Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Jepun: Selangkah lagi ke Syurga

Ahad, 15 Mei 2011





Mendapat nama 'negara matahari terbit' mengingatkan bangsa Melayu kepada persengketaan Tanah Melayu dengan bangsa Jepun berkurun-kurun tahun yang lampau. Perjuangan yang dibumbui oleh rasa keegoaan memusnahkan erti keharmonian dan kemanusian.

Malaysia dan Jepun. Bagai sebuah tanah datar yang sama-sama punya nilai yang bersinar. Sama-sama pernah dijajah dan sama-sama pernah bangkit. Selepas pengeboman Hiroshima dan terbaru kejadian tsunami terbesar di Jepun memperlihatkan kepada dunia bahawa bangsa mereka bukan bangsa pengalah atau bangsa 'cukup makan'.

1. Jepun ibarat gunung berapi aktif yang terus mengeluarkan lavanya. Kredibiliti yang ditunjukan dengan terhasilnya pelbagai usaha yang segera terhadap mangsa-mangsa yang terkorban membuktikan mereka juga boleh bergerak pantas sepantas robot-robot ciptaan mereka.

Sedangkan Allah sudah lama menyarankan kita agar bersegera melakukan pertolongan terhadap golongan yang lemah sekalipun hanya membuang duri di jalanan.

2. Kecerdasan minda dan daya pemikiran yang kreatif menghasilkan implimentasi yang sungguh berinovasi. Dalam erti kata yang lain, mereka menghasilkan sesuatu terkadang bukan daripada idea mereka tetapi mencerap idea dan mengubahnya menjadi lebih canggih daripada orang lain.

Sebagai contoh, sistem urut kaki telah lama diperkenalkan oleh tokoh perubatan Islam seperti Ibnu Sina tetapi idea refleksologi ini telah dikuasai, dikaji dan diajarkan dengan baik di Jepun. Natijahnya terhasillah pelbagai alatan moden demi urutan kaki malah kini ditambah
kerusi untuk urutan satu badan.

3. Penjagaan makanan juga turut dititikberatkan oleh bangsa Jepun. Mereka mengamalkan makanan rebus, kukus dan minum susu lebih banyak daripada makanan yang berempah, berminyak dan bergoreng. Mereka percaya makanan mampu mempengaruhi tahap imunisasi, kendiri tubuh dan intelektual. Lebih bijak, mereka menghasilkan makanan berkhasiat kini dalam pakej pembungkusan yang mudah dan moden sesuai dengan generasi muda hari ini.



Bayangkan, penjagaan perut dan pengambilan makanan yang berkhasiat sudah lama ditekankan dan diamalkan oleh Rasulullah dan golongan ulama terdahulu. Keperibadian baginda yang terpimpin termasuk dalam soal makanan juga ternyata menjadi ikutan bangsa Samurai ini.

4. Kecanggihan mereka menundukkan dunia ternyata tidak menghalang rakyatnya membelakangkan institusi negara dan adab resam bangsa. Contohnya, pengekalan bahasa ibunda Jepun jelas ketara di mana-mana; daripada papan tanda hinggalah kepada produk-produk di pasaran. Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Pepatah ini rasanya dapat menggambarkan betapa mereka tidak pernah meninggalkan budaya dan bahasa sekalipun diselimuti kemewahan.

Sesungguhnya, kalimah 'hubbul watan min al-iman' atau semangat cintakan negara tersebut sudah lama dilaung-laungkan oleh Islam. Sekiranya dahulu pejuang Islam bersatu menentang musyrikin pasti Palestin kini masih dalam genggaman kaum Muslimin.

5. Pembudayaan ilmu tidak perlu lagi dipertikai. Dalam zaman yang serba canggih mereka tidak pernah meninggalkan buku hatta mencipta alat yang hampir menyerupai buku demi menanam dan memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat. Senario tersebut dapat dilihat di mana sahaja sekalipun di warung-warung kopi!

Insaflah, Islam telah lama mengagungkan ilmu. Betapa ramai tokoh cendiakawan Islam yang menjelajah dan menjadi juru pandu atas dasar ilmu.

6. Penjagaan masa yang terancang tepat menjadi trademark bangsa Jepun sehingga ke hari ini. Kelewatan ibarat maruah mereka tercalar terutama dalam urusan-urusan penting berkaitan kerjaya.

Sedangkan ungkapan yang berbunyi 'al-waktu ka al-soifi' (waktu itu ibarat pedang) dan 'time is like a gold' (masa ibarat emas) telah lama mendarah daging dalam akal manusia. Tetapi pepatah itu hanya tinggal huruf dan rangka yang tidak pun sampai ke dalam jiwa.

7. Isu kebersihan dan hubungan dengan alam sekitar atau istilah modennya simbiosis kelihatan begitu ketara di negara Jepun. Setiap kajian yang dihasilkan meletakkan aras kebersihan alam sebagai satu tahap yang harus dipatuhi.

Renunglah fenomena ini dengan hati yang terbuka. Kebersihan adalah tanggungjawab setiap insan dan kebersihan merupakan saranan Allah dalam al-Quran! Amat memalukan apabila negara bergelar Islam tetapi masih 'merakyatkan kekotoran' sebagai penghuni tetap mereka zaman-berzaman. Ingatlah, Kebersihan adalah separuh daripada iman.

Sayangnya, makin ramai di Jepun yang sudah membunuh diri kerana tidak percaya pada takdir. Lebih teruk, membuang TUHAN dalam kamus hidup mereka saban hari. Agama ibarat jumud dan terkebelakang. Athies (tidak percaya tuhan) menjadi ikutan saban hari.



Jepun sudah menguasai lebih 50 peratus saham menuju syurga tetapi sayangnya, iman masih menjadi aras tertinggi yang harus dicapai. Bukan bertindak sebagai penanda aras, tetapi penulisan ini adalah bertujuan mengingatkan kita biarpun dengan kemajuan dan kecanggihan yang ada, tetapi tanpa iman segalanya akan lenyap dan sia-sia. Wallahu a'lam.

MHT: Malaysia masih jauh tertinggal ke belakang... Di mana kita...?

4 Komentar:

Tanpa Nama berkata...

hu3 aku suka .. nak post kat wall FB lah

Unknown berkata...

Selangkah ke syurga, menarik.
Al-soifi tu lebih tepat kalau dieja al-saifi. Keliru antara pedang dan musim panas.
Kata Al-Banna: Al-waqtu huwa al-hayah (masa itu kehidupan).
Maka, sesiapa yang membuang masa, dia sebenarnya membuang kehidupan.
Wallahualam.

Nooraffida Md Kamal berkata...

Maka jelaslah bahawa hidayah itu milik Tuhan..diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan dicabut dari sesiapa yang dikehendaki-Nya..wal'iyazubillah.

Older and Wiser berkata...

Pandanglah ke Timur...

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails