Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Mengadu Untuk Menasihat

Isnin, 12 Julai 2010


Sejak akhir-akhir ini saya sering mendengar berita tentang kesusahan dan kesakitan yang menimpa orang-orang di sekeliling saya. Malah lebih daripada itu, saya kerap melihat dan mendengar sendiri luahan perasaan sahabat-sahabat yang [secara tiba-tiba] menjadikan saya sebagai telinga untuk mereka khabarkan rasa sakit yang menyelubungi emosi dan tubuh mereka. Ada yang biasa-biasa namun ada jua yang kronik dan meruntun jiwa.

Kadangkala keliru mula menepuk kubu iman. Saya tidak tahu mengapa 'fenomena' ini tiba-tiba menjadi salah satu daripada warna yang menjalur dalam relung hidup saya. Walhal, secara jujur, saya juga sering kali letai hingga terbeban dan terkandas dalam mendepani ujian di pentas dunia milik Tuhan ini. Lalu, saya berlama-lama mendiam dan cuba lari ke pojok sepi.

Maha suci Allah! Anda tahu apa yang saya temui? Saya mencari-cari suatu hikmah dan saya temui suatu yang sepatutnya telah lama menjarah dalam hati. Kebelakangan ini, kawan-kawan sering mengadu kepada saya tentang pelbagai masalah.


Saya diadu tentang kesusahan membuat tugasan. Tetapi saya tersedar bahawa saya sendiri tidak pernah sempurna dalam menjalankan tugasan!

Saya diadu tentang keterbatasan tenaga dan kesempitan waktu. Tetapi saya sendiri acapkali gagal melunaskan jadual dan menepati waktu!

Saya diadu tentang kealpaan mereka terhadap sesetengah amalan ibadah. Tetapi saya amat sedar bahawa diri ini mungkin lebih leka daripada mereka dalam menunaikan tuntutan Allah!

Saya diadu tentang kesakitan yang menimpa tubuh. Tetapi saya tidak mampu memberikan nasihat secara langsung kerana saya tahu saya tidak berupaya merasai penderitaan mereka. Saya berusaha memahami namun mungkin saya gagal. Saya terfikir, sepanjang hidup ini, saya tidak pernah ditimpa sakit yang kronik namun sejauh manakah saya mensyukuri nikmat Allah?! Saya sihat, namun sejauh manakah saya memanfaatkan kesihatan yang menyelubungi tubuh?! Istighfar. Istighfar. Istighfar.

Rupa-rupanya, khabar dan aduan yang menyelinap ke ceruk pancaindera, jadi hujah kental menampar kembali emosi dan keimanan saya selama ini. Saya terpempan. Seluruh urat yang bersimpang-siur mengecut dalam tubuh. Saya tersedar bahawa setiap aduan tersebut telah menjalar dan menjadi nasihat yang halus pada saya, makhluk yang kerdil dan amat lemah ini.

Lantas, saya bawa hati menemui kalam Tuhan dalam kitab yang paling masyhur; yang disampaikan oleh Rasul yang paling agung di alam ini. Lalu, saya temui dan cuba meladeni mafhumnya yang berbunyi:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."


Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya."

Al-Baqarah: 155-157.

Sekarang saya tahu, anda tentu sedar bahawa dengan bersabarlah, segala ujian dan bebanan yang terpundak di bahu akan dapat digalas. Sabarlah. Kepada sahabat-sahabat yang sedang menderita sakit, takziah dan mohon maaf sangat-sangat saya ucapkan kerana tidak banyak yang dapat saya bantu melainkan menjahit 'sabar' sebagai sulaman di lantai kalbu. Kini, saya sanggup terima segala aduan daripada sahabat-sahabat dan orang di sekeliling jika itulah caranya untuk menasihati jiwa dan akal yang leka.

Ayuh, mengadulah, dan saya sedar bahawa Allah sedang mengajar anda untuk menasihati saya. Moga aduan kalian akan jadi nasihat berguna untuk memuhasabah diri saya. Hakikatnya, manfaatnya nanti akan dapat kita kongsikan bersama insya-Allah. Sekali lagi, bersabarlah dan berdoalah kerana Allah sedang menguji kita.

6 Komentar:

SweeTWIN berkata...

bersabar... moga dengan kesabaran akan membuatkan kita lebih matang menjalani kehidupan... insya-allah... :)

Hafizi Tajuddin berkata...

syukran. Insya-Allah sama2 kita berdoa.

tore berkata...

den msh terasala fizi ttg shbt kta ni..x tau nk wat cmne..diri sendiri terasa gak..x dpt nk ungkap dgn kata2 kes dea ni..moga Allah bg beliau kekuatan..amin..

Duan berkata...

haha.. betul doh tu..
masing² pakat sumbak hal masing².. huhuu..
apa² pun, sabar je.........................

Hafizi Tajuddin berkata...

alhamdulillah, syukur ada shbt yg fhm.

Duan berkata...

sumbak tu mcm tekan, tension dll.. haha..

sumbak sangat, sampai x leh nak buat apa2..

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails