Follow by Email

Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Kapsul 2: Manusia Macam Robot?

Selasa, 24 Ogos 2010


Alhamdulillah. Beruntung bulan Ramadan kali ini. Selesai 4 rakaat terawih, dapat saya mendengar tazkirah dan peringatan ringkas daripada adik-adik junior, mahasiswa baharu Negeri Sembilan yang baru sampai ke Mesir awal Ogos lalu. Pelbagai isi penting dan cerita dapat dikumpulkan saban hari. Seronok melihat kepetahan, keberanian dan kecerdikan pucuk-pucuk muda ini dalam mewarnai kebun-kebun dakwah berbanding saya yang sudah lama meranting di bumi Anbia' ini.

Sesuatu yang menarik yang tidak mungkin saya lupa adalah tentang solat. Ya, memang tajuk sedimikian biasa singgah ke deria kita tetapi sering kali ia menjadi seperti angin. Melayang, berterbangan bebas, bertiup masuk dan keluar dari telinga kanan dan kiri. Sungguh.

Cerita adik tadi, seorang warga negara Jepun pernah mengajukan soalan tentang solat kepada seorang mahasiswa Malaysia yang menuntut di sana. Lebih kurang beginilah bunyi soalannya.

"Kenapa orang Islam mesti bersembahyang?" Soal Orang Jepun itu.

"Kenapa pula tuan bertanya?" Soalan berbalas soalan. Biasalah, kita kan selalu berhadapan dengan orang yang suka bertanya. Jadi, kenalah dipastikan samada si penyoal memang ingin tahu atau sebenarnya sengaja nak menguji.

"Bukankah sembahyang itu membuang masa. Banyak lagi kerja yang patut kita lakukan selain daripada itu." Balas warga Jepun tadi. Mahasiswa itu mula memerah otak mencari jawapan yang sesuai dan tepat.

"Orang Islam, memang begitulah suruhannya." Ringkas jawapannya. Tetapi hati kecil kurang nyaman dan selesa. Jawapan yang diberi dirasakan belum cukup meyakinkan.

(Kemudian, tidak dapatlah dipastikan akan reaksi warga Jepun tersebut kerana tidak sampai ceritanya ke telinga saya=)

Al-kisah, dengan rasa rendah diri, mahasiswa tadi meluaskan skop pemikirannya yang belum dalam tentang agama dan memecahkan benteng kedaifan dengan berjumpa seorang ahli agama atau masyhurnya digelar ustaz. Setelah diceritakan babak 3 minit tadi kepada ustaz tersebut, guru itu pun tersenyum. Mahasiswa tadi memandang wajah tulus itu dengan rasa ingin tahu yang memuncak.

Kata ustaz itu, "Nak, kalau yang menyoal itu orang Islam, bolehlah dijawab dengan dalil Quran mahupun Hadith. Andai mereka kurang faham, sekurang-kurangnya mereka masih lagi boleh terima dan akur."

"Tetapi yang bertanya ini bukan daripada orang kita dan tidak tahu menahu tentang agama. Justeru kaedah dan uslub dakwahnya juga berbeza." Terang Ustaz lagi.

"Maksud Ustaz?" Mahasiswa itu meminta kepastian. Injap akalnya simpang-siur menyerap makna. Ustaz menyeluruhi tampang di hadapannya. Dengan penuh hikmah dia menjelaskan.

"Begini. Kalau dalil Quran dan Hadith itu namanya dalil naqli, sesuatu yang sudah termaktub dan ditetapkan oleh Allah dalam kitabnya. Adapun uslub kedua dan berbeza tadi adalah dalil 'akli, sesuatu yang boleh diterang, dibincang dan dibayangkan oleh akal manusia."

"Berbicara tentang solat seharusnya juga diterangkan melalui kaedah yang kedua supaya manusia lebih senang dan tertarik untuk menerima."

"Bagaimana Ustaz?" Pemuda tadi sudah tidak sabar menanti. Kerut di dahinya bertambah seinci.

"Orang Jepun dewasa ini amat mahir dan kreatif dalam mencipta alatan canggih seperti robot dan mesin. Robot dan mesin sampai masanya perlu kepada bengkel untuk diservis dan dibaiki agar alat-alatnya tidak rosak dan sentiasa berfungsi. "

"Kita perlu ingat bahawa struktur robot dan mesin-mesin tersebut tentunya kompleks dan rumit untuk difahami. Justeru, antara robot dan manusia, mana satukah lebih kompleks dan rumit binaannya untuk dikaji?"

"Mestilah manusia ustaz." Jawab mahasiswa tadi.


"Nah, sekarang kita lihat. Jika robot yang canggih pun perlu diservis maka manusia yang seribu kali canggih ini mestilah lebih daripada itu. Jiwa, akal dan tubuh badan, semuanya perlu diservis dan direhatkan agar kompenannya sentiasa aktif dan berfungsi."

"Justeru Islam mengajarkan kaedah solat sebagai "bengkel' untuk manusia membaiki semua kompenan tersebut. Sebagai contoh selepas bangun daripada tidur, enjin tubuh kita dipanaskan dengan solat di subuh hari. Penat bekerja atau belajar di tengah hari dan petang, sekali lagi tubuh diservis dan direhatkan dengan solat Zuhur dan Asar dengan waktu tersendiri. Begitu juga dengan bakinya iaitu Maghrib dan Isya' di malam hari."

"Hasilnya, tubuh yang sentiasa diserviskan akan terus cergas dan aktif untuk menjalankan sebarang aktiviti. Walaupun tanggungjawab solat merupakan ibadah yang tidak boleh dipersoalkan, tetapi dengan jawapan sebegini pasti membuatkan orang Jepun atau sesiapa sahaja yang bertanya akan lembut hati, insya-Allah." Jawab ustaz panjang lebar.

Mahasiswa tadi mengangguk-angguk tanda setuju. Dalam benaknya timbul rasa kagum terhadap keistimewaan solat yang Allah anugerahkan kepada umat manusia. Pastinya, jika dikaji lagi tentunya lebih banyak hikmah dan rahsia yang tersembunyi.

Di pasaran sekarang berlambak buku dan kitab yang menerangkan tentang rahsia solat. Malah, penemuan sains dalam solat juga telah banyak dihuraikan oleh para doktor dan saintis. Cuma kita sahaja yang jarang hendak mencari, kan?

MHT: Dialog dan cerita tadi saya ubahsuai daripada tazkirah asal.

0 Komentar:

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails