuminati Lodge kat sini. Rotary Club pun bersepah.
3.Kuala Lumpur - Malaysian Illuminati punya bandar (capital).

Babak 6 - Tiba-tiba ada satu pasangan tambahan budak lelaki/perempuan Melayu dalam beca.


1.Pasangan Melayu Extra - Murtad dan kerosakan makin berkembang dan mendapat sambutan


Babak 7- Beca berhenti depan unit kondo. Satu pasangan budak Melayu lagi diorang ambil (pickup). Budak Melayu kampung gembira sampai bercahaya-cahaya mukanya.


1. Kondo - Bandar/Middle Class. Budak kampung dah diterima oleh orang bandar. Masuk Kristian adalah cool, urban, moden dan sebagainya.

Cuba perhatikan, mengapa perlu ada awan yang 'menyalib' setiap menara masjid ini? Kebetulan jugakah ini? Atau memang di setiap menara mana-mana masjid terdapat awan seperti ini?


Apa sebab perlu dipaparkan Teratai dalam iklan Aidilfitri sedangkan banyak lagi bunga yang boleh disiarkan. Teratai ini mempunyai bahan yang menyala (pelita) di tengahnya seolah-olah teratai Buddha ketika melakukan upacara keagamaan mereka.


Mungkin gambar ini kelihatan biasa bagi sesiapa yang tidak menyedari tapi secara kebetulan atau tidak, inilah hasil penelitian yang diperoleh..


Rasanya semua sudah makruf tentang bintang 6 bucu yang terpapar bukan? Masya Allah.. Anda punya akal, nilailah kesemua ini dengan bijaksana..


Mungkinkah semua ini adalah kebetulan? TIDAK! Ini adalah AGENDA TERANCANG!!

Banyakkan membaca tentang agenda kafir laknatullah terhadap umat Islam memandangkan iklan ini berkaitan dengan perayaan umat Islam. Ingatlah, Allah berfirman dalam al-Quran:

"Tidak akan pernah redha orang-orang Yahudi dan Nasrani terhadap kamu sehingga kamu menuruti telunjuk mereka" al-Baqarah: 120

MHT:
Kredit untuk http://sammaituhanajwa.blogspot.com Saya copy dan edit sedikit. Tanpa sedar, babak awal memang sama dengan adegan dalam filem Harry Potter. Memang lakonan bernas dan licik daripada Kafir Laknatullah! Sebarkan!!

Malaysia Merdeka Mereka Merana

Sabtu, 4 September 2010

1 Komentar


"1 Malaysia Menuju Tranformasi",

Begitulah tema Hari Merdeka tahun ini,

Saban tahun kita sambut penuh erti,

Yang lama merindui, yang baru mengagumi.



Gema Merdeka dicanang melata,

Negara beranjak matang dewasa,

Namun sayang tergelincir maksudnya,

Pemuda berantakan, pemudi hilang punca.

Kapsul 2: Manusia Macam Robot?

Selasa, 24 Ogos 2010

0 Komentar

Alhamdulillah. Beruntung bulan Ramadan kali ini. Selesai 4 rakaat terawih, dapat saya mendengar tazkirah dan peringatan ringkas daripada adik-adik junior, mahasiswa baharu Negeri Sembilan yang baru sampai ke Mesir awal Ogos lalu. Pelbagai isi penting dan cerita dapat dikumpulkan saban hari. Seronok melihat kepetahan, keberanian dan kecerdikan pucuk-pucuk muda ini dalam mewarnai kebun-kebun dakwah berbanding saya yang sudah lama meranting di bumi Anbia' ini.

Sesuatu yang menarik yang tidak mungkin saya lupa adalah tentang solat. Ya, memang tajuk sedimikian biasa singgah ke deria kita tetapi sering kali ia menjadi seperti angin. Melayang, berterbangan bebas, bertiup masuk dan keluar dari telinga kanan dan kiri. Sungguh.

Cerita adik tadi, seorang warga negara Jepun pernah mengajukan soalan tentang solat kepada seorang mahasiswa Malaysia yang menuntut di sana. Lebih kurang beginilah bunyi soalannya.

"Kenapa orang Islam mesti bersembahyang?" Soal Orang Jepun itu.

"Kenapa pula tuan bertanya?" Soalan berbalas soalan. Biasalah, kita kan selalu berhadapan dengan orang yang suka bertanya. Jadi, kenalah dipastikan samada si penyoal memang ingin tahu atau sebenarnya sengaja nak menguji.

"Bukankah sembahyang itu membuang masa. Banyak lagi kerja yang patut kita lakukan selain daripada itu." Balas warga Jepun tadi. Mahasiswa itu mula memerah otak mencari jawapan yang sesuai dan tepat.

"Orang Islam, memang begitulah suruhannya." Ringkas jawapannya. Tetapi hati kecil kurang nyaman dan selesa. Jawapan yang diberi dirasakan belum cukup meyakinkan.

(Kemudian, tidak dapatlah dipastikan akan reaksi warga Jepun tersebut kerana tidak sampai ceritanya ke telinga saya=)

Al-kisah, dengan rasa rendah diri, mahasiswa tadi meluaskan skop pemikirannya yang belum dalam tentang agama dan memecahkan benteng kedaifan dengan berjumpa seorang ahli agama atau masyhurnya digelar ustaz. Setelah diceritakan babak 3 minit tadi kepada ustaz tersebut, guru itu pun tersenyum. Mahasiswa tadi memandang wajah tulus itu dengan rasa ingin tahu yang memuncak.

Kata ustaz itu, "Nak, kalau yang menyoal itu orang Islam, bolehlah dijawab dengan dalil Quran mahupun Hadith. Andai mereka kurang faham, sekurang-kurangnya mereka masih lagi boleh terima dan akur."

"Tetapi yang bertanya ini bukan daripada orang kita dan tidak tahu menahu tentang agama. Justeru kaedah dan uslub dakwahnya juga berbeza." Terang Ustaz lagi.

"Maksud Ustaz?" Mahasiswa itu meminta kepastian. Injap akalnya simpang-siur menyerap makna. Ustaz menyeluruhi tampang di hadapannya. Dengan penuh hikmah dia menjelaskan.

"Begini. Kalau dalil Quran dan Hadith itu namanya dalil naqli, sesuatu yang sudah termaktub dan ditetapkan oleh Allah dalam kitabnya. Adapun uslub kedua dan berbeza tadi adalah dalil 'akli, sesuatu yang boleh diterang, dibincang dan dibayangkan oleh akal manusia."

"Berbicara tentang solat seharusnya juga diterangkan melalui kaedah yang kedua supaya manusia lebih senang dan tertarik untuk menerima."

"Bagaimana Ustaz?" Pemuda tadi sudah tidak sabar menanti. Kerut di dahinya bertambah seinci.

"Orang Jepun dewasa ini amat mahir dan kreatif dalam mencipta alatan canggih seperti robot dan mesin. Robot dan mesin sampai masanya perlu kepada bengkel untuk diservis dan dibaiki agar alat-alatnya tidak rosak dan sentiasa berfungsi. "

"Kita perlu ingat bahawa struktur robot dan mesin-mesin tersebut tentunya kompleks dan rumit untuk difahami. Justeru, antara robot dan manusia, mana satukah lebih kompleks dan rumit binaannya untuk dikaji?"

"Mestilah manusia ustaz." Jawab mahasiswa tadi.


"Nah, sekarang kita lihat. Jika robot yang canggih pun perlu diservis maka manusia yang seribu kali canggih ini mestilah lebih daripada itu. Jiwa, akal dan tubuh badan, semuanya perlu diservis dan direhatkan agar kompenannya sentiasa aktif dan berfungsi."

"Justeru Islam mengajarkan kaedah solat sebagai "bengkel' untuk manusia membaiki semua kompenan tersebut. Sebagai contoh selepas bangun daripada tidur, enjin tubuh kita dipanaskan dengan solat di subuh hari. Penat bekerja atau belajar di tengah hari dan petang, sekali lagi tubuh diservis dan direhatkan dengan solat Zuhur dan Asar dengan waktu tersendiri. Begitu juga dengan bakinya iaitu Maghrib dan Isya' di malam hari."

"Hasilnya, tubuh yang sentiasa diserviskan akan terus cergas dan aktif untuk menjalankan sebarang aktiviti. Walaupun tanggungjawab solat merupakan ibadah yang tidak boleh dipersoalkan, tetapi dengan jawapan sebegini pasti membuatkan orang Jepun atau sesiapa sahaja yang bertanya akan lembut hati, insya-Allah." Jawab ustaz panjang lebar.

Mahasiswa tadi mengangguk-angguk tanda setuju. Dalam benaknya timbul rasa kagum terhadap keistimewaan solat yang Allah anugerahkan kepada umat manusia. Pastinya, jika dikaji lagi tentunya lebih banyak hikmah dan rahsia yang tersembunyi.

Di pasaran sekarang berlambak buku dan kitab yang menerangkan tentang rahsia solat. Malah, penemuan sains dalam solat juga telah banyak dihuraikan oleh para doktor dan saintis. Cuma kita sahaja yang jarang hendak mencari, kan?

MHT: Dialog dan cerita tadi saya ubahsuai daripada tazkirah asal.

Kapsul 1: SMS Ramadan

Jumaat, 20 Ogos 2010

1 Komentar

PERTAMA:

Salam.

Nama saya Syaaban.

Saya ingin mengingatkan anda bahawa jiran saya iaitu 'Ramadan' akan datang mengunjungi anda tak lama lagi bersama isterinya iaitu 'Rezeki' dan kedua-dua anaknya iaitu 'Sahur' dan 'Iftaar'.

Mereka akan ditemani oleh ketiga-tiga cucunya iaitu 'Rahmat', 'Barakah' dan 'Keampunan'.

Mereka akan pulang selepas 30 hari dengan menaiki pesawat penerbangan 'Aidulfitri'. Syukran.

Kiriman: Pn. Rohani Bt Adam dan En. Tajuddin B. Hj. Shohod @ mak dan ayah=)

KEDUA:Tak terasa bila dia pergi.

Tapi sayu bila dia tak kembali...

Terbaru! Matan Edisi Ke-4

Rabu, 11 Ogos 2010

1 Komentar

Klik pada gambar untuk imej yang lebih jelas

Kepada mahasiswa/wi al-Azhar Mesir, anda boleh mendapatkan majalah MATAN [Media Kontemporari Negeri Sembilan] edisi ke-4 dengan harga sebanyak LE5 sahaja. Mengandungi pelbagai isu menarik untuk dibaca dan difikirkan bersama. Ditulis oleh ahli jawatankuasa Unit penulisan, dengan kelolaan Exco Pendidikan Majlis Tertinggi Pengurusan [MTP] Negeri Sembilan Mesir [klik]. Selain daripada nombor yang tertera dalam iklan, pesanan boleh dihantar melalui emel ke alamat: hafizit@yahoo.com
Jemput baca artikel saya tentang 'Dunia Blogger Azhari' dalam MATAN edisi ke-4. Jom budayakan ilmu dan selamat membaca!


nak tahu Kandungan MATAN edisi ke-4?

Bengkel Penulisan Pertama Dalam Sejarah

Sabtu, 31 Julai 2010

0 Komentar

Dalam menghitung hari-hari terakhir di bumi Mesir ini saya menemui kembali kegemaran yang telah suram sebelum ini. Menulis! Lalu, saya bangunkan blog ini demi mengasah kembali bakat penulisan Bahasa Melayu yang telah lama menjadi taman dalam kalbu. Maklumlah diripuhi bahan-bahan bacaan berbahasa asing kadangkala mengurangkan [sedikit] penguasaan bahasa asli budaya kita.

Menyedari hakikat dunia teknologi yang kian sibuk dengan simpang-siur informasi, saya cuba menilai kembali keberadaan bahan penulisan bercetak dalam dunia siber hari ini. Ternyata, keripuhan manusia bersipongang di dunia maya dan bergelandang di laman-laman sesawang seperti Facebook [FB] tidak pernah menenggelamkan dunia tulisan dan percetakan.

Realitinya, bahan bercetak masih relevan, lama dan panjang jangka hayatnya. Lihat sahaja manuskrip yang bertahun-tahun dicetak tetap boleh dirujuk oleh generasi hari ini dan akan datang, insya-Allah. Jawapan dan keresahan yang bertandang di cepu fikir, akhirnya saya temui dalam kalam bernas Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak, Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

Award: Daripada Kawan Untuk Kawan

Khamis, 22 Julai 2010

5 Komentar
Otak akan mula bercempera dan tidak tentu hala. Jari terlentuk-lentuk di hujung papan kekunci. Kadangkala kepala yang tidak gatal mula rasa berkutu. Nah, sekarang saya sudah mula terjangkit!

Semua ini terjadi gara-gara komen 'berantai' yang saya terima minggu lalu. Komen yang memerlukan seminggu untuk saya kembali berfikir apa rasionalnya. Seperti 'blogger-blogger' lain, saya juga tak terkecuali bila terjadinya situasi seperti ini.

Baiklah, sebenarnya saya sudah dianugerahkan sebuah
award dan ditag (meminjam komen 'berantai' tersebut) oleh sahabat sendiri. Tanpa membantah dan setia mengikut arahan (moga-moga dia belanja selepas baca blog ini=) saya telahpun sudi mengikut segala syarat-syaratnya. (award bersyarat?)

Mengadu Untuk Menasihat

Isnin, 12 Julai 2010

6 Komentar

Sejak akhir-akhir ini saya sering mendengar berita tentang kesusahan dan kesakitan yang menimpa orang-orang di sekeliling saya. Malah lebih daripada itu, saya kerap melihat dan mendengar sendiri luahan perasaan sahabat-sahabat yang [secara tiba-tiba] menjadikan saya sebagai telinga untuk mereka khabarkan rasa sakit yang menyelubungi emosi dan tubuh mereka. Ada yang biasa-biasa namun ada jua yang kronik dan meruntun jiwa.

Kadangkala keliru mula menepuk kubu iman. Saya tidak tahu mengapa 'fenomena' ini tiba-tiba menjadi salah satu daripada warna yang menjalur dalam relung hidup saya. Walhal, secara jujur, saya juga sering kali letai hingga terbeban dan terkandas dalam mendepani ujian di pentas dunia milik Tuhan ini. Lalu, saya berlama-lama mendiam dan cuba lari ke pojok sepi.

Maha suci Allah! Anda tahu apa yang saya temui? Saya mencari-cari suatu hikmah dan saya temui suatu yang sepatutnya telah lama menjarah dalam hati. Kebelakangan ini, kawan-kawan sering mengadu kepada saya tentang pelbagai masalah.

Lisa Surihani dalam Tudung Ekspres

Jumaat, 2 Julai 2010

0 Komentar

Pelakon jelita, Lisa Surihani, Julia Ziegler, Chermaine Poo dan Linda Hashim bakal menemui anda dalam sebuah drama bersiri terbaru berjudul "Tudung Ekspres". Rancangan yang bakal ditayangkan oleh sebuah stesyen penyiaran swasta di Malaysia pada 8 julai ini cuba mengetengahkan watak gadis bandar yang cantik, elegen dan menariknya bertudung. Atas arahan seorang pengarah berbangsa Melayu [semestinya Islam] dan seorang bukan Melayu, "Tudung Ekspres" dikatakan akan cuba mengangkat martabat gadis atau wanita bertudung dan menepis segala tohmahan yang berkaitan dengan mereka. Menarik!

Melihat kepada gambar 4 orang pelakon di atas, pastinya drama ini akan menimbulkan pelbagai persepsi terhadap masyarakat. Diharap rancangan ini tidak akan mengajar masyarakat kita yang bukan-bukan. Cukup-cukuplah anak-anak gadis kita selama ini keliru dan ditipu oleh budaya dan fesyen yang rencam serta pelbagai gaya. Pendapat bahawa menutup rambut sudah dikira menutup aurat [tanpa menghiraukan lapisan dan helaian baju yang melilit tubuh] perlu diperbetulkan. Adakah "Tudung Ekspres" akan mengambil kira perihal ini? Sejauh manakah rancangan ini akan 'mengangkat imej' dan 'martabat' wanita bertudung, sama-samalah kita nantikan. Saya belum tahu. Anda rasa?

Wavin' Your Flag!

Ahad, 27 Jun 2010

0 Komentar
Sempena Piala Dunia 2010 ini, saya mengajak anda melihat kreativiti segolongan manusia di serata pelosok dunia yang pandai mencorakkan bakat yang tersorok dalam diri mereka. Saksikanlah...

Spain


Korea

Sorak-sorai Piala Dunia 2010

Selasa, 15 Jun 2010

0 Komentar

Anda mungkin salah seorang peminat World Cup 2010 bukan? Sesungguhnya dunia hari ini sedang riuh berceloteh tentang piala dunia. Bukan sahaja di warung kopi, sekolah, pejabat, kaki lima malah tandas awam turut menjadi gelanggang 'mesyuarat' bagi peminat sukan bertaraf dunia ini.

Saya yang berada di Mesir, turut merasa bahangnya apatah lagi setelah tanah tinggalan Nabi Musa dan Firaun ini tidak layak menjadi tuan rumah bagi piala dunia 2010. Afrika nampaknya kini sedang menjadi perhatian seluruh pelusuk dunia. Dengan lagu tema yang menarik, suasana piala dunia tahun ini tampak ceria dan bertenaga.

Rakyat Malaysia antara ribuan mata yang tidak pernah kalah dalam memanaskan semangat piala dunia. Pernah dahulu di tanah air Malaysia saya menyaksikan media kita beria-ria menjadikan perlawanan ini sebagai salah satu agenda dan siaran terpenting dalam jadual mereka. Sambutan hangat dan luar biasa yang diterima daripada rakyat Malaysia sangat mampu mengalahkan 'rating' berita, forum perdana apatah lagi rancangan agama. Hebatnya!

Perginya Seorang Peminat Cinta

Isnin, 7 Jun 2010

3 Komentar

Bagi yang belum mengenali tokoh ini, anggaplah artikel ini sebagai sebuah jalinan peristiwa dan ingatan. Bagi teman-teman yang sudah, pernah apatah lagi akrab dengan beliau, bacalah tulisan ini dengan penuh rasa insaf dan pengajaran.

USTAZ AHMADAN AFFANDI BIN HJ. MUSTAFA atau lebih mesra dipangil Tok Mat adalah seorang warga emas yang baru saya tahu nama penuhnya saat mengedit satu artikel, yang memuatkan wawancara bersamanya dalam majalah MATAN keluaran pelajar-pelajar Negeri Sembilan di Mesir (Edisi Ke-3). Dengan jarak umur yang begitu jauh, saya bukanlah orang yang betul-betul mengenali beliau. Namun, sejenak menjejaki sejarah hidupnya, pasti membuatkan anda terharu dan merasai betapa berharganya nilai secebis ilmu.

Berikut saya perturunkan sekelumit daripada selautan rentetan hidup sang pencinta ilmu ini:

Video: Sampan Mak Mah Diserang Lanun!

Rabu, 2 Jun 2010

5 Komentar
Pagi itu matahari malu-malu hendak keluar. Cuaca agak lembab memandangkan malam sebelum itu hujan datang berbondong-bondong. Mak Mah di serambi rumah terdongak-dongak memandang langit yang muram. "Barangkali hujan nak turun lagi." Gumam Mak Mah sambil mulutnya tak henti-henti mengunyah tembakau yang dibeli dari Kedai Dak Chin di tengah kampung.

"Tak payahlah Cik Mah hoi nak sibuk-sibuk hal orang. Kebun kita yang dilanggar gajah hari tu pun belum dapat kita bangunkan. Duit jual ayam itik pun dah tak ke mana lagi Mah. Ni, awak pulak susah payah nak bagi kat orang buat apa?! "Leter Pak Mat Keding kedengaran jelas dari bawah rumah. Terketar-ketar tangan kedingnya saat mengajukan anak kunci pada mangga reban ayamnya. Ayam betina Pak Mat Keding riuh rendah seolah-olah membenarkan kata-kata tuannya.

Mah Mah cuma diam. Dia yakin apa yang ingin dia buat. Celoteh suaminya langsung tidak diambil kisah. Mak Mah yang dari tadi bersimpuh di lantai kayu bangkit berdiri. Lehernya dipanjangkan setengah inci. Matanya yang agak rabun dijegilkan demi memastikan apa yang dia nampak itu benar.

Sah! Mak Lang Esah, Cik Jah Limau, Cik Poziah dan beberapa orang wanita lagi kelihatan sedang menuju ke teratak usangnya. Pantas dan tergesa-gesa. Senyum Mak Mah meleret ke pipi. Tidak disangka usahanya berkempen keliling kampung selama ini telah membuahkan hasil.

Salam Mak Lang Esah dan rombongannya di laman rumah disambut penuh semangat oleh Mak Mah.

Drama Sebabak

1 Komentar
Murid : Selamat pagi, cikgu.

Cikgu : (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?

Murid : Selamat pagi, petang dan malam cikgu!

Cikgu : Panjang sangat! Tak pernah dibuat orang! Kata selamat sejahtera! Senang dan penuh bermakna. Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.

Murid : Selamat sejahtera cikgu!

Cikgu : Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik. Hari ini cikgu nak uji kamu semua tentang perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu, faham?

Murid : Faham, cikgu!

Cikgu : Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.

Senyap..

Siapa Guru Pada Kita?

Rabu, 19 Mei 2010

4 Komentar
Sebetulnya, entri ini agak lama saya hurung dalam dada sebelum yakin untuk dilepaskan buat tatapan pembaca.

"Guru Pembina Negara Bangsa." Demikianlah tema hari guru bagi tahun 2010 ini. Sesungguhnya, sudah lebih 48 jam hari bersejarah 16 Mei meninggalkan kita. Namun, kesannya masih hangat terasa dalam jiwa rakyat Malaysia. Melihat kepada tema yang berubah saban tahun, membuatkan saya menyedari betapa rakyat Malaysia masih meletakkan profesion perguruan sebagai suatu pekerjaan yang tidak ternilai harganya.
Relaitinya, guru, dengan segala rencah kehidupan dan masalah peribadi; masih mampu meluangkan masa mereka demi mendidik anak bangsa. Melihatkan hal ini, memang wajar penghargaan dan terima kasih dihujankan ke atas mereka. Syabas!
Tetapi, sedarkah anda berapa kalikah kita mengucapkan terima kasih dan syukur kepada guru yang mengajar kita? Berapa kerapkah kita mengungkapkan kemaafan kepada insan yang pernah mendidik kita? Adakah menanti hari guru barulah kalimah itu muncul dari bibir dan celah gigi kita? Atau mungkin tidak pernah langsung?
Di sinilah kita sering alpa dan menganggap hari guru yang istimewa sama dengan hari raya, hari buruh, hari kekasih, hari merdeka dan sebagainya. Sekiranya berlalu hari guru tersebut, siapakah guru pada pandangan mata kita? Sahabat pembaca, dengan rasa rendah diri (saya tidaklah setinggi mana) saya mengajak kalian membuka mata dan melihat takrifan guru dengan lebih terbuka dan lapang dada.

Bila Anak Malaysia Menyanyi...

Selasa, 11 Mei 2010

2 Komentar
"Kau dah top-up untuk show hujung minggu ni?" Soal Suzi. Keretanya diberhentikan betul-betul di sebelah kereta Rina.

"Oh, aku awal-awal dah ready." Pintas Rina. Lampu isyarat di simpang jalan dikerling sekilas.

"Siapa la agaknya juara malam ni kan?" Ujar Suzi sambil membelek-belek make-up yang menebal di wajah.

"Siapa juara tak kisah, yang penting apa yang dipersembahkan." Jawab Rina.

"So, kau dah beli tiket?" Suzi menyoal lagi. Bibirnya dioles dengan gincu merah bata.

"Eh, gila! Tengok tv je la. Lagipun tempat tu kan jauh."

"Alah, tengok depan mata baru syok." Senyum Suzi meleret. Terbayang-bayang wajah artis kegemarannya bakal beraksi di atas pentas.

"Benar bu. Kalau lihat depan mata pasti lebih menangkap di dada." Pembantu rumah Rina yang dari tadi diam di sebelahnya tiba-tiba menyampuk.

"Hah, kan aku dah cakap. Siapa pengkritik malam ni Bibik?" Tanya Suzi. Matanya dihala ke arah wanita di sebelah Rina. Rina turut berpaling penuh minat.

Bungkusan Hari Lahir!

Isnin, 3 Mei 2010

1 Komentar

Happy birthday to you...
Sanah helwa ya jamil...
Selamat hari lahir...
Ungkapan-ungkapan tersebut acapkali meniti di bibir malah sering dilagukan apabila tibanya hari ulangtahun kelahiran. Meskipun berbeza bahasa, budaya, agama dan negara namun ajaibnya, kalimah-kalimah tersebut dialunkan dalam rentak dan melodi yang sama di segenap pelusuk dunia. Inilah kebijaksanaan Allah yang telah menjalinkan hati-hati manusia untuk bersatu dalam satu bahasa iaitu bahasa jiwa. Jiwa insan yang berakal, tenang dan bahagia akan berusaha untuk menyambut hari kelahirannya, teman atau sanak saudaranya biar apapun bentuk rupa dan gaya kerana itulah fitrah manusia.

Dalam sebuah hadith riwayat at-Thabroni menyatakan, mafhumnya,"daripada Ibnu Abas sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah selepas perkara fardhu (wajib) ialah membawa kegembiraan kepada seseorang muslim."

Persoalannya,
Pertama:
Apakah hukum menyambut hari ulangtahun kelahiran? (lebih baik menyebut hari lahir berbanding hari jadi kerana manusia 'dilahirkan' tidak sama dengan 'dijadikan')

PERNAH DENGAR KISAH INI?

Jumaat, 30 April 2010

0 Komentar


Pada suatu hari, mundar-mandirlah seorang lelaki di dalam rumahnya. Fikirannya kusut. Dia kebosanan. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halamannya dan mengembara. Demi melihat dunia luar, dia terpaksa melalui hutan belantara memandangkan kampung kelahirannya itu amat jauh dari kesibukan.

Arakian, sewaktu dalam perjalanan, lelaki tersebut kelelahan. Mentari terik di atas kepala. Keringat memercik di seluruh tubuh. Lalu, dia berbaring di bawah sepohon pokok yang rendang. Saat mendongak, terlihatlah dia buah-buah yang memerah di atas pohon. Akan tetapi setelah diamati, tidaklah diketahui nama buah-buahan itu. Perutnya yang bulat sudah berkeroncong. Lalu, dicarilah kayu ataupun buluh buat mengait buah-buahan yang sedang meranum itu.

Namun, setelah agak lama mengait, dia merasakan buah-buahan tersebut makin lama makin meninggi. Semakin dikait semakinlah tinggi. Dia keganjilan. Dia mencuba lagi. Kali ini dipanjatnya pohon yang tidak diketahui namanya itu. Tetapi keadaan tetap sama. Semakin dipanjat semakin tinggi dahannya. Tubuhnya kepenatan. Lantas, lelaki itu turun dengan penuh kehampaan. Akhirnya, di bawah pohon dia terduduk kelaparan.

PERISTIWA DI KAMPUNG TUBUH!

Sabtu, 24 April 2010

3 Komentar
"Apa yang kau cari?" Hati yang sejak tadi memerhati, menegur.

"Entah, aku rasa tak sedap hati la. Lain macam rasanya." Balas Mata sambil kelopaknya buka katup silih berganti.

"Ah, jangan bimbang. Mimpi kelmarin takkan berulang. Cuma mimpi kan?.." Akal yang sejak tadi berlari, berhenti sebentar menghirup hawa sejuk-panas kaherah. Sebetulnya musim bunga menyusur sekarang ini, namun kelibat dingin masih tampak malu-malu mahu pergi. Usai berhenti beberapa bentar, Akal kembali berlari meningalkan mata terkebil-kebil. Lagi dan lagi.

"Betul ke itu mimpi?" Perut yang baru hari ini dapat tidur, tidak mahu terus bermalam-malam. Dari dalam kamar, Perut menjengahkan kepala ikut sama menyoal.

"Tak tahulah Rut. Aku kurang pasti. Tapi dah banyak kali aku mimpi. Tapi minggu ini tak datang pulak" Mata yang masih melilau kelihatan bungkam. Seluruh urat yang menjelira di tepi kolamnya berbunyi-bunyi resah. Keliru.

"Jadi kau cari dia ye?" Kaki yang sedang bergayut dan jarang menabir di jalanan itu menebak tiba-tiba. Gayutannya dilambatkan lebih lambat daripada biasa.

"Aku cari…err…aku cari teman..." Balas mata kurang yakin. Ada getar menggumam di hujung kerokongnya.

"Kau ada kawan ke?!" Tanpa diduga, seluruh ahli jawatankuasa Kampung Tubuh itu bersuara serentak. Mata terbelalak. Terus dia terpisat-pisat. Melilau tanpa arah.

"Tak baik korang cakap macam tu." Anak Tangan mula bersuara. Perlahan-lahan Anak Tangan menjelira di sebelahnya. Memujuk. Mata diam. Bungkam.

"Ah, selalu kami tengok dia sorang je. Kami fikir, dia mana ada kawan." Ujar Akal sambil melambatkan lariannya. Mata masih melilau sana sini. Gusarnya kian mendesah. Demi terlihatkan itu, Hati yang menjauh kelihatan cuba mendekat.

"Sabar, sabar. Nanti ok la tu." Pujuk hati. Anak Tangan mengangguk-angguk.

"Kriiinggg!" Udara petang Jumaat yang hening itu tiba-tiba pecah digempar bingit. Telinga yang dari tadi cuma jadi pencerap terkejut. Mata berkalih pantas. Tanpa dipaksa Anak Tangan bergegas.

"Ayahandamu gering! Sudah berminggu! Jantungnya terseliuh!"

"Innalillah!" Serentak. Seluruh ahli jawatankuasa Kampung Tubuh itu berzikir deras. Kaki tiba-tiba berhenti berhayun. Akal yang jenuh berlari terjelepok. Perut di dalam kamar mengecut. Terpempan metah!

"Innalillah.* Sabar, masih sempat." Hati berbisik menyorok lara di gobok dada. Pelukannya dipererat. Kejap.

Mata kini tidak libang-libu lagi. Mata tidak tercari-cari lagi. Mata terus-terus memandang langit sambil menahan tubirnya dari pecah.

Tanpa diduga, Anak Tangan kesejukan, "patutkah aku catatkan ini…"

"Subhanallah!"

MHT: Di saat entri ini saya muntahkan, ayah saya, Tajuddin bin Hj Shohod rupa-rupanya sudah enam hari bermalam di Hospital Seremban. (termasuk sempat menghirup udara kusam di IJN. Sakit jantung! Berita mengejut dari Malaysia ini saya terima hanya beberapa jam usai blog ini saya bangunkan. Doakan dia diberi syifa dan kesembuhan oleh Allah insya-Allah. Allahu Akbar!

*Kalimah ini dinamai kalimah 'istirjaa' (pernyataan kembali kepada Allah) Sunnah menuturnya di kala musibah datang menimpa samada kecil mahupun sebaliknya. Dalam al-Quran Allah berfirman mafhumnya, "orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Innaa lillaahi wa inna ilaihi raaji'un" (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali) - al-Baqarah: 156.

10.44 malam. Jumaat. Kaherah.

ASSALAMUALAIKUM

Jumaat, 23 April 2010

1 Komentar


Pagi Jumaat.
Melawan kantuk yang meripuh
Buat pertama kali
Jemari menari di atas papan kekunci
Menerawang ke lubuk sesawang
Jaringan untuk bergelandang
Mencari teman yang sehati
Dalam menukil kalam Ilahi
Atas lantai jiwa manusiawi
Sembah penuh takzim
Buat yang tahu menilai
Erti sebuah penulisan..

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails