Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Jom Belajar Tafsir al-Falaq

Selasa, 30 Julai 2013


Surah al-Falaq bermaksud waktu subuh atau seluruh makhluk (kerana Allah yang menguasai kedua-dua makhluk tersebut) Surah ini diturunkan di Mekah.

Surah ini diturunkan bersama-sama surah an-Nas ketika Rasulullah s.a.w disihir oleh seorang Yahudi dengan 11 simpulan tali. Menariknya,sihir tersebut terhapus setelah dibacakan 5 ayat daripada surah al-Falaq dan 6 ayat daripada Surah an-Nas menjadikannya 11 ayat kesemuanya. Subhanallah!

Dalam Surah al-Falaq, kita diajar supaya memohon perlindungan hanya kepada Allah agar terselamat daripada 4 kejahatan iaitu:

1. Kejahatan makhluk.

Terdapat pelbagai jenis makhluk ciptaan Allah di atas dunia yang fana ini. Ada yang beriman dan ada yang kufur. Ada yang terzahir pada pandangan mata kasar dan ada yang ghaib dan tersembunyi. Kejahatan makhluk tersebut boleh mendatangkan musibah kepada kita. Antaranya ialah binatang berbisa, jin dan seumpama dengannya.

2. Kejahatan Malam.

Keadaan malam yang gelap gelita boleh mengundang pelbagai masalah. Antara kejahatan yang berlaku pada waktu malam seperti kejadian curi dan rompak, zina dan seumpama dengannya.

3. Kejahatan Tukang Sihir.

Sihir sudah lama wujud sejak zaman nabi lagi. Malahan sehingga zaman moden, perbuatan sihir dan ilmu hitam masih diamalkan oleh generasi yang syirik dan ingkar pada perintah Allah. Segala jampi dan mentera sihir boleh memudharatkan kehidupan manusia sebagaimana yang pernah berlaku kepada Rasulullah s.a.w.

4. Kejahatan Pendengki.

"Rambut sama hitam, hati lain-lain." Demikianlah pepatah Melayu menyebutkan tentang niat dan perasaan manusia yang berbeza-beza. Niat tersimpan dalam hati dan tidak terzahir pada pandangan mata. Perasaan dengki boleh timbul apabila seseorang tidak bersetuju dengan cara hidup orang lain. Mereka susah hati apabila melihat kesenangan orang lain dan senang hati tatkala melihat kegagalan orang lain.

MHT: Demikianlah antara sebab mengapa Rasulullah s.a.w melazimi surah ini sebelum Baginda beradu.

0 Komentar:

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails