Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Filem Pendek: Interpretasi Generasi Muda

Ahad, 15 September 2013

0 Komentar

Dunia wayang atau dipanggil layar lebar sudah lama berakar umbi di Malaysia sejak sekian lama. Budaya ini walaupun mendapat pelbagai reaksi antara golongan agamawan namun tetap menjadi tradisi yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.

Dunia perfileman sebenarnya adalah salah satu medan penting untuk mencambahkan pemikiran bangsa. Lihatlah bagaimana Dunia Hollywood dan Bollywood menguasai pentas dunia hingga memberi kesan yang mendalam terhadap dunia 'Melayuwood' hari ini.

Jika dahulu, rakyat perlu beratur panjang di panggung wayang untuk menikmati sebuah filem. Namun kini, teknologi telah menjadikan dunia hanya di hujung jari. Impaknya, dunia maya mula menguasai dunia perfilemen zaman modenisasi.

Maka, terhasillah berjuta-juta paparan video di laman sesawang youtube. Fenomena luar biasa ini sudah menjadi satu budaya baru yang mampu memberikan kesan jangka masa yang panjang terhadap bola fikir generasi hari muda pada masa hadapan.

Melihat kepada perkembangan ini, penulis merasakan anak muda kita sangat kreatif dan punya idea dan bakat terpendam. Sekiranya didorong dengan betul, maka industri ini bakal memperkenalkan Malaysia sebagai penyumbang gagasan besar untuk dunia. (Mungkin terlalu berharap)

Tanpa kita sedari, hanya dengan mempopularkan filem pendek di youtube sudah menjadi iklan yang berkesan untuk menanam nilai murni apatah lagi nilai Islam dalam jiwa generasi hari ini.

Fikirkan, sekali penonton bersetuju dengan fahaman baik yang anda gagaskan dalam filem pendek tersebut, kemudian disusuli dengan pengamalan yang konsisten, maka natijahnya, pahala dan redha Allah berbalik semula kepada anda.

Oleh yang demikian, bikinlah filem pendek yang benar-benar menjana minda dan mengharmonikan akhlak. Jadikan medium baru ini sebagai lantai ibadah. Semoga lebih banyak mesej Islam dapat disalurkan melalui filem pendek seperti ini.- Insya Allah.

MHT: Ada idea tetapi tidak kamera. Modal pun belum ada :)

PUISI MERDEKA 2013

Sabtu, 31 Ogos 2013

0 Komentar


Merdeka kita berwarna-warni
Merdeka mereka suram dan sepi

Merdeka kita perarakan gilang-gemilang
Merdeka mereka kelam-kabut lintang pukang

Merdeka kita meriah dengan mercun
Merdeka mereka sarat bom dan gas beracun

Merdeka kita laungan kegembiraan
Merdeka mereka jeritan penuh ketakutan

Merdeka kita hanya kibaran jalur gemilang
Merdeka mereka jihad para pejuang

Setelah hari ini, merdeka kita akan berlalu pergi
Namun, sehingga hari ini, tiada istilah merdeka untuk mereka rasai

*Dedikasi khas untuk Umat Islam yang tertindas di Palestin, Mesir, Syria dan seluruh negara yang bergolak.

Jom Belajar Tafsir al-Masad!

Sabtu, 17 Ogos 2013

1 Komentar

PENGENALAN

Surah al-Masad bermaksud pintalan tali. Surah ini juga dikenali sebagai Surah al-Lahab.

Surah yang mempunyai 5 ayat ini menceritakan kisah Abu Lahab dan isterinya yang bernama Aura' (atau panggilannya Ummu Jamil).

FITNAH

Mereka telah menghasut Kaum Quraish di Kota Mekah agar menjauhi dan tidak mempercayai dakwah Rasulullah s.a.w.

Lalu, Allah melaknat mereka melalui surah ini kerana telah menjadi ejen fitnah terhadap perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w.

LAKNAT SAMPAI KIAMAT

Bentuk seksaan yang akan dikenakan kepada mereka telah disebut dengan jelas oleh Allah menerusi surah ini (Rujuk terjemahan ayat di atas)

Akibatnya, jelas nyata hingga ke hari ini. Realitinya, sesiapa yang membaca surah ini pasti akan menyebut laknat Allah terhadap mereka hingga hari kiamat! (Rujuk ayat pertama).

KESIMPULAN

Sesungguhnya, fitnah itu sesuatu yang sangat dibenci oleh Allah. 

Renungkanlah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud,

"Fitnah itu lebih dahsyat (dosa dan kesannya) daripada membunuh."

Jauhilah fitnah kerana fitnah jentera perpecahan ummah. Maka, hubungkanlah silaturrahim sesama insan agar hidup aman di dunia dan sejahtera di akhirat.

MHT: Jangan mudah percaya gosip.

JOM TONTON VIDEO MATLUTFI: Idealis dan Sinis

Ahad, 4 Ogos 2013

0 Komentar
MATLUTFI - Terbaik!
MATLUTFI - Nama yang semakin popular di kalangan pengguna internet di Malaysia.

Ikon muda berpendidikan luar negara ini berjaya melonjakkan namanya setelah memuat naik sekian banyak video ke dalam laman sesawang 'youtube'.

Bukan seorang dua yang melakukan hal yang sama namun mengapa figura ini yang mampu menawan hati rakyat Malaysia? Apakah fomula beliau? Jom kita selidik!

ISI KANDUNGAN

1. Ternyata, bahan-bahan yang digunakan dalam video padat dengan informasi dan ilmu yang mampu digunapakai oleh sesiapa sahaja.

2. Kupasan yang bernas mampu menganjakkan paradigma dan menjadikan rakyat Malaysia khususnya golongan remaja membuka mata dalam melihat sesuatu isu.

3. Sudah semestinya isu yang ditimbulkan sangat berkait rapat dengan isu semasa di Malaysia biarpun beliau tidak berada di tanah air.


4. Isu-isu yang diutarakan boleh dijadikan bahan tulisan buku dan akhbar serta dibawa ke dalam perbincangan pelajar-pelajar sekolah mahupun para mahasiswa seluruh Malaysia.

PEKA

1. Biarpun tidak berada di tanah air, namun ikon ini tetap mengambil peduli tentang hal-hal yang berlaku di Malaysia. Secara tidak langsung, perkara ini menyedarkan anak muda Malaysia supaya sentiasa peka dengan isu di sekeliling kita.

AGAMA DAN BUDAYA

1. Terdapat satu x-factor yang menarik perhatian pelawat youtube iaitu soal agama. Matlutfi yang kelihatan 'akan terus popular' tetapi tetap memilih jalan rasional dan kelihatan tidak tenggelam dalam dunia barunya. Ertinya soal agama Islam tetap dititikberatkan dalam setiap penyampaiannya.

2. Pengalaman berada di negara orang mungkin sedikit sebanyak menjadikan beliau lebih menghargai budaya tanah air sendiri. Buktinya, setiap contoh yang diberikan banyak menyentuh tentang unsur-unsur akhlak dan keharmonian.

KEKELUARGAAN

1. Sekiranya anda perasan, Matlutfi banyak menyelitkan watak ibu bapa dan anak-anak. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya nilai kekeluargaan dalam membentuk masyarakat cemerlang.

PETAH

1. Kemahiran komunikasi dan kepetahan berbicara dengan Bahasa Melayu dan Inggeris (Termasuklah dialek utaranya) menjadikan para penonton tidak bosan. Ikon seperti ini pasti akan menarik lebih ramai anak muda sekiranya diberi peluang beraksi di hadapan kaca televisyen.

KEMAHIRAN VIDEO

1. Keberkesanan sesuatu video itu bukan sahaja bergantung kepada isinya tetapi termasuklah bagaimana cara isinya dipersembahkan kepada khalayak. Beliau ternyata sangat bijak dan mahir menggunakan teknologi rakaman ini.

2. Penggunaan muzik dan sudut pandangan kamera yang menarik mampu membuatkan kita 'terpesona' dengan keindahan 'makna isi' yang ingin disampaikan.

HUMOR YANG BIJAK

1. Dialog-dialog yang dilontarkan bukan sahaja mampu membuat kita tertawa dan tersenyum malahan mula memikirkan sesuatu isu itu dengan lebih dalam. 

2. Dialek utaranya dan watak-watak yang dilakonkan sangat menjadi. Tidak salah rasanya jika beliau diberi peluang melakonkan beberapa babak dalam drama atau filem dengan syarat filem atau drama itu membuatkan rakyat Malaysia lebih BIJAK!

3. Atau mungkin Matlutfi akan mengarahkan sebuah filem bijaknya sendiri? Siapa tahu... (Saya yakin, pasti box-office! =)

SINIS

1. Isu sentitif berjaya diolah dengan baik. "Siapa makan cili, dia yang terasa pedasnya". Betul kan? 

2. Terima kasih kepada Matlutfi yang membuatkan kita tersedar tentang banyak isu yang selama ini hanya dipandang sebelah mata.

KESIMPULAN 

Saya berharap agar pembikin filem di Malaysia mengambil formula Matlutfi ini sebagai salah satu daripada elemen pembuka minda rakyat Malaysia.

Media Barat sudah lama menggunakan filem dan muzik sebagai agenda idealistiknya kepada dunia. Bilakah penggiat filem kita mahu berada di zon selesa dan merasakan kerja berfikir hanya kerja 'ulat buku' dan 'orang agama'.

Kepada anak muda yang asyik memuat naik video-video hiburan sahaja, inilah masa untuk mengikut jejak langkah MATLUTFI.

Tahniah MATLUTFI! Andalah PERMATA BERHARGA untuk MALAYSIA.

MHT: Doakan kesejahteraan 'minda' beliau sentiasa berpanjangan, insya-Allah.

Berusahalah Mencari Malam Al-Qadr

Selasa, 30 Julai 2013

0 Komentar


Al-Qadr atau biasa dipanggil oleh masyarakat Malaysia sebagai 'malam lailatul qadr. Kisah malam ini telahpun disebutkan dalam Surah al-Qadr.

Malam Istimewa

Malam ini hanya muncul pada satu malam dalam bulan Ramadan. Pada malam tersebut para malaikat diketui oleh malaikat Jibrail akan turun ke bumi atas perintah dan mendoakan kesejahteraan bagi penduduk bumi yang beribadah demi mengharapkan keredhaan Allah sehinggalah terbit fajr Subh.

Ganjaran

Pahala mengerjakan ibadah pada malam tersebut dikira lebih baik daripada 1000 bulan. Bilakah terjadinya malam tersebut? Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Subanallah!

Amalan

Antara amalan yang perlu diusahakan pada malam Ramadan ialah:

1. Meyediakan juadah berbuka puasa
2. Berbuka dengan amalan sunah (kurma dan tidak membazir)
3. Solat Maghrib dan Isyak
4. Solat terawih dan witir
5. Membaca al-Quran dan mendalami maksud ayatnya
6. Berzikir dan beristighfar (mohon ampun kepada Allah)
7. Solat sunah taubat, tahajjut, hajat dan sebagainya.
8. Perbanyakkan doa untuk diri, keluarga dan umat Islam di seluruh dunia.

Hadis Rasulullah s.a.w

Terdapat dua buah hadis yang menyebutkan tentang malam tersebut iaitu:

1. Saidatina Aisyah melaporkan bahawa Rasulullahs.a.w bersabda, "Carilah malam al-qadr pada bilangan yang ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadan." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

2. Ibnu Abbas melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Carilah malam al-qadr dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadan; pada malam ke-21, 23 dan 25." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.





Oleh yang demikian, En. Hafizi Tajuddin, gandakan USAHA! Jangan hanya menunggu dan berharap!

Jom Belajar Tafsir al-Ikhlas!

0 Komentar


Allah membuat penegasan tentang dirinya dalam Surah al-Ikhlas dan mengarahkan kita supaya meyakini:

1. Allah maha esa. 

Allah hanya Tuhan yang satu dan tunggal.

2. Hanya Allah tempat kita bergantung

Allah maha mengetahui apa yang nyata mahupun tersembunyi. Justeru, Allah sangat mengetahui perkara yang ada dalam hati-hati manusia. Berdoalah kepada Allah ketika kita susah dan bersyukurlah ketika kita senang.

3. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. 

Maknanya, Allah tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai ibu bapa sepertimana dakwaan kaum kafir.

4. Tiada yang serupa dengan Allah walau satupun. 

Allah tidak mempunyai seteru (persamaan) dengan makhluk. Tiada yang dapat menandingi kuasa Allah termasuklah para nabi dan malaikat.

Kesimpulannya, kita mestilah sentiasa meyakini keesaan Allah dan membaca kalimah tauhid iaitu; لا إله إلا الله (La ilaha illallah) agar tidak sesat ke jalan kekufuran.

Wallahu a'lam.

MHT: Nabi Muhammad mengamalkan bacaan 3 qul sebelum tidur iaitu "Qul 'auzu biabbinnas" (Surah an-Nas), Qul 'auzu birabbil falaq" (Surah al-Falaq) dan "Qul huwallahu ahad" (Surah al-Ikhlas)

Jom Belajar Tafsir al-Falaq

0 Komentar

Surah al-Falaq bermaksud waktu subuh atau seluruh makhluk (kerana Allah yang menguasai kedua-dua makhluk tersebut) Surah ini diturunkan di Mekah.

Surah ini diturunkan bersama-sama surah an-Nas ketika Rasulullah s.a.w disihir oleh seorang Yahudi dengan 11 simpulan tali. Menariknya,sihir tersebut terhapus setelah dibacakan 5 ayat daripada surah al-Falaq dan 6 ayat daripada Surah an-Nas menjadikannya 11 ayat kesemuanya. Subhanallah!

Dalam Surah al-Falaq, kita diajar supaya memohon perlindungan hanya kepada Allah agar terselamat daripada 4 kejahatan iaitu:

1. Kejahatan makhluk.

Terdapat pelbagai jenis makhluk ciptaan Allah di atas dunia yang fana ini. Ada yang beriman dan ada yang kufur. Ada yang terzahir pada pandangan mata kasar dan ada yang ghaib dan tersembunyi. Kejahatan makhluk tersebut boleh mendatangkan musibah kepada kita. Antaranya ialah binatang berbisa, jin dan seumpama dengannya.

2. Kejahatan Malam.

Keadaan malam yang gelap gelita boleh mengundang pelbagai masalah. Antara kejahatan yang berlaku pada waktu malam seperti kejadian curi dan rompak, zina dan seumpama dengannya.

3. Kejahatan Tukang Sihir.

Sihir sudah lama wujud sejak zaman nabi lagi. Malahan sehingga zaman moden, perbuatan sihir dan ilmu hitam masih diamalkan oleh generasi yang syirik dan ingkar pada perintah Allah. Segala jampi dan mentera sihir boleh memudharatkan kehidupan manusia sebagaimana yang pernah berlaku kepada Rasulullah s.a.w.

4. Kejahatan Pendengki.

"Rambut sama hitam, hati lain-lain." Demikianlah pepatah Melayu menyebutkan tentang niat dan perasaan manusia yang berbeza-beza. Niat tersimpan dalam hati dan tidak terzahir pada pandangan mata. Perasaan dengki boleh timbul apabila seseorang tidak bersetuju dengan cara hidup orang lain. Mereka susah hati apabila melihat kesenangan orang lain dan senang hati tatkala melihat kegagalan orang lain.

MHT: Demikianlah antara sebab mengapa Rasulullah s.a.w melazimi surah ini sebelum Baginda beradu.

Jom Belajar Tafsir An-Nas!

Selasa, 16 Julai 2013

0 Komentar
Surah an-Nas bermaksud manusia dan mempunyai 6 ayat. Surah ini merupakan surah terakhir dalam al-Quran al-Karim. 

Intipati surah ini memberikan kita pengajaran bahawa hanya Allah selayaknya untuk kita memohon perlindungan. Bukannya dengan bomoh, tangkal sihir dan perkara-perkara khurafat yang membawa kepada syirik.

Maha suci Allah yang telah menghadiahkan kita surah ini sebagai salah satu daripada benteng pelindung agar kita terselamat daripada 3 perkara iaitu:

1. Kejahatan bisikan syaitan. 

Sesungguhnya, syaitan dan iblis tidak pernah jemu membisikkan kepada nafsu dan hati manusia agar mengingkari perintah Allah. Sejak peristiwa Nabi Adam lagi mereka telah berjanji untuk menyesatkan manusia dan mengheret anak cucu Adam ke dalam neraka.

2. Kejahatan Jin

Meskipun golongan ini tidak kelihatan pada pandangan mata kasar manusia, mereka tetap wujud dalam alam milik Allah ini. Mempercayai makhluk ghaib ini adalah termasuk salah satu daripada rukun iman yang wajib kita pegang. Bahkan, ada satu surah yang diberi nama Jin dalam Kitab Al-Quran yang mulia.

Mengikut pendapat alim ulama, golongan ini juga seperti manusia. Ada yang beriman dan ada juga yang kafir dan berniat jahat terhadap manusia.

3. Kejahatan Manusia

Sudah menjadi lumrah, manusia tidak dapat lari daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Hal ini kerana manusia menjadikan nafsu sebagai raja dalam hati mereka sehinggakan cahaya iman sukar menembusi akal yang waras.

Justeru, kita mestilah sentiasa membaca Surah an-Nas dengan ikhlas dan sungguh-sungguh mengharapkan perlindungan Allah agar terselamat daripada tiga perkara tersebut.

MHT: Mesti baca sebelum tidur!

Jom Belajar Tafsir al-Fatihah!

Ahad, 14 Julai 2013

0 Komentar


Al-Fatihah ialah surah yang wajib dibaca dalam solat fardhu. Surah ini mempunyai 7 ayat dan diturunkan di Mekah.

Antara isi-isi penting yang perlu diambil perhatian dalam surah al-Fatihah ialah:

1. Mulakan sesuatu kerja dengan menyebut nama Allah (Bismillah) dan akhiri dengan kalimah hamdalah (Alhamdulillah)

2. Sembahlah Allah, Tuhan tuan punya sekalian alam. Setiap manusia akan melalui 5 alam iaitu alam roh, rahim, dunia, barzakh (kubur) dan alam akhirat.

3. Solatlah dan tidak syirik (Menyembah selain daripada Allah / menduakan Allah) Syirik itu berdosa besar.

4. Yakinlah hari kiamat tetap akan wujud. Pada hari tersebut, semua amalan di dunia akan ditayangkan, dosa pahala akan dihitung, balasan syurga dan neraka akan menggamit penghuninya. Maka, perbanyakkanlah amal soleh daripada sekarang.

5. Sentiasa berdoa dan memohon hajat kepada-Nya agar ditunjuki jalan hidup yang betul serta tidak termasuk golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Wallahu a'alam

MHT: Selamat berpuasa dan bertarawih. Semoga disapa lailatul qadr tahun ini, insya-Allah. Ramadan kareem. Allahu akram!

Tips Peperiksaan

Sabtu, 22 Jun 2013

0 Komentar

Ada banyak sebab untuk kita berjaya dalam peperiksaan. Ramai pelajar sudah cemerlang melalui kaedah ini. Antaranya:

1. Baca Buku
2. Tulis nota
3. Buat latihan
4. Ulangkaji
5. Belajar berkumpulan (Study group)

dan sebagainya.

Tetapi, ada banyak lagi sebab untuk kita gagal dan selalu kita terlepas pandang. Antaranya:

1. Malas solat
2. Kurang zikir
3. Melawan cakap mak ayah
4. Tidak hormat guru
5. Tidak menjaga hubungan baik sesama jiran tetangga
6. Memutuskan persaudaraan dan silaturahim sesama muslim
7. Tidak menjaga hati sahabat handai

dan sebagainya

Oleh yang demkian, beringatlah sebelum masanya. Jangan sangka, kita berjaya semata-mata kerana usaha keras kita. Namun, yang lebih penting kejayaan itu hadiah daripada Allah.

Apabila susah belajar, berdoalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah datangkan kesusahan bersama-sama kesenangan. Ketika itulah, Allah uji samada hambanya memohon dan berharap kepada-Nya ataupun tidak. (Surah al-Insyirah)

Kepada murid-murid, para pelajar, mahasiswa dan seluruh sahabat handai, selamat mengahadapi peperiksaan. Salam imtihan. Kata pepetah Arab, "man jadda wa jada." Maksudnya, "siapa berusaha, pasti dia akan berjaya, insya-Allah."

MHT: Jaga hak Allah, Allah akan hadiahkan hak kita sebagai manusia.

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails