Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

SNOW WHITE vs MAHSURI! Rahsia Dibongkar!

Isnin, 28 Mei 2012

0 Komentar
Hollywood dan Disney terus berbangga dengan kisah fairy-tales yang menarik dan berwarna-warni.

Cinderella, Snow White, dan pelbagai lagi kisah dongeng terus dihidupkan rohnya dari saru generasi ke satu generasi. 

Jika dahulu kisah dongeng tersebut hanya dapat dibaca daripada buku cerita. Namun, dengan kemajuan teknologi kini, kisah tersebut terus disegarkan dan difilemkan dengan pelbagai versi.

Biarpun ada dakwaan yang mengatakan bahawa semua itu mempunyai motif dan agenda tersembunyi, (freemeson dan propaganda akidah) namun usaha untuk mempromosikan rangkaian fairy-tales tersebut tetap kelihatan subur.

Bagaimana pula dengan nasib ceritera Melayu kita? Berapa ramaikah anak muda hari ini yang berbangga dengan kisah sejarah kita?

Di sini, saya ingin anda membaca dan menyelami sendiri kisah penuh sejarah dan misteri; yang mungkin sudah dilupakan oleh generasi muda dekad ini.

Siapakah tujuh keturunan yang berkait dengan Mahsuri?
Benarkah Aishah yang datang ke Malaysia adalah keturunan Mahsuri yang asli?
Lihat sendiri gambar barangan tinggalan Mahsuri termasuk selendang yang dipakai saat nyawanya melayang. Wallahu a'lam...

Klik dan terokai alam Mahsuri...

Anak-anak Perlukan Perhatian Ibu Bapa

Ahad, 22 April 2012

1 Komentar
DENGAN NAMA ALLAH, TOLONG AMBIL PERHATIAN!

Menurut agama Islam, anak-anak yang baru lahir ibarat kain putih yang bersih lagi suci. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkan mereka. 

Sesungguhnya, setiap ibu bapa mempunyai 'alat lukisan' yang berbeza untuk diconteng di atas lapisan 'kanvas' milik mereka. Semakin anak-anak membesar, semakin banyak ragam yang ditemui. Ada yang rajin, ada yang malas, ada yang nakal, ada yang baik, ada yang pendiam, ada yang lasak. Setiap satunya memberi sejuta makna dan pengajaran untuk manusia yang bergelar ibu dan bapa.

PENDIDIKAN
Apabila menyebut tentang ilmu dan pendidikan, perkara yang terbayang di fikiran adalah perkataan 'sekolah'. Maka, ramailah ibu bapa yang mula menyekolahkan anak-anak pada umur 6 tahun. Malahan, semakin ramai kini yang menyekolahkan anak-anak mereka seawal umur 4 atau 5 tahun. Harapan mereka menggunung tinggi untuk melihat anak-anak membesar sebagai orang yang berilmu. Harapan yang sama untuk setiap ibubapa, bukan?

Segala amanat yang besar seperti 'bagaimana mahu cemerlang dalam SPM' sehinggalah kepada perihal yang kecil dan remeh seperti 'bagaimana hendak buang sampah' - semuanya terpundak di bahu guru-guru sekolah. Setiap gerak-geri guru terhadap anak-anak mereka menjadi perhatian ibu bapa. Sedikit sahaja kesilapan yang tidak selari dengan kehendak mereka akan dipersoalkan satu persatu

Tetapi, malangnya mereka terlupa bahawa sekolah yang paling awal untuk anak-anak adalah 'SEKOLAH KEIBUBAPAAN'. Kelasnya adalah RUMAH dan gurunya adalah IBU BAPA! Corak pemikiran terawal adalah datangnya daripada cara didikan ibu bapa terhadap anak-anak.

1. "'Apa yang cikgu-cikgu sudah buat pada anak saya?"
2. "Kenapa anak saya berubah?"
3. "Mengapa anak saya boleh gagal?"
4. "Why?"....
Soalan bonus yang sering sampai ke telinga para guru di sekolah.

Justeru, kepada ibu bapa, sebelum soalan tersebut berlegar dalam minda, bergelung dalam kerongkong dan terpacul dari lidah, tanyakan pada diri anda:

1. "Apa yang anda telah buat selama 3 atau 5 tahun kepada anak-anak anda di rumah (sebelum anda menghantar mereka ke alam sekolah?"
2. "Apa yang anak-anak anda telah belajar daripada 'SEKOLAH KEIBUBAPAAN' milik anda? Yang kelasnya adalah RUMAH dan gurunya adalah IBU BAPA!"

KASIH SAYANG
Kata orang Melayu, "love is heart." (Sayang adalah satu perasaan dalam hati)
Kata 'mat saleh' pula, "love is verb." (Sayang itu satu perbuatan)

Rasionalnya, orang Melayu lebih banyak bermain dengan perasaan. Sayang hanya falsafah dan tersimpan dalam hati. Ramai ibu bapa yang sayangkan anak-anak tetapi tidak tahu dan MALU untuk menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak mereka. Bagi ibu bapa yang begini, cukuplah - "Kau tahu dan aku tahu."

Kesannya, anak-anak kurang mendapat kasih sayang, belaian dan perhatian yang cukup daripada ibu bapa mereka. Kemudian, jiwa yang kosong dengan kasih sayang tadi, apabila melangkah ke alam sekolah mereka mendapat perhatian yang cukup daripada kawan-kawan. Maka, tidak mustahillah mereka gagal mengikut landasan dan piawaian ibu bapa.

'Mat saleh' yang tidak berapa hendak soleh ini pula berpendapat bahawa sayang itu adalah pebuatan yang mesti ditunjukkan dengan penuh perasaan dan disalurkan dengan gerak kerja yang jelas.

Kesannya, anak-anak matang dalam menilai sesuatu, berani berhadapan risiko kehidupan, tiada tekanan perasaan dan mereka tahu bahawa ibu bapa boleh menjadi pendengar yang baik berbanding kawan-kawan. Maka, anak-anak akan lebih menyayangi ibu bapa mereka.

PERBAIKI SETIAP SISI
1. Masih belum terlambat untuk menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Duduk bersama dan dengarlah luahan hati anak-anak yang bermasalah sehingga mereka berasa ibu bapa adalah sahabat yang paling rapat untuk berkongsi.

2. Mulakan dengan salam dan peluk anak-anak sebelum berpisah walaupun untuk ke tempat tidur.

3. Peka dengan minat dan rutin anak-anak. Duduk dan temanilah anak-anak membuat sesuatu hobi yang disukai oleh mereka termasuklah ketika mereka membuat kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru.

4. Cerita dan kongsilah pengalaman anda bersama ibu bapa ketika kecil dan remaja satu ketika dahulu.

5. Selalulah bertanyakan tenang sekolah dan kawan-kawan mereka. Kenali ibu bapa kepada sahabat anak-anak anda. Ajak kawan-kawan mereka berkunjung ke rumah dan buat kunjungan balas.

6. Didiklah anak-anak solat seawal 7, 8 dan 9 tahun dan wajibkanlah mereka menunaikannya ketika berumur 10 tahun.

KESIMPULAN
Ingatlah, kunci kejayaan adalah Allah. Biar apapun usaha, tetapi sekiranya tidak berpaksi kepada Tuhan yang maha esa, maka impaknya tidak sempurna.

Buat anak-anak yang terbaca artikel ini, hargailah jasa ibu bapa. Terimalah ibu bapa seadanya. Cubalah berkongsi masalah dengan ibu bapa biarpun anda tidak terlalu dihargai. Kerana tidak semua anda betul dalam setiap perkara. Ingatlah, ibu bapa memang sayangkan anda cuma mungkin tidak mahir untuk mempamerkan kasih sayang dalam jiwa.

Bagi ibu bapa pula, buangkanlah sikap ego. Tidak semestinya anda betul dalam semua perkara. Anak-anak permata dari Allah. Jadilah pendengar dan faham perasaan anak-anak dengan baik. Ingatlah, sekali anak-anak percayakan anda, tidak ada tempat lain yang akan mereka cari untuk bekongsi walaupun sahabat karib sendiri.

TERIMA KASIH ATAS PERHATIAN ANDA. HANYA ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI.

Kanan @ Kiri

Ahad, 8 April 2012

2 Komentar
Sejak kecil kita disuruh oleh ibu, ayah, datuk dan nenek untuk melakukan perkara yang baik dengan tangan kanan. 

Contohnya, bersalaman, memberi dan mengambil barang, makan minum dan sebagainya.

Kita juga diajar tangan kiri adalah tangan untuk cebuk (istinja'/membasuh kemaluan)

Namun, apabila meningkat dewasa, nasihat dan ajaran tersebut mula dilupakan.

Maka, saya ingin mengingatkan sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Apabila seseorang kamu makan, maka makanlah dengan tangan kanan dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanan. Maka sesungguhnya, syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri.

Hadis riwayat (direkodkan oleh) Muslim.

Oleh yang demikian, janganlah kita bimbang untuk mengotorkan cawan yang diminum dengan tangan kanan, kerana kebersihan hati itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan.

MHT: Kalau tidak silap, cebuk juga bermaksud gayung untuk menceduk air =)

Jangan Lari Dik...

Sabtu, 24 Mac 2012

0 Komentar
Remaja perlu diberikan kebebasan berfikir bukan kebebasan bertindak
Isu remaja lari dari rumah bukan isu baru. Tetapi kekerapan berita itu disebarkan menjadikan fenomena ini sesuatu yang tidak pernah lapuk.

Mutakhir ini, cerita remaja khususnya perempuan lari dari rumah semakin menjadi-jadi. Pelbagai kisah dan ceritera bertebaran dalam setiap media massa. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan kepekaan dan keprihatinan warga Malaysia sudah semakin jelas dan terbuka. Sebelum ini, isu demikian bukan tidak ada namun kadang kala disembunyikan demi menjaga air muka sesebuah institusi kekeluargaan.

TEKANAN
Remaja yang bermasalah sering menjadikan sahabat sebagai medan meluahkan perasaan berbanding ibu bapa. Dalam zaman globalisasi kini, internet pula menjadi ruang meneroka dan mencanai segala wadah. Justeru, apabila tiada keakraban dan wujud 'dinding' antara ibu bapa dan anak-anak ditambah dengan perkenalan tidak sihat dalam laman sesawang, membuka lagi ruang untuk remaja lari dari masalah hidup yang dinamakan mereka sebagai tekanan.

Oleh yang demikian, ibu bapa seharusnya peka terhadap perasaan dan tindak tanduk anak remaja mereka. Kesibukan kerja bukanlah alasan untuk mengabaikan rasa kasih sayang. Sentuhan dan belaian amat penting ketika jiwa anak-anak sedang meningkat remaja. Mereka amat memerlukan perhatian dan tunjuk ajar daripada ibu bapa. Pandu mereka berfikir dengan matang. Jangan terlalu mengongkong dan berikan sedikit kebebasan selagi tidak melanggar batas syarak.

POSITIF
Selagi bergelar manusia, kita tidak dapat lari daripada dibelenggu masalah samada kecil atau besar. Inilah yang dinamakan dugaan dan ujian daripada Allah.Sesungguhnya, Allah tidak memberikan kita  beban melainkan apa yang termampu untuk kita bawa.

Remaja selalu merungut dengan setiap masalah mereka. Sedangkan Allah sudah memberitahu:

"Tuhan tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." - Surah al-Baqarah ayat 286.

Remaja selalu merungut kerana tidak dapat apa yang mereka idamkan. Sedangkan Allah sudah mempunyai jawapannya:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu, Tuhan mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." - Surah al-Baqarah ayat 216.

Remaja selalu rasa kecewa, lemah semangat dan tertekan sedangkan Allah sudah menasihatkan:

"Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, sekiranya kamu orang-orang yang beriman - Surah ali- Imran ayat 139.

Remaja sering buntu untuk menyelesaikan masalah sedangkan Allah sudah menunjukkan jalannya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Tuhan supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan) - Surah Ali-Imran ayat 200.

Remaja selalu mengadu bermasalah tetapi mereka lupa pesan Allah:
"Dan mintalah tolong (kepada Tuhan) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali orang-orang yang khusyuk - Surah al-Baqarah ayat 45.

Remaja selalu rasa rugi dalam membuat kebaikan sedangkan Allah telah berjanji:

"Sesungguhnya Tuhan membeli daripada orang-orang mukmin diri, harta mereka dengan memberi syurga kepada mereka." - Surah at-Taubah ayat 111.

Remaja selalu salah membuat pilihan dalam memberikan kepercayaan sedangkan Allah sudah mengajar:

"Cukuplah Tuhan bagiku, tiada Tuhan selain darinya. Hanya kepadanya aku bertawakkal."- Surah at-Taubah ayat 129.

Remaja selalu tidak bersemangat dan rasa bosan dengan hidup hingga ada yang sanggup lari dan bunuh diri. Ingatlah pesan Allah:

"Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Tuhan. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Tuhan itu melainkan kaum yang kafir." - Surah Yusuf ayat 87.

Justeru, janganlah lari daripada masalah. Berfikirlah secara positif dengan menganggap setiap masalah sebagai ujian untuk menjadi lebih kuat dan matang. Berkongsilah masalah dengan ibu bapa, guru atau orang yang boleh dipercayai dapat memberi laluan ke arah kebaikan dan kejayaan.

MHT: Membelakangkan Allah adalah sebesar-besar masalah.

Nilai Merentasi Kurikulum

Sabtu, 11 Februari 2012

0 Komentar
Beras kecil mampu memberi kesan yang besar!
Ada segelintir manusia yang menganggap bahawa tugas guru adalah jawatan yang tidak profesional. Wujud juga sekelompok manusia yang beranggapan bahawa mengajar sekolah rendah adalah tugasan yang enteng. Selain itu, terdapat secebis persepsi yang memperlekeh dan merendah-rendahkan martabat guru sekolah rendah.

Ternyata hari ini, beban guru khususnya sekolah rendah bukanlah kecil-kecil anak. Berkisah atas pengalaman, tugas guru sekolah rendah tidak boleh dipandang sebelah mata. Dalam mendepani arus globalisasi, kerja mendidik murid-murid sekolah rendah amat memerlukan perhatian dan pengorbanan. Hal ini kerana, generasi masa kini adalah golongan yang sofistikated, moden dan cepat terpengaruh dengan pelbagai anasir yang tidak sihat.

Oleh yang demikian, kekuatan akidah murid-murid sekolah rendah yang beragama Islam mesti dipertahankan dan dimantapkan sedari kecil. Malahan, peribadi dan sahsiah murid-murid bukan Islam juga harus diperhalusi dan dijaga agar masyarakat yang harmoni dapat direalisasikan dengan baik.

Roh Ilmu

"Ustaz dan ustazah sudah ada, buat apa kita susah-susah..."

Dialog basi dan sikap lepas tangan daripada sebahagian guru-guru akademik dalam menentukan perjalanan akidah murid-murid adalah salah satu sebab hilangnya 'roh ilmu' dalam sekolah. Hari ini, sekolah hanya menjadi pusat perkumpulan anak-anak muda dan rakan sebaya serta tempat ibu bapa melaburkan wang ringgit. Namun, apabila murid-murid melangkah keluar dari pagar sekolah, 'roh ilmu' itu turut sama hilang dan terbang daripada ingatan. Natijahnya, timbullah pelbagai gejala sosial yang merunsingkan dalam masyarakat.

Modus Operandi 

Demi kelangsungan sebuah masyarakat dan negara yang bertamadun, guru-guru khususnya pendidik sekolah rendah mesti memainkan peranan yang lebih jitu dan tersusun. Proses pengajaran dan pembelajaran [P&P] dalam kelas mesti menjurus ke arah pemantapan akidah dan sahsiah Islam.

Bagaimana guru Matematik mahu bercerita tentang Islam?
Bagaimana guru Kajian tempatan hendak mengaitkan pelajarannya dengan Islam?
Bagaimana pula guru Geografi  dan Sains boleh mengajar Islam kepada muridnya?
Bagaimana?

Saya tidak berniat untuk mengajar guru-guru tetapi mahu berkongsi matlamat. Sesungguhnya, falsafah pendidikan negara amat berhasrat untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, usaha tersebut amat menuntut guru-guru agar memantapkan jati diri.

Maka, di sinilah kaedahnya bermula.

Para pendidik yang sedar, perlulah mendalami ilmu agama dan berusaha membaiki diri dalam segala aspek terutamanya berkaitan akhlak dan peribadi. Selepas itu, baharulah mereka boleh menyerap pengetahuan agama mereka melalui kurikulum dalam kelas.

Contohnya, guru Sains boleh mengingatkan murid-murid tentang kebesaran kuasa Allah dalam penciptaan langit dan cakerawala. Dengan kecanggihan teknologi, bahan bantu mengajar anda bukan sahaja mampu menarik minat murid-murid tentang Sains, malahan lebih daripada itu; membawa murid-murid menghayati kekuasaan Allah terhadap makhluknya.

Guru Matematik pula boleh menunjukkan kekuasaan Allah dalam mencipta jari jemari dan akal untuk mengira, mencongak dan berfikir secara kritis. Kreativiti amat penting untuk tugas murni seperti ini.

Perkara yang sama boleh juga diaplikasi dalam mata pelajaran akademik yang lain. Tidak perlu menghabiskan sepenuh masa untuk bersyarah tentang agama dalam kelas. Tetapi cukup sekadar menyentuh dan memberi kesedaran bahawa Islam adalah agama yang benar, mudah dan menyenangkan.

Ingatlah, sesaat kita membawa murid mengingati Allah, setiap saat Allah tidak pernah melupakan kita.

MHT: Guru mengajar akal. Pendidik membentuk jiwa. Murabbi mentarbiah hati. Intinya lillahi rabbi.

Benarkah Minyak Seri Murni dan Tepung Cap Sauh Mengandungi Bahan Berunsurkan Babi?

Rabu, 1 Februari 2012

0 Komentar


Dua hari lalu, gegak gempita isi rumah saya. Kertas fotokopi yang muncul entah dari mana bertukar tangan silih berganti. Satu artikel mengejutkan kami.

Minyak Seri Murni Mengandungi racun peluntur yang mangakibatkan barah?
Tepung Cap Sauh dan Cap Kunci berunsurkan babi?

Subhanallah! Berita itu benar-benar menyentak jantung. Sementelah, itulah antara barangan yang berbulan-bulan hadir dalam dapur rumah kampung kami dan telah lama mendarah daging dalam tubuh kerdil kami.

Yang paling ripuh adalah emak. Dia yang selama ini mendambakan sisa hidupnya untuk keluarga dan berhempas pulas mengisi tenggorok serta lohong perut kami, jadi gusar gara-gara berita gempar itu. Saya yang baru pulang dari tempat kerja dan belum hilang hengas, terus jadi bingung. Saya telan liur.

Kala malam melarut, akal terus ligat mencari kebenaran. Ruang sesawang Halal JAKIM saya redah tetapi jawapannya belum cukup memuaskan hati. Lantas, tampang sahabat karib muncul dalam minda. Lalu nombor bimbitnya saya dail untuk bertanyakan duduk pangkal cerita sebenar. Usai berbasa-basi, jawapan masih kabur dan meragukan. Tambahan, berita itu tidak pula keluar dalam akhbar dan televisyen. Musykil.

Arakian, berita itu terus larut dalam semalam.

Hari ini, laman sesawang yang luas sekali lagi saya terobosi. Alhamdulilah, sekarang saya dan keluarga lebih yakin dan pasti. Ternyata, tekaan kami bahawa artikel tersebut bermotif dengki dan politik adalah munasabah. Hakikatnya, pihak Jakim telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kepalsuan berita tersebut.

Sekarang, kami tidak ragu lagi. Minyak Seri Murni, Tepung Cap Sauh dan Cap Kunci sudah diiktiraf sijil halalnya oleh JAKIM. Sesungguhnya, Malaysia semakin yakin untuk menjadi negara hub halal di Asia. Malahan Malaysia semakin berusaha keras memastikan agar logo halal kita mendapat pengiktirafan di peringkat dunia. Maka, tidak mustahil andai ada pihak yang tidak bertanggungjawab turut berusaha keras untuk memastikan umat Islam menjadi musykil, ragu-ragu dengan perihal syubhah.

Ingatlah firman Allah dalam Surah At-Thariq ayat 5 dan 6 :

"Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, Wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya)."

Imam Bukhari dan Muslim juga pernah meriwayatkan sebuah hadis  

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: 

"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang / jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang / jelas,  

dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran, yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.  

Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya, dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. 

Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. 

Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan 
dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. 

Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. 
Ketahuilah ia adalah hati."

Peribahasa dan Perumpamaan Dalam Islam

Isnin, 2 Januari 2012

0 Komentar

Daripada Abu Musa al-Ash'ari r.a katanya, sabda Rasulullah SAW; 

"Bandingan mukmin yang membaca al-Quran seperti utrujah [sejenis buah limau], baunya harum dan rasanya elok; bandingan mukmin yang yang tidak membaca al-Quran seperti sebiji tamar, tidak mempunyai bau dan rasanya elok lagi manis.

Bandingan munafik yang membaca al-Quran seperti raihanah [kemangi/minyak wangi], baunya harum dan rasanya pahit. Dan bandingan munafik yang tidak membaca al-Quran seperti hanzalah [timun pahit], tidak mempunyai bau dan rasanya pahit."

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, sabda Rasulullah SAW;

"Sesungguhnya, orang yang tidak ada dalam perutnya sesuatu daripada al-Quran adalah seperti rumah yang runtuh [baitil kharib]."

Hadis riwayat Tirmizi, [Hadis hasan Sahih]

Kad Pengenalan PM

Rabu, 21 Disember 2011

0 Komentar

MHT: Pernahkah anda lihat gambar ini? Anda kenal tokoh-tokoh ini? Sekarang senaraikan pembangunan yang telah mereka lakukan?

Perlukah Ustaz Kelakar?

Sabtu, 3 Disember 2011

0 Komentar
Golongan ustaz selalu diterjemahkan sebagai seorang yang alim, berkopiah atau bersongkok, berjubah atau berbaju melayu, kaki masjid dan pandai berbahasa Arab serta bersuara lunak ketika mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dan hadith.

Begitu juga pandangan umum terhadap golongan ustazah.

Apabila stesen TV al-Hijrah memperkenalkan Ustaz Don dalam siarannya, ramai yang memuji dan memilih untuk menonton.

"Ustaz itu baguslah."

"Kenapa?"

"Sebab dia kelakar."

"..."

Perbualan itu juga sering kali kedengaran tatkala sesebuah program ceramah itu selesai. Bagi umat Islam di Malaysia, ceramah yang enak adalah ceramah yang tidak mengantuk dan penuh dengan lelucon atau sindir tawa. Jika tidak, program agama akan terasa hambar dan 'menggerunkan' untuk sesetengah pihak.

Barangkali ada benarnya. Tetapi wajibkah seseorang ustaz atau ustazah itu menjadi 'raja lawak' dalam ceramah atau kelasnya?

Persoalan ini harus dibincangkan dan difikirkan bersama. Sekiranya pemikiran ini berterusan, matlamat untuk mendalami ilmu Islam tidak akan tercapai sepenuhnya. Apa yang tertinggal dalam benak kita sesudah pengajian itu berlangsung adalah lawak jenaka dan senda gurau yang mencuit hati. Isi pengajian hilang entah ke mana.

Menyentuh mengenai persoalan persepsi umum terhadap golongan ustaz dan ustazah pula perlu diperbetulkan. Dalam mendepani arus perdana, golongan ini tidak dapat lari daripada mengikut peredaran zaman dalam membawa karakter dan perwatakan.

Justeru, janganlah mudah menyalahkan golongan ustaz dan ustazah 'moden' ini sekiranya mereka kelihatan tidak sama dengan figura ulama yang digambarkan seperti zaman nabi terdahulu. Masyarakat harus akur bahawa mereka juga mempunyai kehidupan yang harus diseimbangkan dengan masyarakat sekeliling.

Selagi ustaz dan ustazah 'moden' ini tidak melakukan sesuatu yang melanggar batas Islam dalam soal berpakaian dan perbuatan, selagi itulah penilaian terhadap mereka harus bertunjangkan rasa kesederhanaan [wasatiah] dan kebersamaan.

Apa pendapat anda?

MHT: Satu jari menuding orang, empat lagi menunjuk diri sendiri.

Berapa Banyak Titik Hitam?

Isnin, 28 November 2011

2 Komentar



"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails