Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Jom Belajar Tafsir An-Nas!

Selasa, 16 Julai 2013

Surah an-Nas bermaksud manusia dan mempunyai 6 ayat. Surah ini merupakan surah terakhir dalam al-Quran al-Karim. 

Intipati surah ini memberikan kita pengajaran bahawa hanya Allah selayaknya untuk kita memohon perlindungan. Bukannya dengan bomoh, tangkal sihir dan perkara-perkara khurafat yang membawa kepada syirik.

Maha suci Allah yang telah menghadiahkan kita surah ini sebagai salah satu daripada benteng pelindung agar kita terselamat daripada 3 perkara iaitu:

1. Kejahatan bisikan syaitan. 

Sesungguhnya, syaitan dan iblis tidak pernah jemu membisikkan kepada nafsu dan hati manusia agar mengingkari perintah Allah. Sejak peristiwa Nabi Adam lagi mereka telah berjanji untuk menyesatkan manusia dan mengheret anak cucu Adam ke dalam neraka.

2. Kejahatan Jin

Meskipun golongan ini tidak kelihatan pada pandangan mata kasar manusia, mereka tetap wujud dalam alam milik Allah ini. Mempercayai makhluk ghaib ini adalah termasuk salah satu daripada rukun iman yang wajib kita pegang. Bahkan, ada satu surah yang diberi nama Jin dalam Kitab Al-Quran yang mulia.

Mengikut pendapat alim ulama, golongan ini juga seperti manusia. Ada yang beriman dan ada juga yang kafir dan berniat jahat terhadap manusia.

3. Kejahatan Manusia

Sudah menjadi lumrah, manusia tidak dapat lari daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Hal ini kerana manusia menjadikan nafsu sebagai raja dalam hati mereka sehinggakan cahaya iman sukar menembusi akal yang waras.

Justeru, kita mestilah sentiasa membaca Surah an-Nas dengan ikhlas dan sungguh-sungguh mengharapkan perlindungan Allah agar terselamat daripada tiga perkara tersebut.

MHT: Mesti baca sebelum tidur!

0 Komentar:

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails