Follow by Email

Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

PUISI MERDEKA 2013

Sabtu, 31 Ogos 2013

0 Komentar


Merdeka kita berwarna-warni
Merdeka mereka suram dan sepi

Merdeka kita perarakan gilang-gemilang
Merdeka mereka kelam-kabut lintang pukang

Merdeka kita meriah dengan mercun
Merdeka mereka sarat bom dan gas beracun

Merdeka kita laungan kegembiraan
Merdeka mereka jeritan penuh ketakutan

Merdeka kita hanya kibaran jalur gemilang
Merdeka mereka jihad para pejuang

Setelah hari ini, merdeka kita akan berlalu pergi
Namun, sehingga hari ini, tiada istilah merdeka untuk mereka rasai

*Dedikasi khas untuk Umat Islam yang tertindas di Palestin, Mesir, Syria dan seluruh negara yang bergolak.

Jom Belajar Tafsir al-Masad!

Sabtu, 17 Ogos 2013

0 Komentar

PENGENALAN

Surah al-Masad bermaksud pintalan tali. Surah ini juga dikenali sebagai Surah al-Lahab.

Surah yang mempunyai 5 ayat ini menceritakan kisah Abu Lahab dan isterinya yang bernama Aura' (atau panggilannya Ummu Jamil).

FITNAH

Mereka telah menghasut Kaum Quraish di Kota Mekah agar menjauhi dan tidak mempercayai dakwah Rasulullah s.a.w.

Lalu, Allah melaknat mereka melalui surah ini kerana telah menjadi ejen fitnah terhadap perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w.

LAKNAT SAMPAI KIAMAT

Bentuk seksaan yang akan dikenakan kepada mereka telah disebut dengan jelas oleh Allah menerusi surah ini (Rujuk terjemahan ayat di atas)

Akibatnya, jelas nyata hingga ke hari ini. Realitinya, sesiapa yang membaca surah ini pasti akan menyebut laknat Allah terhadap mereka hingga hari kiamat! (Rujuk ayat pertama).

KESIMPULAN

Sesungguhnya, fitnah itu sesuatu yang sangat dibenci oleh Allah. 

Renungkanlah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud,

"Fitnah itu lebih dahsyat (dosa dan kesannya) daripada membunuh."

Jauhilah fitnah kerana fitnah jentera perpecahan ummah. Maka, hubungkanlah silaturrahim sesama insan agar hidup aman di dunia dan sejahtera di akhirat.

MHT: Jangan mudah percaya gosip.

JOM TONTON VIDEO MATLUTFI: Idealis dan Sinis

Ahad, 4 Ogos 2013

0 Komentar
MATLUTFI - Terbaik!
MATLUTFI - Nama yang semakin popular di kalangan pengguna internet di Malaysia.

Ikon muda berpendidikan luar negara ini berjaya melonjakkan namanya setelah memuat naik sekian banyak video ke dalam laman sesawang 'youtube'.

Bukan seorang dua yang melakukan hal yang sama namun mengapa figura ini yang mampu menawan hati rakyat Malaysia? Apakah fomula beliau? Jom kita selidik!

ISI KANDUNGAN

1. Ternyata, bahan-bahan yang digunakan dalam video padat dengan informasi dan ilmu yang mampu digunapakai oleh sesiapa sahaja.

2. Kupasan yang bernas mampu menganjakkan paradigma dan menjadikan rakyat Malaysia khususnya golongan remaja membuka mata dalam melihat sesuatu isu.

3. Sudah semestinya isu yang ditimbulkan sangat berkait rapat dengan isu semasa di Malaysia biarpun beliau tidak berada di tanah air.


4. Isu-isu yang diutarakan boleh dijadikan bahan tulisan buku dan akhbar serta dibawa ke dalam perbincangan pelajar-pelajar sekolah mahupun para mahasiswa seluruh Malaysia.

PEKA

1. Biarpun tidak berada di tanah air, namun ikon ini tetap mengambil peduli tentang hal-hal yang berlaku di Malaysia. Secara tidak langsung, perkara ini menyedarkan anak muda Malaysia supaya sentiasa peka dengan isu di sekeliling kita.

AGAMA DAN BUDAYA

1. Terdapat satu x-factor yang menarik perhatian pelawat youtube iaitu soal agama. Matlutfi yang kelihatan 'akan terus popular' tetapi tetap memilih jalan rasional dan kelihatan tidak tenggelam dalam dunia barunya. Ertinya soal agama Islam tetap dititikberatkan dalam setiap penyampaiannya.

2. Pengalaman berada di negara orang mungkin sedikit sebanyak menjadikan beliau lebih menghargai budaya tanah air sendiri. Buktinya, setiap contoh yang diberikan banyak menyentuh tentang unsur-unsur akhlak dan keharmonian.

KEKELUARGAAN

1. Sekiranya anda perasan, Matlutfi banyak menyelitkan watak ibu bapa dan anak-anak. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya nilai kekeluargaan dalam membentuk masyarakat cemerlang.

PETAH

1. Kemahiran komunikasi dan kepetahan berbicara dengan Bahasa Melayu dan Inggeris (Termasuklah dialek utaranya) menjadikan para penonton tidak bosan. Ikon seperti ini pasti akan menarik lebih ramai anak muda sekiranya diberi peluang beraksi di hadapan kaca televisyen.

KEMAHIRAN VIDEO

1. Keberkesanan sesuatu video itu bukan sahaja bergantung kepada isinya tetapi termasuklah bagaimana cara isinya dipersembahkan kepada khalayak. Beliau ternyata sangat bijak dan mahir menggunakan teknologi rakaman ini.

2. Penggunaan muzik dan sudut pandangan kamera yang menarik mampu membuatkan kita 'terpesona' dengan keindahan 'makna isi' yang ingin disampaikan.

HUMOR YANG BIJAK

1. Dialog-dialog yang dilontarkan bukan sahaja mampu membuat kita tertawa dan tersenyum malahan mula memikirkan sesuatu isu itu dengan lebih dalam. 

2. Dialek utaranya dan watak-watak yang dilakonkan sangat menjadi. Tidak salah rasanya jika beliau diberi peluang melakonkan beberapa babak dalam drama atau filem dengan syarat filem atau drama itu membuatkan rakyat Malaysia lebih BIJAK!

3. Atau mungkin Matlutfi akan mengarahkan sebuah filem bijaknya sendiri? Siapa tahu... (Saya yakin, pasti box-office! =)

SINIS

1. Isu sentitif berjaya diolah dengan baik. "Siapa makan cili, dia yang terasa pedasnya". Betul kan? 

2. Terima kasih kepada Matlutfi yang membuatkan kita tersedar tentang banyak isu yang selama ini hanya dipandang sebelah mata.

KESIMPULAN 

Saya berharap agar pembikin filem di Malaysia mengambil formula Matlutfi ini sebagai salah satu daripada elemen pembuka minda rakyat Malaysia.

Media Barat sudah lama menggunakan filem dan muzik sebagai agenda idealistiknya kepada dunia. Bilakah penggiat filem kita mahu berada di zon selesa dan merasakan kerja berfikir hanya kerja 'ulat buku' dan 'orang agama'.

Kepada anak muda yang asyik memuat naik video-video hiburan sahaja, inilah masa untuk mengikut jejak langkah MATLUTFI.

Tahniah MATLUTFI! Andalah PERMATA BERHARGA untuk MALAYSIA.

MHT: Doakan kesejahteraan 'minda' beliau sentiasa berpanjangan, insya-Allah.

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails