Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Benarkah Minyak Seri Murni dan Tepung Cap Sauh Mengandungi Bahan Berunsurkan Babi?

Rabu, 1 Februari 2012



Dua hari lalu, gegak gempita isi rumah saya. Kertas fotokopi yang muncul entah dari mana bertukar tangan silih berganti. Satu artikel mengejutkan kami.

Minyak Seri Murni Mengandungi racun peluntur yang mangakibatkan barah?
Tepung Cap Sauh dan Cap Kunci berunsurkan babi?

Subhanallah! Berita itu benar-benar menyentak jantung. Sementelah, itulah antara barangan yang berbulan-bulan hadir dalam dapur rumah kampung kami dan telah lama mendarah daging dalam tubuh kerdil kami.

Yang paling ripuh adalah emak. Dia yang selama ini mendambakan sisa hidupnya untuk keluarga dan berhempas pulas mengisi tenggorok serta lohong perut kami, jadi gusar gara-gara berita gempar itu. Saya yang baru pulang dari tempat kerja dan belum hilang hengas, terus jadi bingung. Saya telan liur.

Kala malam melarut, akal terus ligat mencari kebenaran. Ruang sesawang Halal JAKIM saya redah tetapi jawapannya belum cukup memuaskan hati. Lantas, tampang sahabat karib muncul dalam minda. Lalu nombor bimbitnya saya dail untuk bertanyakan duduk pangkal cerita sebenar. Usai berbasa-basi, jawapan masih kabur dan meragukan. Tambahan, berita itu tidak pula keluar dalam akhbar dan televisyen. Musykil.

Arakian, berita itu terus larut dalam semalam.

Hari ini, laman sesawang yang luas sekali lagi saya terobosi. Alhamdulilah, sekarang saya dan keluarga lebih yakin dan pasti. Ternyata, tekaan kami bahawa artikel tersebut bermotif dengki dan politik adalah munasabah. Hakikatnya, pihak Jakim telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kepalsuan berita tersebut.

Sekarang, kami tidak ragu lagi. Minyak Seri Murni, Tepung Cap Sauh dan Cap Kunci sudah diiktiraf sijil halalnya oleh JAKIM. Sesungguhnya, Malaysia semakin yakin untuk menjadi negara hub halal di Asia. Malahan Malaysia semakin berusaha keras memastikan agar logo halal kita mendapat pengiktirafan di peringkat dunia. Maka, tidak mustahil andai ada pihak yang tidak bertanggungjawab turut berusaha keras untuk memastikan umat Islam menjadi musykil, ragu-ragu dengan perihal syubhah.

Ingatlah firman Allah dalam Surah At-Thariq ayat 5 dan 6 :

"Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, Wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya)."

Imam Bukhari dan Muslim juga pernah meriwayatkan sebuah hadis  

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: 

"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang / jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang / jelas,  

dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran, yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.  

Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya, dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. 

Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. 

Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan 
dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. 

Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. 
Ketahuilah ia adalah hati."

0 Komentar:

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails