"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa;
gerak hati ilham Sang Pencipta."

Benarkah Minyak Seri Murni dan Tepung Cap Sauh Mengandungi Bahan Berunsurkan Babi?

Rabu, 1 Februari 2012

0 Komentar


Dua hari lalu, gegak gempita isi rumah saya. Kertas fotokopi yang muncul entah dari mana bertukar tangan silih berganti. Satu artikel mengejutkan kami.

Minyak Seri Murni Mengandungi racun peluntur yang mangakibatkan barah?
Tepung Cap Sauh dan Cap Kunci berunsurkan babi?

Subhanallah! Berita itu benar-benar menyentak jantung. Sementelah, itulah antara barangan yang berbulan-bulan hadir dalam dapur rumah kampung kami dan telah lama mendarah daging dalam tubuh kerdil kami.

Yang paling ripuh adalah emak. Dia yang selama ini mendambakan sisa hidupnya untuk keluarga dan berhempas pulas mengisi tenggorok serta lohong perut kami, jadi gusar gara-gara berita gempar itu. Saya yang baru pulang dari tempat kerja dan belum hilang hengas, terus jadi bingung. Saya telan liur.

Kala malam melarut, akal terus ligat mencari kebenaran. Ruang sesawang Halal JAKIM saya redah tetapi jawapannya belum cukup memuaskan hati. Lantas, tampang sahabat karib muncul dalam minda. Lalu nombor bimbitnya saya dail untuk bertanyakan duduk pangkal cerita sebenar. Usai berbasa-basi, jawapan masih kabur dan meragukan. Tambahan, berita itu tidak pula keluar dalam akhbar dan televisyen. Musykil.

Arakian, berita itu terus larut dalam semalam.

Hari ini, laman sesawang yang luas sekali lagi saya terobosi. Alhamdulilah, sekarang saya dan keluarga lebih yakin dan pasti. Ternyata, tekaan kami bahawa artikel tersebut bermotif dengki dan politik adalah munasabah. Hakikatnya, pihak Jakim telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kepalsuan berita tersebut.

Sekarang, kami tidak ragu lagi. Minyak Seri Murni, Tepung Cap Sauh dan Cap Kunci sudah diiktiraf sijil halalnya oleh JAKIM. Sesungguhnya, Malaysia semakin yakin untuk menjadi negara hub halal di Asia. Malahan Malaysia semakin berusaha keras memastikan agar logo halal kita mendapat pengiktirafan di peringkat dunia. Maka, tidak mustahil andai ada pihak yang tidak bertanggungjawab turut berusaha keras untuk memastikan umat Islam menjadi musykil, ragu-ragu dengan perihal syubhah.

Ingatlah firman Allah dalam Surah At-Thariq ayat 5 dan 6 :

"Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, Wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya)."

Imam Bukhari dan Muslim juga pernah meriwayatkan sebuah hadis  

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: 

"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang / jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang / jelas,  

dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran, yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.  

Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya, dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. 

Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. 

Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan 
dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. 

Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. 
Ketahuilah ia adalah hati."

Peribahasa dan Perumpamaan Dalam Islam

Isnin, 2 Januari 2012

0 Komentar

Daripada Abu Musa al-Ash'ari r.a katanya, sabda Rasulullah SAW; 

"Bandingan mukmin yang membaca al-Quran seperti utrujah [sejenis buah limau], baunya harum dan rasanya elok; bandingan mukmin yang yang tidak membaca al-Quran seperti sebiji tamar, tidak mempunyai bau dan rasanya elok lagi manis.

Bandingan munafik yang membaca al-Quran seperti raihanah [kemangi/minyak wangi], baunya harum dan rasanya pahit. Dan bandingan munafik yang tidak membaca al-Quran seperti hanzalah [timun pahit], tidak mempunyai bau dan rasanya pahit."

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, sabda Rasulullah SAW;

"Sesungguhnya, orang yang tidak ada dalam perutnya sesuatu daripada al-Quran adalah seperti rumah yang runtuh [baitil kharib]."

Hadis riwayat Tirmizi, [Hadis hasan Sahih]

Kad Pengenalan PM

Rabu, 21 Disember 2011

0 Komentar

MHT: Pernahkah anda lihat gambar ini? Anda kenal tokoh-tokoh ini? Sekarang senaraikan pembangunan yang telah mereka lakukan?

Perlukah Ustaz Kelakar?

Sabtu, 3 Disember 2011

0 Komentar
Golongan ustaz selalu diterjemahkan sebagai seorang yang alim, berkopiah atau bersongkok, berjubah atau berbaju melayu, kaki masjid dan pandai berbahasa Arab serta bersuara lunak ketika mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dan hadith.

Begitu juga pandangan umum terhadap golongan ustazah.

Apabila stesen TV al-Hijrah memperkenalkan Ustaz Don dalam siarannya, ramai yang memuji dan memilih untuk menonton.

"Ustaz itu baguslah."

"Kenapa?"

"Sebab dia kelakar."

"..."

Perbualan itu juga sering kali kedengaran tatkala sesebuah program ceramah itu selesai. Bagi umat Islam di Malaysia, ceramah yang enak adalah ceramah yang tidak mengantuk dan penuh dengan lelucon atau sindir tawa. Jika tidak, program agama akan terasa hambar dan 'menggerunkan' untuk sesetengah pihak.

Barangkali ada benarnya. Tetapi wajibkah seseorang ustaz atau ustazah itu menjadi 'raja lawak' dalam ceramah atau kelasnya?

Persoalan ini harus dibincangkan dan difikirkan bersama. Sekiranya pemikiran ini berterusan, matlamat untuk mendalami ilmu Islam tidak akan tercapai sepenuhnya. Apa yang tertinggal dalam benak kita sesudah pengajian itu berlangsung adalah lawak jenaka dan senda gurau yang mencuit hati. Isi pengajian hilang entah ke mana.

Menyentuh mengenai persoalan persepsi umum terhadap golongan ustaz dan ustazah pula perlu diperbetulkan. Dalam mendepani arus perdana, golongan ini tidak dapat lari daripada mengikut peredaran zaman dalam membawa karakter dan perwatakan.

Justeru, janganlah mudah menyalahkan golongan ustaz dan ustazah 'moden' ini sekiranya mereka kelihatan tidak sama dengan figura ulama yang digambarkan seperti zaman nabi terdahulu. Masyarakat harus akur bahawa mereka juga mempunyai kehidupan yang harus diseimbangkan dengan masyarakat sekeliling.

Selagi ustaz dan ustazah 'moden' ini tidak melakukan sesuatu yang melanggar batas Islam dalam soal berpakaian dan perbuatan, selagi itulah penilaian terhadap mereka harus bertunjangkan rasa kesederhanaan [wasatiah] dan kebersamaan.

Apa pendapat anda?

MHT: Satu jari menuding orang, empat lagi menunjuk diri sendiri.

Berapa Banyak Titik Hitam?

Isnin, 28 November 2011

2 Komentar



Persefahaman Asas Perpaduan Ummah

Ahad, 27 November 2011

0 Komentar
Salam Maal Hijrah buat semua umat Islam dan pembaca blog ini.

Pastikan anda sudah membaca doa awal tahun.

Lakukan solat taubat, hajat dan istikharah. Koreksi diri.

Moga anda diberkati usia, dipermudahkan rezeki, ditambahkan ilmu dan terselamat daripada bala bencana.

Tema tahun ini, 1433 Hijrah adalah "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah."


Isu pergaduhan dan perkauman sudah agak tabu untuk dibincangkan tetapi masih relevan untuk direnungi. Sesungguhnya, setiap umat Islam itu bersaudara. Namun itu tidak bermaksud bahawa kita harus bermusuh dengan kaum lain.


Selagi Islam tidak 'ditembak', selagi itulah kita harus mempertahankan kubu 'persefahaman' agar bendera 'ukhuwah' dapat dikibarkan dengan megah.

MHT: Teruskan berdakwah dengan blog =)

Bercuti Dengan Al-Quran

Rabu, 23 November 2011

0 Komentar
Musim cuti sekolah sudah bermula. Ramai dalam kalangan ibu bapa yang membawa anak-anak melancong dan berlibur tidak kira samada di dalam atau luar negara.


Bagi ibu bapa yang mempunyai kesedaran agama, mereka akan mencari mana-mana iklan yang menawarkan kelas kemahiran al-Quran untuk anak-anak mereka.


Bercuti dengan al-Quran adalah keputusan yang tepat pada masa kini. Keripuhan waktu belajar ditambah dengan pelbagai aktiviti kokurikulum sepanjang waktu persekolahan sepanjang setahun ini, tidak memungkinkan untuk para pelajar melazimkan diri dengan kitab suci Allah. Fakta ini sering sahaja menjadi alasan bagi golongan yang sentiasa berdalih.


Tetapi sekarang, musim cuti sudah datang! Apakah alasan tersebut masih relevan?


Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas muzik dan tidak merungut apabila bayaran yang dikenakan tinggi daripada biasa. Mereka sanggup berhabisan semata-mata ingin melihat anak mereka mahir bermain alat muzik dan mantap seni vokalnya.


Sedangkan yuran kelas pengajian al-Quran sangat rendah dan tidaklah semahal kelas muzik malahan berbaloi untuk memanfaatkan masa cuti anak-anak. Pelbagai ilmu berkaitan al-Quran boleh digali daripada tenaga pengajar yang dijemput.


Adapun, guru mengaji janganlah meletakkan 'harga' untuk diri sendiri. Upah memang boleh diambil tetapi berpada-padalah dalam urusan. Didiklah para peserta yang hadir dengan ikhlas dan adil.


Ingatlah pesan Rasulullah, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya."


MHT: Sebarkan iklan kelas kemahiran al-Quran ibarat menabur benih di ladang yang subur. Tanahnya boleh dipugar, hasilnya boleh disebar.

Pinjam = Hutang > Mati

Isnin, 14 November 2011

3 Komentar
Meminjam beerti berhutang. Meminjam juga bermaksud ada sesuatu yang harus dipulangkan.

Seperti PTPTN, semua urusan peminjaman daripada badan-badan kewangan tertentu [apatah lagi dengan pusat zakat baitulmal] mesti dilunaskan secepat yang mungkin setelah surat permohonan bayar semula diterima.

Sebagai mahasiswa yang pernah dibayar zakat dan membuat perjanjian pinjaman daripada mana-mana pusat zakat negeri, anda bertanggungjawab untuk membayar semula pinjaman tersebut walau sesusah mana sekalipun. Jangan tunggu hingga surat amaran dikeluarkan.

Tanggungjawab ini adalah berat kerana selagi anda berhutang selagi itu tugas dan amanah sebagai seorang muslim belum selesai. Tidak perlu berapi-api bercerita tentang dosa pahala sekiranya tugas yang satu ini dpandang enteng sebelah mata. Berusahalah membayar walaupun sedikit. Tetapi dapatkan sumber yang halal dan bersih untuk tugas ini. Ingat, meminjam daripada ALONG bukan cara yang rasional untuk seorang muslim!

Kepada peminjam yang buat-buat lupa, sila bangun dan sedar diri. Anda masih berhutang. Sekiranya anda menemui ajal sebelum langsainya hutang beerti anda meletakkan beban di pundak waris yang hidup.

Kepada para penjamin, berhati-hati sebelum membuat keputusan. Ingatlah, soal hutang bukan soal main-main.

MHT: Sebelum memikirkan tentang orang lain, fikir juga tentang diri sendiri. Azab!

Rusa Masuk Gelanggang

Ahad, 30 Oktober 2011

1 Komentar
Ini bukan kisah haiwan. Tetapi hendak berkisah tentang juara baru Piala Malaysia 2011.

Tahniah pasukan Negeri Sembilan kerana mengekalkan momentum perjuangan. Selepas ini, fenomena bola sepak negara akan terus mekar dan berkembang selaras dengan teknologi semasa. Keprihatinan masyarakat berhubung harga tiket dan kesungguhan menyaksikan perlawanan bukti semangat anak Malaysia terhadap arena riadhah ini.

Namun, sebagai seorang muslim, beberapa perkara harus diambil kira sewaktu menjalankan aktiviti riadhah.

1. Mulakan sukan dengan menyebut nama Allah. Syaitan sering menghasut orang-orang yang sedang riang.
2. Niatkan untuk menambah kecergasan dan merehatkan minda. Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya. Baginda juga sering melatih umat Islam memanah dan menunggang kuda; sukan yang praktikal dalam Islam.
3. Menutup aurat. Ramai yang terlupa untuk menutup betis dan lutut sewaktu bersukan.
4. Menjaga waktu solat. Ramai yang bersorak di padang hingga lupa untuk bertakbir di masjid.
5. Menjaga tutur kata. Aktiviti sukan sering tercemar dengan caci maki dan carut marut.
6. Mengucapkan kalimah hamdalah [Alhamdulillah] selepas selesai bersukan. Apatah lagi selepas meraih kejuaraan dalam sesuatu pertandingan.

MHT: Hobin Jang Hobin!

Rekod Rancangan Mengajar

Jumaat, 28 Oktober 2011

1 Komentar
Tiada hidup tanpa visi. Tidak berjaya misi tanpa rancangan yang jelas. Sebagai seorang guru, mengisi buku rekod rancangan mengajar adalah wajib bagi institusi perguruan di Malaysia. Biarpun buku tersebut adalah hak mutlak guru tetapi terdapat segelintir guru-guru yang mengeluh dan menganggap buku tebal tersebut membebankan untuk diisi.

Sepatutnya buku tersebut ditulis sehari sebelum mengajar, bukan sesudah mengajar. Nama pun 'rancangan mengajar'. Pendek kata, tiada rekod beerti tiada perancangan. Guru yang tiada perancangan yang teliti bakal melahirkan anak murid yang cuai dan tidak bersemangat dalam pelajaran.

Guru bukan sekadar pergi dan pulang sekolah, hujung bulan makan gaji. Tetapi guru yang berjiwa pendidik akan merealisasikan matlamat pendidikan negara iaitu melahirkan generasi yang berintegriti dan berkredibiliti dalam pelbagai lapangan ilmu.

Seperkara yang lebih utama, pendidik yang bermatlamat adalah platform dalam melahirkan pelajar serta murid yang bermoral dan bersahsiah tinggi. Kepada guru-guru, sila semak, adakah anda sudah mengisi buku rekod rancangan mengajar anda untuk esok hari?

MHT: Hanya jauhari mengenal manikam.

"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bergelar guru, tulus dari nubari...


More Sorry Images at Jhocy.com

Related Posts with Thumbnails