Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Video: Sampan Mak Mah Diserang Lanun!

Rabu, 2 Jun 2010

Pagi itu matahari malu-malu hendak keluar. Cuaca agak lembab memandangkan malam sebelum itu hujan datang berbondong-bondong. Mak Mah di serambi rumah terdongak-dongak memandang langit yang muram. "Barangkali hujan nak turun lagi." Gumam Mak Mah sambil mulutnya tak henti-henti mengunyah tembakau yang dibeli dari Kedai Dak Chin di tengah kampung.

"Tak payahlah Cik Mah hoi nak sibuk-sibuk hal orang. Kebun kita yang dilanggar gajah hari tu pun belum dapat kita bangunkan. Duit jual ayam itik pun dah tak ke mana lagi Mah. Ni, awak pulak susah payah nak bagi kat orang buat apa?! "Leter Pak Mat Keding kedengaran jelas dari bawah rumah. Terketar-ketar tangan kedingnya saat mengajukan anak kunci pada mangga reban ayamnya. Ayam betina Pak Mat Keding riuh rendah seolah-olah membenarkan kata-kata tuannya.

Mah Mah cuma diam. Dia yakin apa yang ingin dia buat. Celoteh suaminya langsung tidak diambil kisah. Mak Mah yang dari tadi bersimpuh di lantai kayu bangkit berdiri. Lehernya dipanjangkan setengah inci. Matanya yang agak rabun dijegilkan demi memastikan apa yang dia nampak itu benar.

Sah! Mak Lang Esah, Cik Jah Limau, Cik Poziah dan beberapa orang wanita lagi kelihatan sedang menuju ke teratak usangnya. Pantas dan tergesa-gesa. Senyum Mak Mah meleret ke pipi. Tidak disangka usahanya berkempen keliling kampung selama ini telah membuahkan hasil.

Salam Mak Lang Esah dan rombongannya di laman rumah disambut penuh semangat oleh Mak Mah.


"Aduh, letihnya Mak Mah.. susah betul nak sampai rumah ni.. turun bukit naik bukit. Nah, barang-barang yang Mak Mah pesan semua kami dah pikul. Mana yang termampu sajelah kami angkut. Yang lain nanti Suami Kak Lobak yang bawa. Mak Mah tak perlu risau. Hah, dah siap ke Mak Mah?" Seperti biasa suara Cik Jah Limau memetir. Dua orang wanita di belakangnya terangguk-angguk. Pak Mat Keding yang sedang ralit membersihkan reban ayam kesayangannya merasa terganggu. Dengan pantas dia memasukkan beberapa ekor ayam yang telah siap diikat kemas ke dalam sangkar rotan. Sambil membetulkan parang di pinggang dia menuju ke laman.

"Eh, mana boleh bawa parang Pak Mat. Nanti dituduhnya kita macam-macam. Ini arahan Tok Penghulu." Getus Cik Poziah kala kelibat Pak Mat Keding muncul dari bawah rumah.

"Ah, arahan tak arahan. Kalau Mak Mah kau ni diapa-apakan macam mana?" Jeling Pak Mat Keding. Mak Mah senyum malu-malu. Sayang juga Pak Mat pada dirinya.

"Tapi, betul juga kata si Pozi tu bang. Kalau kita dituduh nanti, tak ke bahaya jadinya. Tak apalah, mereka kan dah janji takkan ada apa-apa yang berlaku, insya-Allah." Ujar Mak Mah berlembut.

"Yelah, Pak Mat. Doa banyak-banyak. Moga semuanya selamat." Mak Lang Esah mengiyakan.

Dengan berat hati Pak Mat Keding menyimpan parangnya di dapur rumah. Mak Mah mengambil barang-barangnya termasuk beberapa bungkusan makanan dan pakaian. Setelah semuanya selesai, maka berangkatlah mereka menuju pengkalan.

Setibanya di tebing sungai, berteriaklah orang kampung, "Mak Mah dah sampai! Mak Mah dah sampai!" Mak Mah memberi salam dan disambut oleh berpuluh-puluh orang kampung di situ. Orang-orang yang hanya ada kekuatan dalam hati. Hanya tahu dan percaya bahawa cuma ada Tuhan yang satu dalam dunia.

"Semua dah sedia?!" Suara lantang Mak Mah disahut dengan jawapan yang luar biasa meriahnya. Mak Mah senyum bangga. Lalu, kira-kira tujuh buah sampan pun ditolak ke tepian sungai. Maka, tidak sampai beberapa dayungan, berlayarlah sampan-sampan Mak Mah dan orang kampung menuju ke kawasan sungai yang lebih luas.

Saat itu tidak ada yang bersuara melainkan bunyi kumat-kamit daripada mulut-mulut mereka. Di tengah sampan, Mak Mah memberanikan diri untuk berdiri memerhati keadaan sekeliling. Ada sampan yang membawa ubat-ubatan. Ada yang mengangkut beras dan bahan-bahan makanan. Ada yang mengendong pakaian dan macam-macam lagi.

Pelbagai reaksi tergambar di wajah anak-anak buahnya. Ada yang gusar, ada juga yang tenang. Yang pasti, jauh di sudut hati mereka tergumpal segulung keyakinan yang padu.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan tiba di tengah hari. Tanpa diduga, rombongan sampan Mak Mah diserang oleh lanun yang telah lama memerhati. Entah dari mana datangnya, seluruh anak buah Mak Mah ditahan di tengah sungai; tidak jauh dari destinasi yang hendak dituju. Mak Lang Esah, Cik Jah Limau, Cik Poziah dan seluruh orang kampung yang ikut serta keresahan.

Bukan risaukan keselamatan mereka, bukan juga nyawa mereka tetapi bimbangkan barangan yang mereka bawa dirampas. Saat itu, tergambar di benak Mak Mah wajah-wajah orang kampung seberang yang sedang sakit tenat dan perlukan bantuan. Andainya barangan yang mereka bawa ini tidak sampai kepada mereka, maka sia-sialah usahanya mengumpul misi besar sebegini.

Pak Mat Keding mendengus geram. Di hatinya menyumpah-nyumpah Tok Penghulu. "Kalaulah aku bawa parang tadi..!"

Sehari sudah berlalu.

Di teratak Tok Penghulu kini suasana sedang gegak gempita. Orang kampung yang tinggal dan tidak menyertai rombongan Mak Mah mula membuat bising di laman rumah Tok Penghulu. Ada yang tua, ada juga yang muda. Ada lelaki, ada jua wanita. Malahan kanak-kanak juga kelihatan turut serta. Pelbagai jeritan dan tohmahan bersipongang di laman Tok Penghulu. Semuanya menjerit-jerit minta penjelasan dan khabar tentang rombongan Mak Mah.

Dari dalam kamar, Tok Penghulu menikus. Gentar, gamam, kalut. Pelbagai rasa kini bergelandangan dalam jiwa. Lidahnya kelu dan gagal menyusun kata.

"Bagaimana ni Pak Penghulu? Orang kampung sudah mula bising. Apa yang harus kita buat?" Orang suruhan Tok penghulu bersuara sambil mundar mandir di luar kamar. Tok Penghulu menggigil. Akalnya buntu.

Tiba-tiba dia mendapat suatu akal. Dikeluarkan sekeping kulit kayu dan dicalitkan beberapa tinta di atasnya. Lalu, kulit itu diserahkan kepada orang suruhannya. "Berikan pada orang kampung dan jangan tuturkan apa-apa. Muktamad."

Dengan langkah yang terbata-bata, orang suruhan itu turun ke laman sambil membawa kepingan kulit kayu yang tidak difahami isinya itu. Orang kampung yang tadinya bising diam serta-merta. Tidak menunggu lama, mereka semua bersurai tanpa memandang malah tidak menjeling sedikitpun pada isi yang tercatat di atas kulit kayu itu. Laman yang tadinya riuh kini lengang.

Orang suruhan Tok Penghulu terpinga-pinga. Dia cuba-cuba menggali makna. Diangkat-angkat kepingan kulit kayu itu demi mencari petunjuk namun gagal. Tiba-tiba sebuah gambaran berwarna muncul sedikit demi sedikit di atas permukaan kayu di tangannya. Wajah Mak Mah, Pak Mat Keding dan rombongannya muncul satu persatu. Alangkah terperanjatnya dia saat itu. Kalian tahu apa yang berlaku?

Inilah gambaran yang muncul di atas kepingan keras itu beberapa saat sebelum orang suruhan itu ditangkap oleh tentera Tok Penghulu...



Berikut adalah gambaran lain yang dapat kalian saksikan, insya-Allah (klik) :





5 Komentar:

Tanpa Nama berkata...

Apo ni.. x paham lgsung.. hikhikhik....

Hafizi Tajuddin berkata...

klik dan saksikanlah sendiri..ni kan kiasan..hanya org y ada mata hati saje mengetahui..

Hafizi Tajuddin berkata...

Maaf,Kalau line internet lembab memang susah sikit nak tengok video tu..

hurm el raa berkata...

sye ni org yg x de mata hati.. sbb tu la fhm ala kadar je.. tp x pe.. terima kasih ye hafizi ye.. nnti post kan article yg best2 lagi tau..

kuz berkata...

ending kurang paham sket..tp cter da best da..baguih2..

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails