Follow by Email

Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Perginya Seorang Peminat Cinta

Isnin, 7 Jun 2010


Bagi yang belum mengenali tokoh ini, anggaplah artikel ini sebagai sebuah jalinan peristiwa dan ingatan. Bagi teman-teman yang sudah, pernah apatah lagi akrab dengan beliau, bacalah tulisan ini dengan penuh rasa insaf dan pengajaran.

USTAZ AHMADAN AFFANDI BIN HJ. MUSTAFA atau lebih mesra dipangil Tok Mat adalah seorang warga emas yang baru saya tahu nama penuhnya saat mengedit satu artikel, yang memuatkan wawancara bersamanya dalam majalah MATAN keluaran pelajar-pelajar Negeri Sembilan di Mesir (Edisi Ke-3). Dengan jarak umur yang begitu jauh, saya bukanlah orang yang betul-betul mengenali beliau. Namun, sejenak menjejaki sejarah hidupnya, pasti membuatkan anda terharu dan merasai betapa berharganya nilai secebis ilmu.

Berikut saya perturunkan sekelumit daripada selautan rentetan hidup sang pencinta ilmu ini:


  1. -Beliau pernah meneruskan pengajian ke Singapura sebelum era 1950an seawal belasan tahun.
  2. Sempat bekerja di bahagian perkapalan selama kira-kira 5 tahun di Singapura.
  3. Menaiki kapal laut ke Calcutta India untuk meneruskan kembara ilmu pada tahun 1960.
  4. Mempelajari ilmu hadith di Universiti Darul Ulum India.
  5. Mendalami ilmu Feqah di Jamiah Nizomiah Sultan Hyderabad.
  6. Mengikuti banyak majlis pengajian Sunan Sittah di India.
  7. Dilantik sebagai tenaga pengajar di India sehingga fasih berbahasa Urdu.
  8. Menjejakkan kaki ke Bumi Anbia Mesir dan terus ke tahun 4 dalam jurusan Usuluddin di Universiti al-Azhar asy-Syarif.
  9. Meneruskan kembara ilmu ke Belanda, Jerman, Perancis, Maghribi dan Libya.
  10. Mendalami pengajian Bahasa Arab di Universiti Islamiah Libya pada tahun 1970.
  11. Menyandang jawatan sebagai Presiden Janub Syarqi Asia (Asia Tenggara) dan menjadi wakil mahasiswa di Libya.
  12. Berulang-alik ke mesir untuk menimba ilmu.
Ini mungkin apa yang saya tahu dan apa yang saya pernah dengar. Sudah tentu berlambak lagi ceritera yang tidak terkeluar dari ketar bibirnya saat bersuara. Apa yang mengejutkan, semenjak meneruskan kembara ilmunya, beliau tidak pernah pulang dan menjejaki tanah air Malaysia! Subhanallah! Bayangkan, betapa lebar hamparan hayatnya namun setiap inci potongan umurnya hanya terjalin dengan kalimah-kalimah cinta. Cinta ilmu milik sang pencipta.

Bagai sirih pulang ke gagang. Tanggal Jumaat, 5 Disember 2009, beliau telah diilhamkan oleh Allah untuk pulang ke tanah air dan bertemu keluarganya di Negeri Sembilan. Mungkin sesempat itu, beliau telah menimba dan menabur lebih banyak mutiara ilmu kepada anak bangsanya. Kisah kepulangannya pernah disiarkan di akhbar Kosmo. Dan siapa sangka, pada saat Maghrib merangkak menjengah Malaysia, beliau pergi menemui Yang Maha Esa. 6 Jun 2010 beliau pergi bersama kenangan dan cerita cinta ilmunya.


Gambar arwah di Lapangan Terbang Kaherah, Mesir Sebelum bertolak pulang ke Malaysia.

Moga usahanya mencari ilmu bakal menempatkannya di syurga. Semoga kita dapat mengutip sesuatu daripada lakaran peta hidupnya. Takziah buat keluarga Tok Mat. Doakan rohnya dirahmati Allah, insya-Allah.- Al-Fatihah.

3 Komentar:

extraordinarydesign berkata...

innalillahiwainnailaihi rajiun

charazion berkata...

semoga roh beliau ditempatkan bersama orang2 yang beriman.

aBnaK mUQaTTaM berkata...

rugi raso eh x mndptkan sedikit mutiara ilmu drpd beliau

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails