Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Nilai Merentasi Kurikulum

Sabtu, 11 Februari 2012

Beras kecil mampu memberi kesan yang besar!
Ada segelintir manusia yang menganggap bahawa tugas guru adalah jawatan yang tidak profesional. Wujud juga sekelompok manusia yang beranggapan bahawa mengajar sekolah rendah adalah tugasan yang enteng. Selain itu, terdapat secebis persepsi yang memperlekeh dan merendah-rendahkan martabat guru sekolah rendah.

Ternyata hari ini, beban guru khususnya sekolah rendah bukanlah kecil-kecil anak. Berkisah atas pengalaman, tugas guru sekolah rendah tidak boleh dipandang sebelah mata. Dalam mendepani arus globalisasi, kerja mendidik murid-murid sekolah rendah amat memerlukan perhatian dan pengorbanan. Hal ini kerana, generasi masa kini adalah golongan yang sofistikated, moden dan cepat terpengaruh dengan pelbagai anasir yang tidak sihat.

Oleh yang demikian, kekuatan akidah murid-murid sekolah rendah yang beragama Islam mesti dipertahankan dan dimantapkan sedari kecil. Malahan, peribadi dan sahsiah murid-murid bukan Islam juga harus diperhalusi dan dijaga agar masyarakat yang harmoni dapat direalisasikan dengan baik.

Roh Ilmu

"Ustaz dan ustazah sudah ada, buat apa kita susah-susah..."

Dialog basi dan sikap lepas tangan daripada sebahagian guru-guru akademik dalam menentukan perjalanan akidah murid-murid adalah salah satu sebab hilangnya 'roh ilmu' dalam sekolah. Hari ini, sekolah hanya menjadi pusat perkumpulan anak-anak muda dan rakan sebaya serta tempat ibu bapa melaburkan wang ringgit. Namun, apabila murid-murid melangkah keluar dari pagar sekolah, 'roh ilmu' itu turut sama hilang dan terbang daripada ingatan. Natijahnya, timbullah pelbagai gejala sosial yang merunsingkan dalam masyarakat.

Modus Operandi 

Demi kelangsungan sebuah masyarakat dan negara yang bertamadun, guru-guru khususnya pendidik sekolah rendah mesti memainkan peranan yang lebih jitu dan tersusun. Proses pengajaran dan pembelajaran [P&P] dalam kelas mesti menjurus ke arah pemantapan akidah dan sahsiah Islam.

Bagaimana guru Matematik mahu bercerita tentang Islam?
Bagaimana guru Kajian tempatan hendak mengaitkan pelajarannya dengan Islam?
Bagaimana pula guru Geografi  dan Sains boleh mengajar Islam kepada muridnya?
Bagaimana?

Saya tidak berniat untuk mengajar guru-guru tetapi mahu berkongsi matlamat. Sesungguhnya, falsafah pendidikan negara amat berhasrat untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, usaha tersebut amat menuntut guru-guru agar memantapkan jati diri.

Maka, di sinilah kaedahnya bermula.

Para pendidik yang sedar, perlulah mendalami ilmu agama dan berusaha membaiki diri dalam segala aspek terutamanya berkaitan akhlak dan peribadi. Selepas itu, baharulah mereka boleh menyerap pengetahuan agama mereka melalui kurikulum dalam kelas.

Contohnya, guru Sains boleh mengingatkan murid-murid tentang kebesaran kuasa Allah dalam penciptaan langit dan cakerawala. Dengan kecanggihan teknologi, bahan bantu mengajar anda bukan sahaja mampu menarik minat murid-murid tentang Sains, malahan lebih daripada itu; membawa murid-murid menghayati kekuasaan Allah terhadap makhluknya.

Guru Matematik pula boleh menunjukkan kekuasaan Allah dalam mencipta jari jemari dan akal untuk mengira, mencongak dan berfikir secara kritis. Kreativiti amat penting untuk tugas murni seperti ini.

Perkara yang sama boleh juga diaplikasi dalam mata pelajaran akademik yang lain. Tidak perlu menghabiskan sepenuh masa untuk bersyarah tentang agama dalam kelas. Tetapi cukup sekadar menyentuh dan memberi kesedaran bahawa Islam adalah agama yang benar, mudah dan menyenangkan.

Ingatlah, sesaat kita membawa murid mengingati Allah, setiap saat Allah tidak pernah melupakan kita.

MHT: Guru mengajar akal. Pendidik membentuk jiwa. Murabbi mentarbiah hati. Intinya lillahi rabbi.

0 Komentar:

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails