Follow by Email

Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Malam Cinta Rasul 2013 - Hiburan Alternatif Remaja.

Isnin, 25 Mac 2013

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Maha pencipta. Ajakan daripada seorang murid yang disampaikan melalui seorang sahabat guru pada mulanya saya pandang sepi tanpa rasa teruja.

Sungguh hidayah itu milik Allah. Selang beberapa hari, saya layari laman sesawang dan membuat sedikit kajian tentang Habib Syeh dan malam cinta rasul. Ternyata, apa yang saya temui lebih daripada jangkaan. Majlis yang pernah diadakan pada tahun lalu rupa-rupanya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Jumlah kehadiran bukan calang-calang anak.

Atas rasa cinta kepada Rasulullah dan kaum kerabat baginda, saya gagahkan diri dan membuang semua bisikan dan kelat-kelat hitam dalam hati. Bahkan, saya muat turun poster majlis yang mulia ini dan saya sebarkan dalam facebook serta blog.

Sabtu, 23 Mac 2013. Perjalanan ke lorong dakwah dari Seremban ke Kuala Lumpur terasa dipermudahkan Allah. Seolah-olah ada tali yang menarik kenderaan kami sepanjang jalan. Maha suci Allah.

Malam Sabtu. Dataran Merdeka yang sebelum ini lengang dan kadang-kala ripuh dengan suara-suara artis bergelandangan tetapi malam itu menjadi sangat meriah dengan cahaya lampu yang terang benderang. Tetapi bukan itu yang menjadi ukuran. Malam itu dapat saya rasakan bahawa setiap helai rumput yang terpijak di tanah lapang itu pasti bangga dan redha untuk menjadi saksi pada setiap tapak kaki yang menginjaknya.

Dan saya sangat bersyukur kerana menjadi salah satu daripada sekian banyak tapak kaki yang berpijak di malam cinta rasul!

Realitinya, suara-suara zikir dan pujian yang berkumandang dan menyelubungi malam minggu itu menutup semua bunyi motor-motor rempit yang biasanya menguasai pancaindera anak kota. Alunan dan gerak tubuh makhluk-makhluk di dataran saat itu sangat meruntun hati-hati yang rindu kepada baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

Biarpun waktu hampir menuju detik 12 malam, kaki tidak terasa kebas dan tubuh tidak terasa letai. Alhamdulillah. Aura positif bersipongang dan mengikat hati-hati untuk bertahan. Sungguh!

Kemerduan suara syeh yang bermadeh tanpa berhenti amat mengagumkan. Inilah bukti majlis ilmu masih lagi diminati dan zikir sebegini dengan rentak muzik yang mengasyikkan berjaya menarik anak muda untuk turut serta tanpa ada nilai pesimis.

Tatkala pulang pada lewat malam, kaki melangkah dengan hati tenang dan palitan rindu yang sangat mendalam kepada Rasulullah, penghulu para nabi.

Dan saya terfikir, siapakah yang menggerakkan hati murid tersebut untuk mengajak hati ini? Dan suara siapa yang menggetarkan serta mengetuk karat pintu hati kecil saya ini? Subhanallah!

Dan saya sempat memandang langit malam itu dengan sayu dan sepi.

Nikmat mana lagi yang ingin saya dustakan?

2 Komentar:

khaulah berkata...

Assalamualaikum ust,
kami asalnya pun nak turun ke sana, tetapi memandangkn lokasinya nun jauh di tengah kota n bimbang pulang lewat malam, kami pilih untuk konvoi ke Masjid Negeri Shah Alam, ada UAI...pun best juga...

#kalau tak silap ada malam cinta Rasul juga setiap malam jumaat kat Masjid Muaz bin Jabal.
http://www.darulmurtadza.com/

Hafizi Tajuddin berkata...

Alhamdulillah. Terima kasih atas perkongsian.

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails