Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Hikayat Laser Paling Popular

Selasa, 28 Disember 2010

1 Komentar
3-0!! Alhamdulillah. Gegak gempita seisi buana. Langit malam Kampung Harimau gemuruh dilanggar garuda.

"Syabas pasukan harimau." Jawapan yang bernas untuk sebuah aksi yang memberansangkan dan ditunggu-tunggu. Tidak sia-sia penyokong bersorok dan bertempik di gelanggang. Tidak ketinggalan peminat-peminat Pak Belang yang melompat keriangan di rumah dan warung-warung tepi jalan.

Kejutan tiba-tiba berlaku apabila seorang bangsawan yang terkenal di Kampung Harimau naik angin apabila sebuah pancaran cahaya bernama ' sang laser' dihalakan ke arah padang atau lebih tepat lagi hinggap di wajah cemas penjaga gawang negara seberang.

Merah padam wajah baginda.

Tiba-tiba 'sang laser' tersebut dikhabarkan menjadi penyebab kekalahan pasukan lawan. Kerana perlawanan diadakan di tanah air Pak Belang, maka pelakunya disabitkan (Ala-ala kes pembunuhan di mahkamah) ke atas rakyat kampungnya. Kasihan.

Arakian, masyhurlah 'sang laser' untuk satu malam dan malam-malam berikutnya. Mungkin akan terus bersipongang di sanubari rakyat untuk berkurun-kurun tahun akan datang.

Lalu, bersoraklah orang Kampung Harimau menuntut keadilan. Kata mereka, "bukankah di negara kita ini juga terdapat ramai orang seberang?" Mendengarkan itu, terpinga-pingalah hulubalang yang dilantik untuk mencari punca.

Kata hulubalang, "tidak mengapa tuanku. Akan hamba periksa selagi mampu. Kita tunggu kebenarannya kala rombongan pasukan Pak belang tiba ke tanah seberang beberapa hari dari sekarang." Sultan tunduk setuju. Rakyat jelata akur membisu.

Malam larut. Rakyat kabur bersama sorak-sorai keriangan. Gelanggang yang tadi bagai perang kembali sunyi dan lengang. Subuh menjelang. Azan berkumandang membawa sama rahmat Tuhan. Imam dan bilal saling memandang. Masjid kosong melohong.

Kata bilal, "berapa lama mahu ditunggu? Mungkin kita harus bersolat di gelanggang, baru ramai akan datang." Pak Imam senyum. Sayugia, takbir berseru beberapa waktu. Al-kisah...

MHT: Baca lagi kisah di gelanggang Pak belang (klik sini)

Kebangkitan Skuad Malaysia

Sabtu, 25 Disember 2010

1 Komentar
Boleh berjayakah pasukan kita?
Sudah sediakah skuad kita?
Tahu serang atau bertahan sahaja..?

Mungkin banyak lagi persoalan dan cakap-cakap kosong bersiulan di bibir masyarakat malaysia apabila skuad bola sepak Negara berjaya menjejakkan kaki ke gelanggang akhir Piala AFF Suzuki 2010.

Persoalan dan impian kini sudah hampir jadi kenyataan. Menyaksikan Malaysia beraksi di padang rumput Vietnam, cukup membuatkan saya tertanya-tanya, adakah pasukan kita hanya mampu bertahan dan sudah cukup berpuas hati dengan kemenangan di Malaysia sebelumnya?

Ini pentas akhir. Indonesia tidak mungkin akan berdiam diri walaupun ramai yang membuat spekulasi. Kebangkitan skuad mereka sejak puluhan tahun lagi dalam segenap aspek kehidupan samada rencah kemiskinan, penjajahan, pendidikan, seni dan semangat kemerdekaan jelas membuktikan mereka boleh jadi apa sahaja dalam keadaan yang kritikal dan rencam.

Lihat sahaja isu demonstrasi dan piket memprotes ketidakadilan pembantu rumah yang didera muncul saban hari dalam media massa. Indomee, jenama mee segera laris di tanah-tanah Arab termasuk Mesir dan Mekah. Isu hak pemilikan batik yang dicanangkan dengan tegas kepada dunia dan banyak lagi cukup membuktikan kesungguhan mereka dalam menaikkan nama negara mereka di mata dunia.

Mereka tidak cakap kosong.

Justeru, pasukan kita harus bagaimana? Anak muda kita perlukan apa? Generasi kita mesti bagaimana dalam menghadapi fenomena ini?

Ini bukan tentang bola semata-mata. Tetapi tentang semangat dan matlamat bangsa. Perang psikologi ini mesti kita hadapi.

Bersediakah skuad kita?

Hujan Dari Malaysia

Jumaat, 10 Disember 2010

1 Komentar

Bukan mudah.
Hampir 2 minggu saya mencumbui udara dan memesrai iklim khatulistiwa, baru hari ini saya punya masa dan semangat untuk menyuburkan kembali tapak blog ini untuk tatapan pembaca. [Tidak pasti berapa ramai yang membelek dan membaca persuratan digital saya di sini]

Matahari yang bersinar cemerlang, panas dan terik menyambut saya dan sahabat senior [Humair] ke bumi tercinta Malaysia 30 November lalu. Cuaca yang begitu kontra dengan bumi Mesir yang sedang diulit hawa dingin membuatkan tubuh terasa janggal.

Seminggu saya berlawan dengan waktu. Seminggu akal saya 'keliru' untuk menyesuaikan diri dengan masa dan keadaan. Seminggu saya berlawan dengan diri sendiri demi menyahut sebuah entiti bernama 'semangat'. Seminggu saya cuba memadam rindu dengan bumi Mesir.

Selepas 3 tahun tidak pulang, hari ini tidak boleh tidak saya harus menjerit dan berkata, "aku sekarang berada di Malaysia!!"

Babysitter.
Ya, saya sudah kerja; jika ada yang bertanya. Menjaga anak buah dan membantu kerja-kerja rumah adalah latihan dan tanggungjawab sambilan saya sekarang sebelum menjawat apa-apa jawatan yang dipohon. Bukan mudah. Kesabaran tahap kritikal amat diperlukan. Tersalah strategi emosi anda akan berubah. Tetapi jika anak-anak ini pulang ke rumah ibubapa mereka, saya akan rasa sunyi. Aduhai...(**.) Tolong saya!

Musim Hujan.
Sekarang musim hujan. Situasi yang anda akan tunggu-tunggu kala bergelandang di perlembahan Nil. Jaga kesihatan adalah perkara utama harus saya dahulukan. Tetapi keutamaan solat dan dakwah tidak harus saya ketepikan. Dakwah untuk diri sendiri dan keluarga. Malah masyarakat amat memerlukan saya. Tolong ingatkan saya!

Justeru, kepada sahabat-sahabat di Mesir, bersedialah. Masyarakat sedang menanti anda. Terima kasih kepada semua yang telah menjadi sahabat susah dan senang sepanjang keberadaan saya di Bumi Mesir. Teruskan usaha dan selamat berjuang!

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails