Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Bengkel Penulisan Pertama Dalam Sejarah

Sabtu, 31 Julai 2010


Dalam menghitung hari-hari terakhir di bumi Mesir ini saya menemui kembali kegemaran yang telah suram sebelum ini. Menulis! Lalu, saya bangunkan blog ini demi mengasah kembali bakat penulisan Bahasa Melayu yang telah lama menjadi taman dalam kalbu. Maklumlah diripuhi bahan-bahan bacaan berbahasa asing kadangkala mengurangkan [sedikit] penguasaan bahasa asli budaya kita.

Menyedari hakikat dunia teknologi yang kian sibuk dengan simpang-siur informasi, saya cuba menilai kembali keberadaan bahan penulisan bercetak dalam dunia siber hari ini. Ternyata, keripuhan manusia bersipongang di dunia maya dan bergelandang di laman-laman sesawang seperti Facebook [FB] tidak pernah menenggelamkan dunia tulisan dan percetakan.

Realitinya, bahan bercetak masih relevan, lama dan panjang jangka hayatnya. Lihat sahaja manuskrip yang bertahun-tahun dicetak tetap boleh dirujuk oleh generasi hari ini dan akan datang, insya-Allah. Jawapan dan keresahan yang bertandang di cepu fikir, akhirnya saya temui dalam kalam bernas Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak, Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.


Penerangan beliau dalam bengkel penulisan pada 23 Julai 2010 di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah, Mesir pasti mengujakan hati-hati yang jinak dengan dunia penulisan. Salah seorangnya adalah saya dan inilah bengkel penulisan yang pertama dalam sejarah hidup saya!=)

Di sana, saya temui sebilangan besar mahasiswa/wi Azhar daripada pelbagai latar belakang kuliah yang berbakat dalam bidang ini. Betapa kerdilnya saya saat itu. [sudahlah tubuhku tak sebesar mana...] Mengenali wajah-wajah yang bersemangat dalam kumpulan 3 membangkitkan lagi aura untuk saya terus menulis dan berusaha memugar bakat yang ada. Tahniah kepada para peserta yang tidak jemu mencurahkan idea. Moga nanti, ada antara anak muda yang berada di bengkel tersebut menjadi penulis tersohor dan berkaliber. Ingat, menulis bukan sekadar suka-suka tetapi ada 'sesuatu' yang dapat kita kongsi dan fikirkan bersama. Apapun dengan usaha!

MHT: Gambar di atas adalah kumpulan saya, kumpulan ke-3. Dari kiri Iqbal, saya, Meor, Hafiz, Ramadhan selaku ketua (yang saya tersilap memanggilnya Awang sedangkan itu nama ayahnya!=) Fathi, Dhiyauddin, Zaleha [fasilitator dari UM] dan Hilwa. Walaupun tak lama, tetapi perkenalan atas dasar ilmu sungguh menyeronokkan. Apalagi, jom menulis!

0 Komentar:

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails