Pada suatu hari, mundar-mandirlah seorang lelaki di dalam rumahnya. Fikirannya kusut. Dia kebosanan. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halamannya dan mengembara. Demi melihat dunia luar, dia terpaksa melalui hutan belantara memandangkan kampung kelahirannya itu amat jauh dari kesibukan.
Arakian, sewaktu dalam perjalanan, lelaki tersebut kelelahan. Mentari terik di atas kepala. Keringat memercik di seluruh tubuh. Lalu, dia berbaring di bawah sepohon pokok yang rendang. Saat mendongak, terlihatlah dia buah-buah yang memerah di atas pohon. Akan tetapi setelah diamati, tidaklah diketahui nama buah-buahan itu. Perutnya yang bulat sudah berkeroncong. Lalu, dicarilah kayu ataupun buluh buat mengait buah-buahan yang sedang meranum itu.
Namun, setelah agak lama mengait, dia merasakan buah-buahan tersebut makin lama makin meninggi. Semakin dikait semakinlah tinggi. Dia keganjilan. Dia mencuba lagi. Kali ini dipanjatnya pohon yang tidak diketahui namanya itu. Tetapi keadaan tetap sama. Semakin dipanjat semakin tinggi dahannya. Tubuhnya kepenatan. Lantas, lelaki itu turun dengan penuh kehampaan. Akhirnya, di bawah pohon dia terduduk kelaparan.
Saat itu, jemarinya tiba-tiba tersentuh sebuah bungkusan. Dia menoleh pantas. Demi terlihatkan bungkusan itu, tawanya pecah bercempera. Barulah dia tersedar yang dia sudahpun membawa bungkusan berisi bekal-bekal makanan di dalamnya."Bodohnya aku." Fikirnya. Tanpa menunggu lama, dia membuka bungkusan tersebut dan menjamu kesemua makanan dengan lahapnya.
Sedang asyik menghabiskan makanan yang tersisa di hujung jari, sebiji daripada buah-buahan yang merah tadi jatuh tepat di hujung kakinya. Memandangkan tubuhnya yang sudah kekenyangan, dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja buah itu tergolek-tergolek di atas tanah. Namun, semakin dibiarkan makin banyak pula yang gugur mencium bumi. Dia terkejut keriangan.
"Tadi tak mahu, sekarang tak malu!" Getus hatinya. Lalu dengan perut yang membulat, dia berusaha bangkit mendapatkan buah-buahan tersebut. Kala keinginannya berkobar-kobar, dia terdengar bunyi ngauman yang menyeramkan. Tanpa diduga, tidak jauh dari situ, kelihatan sesusuk Pak Belang sedang mengintai. Lelaki itu terkesima. Tubuhnya menggeletar. Tidak menunggu lama, dia membuka langkah seribu.
Bermulalah episod kejar-mengejar di hutan belantara yang luas itu. Dia menjerit namun suaranya kegalauan diserap tanah dan pohonan rimba. Bagai diseru, Pak Belang tetap melunaskan misinya. Lelaki itu pula terus meredah segala apa yang ada di hadapannya. Kala itu, akalnya tidak langsung terfikirkan bekal yang dibawa. Yang dia tahu ingin menyelamatkan nyawanya. Nyawanya!
Tanpa disedari, lelaki itu tiba di sebuah perigi usang. Airnya hitam dan jauh ke dalam. Pak Belang masih di belakang. Cemas menjelira. Dalam keterpaksaan, dia terus melompat ke dalam dan bergantung kepada seutas tali yang bersambung di takal perigi.
Sekarang, lelaki itu terhuyung-hayang di tengah perigi. Pandangannya kabur. Belum sempat reda, kedengaran di bawah perigi yang gelap itu, bunyi kocakan air yang amat kuat. Cuak! "Oh, apalah agaknya yang bersarang di bawah ini!" Kata hatinya. Tiba-tiba melintas seekor tikus hitam di atas tali tempatnya bergantung. Dia kegelian. Tanpa diduga, tikus itu menggigit-gigit tali tersebut. Kemudian, muncul pula seekor tikus putih, jua melakukan hal yang sama. Sekejap hitam, sekejap putih. Sekejap hitam, sekejap putih. Begitulah perihalnya silih berganti hinggalah tali tadi kelihatan hampir putus. "Kurang akal punya haiwan." Marah si lelaki tadi. Si tikus menjeling sambil berkata, "Haiwan mana ada akal!" Kata si tikus di dalam hati.
Lelaki itu kini benar-benar dalam dilema. Di atas, ngauman Pak Belang masih menggila. Di bawah pula entah apalah yang bakal jadi pemangsa. Di sini, tikus pula buat angkara. Dalam keharuan, dia mendongak melihat langit. Tiba-tiba (maaf, kisah ini terlalu banyak babak suspennya) muncul di atas kepalanya seekor lebah membawa madu. Al-kisah, sedang tergedik-gedik, terjatuhlah setitik madu dari punggungnya si lebah; tepat mengenai lidahnya. Badan yang sedang menggeletar tiba-tiba rasa nyaman. Keluh dan kesah terus hilang. Ketakutan dan bahaya bagaikan terlupa sekelip mata. Nikmat!
Nak tahu sambungannya? Nanti dulu. Cuba perhatikan petunjuk yang ada:
1. Lelaki: Manusia
2. Kampung halaman: Tempat atau tabiat asal manusia
3. Hutan belantara: Kesibukan dunia
4. Buah-buahan yang merah: Perihal dunia yang sering kita kejar meski tidak tahu baik buruknya
5. Bekalan yang dibawa: Harta yang dimiliki
6. Pak Belang: Maut yang sentiasa mengejar manusia
7. Perigi usang: Dunia yang sudah renta
8. Tali bergantung: Hayat manusia yang dipinjamkan Tuhan
9. Tikus hitam dan putih: Waktu malam dan siang yang silih berganti
10. Kocakan di bawah perigi: Alam kematian yang pasti menanti
11. Lebah dan madu: Nikmat dunia yang bisa membuat manusia lupa akan tujuannya
Sekarang, anda tahu kesudahannya bukan? Ceritakanlah pada saya..

0 Komentar:
Catat Ulasan