Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Bercuti Dengan Al-Quran

Rabu, 23 November 2011

Musim cuti sekolah sudah bermula. Ramai dalam kalangan ibu bapa yang membawa anak-anak melancong dan berlibur tidak kira samada di dalam atau luar negara.


Bagi ibu bapa yang mempunyai kesedaran agama, mereka akan mencari mana-mana iklan yang menawarkan kelas kemahiran al-Quran untuk anak-anak mereka.


Bercuti dengan al-Quran adalah keputusan yang tepat pada masa kini. Keripuhan waktu belajar ditambah dengan pelbagai aktiviti kokurikulum sepanjang waktu persekolahan sepanjang setahun ini, tidak memungkinkan untuk para pelajar melazimkan diri dengan kitab suci Allah. Fakta ini sering sahaja menjadi alasan bagi golongan yang sentiasa berdalih.


Tetapi sekarang, musim cuti sudah datang! Apakah alasan tersebut masih relevan?


Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas muzik dan tidak merungut apabila bayaran yang dikenakan tinggi daripada biasa. Mereka sanggup berhabisan semata-mata ingin melihat anak mereka mahir bermain alat muzik dan mantap seni vokalnya.


Sedangkan yuran kelas pengajian al-Quran sangat rendah dan tidaklah semahal kelas muzik malahan berbaloi untuk memanfaatkan masa cuti anak-anak. Pelbagai ilmu berkaitan al-Quran boleh digali daripada tenaga pengajar yang dijemput.


Adapun, guru mengaji janganlah meletakkan 'harga' untuk diri sendiri. Upah memang boleh diambil tetapi berpada-padalah dalam urusan. Didiklah para peserta yang hadir dengan ikhlas dan adil.


Ingatlah pesan Rasulullah, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya."


MHT: Sebarkan iklan kelas kemahiran al-Quran ibarat menabur benih di ladang yang subur. Tanahnya boleh dipugar, hasilnya boleh disebar.

0 Komentar:

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails