Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Kak Ros Saudagar Fesyen

Isnin, 25 Oktober 2010

Akhir-akhir ini, susuk tubuh Kak Ros tidak kelihatan. Orang pasar dan kedai runcit juga kata tidak nampak Kak Ros. Ahli jawatankuasa kampung yang sering melepak di balai raya pun mengadu tidak nampak figura comel itu dua tiga minggu ini. Selalunya, bukan kata kelibat, bau harum minyak wangi jenama 'Pak Deris Hill Ton' yang sering dipakainya sudah dapat dicium walaupun jarak tidak dekat. Kalau bau itu menyapa hidung, biar mata tertutup rapat, pasti semua orang kampung sudah dapat menebak siapa si pemakainya kerana minyak mahal itu hanya Kak Ros sahaja yang berani beli dari kampung seberang. Itu fakta.

Demi perhimpunan hari ini dia akan muncul. Itu janji.

Perhimpunan agung sempena gotong royong perdana sudah hampir setengah jam tertangguh di laman balai raya Kampung Melangit. Kaum Hawa sudah mula mengipas-ngipas wajah dengan surat khabar dan hujung kerudung; bimbang solekan tercair dek bahang suria yang mula meninggi. Anak-anak kecil dengan keletahnya, berlari ke hulu ke hilir. Pemuda-pemuda pula sudah mencuka. Ada yang sengaja membunyikan-bunyikan enjin motosikal tanda protes. Melihatkan keadaan itu, Pak Bilal mula resah. Dalam kebanjiran, tampang Tok Imam dicari.

"Macam mana ni Tok? Orang dah mula kalut. Kalau dibiarkan, ada yang terbakar balai nanti." Bisik Pak Bilal. Wajah tuanya jelas berona cemas.

"Sabar dulu Pak Bilal. Kita ni kena ikut arahan. Kalau dia kata tunggu, kita kena tunggu. Lagipun
Tok Sidang kan sudah tiada. Kita tak boleh sembarangan buat keputusan." Jawab Tok Imam tenang. Wajah sabarnya tersimbah manis dalam renta.

"Habis, nak tunggu berapa lama? Hari dah makin tinggi. Apa kata kita tangguhkan sahaja. Esok lusa kita kumpul semula." Cadang Pak Bilal. Rimasnya menjelira. Selipar jepun yang tersarung di telapak dikais-kais ke tanah. Namun, Tok Imam hanya senyum menggula membuatkan bilal tua itu menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Tok Imam meninggalkan Pak Bilal dan menghampiri khemah perhimpunan. Sebaik sahaja punggungnya bertemu kepala bangku, sebuah lori besar tiba di perkarangan balai raya. Suasana riuh-rendah dari tadi senyap tiba-tiba. Kanak-kanak tercungap-cungap membuang hengas yang tersisa. Leher-leher mereka memanjang persis unta. Semua anak mata kini tertumpu pada lori yang baru tiba.

Kelihatan beberapa ahli jawatankuasa bertungkus-lumus meletakkan tangga di pintu lori. Sebaik sahaja pintu bercat merah itu terbuka, bau harum semerbak mula menyerbu deria. Dari atas tempat duduk pemandu muncul sesusuk tubuh yang ditunggu-tunggu, melambai-lambai persis ratu kebaya yang baru menerima pialanya. Orang kampung bertepuk tangan sebaik sahaja telapak kasut tingginya mencecah tanah. Seketika itu juga, kaca mata hitam yang tersangkut di atas jemala ditanggalkan lalu disepitkan di celah-celah dada yang separuh terbuka. Saat itu, kedengaran beberapa suara kecil pemuda-pemuda yang mengadu kesakitan kerana dicubit isteri-isteri mereka.

Ya, itu Kak Ros. Perempuan separuh usia yang masih bergetah. Perempuan nombor satu Kampung Melangit yang dinanti-nanti kemunculannya. Sejak berpergian ke kampung seberang, baru hari ini wajahnya bersua.

"Tolong bawakan semua barang saya ke dalam balai." Arah Kak Ros lembut sambil hujung telunjuknya ditujukan ke arah belakang lori. Mendengarkan itu, bergegaslah pemuda-pemuda kampung memunggah barangan yang dibawa. Kemudian, langkahnya diatur kemas menuju ke hadapan khemah, berhadapan dengan orang-orang kampung yang sudah siap siaga menunggu dengan begitu lama.

Setelah mencicip air asam jawa dan berdehem dua kali, Kak Ros mula bersuara.

"Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam semua!" Tutur Kak Ros bangga. Salamnya disambut dengan satu jawapan yang sangat panjang dan bertenaga.

"Saya memohon maaf kerana telah membuatkan anda ternanti-nanti. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana telah bersusah-payah menyambut saya sebegini rupa. Maklumlah, sejak pemergian arwah suami, tugas Tok Sidang terasa sangat berat pada saya. Justeru saya perlukan masa." Ada getar kedengaran dari hujung suaranya.

"Pasti kalian sangka yang saya akan lari dari sini bukan? Tidak. Saya tidak akan pernah meninggalkan kalian. Jangan bimbang. Selepas ini saya sudah punya rancangan untuk mengembalikan keyakinan orang luar kembali berniaga di kampung kita. Namun saya amat mengharapkan sokongan daripada anda semua. Anda mahu sokong saya?!" Bicara Kak Ros disambut sorakan penuh minat daripada orang kampung. Rata-rata yang hadir tidak sabar menanti apakah hadiah istimewa yang dibawa dari tokoh perempuan di hadapan mereka. Sambil telinga mendengar bicara, alur mata libang-libu memerhatikan panorama pemunggahan barang dari lori ke balai raya. Hati mereka ditujah ragu dan tanda tanya.

Usai menutup rencana dan memberikan arahan, Kak Ros melepas lelah di atas sofa baldu di tengah khemah. Wajahnya disejukkan dengan kipas tangan buatan Cina. Sambil santai memerhatikan gerak kerja orang kampung bergotong royong, anak matanya tertangkap wajah renta yang duduk berteleku di bangku kayu tidak jauh dari sofa mewahnya.

"Eh, Tok Imam penat nampak." Tok Imam terkejut dengan suara Kak Ros yang lantang. Zikirnya terbantut. Terkulat-kulat orang tua itu bangkit. Tubuh Kak Ros didekati dengan langkah terbata-bata.

"Maaf Ros. Aku dah tak larat nak angkat-angkat semua. Biarlah anak-anak muda sahaja yang buat ya." Jelas Tok Imam. Wajahnya menikus ke lantai khemah. Jemarinya kembali mengira butir tasbih. Kak Ros terus-terusan mengipas dirinya. Wajah Tok Imam dijeling separuh mata.

Dengan sinis dia berkata, "kalau dah tak larat, buat apa datang. Kan elok duduk di surau sahaja."

"Aku ingat kau dah berhenti Ros. Mujurlah kau pulang. Orang kampung dah tertanya-tanya. Tak tahu apa aku nak jawab." Ujar tok imam membelok cerita.

"Jadi, Tok sukalah dapat ganti saya?" Balas Kak Ros. Kaca mata di celah dada diangkat dan disarung separas mata. Kipas di tangan ditambah ayunannya.

"Astaghfirullah! Tidaklah sampai ke situ Ros..." Belum selesai tok imam menghabiskan bait, katanya dipintas.

"Mengakulah Tok. Entah-entah Tok dah lama tunggu saya lari kan. Sejak arwah ada lagi saya nampak Tok macam tak suka kami jadi ketua di kampung ni. Ada sahaja salahnya."

"Ros, aku tegur mana yang salah. Kalau betul tidaklah aku kisah." Tok Imam bersuara sebelum berpaling untuk pergi.

"Eh, kejap Tok. Alang-alang dah jumpa, saya nak jemput Tok datang majlis saya minggu depan." Wajah Kak Ros tiba-tiba berubah rona. Suaranya berisi cahaya membuatkan Tok Imam memberhentikan langkahnya.

"Kau nak kahwin ya Ros?" Tok Imam kelihatan berminat.

"Ah Tok ni. Usia macam saya siapalah yang sudi." Suara manja Kak Ros menggigit halwa telinga. Tok Imam geli-geliman jadinya.

"Begini Tok. Gotong-royong hari ini bukanlah suka-suka saya buat melainkan khas untuk majlis minggu depan. Tengok tu, pentas dan khemah semua saya beli baru. Saya pasti nanti ramai pelabur dan peniaga akan datang ke majlis saya. Tok-tok sidang dari desa sekitar juga pasti datang. Lebih menarik, tok-tok imam dan bilal mereka juga saya undang. Jadi, Tok mesti datang." Jelas Kak Ros panjang lebar. Dia sudah menduga kalau orang tua di hadapannya itu pasti tertidur saat dia menyampaikan ucapan alu-aluan beberapa waktu tadi. Dia masak benar dengan ragam imam tua itu.

"Saya nak buat satu majlis peragaan fesyen untuk anak gadis dan kaum ibu. Fesyen Islam lagi. Sebab tu saya bawa berkayu-kayu kain ela dari pekan." Tok Imam memasang telinga. Kalimah Islam yang terpacul membuat hatinya teruja ingin bertanya. Tetapi belum sempat membuka mulut, Kak Ros sudah menyambung cerita.

"Saya yakin Tok Imam pasti suka. Saya ingin lihat wanita Islam di kampung kita ini berpakaian sopan dan menjaga tatasusila selaras tuntutan agama." Saat itu, angin yang bertiup kencang menyingkap selendang nipis yang menutup sebahagian rambut Kak Ros menampakkan sanggul bak bonggol unta. Menyedari hal itu, lekas-lekas Kak Ros menutup kembali kepalanya yang terdedah. Sebuah senyuman kelat dihadiahkan kepada Tok Imam.

"Insya-Allah. Assalamualaikum." Tok Imam mengakhiri perbualan dengan ucap salam dan berusaha memenuhi undangan perempuan itu. Tok Imam tinggalkan perkarangan balai tanpa menghiraukan riuh-rendah orang ramai yang sedang ralit bergotong royong di situ.

Seminggu sudah berlalu. Purnama meninjau bumi yang sedang gigil membeku. Hujan yang berlari terjun siang tadi membuatkan malam diselubungi dingin. Tetapi hal itu sama sekali tidak menghalang orang ramai daripada menghurung legar balai. Malam ini malam penting untuk Kak Ros. Majlis pertunjukan fesyen Islam yang dirancang bakal berlangsung penuh gilang-gemilang.

Usai pengerusi majlis membuka acara, lagu tema Kampung Melangit berkumandang merdu. Pasukan koir yang diundang khas dari Sekolah Kanak-kanak Desa Melangit tampak begitu bersemangat. Apatah, setelah mendapat tepukan gemuruh daripada ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut. Ternyata, lampu limpah yang berwarna-warni berjaya menghidupkan malam menjadi indah bergemerlapan.

Kini, acara dinanti sudah tiba. Kak Ros yang duduk di hadapan khemah penonton debar-debar menanti. Seiring gemersik gamelan, dari belakang pentas yang lebar, keluarlah berbaris-baris anak dara memperagakan fesyen-fesyen Islam buatan tangan Kak Ros. Ada manik. Ada renda. Kacukan kebaya dan gaun Inggeris berbelah di kiri kanan bahu dan pangkal peha mengundang sorakan pemuda-pemuda. Sulaman khat jawi di dada nyata mempesona. Rata-rata orang kampung memuji-muji kebijaksanaan Kak Ros dalam mereka fesyen unik sebegitu rupa. Menurut mereka, hasrat Kak Ros memperjuangkan pakaian budaya selari agama patut disanjung dan diangkat menjadi ikon di peringkat negeri mahupun negara.

Dalam celahan orang ramai, Tok Imam kelam-kabut. Ketayap yang bersimpuh di pangkal kepala senget sebelah. Dia tidak tahu ingin bagaimana. Hendak duduk tidak betah, hendak bangun takut dipersalah. Pak Bilal yang dari tadi memerhati, menghampiri.

"Kenapa Tok?" Bisik Pak Bilal.

"Aku rasa nak muntah. Ayuhlah kita pulang. Kita tinggalkan majlis." Usai bersuara Tok Imam nekad. Dia bangun dan menjauh ke belakang. Beberapa jemaah yang hadir melopong sebaik sahaja terlihat kelibat Tok Imam. Mungkin tidak menyangka bahawa orang tua itu sudi hadir malam itu.

"Majlis belum selesai. Kasihan Kak Ros. Dia saudara seagama kita." Pujuk Pak Bilal.

"Kalau dia tahu agama, tak dibuatnya majlis begini. Fesyen itu seni. Islam suka seni kerana seni itu indah. Kalau yang indah itu sudah terdedah sedangkan Islam mencegah, apakah tidak mengundang musibah?" Tok Imam berbasa basi membuatkan pak bilal sekali lagi menggaru-menggaru kepala yang tidak berkutu.

Majlis selesai. Orang kampung sudah lama bubar. Namun, Kak Ros masih berembun dalam balai sambil mengusap-usap kebaya dan gaun yang tersidai di atas ampai. Berbekalkan sekeping cermin, dia mengacu-acukan pakaian yang direka. Padanya, tidak dapat pakai, dapat membayang pun sudah lega. Dalam benaknya terbayang emas yang bakal diraih di samping kepercayaan orang kampung terhadap kepintaran pengurusannya.

Kala azan Subuh memesrai tanah Kampung Melangit, Kak Ros terjaga. Sungguh dia tidak sedar bila dia terlena di timbunan pakaian-pakaian Islam rekaannya. Dia ingin pulang. Saat melangkah keluar, dia hampir-hampir terpijak sekeping sampul surat bertaip namanya. Besar-besar. Hitam pekat tintanya.

Kak Ros buka sampul laju-laju. Ada dua helai kad cantik bertulisan khat Islam yang gagal dia tangkap maksudnya. Namun, pada helaian ketiga ada tercalit tulisan berbahasa ibunda. Kak Ros duduk di pangkal tangga sambil membaca.

"Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang."

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

"Surah an-Nur ayat tiga puluh satu." Kak ros menghabiskan bacaannya dengan dada sebak. Ada butir salju yang tiba-tiba membening di pangkal hati. Tahi mata kering yang belum sempat dibersihkan kembali basah.

Tanpa sedar, kokokan ayam jantan menyambut kepulangan Kak Ros ke rumahnya.


MHT: Klik untuk paparan yang lebih jelas..

3 Komentar:

Nothing Special berkata...

Salam..wah semakin terpesona dengan karya saudara.semoga terus berjuang.mungkin boleh cuba menghantar ke media cetak..

Danial Farhan @ Humair berkata...

Sungguh bersatira ye. tahniah buat Hafizi..

Nooraffida Md Kamal berkata...

Bila us fizi berbasa basi, akal mula mencari maknawi.

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails