Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Ghairah Ke Mesir

Isnin, 12 September 2011

0 Komentar
Ramadan sudah melabuhkan tirai. Syawal menjelma bersama keriangan. Dalam kesungguhan orang kita menyambut hari raya (Raya Malaysia 30 hari = Mesir 1 hari), anak muda kita sekarang dilanda satu fenomena baru. Keghairahan menuntut ilmu di Bumi Mesir.


SEMANGAT.
Rata-rata kini sudah bersiap-siaga untuk mengirim tubuh dan jasad mereka ke negara tinggalan Nabi Musa itu. Namun, kebiasaannya hati mereka akan bergelombang dengan pelbagai rencah dan rasa. Ada yang meninggalkan tanah air dengan membawa harapan dari orang tua. Ada yang mengendong azam menyala-nyala. Ada yang memikul amanah dari para guru yang wibawa. Malah tidak kurang yang mengheret rasa bangga dari kawan dan sahabat. Kepada bakal penuntut Mesir, berdasarkan 4 situasi di atas, di manakah kedudukan semangat anda sekarang? Berapakah paras keyakinan anda? Adakah anda ke luar negara kerana desakan dari luar atau kehendak sendiri?

NIAT.

Pepatah Melayu ada menyebut, "pantang ajal sebelum maut." Justeru harus diingatkan, menuntut ilmu juga adalah jihad. Jangan mengalah sebelum bertarung. Pastikan semangat anda meninggalkan malaysia adalah untuk menambah kapasiti otak agar tahap pemikiran anda sekarang tidak statik dan tumpul. Janganlah bermusafir ke luar negara diniatkan untuk melancong dan menjelajah ke tempat-tempat menrik di Kaherah. Bimbang nanti anda benar-benar menjadi pelancong bukan penjelajah (ilmu).


PELUANG.

Apabila bergelar azhari nanti (termasuk pelajar perubatan), kutiplah segala mutiara yang tertanam di bumi barakah tersebut. Apa yang penting, kesabaran haruslah dijulang ke tahap yang tinggi apabila berada di luar negara terutamanya Mesir! Pastikan anda pulang dengan membawa perubahan pada diri. Jika tidak, sia-sialah anda ke luar negara.


CAKAP BESAR.

Tidak ramai yang tahu, selain daripada Makkah dan Madinah, Mesir juga termasuk dalam salah satu tempat yang harus dijaga kesuciannya. hal ini berikutan, terdapat beribu-ribu makam para ulama dan wali Allah yang tertanam dibuminya. Justeru, jagalah lidah dan niat anda sepanjang berada di sana. sekali anda berniat, insya-Allah Allah tunjukkan jalan. Tetapi sekali anda cuba berselingkuh, sekejap sahaja tuhan tunjukkan balasan. Kesimpulannya, jagalah adab pergaulan, perlakuan dan percakapan. Macam klise tetapi percayalah...


SEDAR.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menimbulkan provokasi tetapi sebagai pembakar semangat untuk anda yang sedang ghairah menuju ke bumi anbia Mesir. Sesungguhnya, lambakan pelajar di mesir sudah seperti pasir putih di pantai yang luas. Oleh itu, tidak salah menjadi pasir yang hitam asal kesannya menjadi fenomena yang mudah dipandang orang.


MHT: Pengalaman benar-benar mengajar saya berkelana di rantau orang.

4 Golongan Lelaki

Isnin, 1 Ogos 2011

2 Komentar
Di akhirat, ada 4 golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, membaca al-quran dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya
Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak-tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tetapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya.

3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, mengata dan sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

Firman ALLAH:

"HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA,JIN DAN BATU-BATU..."

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. Allah nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA. Semua kaum muslim dijamin masuk syurga (sesiapa yang mengucap kalimah tauhid) Dengan itu, janganlah kita membuang masa atau tidak mengendah janji dan peluang yang Allah berikan pada kita.

MHT: Ramadan kareem. Selamat berpuasa. Teruskan melazimi sunah dan memperkasakan ibadah.

PERHIMPUNAN BERSIH 2.0

Sabtu, 9 Julai 2011

2 Komentar
Al-Baqarah ayat 195 menyebutkan:
“Dan belanjakanlah (Apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
PERHIMPUNAN BERSIH 2.0

Sekadar renungan.

Hari ini dalam sejarah. Perancangan untuk mengadakan perhimpunan tergempar benar-benar menjadi realiti. Seawal pagi, Kuala Lumpur seolah-olah bercuti. Langit mendung dengan jalan raya melohong.


Kenapa sokong Bersih? Maksud saya, perhimpunan Bersih? Persoalan itu beberapa kali merantai akal kala mencerap mentaliti anak Malaysia hari ini ketika berhadapan dengan rencah politik tanah air.
Jika anda berniat ataupun sudahpun menyertainya sila fikir dan jawab dahulu soalan-soalan berikut:

Kes Simbah Asid

Isnin, 4 Julai 2011

1 Komentar
Beberapa bulan lalu, Malaysia digemparkan dengan kes wanita disimbah asid di tepi jalan. Kebimbangan menular apabila pelakunya gagal dikenal pasti hingga menjadikan siasatan sukar dijalankan. Menurut mangsa dan beberapa saksi, kejadian dilakukan oleh dua orang penunggang motosikal yang lengkap bertopi keledar. Suspek biasanya menyerang wanita di tepi jalanan dan kes berlaku dengan begitu pantas. Natijahnya, jiwa mangsa menderita dan trauma malahan dilaporkan ada yang buta matanya. Hingga kini tidak dapat dipastikan samada suspek adalah orang yang sama. Apakah motif sebenar mereka?


Bukanlah menuduh, tetapi melihat daripada kejadian jelas menunjukkan pelaku memang seorang yang tidak berperikemanusian. Dalam erti lain, tidak mempunyai mata hati. Apa yang ingin dikongsi di sini adalah langkah yang perlu diambil sekiranya berhadapan dengan kes sedemikian.


1. Pastikan sentiasa membawa botol air. PERINGATAN! Jika terkena asid, curahkan air tersebut ke bahagian tubuh yang menjadi sasaran dengan serta merta.


2. Pakai tudung labuh agar mudah menutup wajah.


3. Pakai baju labuh untuk mengelakkan asid daripada mengenai bahagian tubuh yang terdedah.


3. Sila bawa mangsa untuk rawatan dengan segera.


4. Bagi yang melihat kejadian, camkan nombor plat motorsikal pelaku dan segera laporkan kepada pihak polis.


5. Jangan berseorangan di tempat-tempat sunyi.


6. Bagi saksi yang berani, kejar dan langgar suspek hingga tumbang.


7. Amalkan membaca surah an-Nas dan al-Falaq agar terhindar daripada kejahatan dan hasad dengki manusia yang berhati syaitan.


Kerjasama dan sikap prihatin adalah tanggungjawab setiap insan, apatah lagi muslim yang mukmin.

Indahnya Tanah Seberang

Selasa, 7 Jun 2011

4 Komentar
Berpeluang menjejaki tanah subur Bandung, Bogor dan Jakarta; menjadikan negara Indonesia sebagai negara kedua yang saya kunjungi selepas Mesir. Alhamdulillah. Jauh perjalanan luas pemandangan. Moga perjalanan ini mencambahkan lagi pengetahuan dan ruang lingkup pengalaman selepas ini. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda, detik-detik manis sepanjang berada di sana.

Penerbangan Malaysia Airlines sememangnya menyajikan layanan terbaik untuk para penumpang (Wah, ini bukan iklan ya!=)

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Selasa, 17 Mei 2011

4 Komentar

GURU: Orang yg kerjanya mengajar; pengajar; pendidik.

PENJANA: Alat untuk menjanakan [kuasa].

TRANSFORMASI: Perubahan rupa, bentuk, sifat dan lain-lain.

PENDIDIKAN: Perihal atau perbuatan mendidik.

NEGARA: Negeri, wilayah, tanah air, tanah tumpah darah dan lain-lain.

RUMUSAN: Orang yang bertindak sebagai pengajar apa sahaja pelajaran [yang baik dan positif tentunya] samada dalam bentuk formal atau tidak formal umpama/ibarat sebuah alat yang berfungsi sebagai enjin perubahan kepada cara, bentuk, teknik serta impak sistem pendidikan yang telah sedia ada di negeri atau tanah air, tempat golongan tersebut dilahirkan.

Berhasilkah tema ini direalisasikan? Tunggu, lihat dan doa bersama-sama.

Rupa-rupanya, hari guru disambut oleh seluruh dunia. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya jasa dan martabat guru. Apa yang membezakan Malaysia dengan negara lain adalah tarikh sambutannya.

Malaysia : 16 Mei

Mesir : 28 Februari (mujur bukan 29...)

Indonesia : 25 November

Singapura : 1 September

Brunei : 23 September

Thailand : 16 Januari

Iran : 2 Mei

Amerika : Selasa minggu pertama bulan Mei

Hari guru sedunia : 5 Oktober

Ingin tahu lebih lanjut. Layari : http://en.wikipedia.org/wiki/Teacher's_Day

MHT: Doakan guru setiap hari.

Jepun: Selangkah lagi ke Syurga

Ahad, 15 Mei 2011

4 Komentar




Mendapat nama 'negara matahari terbit' mengingatkan bangsa Melayu kepada persengketaan Tanah Melayu dengan bangsa Jepun berkurun-kurun tahun yang lampau. Perjuangan yang dibumbui oleh rasa keegoaan memusnahkan erti keharmonian dan kemanusian.

Malaysia dan Jepun. Bagai sebuah tanah datar yang sama-sama punya nilai yang bersinar. Sama-sama pernah dijajah dan sama-sama pernah bangkit. Selepas pengeboman Hiroshima dan terbaru kejadian tsunami terbesar di Jepun memperlihatkan kepada dunia bahawa bangsa mereka bukan bangsa pengalah atau bangsa 'cukup makan'.

1. Jepun ibarat gunung berapi aktif yang terus mengeluarkan lavanya. Kredibiliti yang ditunjukan dengan terhasilnya pelbagai usaha yang segera terhadap mangsa-mangsa yang terkorban membuktikan mereka juga boleh bergerak pantas sepantas robot-robot ciptaan mereka.

Sedangkan Allah sudah lama menyarankan kita agar bersegera melakukan pertolongan terhadap golongan yang lemah sekalipun hanya membuang duri di jalanan.

2. Kecerdasan minda dan daya pemikiran yang kreatif menghasilkan implimentasi yang sungguh berinovasi. Dalam erti kata yang lain, mereka menghasilkan sesuatu terkadang bukan daripada idea mereka tetapi mencerap idea dan mengubahnya menjadi lebih canggih daripada orang lain.

Sebagai contoh, sistem urut kaki telah lama diperkenalkan oleh tokoh perubatan Islam seperti Ibnu Sina tetapi idea refleksologi ini telah dikuasai, dikaji dan diajarkan dengan baik di Jepun. Natijahnya terhasillah pelbagai alatan moden demi urutan kaki malah kini ditambah

Dalam Mihrab Cinta

Isnin, 2 Mei 2011

1 Komentar
Pesta buku memang ada tiap-tiap tahun. Sambutannya amat luar biasa bagi rakyat Malaysia kerana kita dikatakan hanya membaca dua buah buku ilmiah dalam setahun.

Apakah persepsi khalayak apabila kenyataan begitu diutarakan?

Hakikatnya lambakan kitab dan buku yang terjual di pesta buku bukanlah isunya. Tetapi sikap masyarakat yang hanya 'turun padang' apabila harga buku turun mendadak patut direnung dalam-dalam. Seperti jualan murah atau 'sale' di pasar raya, pesta buku dikerumuni hingga 'tidak cukup oksigen'.

Semoga dengan promosi besar-besaran setiap tahun meningkatkan lagi tahap kerajinan dan mutu pembacaan masyarakat Malaysia. Bukan hanya membeli apabila 'jualan hebat' tetapi sentiasa sanggup berkorban demi pembangunan minda dan intelektual.

Moga minat membaca ini tidak bermusim.

Di pesta buku, adik kembar saya sempat bertemu penulis terkenal, Habiburraman (Ketika Cinta Bertasbih). Beliau sempat menurunkan tandatangan dalam sebuah novel dengan tinta penanya dan menulis tarikh 30/4/2011.

Dan novel bertajuk "Dalam Mihrab Cinta" itu kini berada dalam simpanan saya, hadiah daripada adik sempena hari lahir saya - 30 April=)

MHT: Teringin punya novel sendiri.

Hilang!

Sabtu, 30 April 2011

4 Komentar

Hari ini saya hilang sebahagian teman-teman

Hari ini saya hilang separuh masa yang lampau


Hari ini saya hilang seluruh peluang

Hari ini saya hilang...

Pergi meninggalkan diri saya yang lalu

Dan tidak tahu sampai bila saya akan terus hilang

Sebelum saya benar-benar pulang...

Kerana hari ini, hari lahir saya,

Yang tidak mungkin akan berulang...

Murid Belasah Guru

Jumaat, 8 April 2011

2 Komentar
Tidak sampai seminggu kes guru memukul murid di Malaysia (mungkin kes ini tidak ganjil di negara Barat), timbul pula kisah guru disiplin dibelasah murid.

Zaman ini zaman perang. Kalau memukul dan membelasah itu adalah durian bolehlah dikatakan sekarang adalah musim memukul dan membelasah. Sesungguhnya durian itu enak untuk dimakan tetapi dipukul dan dibelasah?

SOMBONG.
Dewasa ini, guru-guru tidak lagi menjadi sumber rujukan bagi murid-murid kerana merasakan ilmu dapat diperolehi dengan mudah dalam dunia internet yang kian berkembang pesat.

Bukan menyalahkan kecanggihan teknologi, tetapi natijahnya, murid-murid mula mendabik dada, berasa sombong dan bongkak. Malahan guru dijadikan bahan sendaan dan medan melepaskan geram.

Jika dahulu guru mempunyai hak, 'tauliah' atau lesen untuk merotan murid-murid yang nakal. Tetapi hari ini, tanpa usul periksa, guru dijadikan sasaran sekiranya sesuatu kes terjadi kepada murid.

Memang guru bukan maksum (tidak pernah membuat dosa). Namun, sikap murid-murid yang tidak menghormati dan mudah menyalahkan guru turut mengheret persepsi negatif ibubapa terhadap guru.

Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata, "kami diperintahkan supaya tawadhu' (merendah diri) kepada sesiapa yang kami pelajari ilmu daripadanya (guru/ulama')."

ETIKA.
Profesion perguruan sering berubah grafnya. Kadang-kadang nilainya tinggi, kadang-kadang turun menjunam. Siapa yang harus dipersalahkan?

Bukan menuduh tetapi terdapat segelintir (diulangi: SEGELINTIR) daripada jutaan guru-guru di Malaysia yang mengambil sikap sambil lewa dalam mencerap gerak-geri murid di alam persekolan. Rata-rata menganggap bidang ini sebagai pilihan kerana terdesak untuk mendapatkan wang.

Impaknya, pendidikan tidak lagi merangkumi aspek emosi, mentaliti, akhlak dan etika pergaulan sebaliknya hanya tertumpu kepada sukatan pelajaran, silibus dan buku teks. Waktu pengajaran dan pembelajaran (PNP) di sekolah hanya berkaitan teori dan peperiksaan tetapi tidak berjaya menyentuh lubuk nubari murid-murid.

Teknik dan ilmu harus diselarikan bak kata Saidina Ali, "Keilmuan yang tidak terancang akan dapat dikalahkan oleh kebodohan yang terancang."

Tuntasnya, guru-guru era milenium ini harus bekerja (berfikir 100 kali lebih kilometer ke hadapan) dalam menghadapi murid-murid zaman internet. Pendidikan bukan hanya tertumpu kepada hal baju apakah yang akan dipakai esok ke sekolah, muka surat berapakah yang bakal diajar esok di dalam kelas. Tetapi lebih daripada itu; AKAL siapakah yang akan dikembangkan esok dan HATI manakah yang akan disuburkan esok!!

MHT:
3 bulan bergelar pendidik menemukan satu nilai keinsafan yang sangat tinggi. Siapa kita dahulu sudah tidak penting!

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails