Follow by Email

Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Bila Anak Malaysia Menyanyi...

Selasa, 11 Mei 2010

"Kau dah top-up untuk show hujung minggu ni?" Soal Suzi. Keretanya diberhentikan betul-betul di sebelah kereta Rina.

"Oh, aku awal-awal dah ready." Pintas Rina. Lampu isyarat di simpang jalan dikerling sekilas.

"Siapa la agaknya juara malam ni kan?" Ujar Suzi sambil membelek-belek make-up yang menebal di wajah.

"Siapa juara tak kisah, yang penting apa yang dipersembahkan." Jawab Rina.

"So, kau dah beli tiket?" Suzi menyoal lagi. Bibirnya dioles dengan gincu merah bata.

"Eh, gila! Tengok tv je la. Lagipun tempat tu kan jauh."

"Alah, tengok depan mata baru syok." Senyum Suzi meleret. Terbayang-bayang wajah artis kegemarannya bakal beraksi di atas pentas.

"Benar bu. Kalau lihat depan mata pasti lebih menangkap di dada." Pembantu rumah Rina yang dari tadi diam di sebelahnya tiba-tiba menyampuk.

"Hah, kan aku dah cakap. Siapa pengkritik malam ni Bibik?" Tanya Suzi. Matanya dihala ke arah wanita di sebelah Rina. Rina turut berpaling penuh minat.


"Khabarnya, seorang ustazah dan seorang kiai. Yang ketiga barangkali produser filem. Entah, kurang pasti.. Yang pastinya, anak-anak ibu berdua tentu syok bangat." Jawab wanita Indonesia itu penuh yakin. Terkibas-kibas kaki tudungnya dipupuh angin dari luar jendela kereta.

"Hah! Bibik, maksud awak?!" Rina menyoal kejanggalan. Suzi yang berada di sebelah tingkap keretanya mengerut dahi.

"Ya, Pildacil! Reality Show anak-anak Indonesia, berpidato sambil berdakwah bukan? Lombanya lewat minggu ini. Rugi kalau terlepas kok!" Orang gaji itu tersengih-sengih menampakkan giginya yang hitam dan berlubang-lubang.

Rina dan Suzi saling berpandangan. Anak mata mereka membuntang. Lampu isyarat merah bertukar hijau. Suzi memecut pantas. Asap hitam berjelaga terlepas bebas. Rina terkebil-kebil di tempat memandu sebelum terkejut mendengar hon yang bertalu-talu dari belakang buntut keretanya.

"Kenapa bu?..."

********************

Membaca senario di atas pasti membuat anda menebak isu yang bakal saya utarakan di sini. Ya, isu rancangan realiti televisyen. Benar, hal ini bukanlah suatu yang baru namun kadangkala menarik untuk difikirkan bersama. Realitinya, rancangan yang kian menjarah seluruh generasi kini bukan sahaja masyhur di negara kita malah turut menerobos ke negara seberang dan seantero dunia.

Suatu masa, ramai remaja Malaysia berlumba-lumba hendak menjadi penyanyi. Biar kota mahupun desa sanggup bergolok bergadai demi memastikan impian mereka tercapai. Tiba-tiba jentera yang dipanggil 'pembangun keyakinan masyarakat' memperkenalkan rancangan realiti televisyen untuk mencungkil dan menggilap bakat-bakat muda ini.

Tidak sampai berapa bulan, tiba-tiba seluruh negara berjaya didemamkan dengan fenomena ini. Sesiapa yang kebah dan tidak terjangkit pasti dianggap tidak normal dan ketinggalan. Akhirnya setelah bertahun-tahun, virus ini menular ke dalam jiwa kanak-kanak di Malaysia. Maka, penuhlah kelas-kelas vokal dihujani oleh anak-anak kecil ini. Lalu, sebuah rancangan realiti ditubuhkan khas buat anak-anak ini mengasah bakat. Gelanggang ini terus popular dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Sejak itu, rancangan iqra' di televisyen hambar. Rancangan mengaji kanak-kanak diberhentikan. Siaran nasyid kanak-kanak ditiadakan. Kumpulan nasyid kanak-kanak pula hidup segan dan malu-malu. Rancangan pendidikan kanak-kanak menuju jalan buntu. Akhirnya semua itu cuma tinggal khazanah yang tidak berpenunggu.

Di sebalik pergolakan dan kebobrokan, rupa-rupanya tanah seberang, spesifiknya Indonesia, terbukti lebih pintar dan terkedepan daripada kita (daripada beberapa sudut). Secara perlahan, mereka sedang menyediakan tunas-tunas baru demi sebendang tanah harapan.

Pildacil sebagai contoh, merupakan sebuah rancangan realiti televisyen yang masyhur dan mendapat sambutan sangat memberangsangkan di Indonesia. Rancangan yang mempertandingkan bakat kanak-kanak kecil berpidato dan berdakwah dalam nuansa Islam ternyata berjaya memupuk budaya cintakan agama dalam kalangan anak-anak kecil juga orang dewasa. Kepetahan, kebijaksanaan dan keyakinan kanak-kanak dalam mempersembahkan isu agama di hadapan khalayak dan pengkritik mampu menajamkan minda masyarakat. Undian rancangannya menjulang tinggi malah menjadi salah satu siaran yang tidak mungkin ditinggalkan saban minggu.

Rasionalnya, dalam beberapa tahun lagi mereka bakal (malah mungkin telahpun) menyemai benih-benih ini untuk menjadi pohon yang akan disuburkan kelak.

Tegasnya, sudah lebih empat dasawarsa kita menjulang kemerdekaan, namun belum ada rasanya rancangan seperti ini direncanakan di Malaysia. Fikirkan, sedang anak-anak Indonesia dicemuh, kanak-kanak Malaysia sedang ralit dilumpuhkan tanpa sedar! Maka, secara beransur-ansur kita sudah kehilangan generasi pelapis yang bakal membangunkan ketamadunan bangsa! Anda mahu itu?

MHT: Tiba-tiba figura anak perempuan enam tahun mengalunkan ayat suci al-quran di slot akhir rancangan iqra' di televisyen sewaktu sekolah rendah dahulu menggamit memori. Merdunya! Agaknya, apalah perihalnya sekarang?

2 Komentar:

sumayyah berkata...

nice entry..since this is the reality of our ummah [jgn berhenti menajamkan mata pena..boleh jadi nanti lebih tajam dari mata pedang..!!]

Tanpa Nama berkata...

ye btol...

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails