Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."
Memaparkan catatan dengan label Kapsul Ramadan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kapsul Ramadan. Papar semua catatan

Berusahalah Mencari Malam Al-Qadr

Selasa, 30 Julai 2013

0 Komentar


Al-Qadr atau biasa dipanggil oleh masyarakat Malaysia sebagai 'malam lailatul qadr. Kisah malam ini telahpun disebutkan dalam Surah al-Qadr.

Malam Istimewa

Malam ini hanya muncul pada satu malam dalam bulan Ramadan. Pada malam tersebut para malaikat diketui oleh malaikat Jibrail akan turun ke bumi atas perintah dan mendoakan kesejahteraan bagi penduduk bumi yang beribadah demi mengharapkan keredhaan Allah sehinggalah terbit fajr Subh.

Ganjaran

Pahala mengerjakan ibadah pada malam tersebut dikira lebih baik daripada 1000 bulan. Bilakah terjadinya malam tersebut? Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Subanallah!

Amalan

Antara amalan yang perlu diusahakan pada malam Ramadan ialah:

1. Meyediakan juadah berbuka puasa
2. Berbuka dengan amalan sunah (kurma dan tidak membazir)
3. Solat Maghrib dan Isyak
4. Solat terawih dan witir
5. Membaca al-Quran dan mendalami maksud ayatnya
6. Berzikir dan beristighfar (mohon ampun kepada Allah)
7. Solat sunah taubat, tahajjut, hajat dan sebagainya.
8. Perbanyakkan doa untuk diri, keluarga dan umat Islam di seluruh dunia.

Hadis Rasulullah s.a.w

Terdapat dua buah hadis yang menyebutkan tentang malam tersebut iaitu:

1. Saidatina Aisyah melaporkan bahawa Rasulullahs.a.w bersabda, "Carilah malam al-qadr pada bilangan yang ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadan." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

2. Ibnu Abbas melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Carilah malam al-qadr dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadan; pada malam ke-21, 23 dan 25." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.





Oleh yang demikian, En. Hafizi Tajuddin, gandakan USAHA! Jangan hanya menunggu dan berharap!

Jom Belajar Tafsir al-Ikhlas!

0 Komentar


Allah membuat penegasan tentang dirinya dalam Surah al-Ikhlas dan mengarahkan kita supaya meyakini:

1. Allah maha esa. 

Allah hanya Tuhan yang satu dan tunggal.

2. Hanya Allah tempat kita bergantung

Allah maha mengetahui apa yang nyata mahupun tersembunyi. Justeru, Allah sangat mengetahui perkara yang ada dalam hati-hati manusia. Berdoalah kepada Allah ketika kita susah dan bersyukurlah ketika kita senang.

3. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. 

Maknanya, Allah tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai ibu bapa sepertimana dakwaan kaum kafir.

4. Tiada yang serupa dengan Allah walau satupun. 

Allah tidak mempunyai seteru (persamaan) dengan makhluk. Tiada yang dapat menandingi kuasa Allah termasuklah para nabi dan malaikat.

Kesimpulannya, kita mestilah sentiasa meyakini keesaan Allah dan membaca kalimah tauhid iaitu; لا إله إلا الله (La ilaha illallah) agar tidak sesat ke jalan kekufuran.

Wallahu a'lam.

MHT: Nabi Muhammad mengamalkan bacaan 3 qul sebelum tidur iaitu "Qul 'auzu biabbinnas" (Surah an-Nas), Qul 'auzu birabbil falaq" (Surah al-Falaq) dan "Qul huwallahu ahad" (Surah al-Ikhlas)

Jom Belajar Tafsir al-Falaq

0 Komentar

Surah al-Falaq bermaksud waktu subuh atau seluruh makhluk (kerana Allah yang menguasai kedua-dua makhluk tersebut) Surah ini diturunkan di Mekah.

Surah ini diturunkan bersama-sama surah an-Nas ketika Rasulullah s.a.w disihir oleh seorang Yahudi dengan 11 simpulan tali. Menariknya,sihir tersebut terhapus setelah dibacakan 5 ayat daripada surah al-Falaq dan 6 ayat daripada Surah an-Nas menjadikannya 11 ayat kesemuanya. Subhanallah!

Dalam Surah al-Falaq, kita diajar supaya memohon perlindungan hanya kepada Allah agar terselamat daripada 4 kejahatan iaitu:

1. Kejahatan makhluk.

Terdapat pelbagai jenis makhluk ciptaan Allah di atas dunia yang fana ini. Ada yang beriman dan ada yang kufur. Ada yang terzahir pada pandangan mata kasar dan ada yang ghaib dan tersembunyi. Kejahatan makhluk tersebut boleh mendatangkan musibah kepada kita. Antaranya ialah binatang berbisa, jin dan seumpama dengannya.

2. Kejahatan Malam.

Keadaan malam yang gelap gelita boleh mengundang pelbagai masalah. Antara kejahatan yang berlaku pada waktu malam seperti kejadian curi dan rompak, zina dan seumpama dengannya.

3. Kejahatan Tukang Sihir.

Sihir sudah lama wujud sejak zaman nabi lagi. Malahan sehingga zaman moden, perbuatan sihir dan ilmu hitam masih diamalkan oleh generasi yang syirik dan ingkar pada perintah Allah. Segala jampi dan mentera sihir boleh memudharatkan kehidupan manusia sebagaimana yang pernah berlaku kepada Rasulullah s.a.w.

4. Kejahatan Pendengki.

"Rambut sama hitam, hati lain-lain." Demikianlah pepatah Melayu menyebutkan tentang niat dan perasaan manusia yang berbeza-beza. Niat tersimpan dalam hati dan tidak terzahir pada pandangan mata. Perasaan dengki boleh timbul apabila seseorang tidak bersetuju dengan cara hidup orang lain. Mereka susah hati apabila melihat kesenangan orang lain dan senang hati tatkala melihat kegagalan orang lain.

MHT: Demikianlah antara sebab mengapa Rasulullah s.a.w melazimi surah ini sebelum Baginda beradu.

Jom Belajar Tafsir An-Nas!

Selasa, 16 Julai 2013

0 Komentar
Surah an-Nas bermaksud manusia dan mempunyai 6 ayat. Surah ini merupakan surah terakhir dalam al-Quran al-Karim. 

Intipati surah ini memberikan kita pengajaran bahawa hanya Allah selayaknya untuk kita memohon perlindungan. Bukannya dengan bomoh, tangkal sihir dan perkara-perkara khurafat yang membawa kepada syirik.

Maha suci Allah yang telah menghadiahkan kita surah ini sebagai salah satu daripada benteng pelindung agar kita terselamat daripada 3 perkara iaitu:

1. Kejahatan bisikan syaitan. 

Sesungguhnya, syaitan dan iblis tidak pernah jemu membisikkan kepada nafsu dan hati manusia agar mengingkari perintah Allah. Sejak peristiwa Nabi Adam lagi mereka telah berjanji untuk menyesatkan manusia dan mengheret anak cucu Adam ke dalam neraka.

2. Kejahatan Jin

Meskipun golongan ini tidak kelihatan pada pandangan mata kasar manusia, mereka tetap wujud dalam alam milik Allah ini. Mempercayai makhluk ghaib ini adalah termasuk salah satu daripada rukun iman yang wajib kita pegang. Bahkan, ada satu surah yang diberi nama Jin dalam Kitab Al-Quran yang mulia.

Mengikut pendapat alim ulama, golongan ini juga seperti manusia. Ada yang beriman dan ada juga yang kafir dan berniat jahat terhadap manusia.

3. Kejahatan Manusia

Sudah menjadi lumrah, manusia tidak dapat lari daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Hal ini kerana manusia menjadikan nafsu sebagai raja dalam hati mereka sehinggakan cahaya iman sukar menembusi akal yang waras.

Justeru, kita mestilah sentiasa membaca Surah an-Nas dengan ikhlas dan sungguh-sungguh mengharapkan perlindungan Allah agar terselamat daripada tiga perkara tersebut.

MHT: Mesti baca sebelum tidur!

Jom Belajar Tafsir al-Fatihah!

Ahad, 14 Julai 2013

0 Komentar


Al-Fatihah ialah surah yang wajib dibaca dalam solat fardhu. Surah ini mempunyai 7 ayat dan diturunkan di Mekah.

Antara isi-isi penting yang perlu diambil perhatian dalam surah al-Fatihah ialah:

1. Mulakan sesuatu kerja dengan menyebut nama Allah (Bismillah) dan akhiri dengan kalimah hamdalah (Alhamdulillah)

2. Sembahlah Allah, Tuhan tuan punya sekalian alam. Setiap manusia akan melalui 5 alam iaitu alam roh, rahim, dunia, barzakh (kubur) dan alam akhirat.

3. Solatlah dan tidak syirik (Menyembah selain daripada Allah / menduakan Allah) Syirik itu berdosa besar.

4. Yakinlah hari kiamat tetap akan wujud. Pada hari tersebut, semua amalan di dunia akan ditayangkan, dosa pahala akan dihitung, balasan syurga dan neraka akan menggamit penghuninya. Maka, perbanyakkanlah amal soleh daripada sekarang.

5. Sentiasa berdoa dan memohon hajat kepada-Nya agar ditunjuki jalan hidup yang betul serta tidak termasuk golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Wallahu a'alam

MHT: Selamat berpuasa dan bertarawih. Semoga disapa lailatul qadr tahun ini, insya-Allah. Ramadan kareem. Allahu akram!

Cabaran Ramadan Seorang Guru

Ahad, 26 Ogos 2012

0 Komentar
Baru beberapa hari Ramadan pergi, tetapi rasa rindu sudah menggunung tinggi. Peluang mengecapi nikmat ibadah di bulan mulia hanya datang setahun sekali. Bukan tidak pernah berpuasa, tetapi cabaran puasa di bulan Ramadan adalah amat besar bagi para pendidik.

1. Bangun sahur dengan harapan mendapat berkat dan kekuatan untuk bekerja. Sementara menanti Subuh, kepala terfikir tentang BBM dan P&P di sekolah.

2. Mesti datang awal ke sekolah. Tidak ada alasan datang lewat kerana Guru Besar dan pengawal keselamatan di pondok jaga pasti tahu bahawa kita sudah bangun awal untuk sahur.

3. Tidak boleh marah-marah dalam kelas kerana murid-murid dan seluruh kakitangan sekolah sedia maklum bahawa kita sedang berpuasa. Jika tidak, mereka akan berkata, "Apalah cikgu, cakap tidak serupa bikin."

4. Bagi guru sekolah agama atau yang mengajar pendidikan Islam pula, setiap tindak tanduk di bulan puasa menjadi perhatian murid-murid. Ingat pepatah Melayu pernah bersuara, 'Jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari'.

5. Mengantuk adalah 'menu' utama bagi orang berpuasa. Biarpun tidur orang yang berpuasa adalah ibadah namun anda perlu berhati-hati. Jika tertidur di bilik guru jangan sampai terlepas jadual waktu. Maklumlah, bulan puasa di bilik guru bagaikan sentiasa 'ada malaikat lalu'.

6. Tengah hari adalah waktu yang sangat enak untuk berehat. Adakah waktu tersebut terisi dengan lafaz-lafaz zikir dan manfaat atau perkataan-perkatan hina dan mengumpat?

7. Senyum itu sedekah. Tetapi jika kerap kali murid tidak dapat menyiapkan tugasan di rumah dengan alasan sembahyang terawih dan tadarus di waktu malam, apakah tindakan yang harus dibuat?

8. Bagi guru yang mengajar sepanjang waktu pejabat, yakni sampai lewat petang, pasti anda akan merasai keletihan yang melampau saat pulang dari sekolah.

9. Hilang suara kerana banyak bercakap atau banyak membaca al-quran? Perlu curi-curi masa untuk menelaah al-quran di hari bekerja..

Demikianlah antara cabaran yang telah dan mungkin akan terjadi dalam diari seorang guru. Apa pendapat anda?

FREEMASON DALAM OLIMPIK 2012

Isnin, 30 Julai 2012

0 Komentar
LOGO OLIMPIK 2012
Setiap negara yang menjadi tuan rumah bagi acara sukan berprestij pasti akan memikirkan pelbagai cadangan yang bernas bagi menjalankan promosi dan iklan. Hakikatnya, strategi pengiklanan yang berkesan telah terbukti berjaya menarik minat pengunjung untuk datang ke negara mereka. Buktinya, lihat sahaja bagaimana negara-negara yang besar menganjurkan sukan saban tahun.

Malaysia juga tidak terkecuali menjalankan promosi dengan cara yang sangat kreatif ketika berlangsungnya acara Sukan Komanwel pada tahun 1998. Saya berkesempatan menyaksikan acara pembukaan yang gilang-gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika itu kerana mengikuti program jemputan sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Kami menginap di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) - yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia. Memang meriah dan menyeronokkan. Tambahan, umur ketika itu baru mencecah 12 tahun.

Semalam, tatkala menyaksikan acara pembukaan Sukan Olimpik 2012 di kaca televisyen, saya menjadi cukup kaget dan kagum. Perjalanan acara yang sangat lancar dan kreatif jelas memperlihatkan persediaan dan perancangan yang sungguh teliti. Saya terfikir, siapakah yang berani mempertaruhkan jutaan wang untuk acara berprestij seperti itu? Siapakah tulang belakang di sebalik acara gah tersebut?

Hati terdetik. Laman sesawang saya jelajah dan saya temui jawapannya. Barangkali ada yang skeptikal apabila membaca tajuk artikel kali ini tetapi inilah hakikat yang mesti kita telan sebagai umat Islam akhir zaman yang cabarannya bukan calang-calang.

1. FREEMASON jelas menguasai acara kali ini. Lokasi London adalah tapak berlangsungnya legasi pemerintahan Britain yang terang-terangan menjadi penyokong kuat ajaran jahil tersebut.

2. LOGO OLIMPIK yang unik rupa-rupanya menyembunyikan perkataan ZION yang bererti Zionis (saudara mara Israel)
MASKOT OLIMPIK 2012
3.  MASKOT BERMATA SATU pula terang-terangan menyerupai gambaran DAJJAL.
MASON
4. Penggabungan KARTUN yang menjadi siulan kanak-kanak iaitu MARIO dan SUPER SONIC dalam iklan promosinya menunjukkan 'kekreatifan' mereka mengaburi mata dunia. Mario + Sonic = MASON (FREEMASON)
PIRAMID BERMATA SATU
5. Besi lampu berbentuk PIRAMID BERMATA SATU di sekeliling stadium juga adalah salah satu lambang kebanggaan golongan tidak beriman ini.

6. Penganjuran acara pada bulan RAMADAN langsung tidak menghormati umat Islam seluruh dunia.

Surah at- Toriq ayat 15-16 telah menjelaskan firman Allah:

"Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-matian menjalankan rancangan jahat, dan aku (Allah) pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka dan menggagalkannya)."

Dengan adanya 'tangan-tangan dan tulang belakang' yang kuat seperti itu, maka tidak mustahillah, acara ini dapat berlangsung dengan terancang. Sungguhpun golongan kuffar ini mahu menerapkan fahaman tidak sihat dalam pemikiran dan budaya umat manusia di dunia, ingatlah perancangan Allah lebih hebat daripada segalanya!

MHT: Suka menonton acara pembukaan dan penutup Olimpik Beijing 2008. Sangat kreatif!

FANOOS: Lentera di Bulan Ramadan

Sabtu, 21 Julai 2012

1 Komentar
Sesiapa yang pernah berkunjung ke Mesir terutamanya kepada graduan-graduan Universiti al-Azhar (seperti saya=) pasti dapat memahami dan merasai memori indah tatkala membaca tajuk artikel kali ini. Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki dan bersemayam dengan udara Ramadan di sana, ini adalah informasi berharga untuk anda!

Fanoos adalah sejenis lampu elektronik yang sering dpasang dan diletakkan di balkoni rumah penduduk Mesir sepanjang malam bulan Ramadan. Kata orang-orang veteran di sana, fanoos adalah lambang perjalanan rohani ke arah cahaya hidayah. Budaya memasang fanoos di Mesir saling tidak tumpah dengan adat orang Melayu yang memasang pelita di malam-malam menjelang Syawal. Adat tersebut tetap utuh sehingga hari ini malah dikhabarkan telah diwarisi sejak zaman Fatimiyah lagi - wallahu a'lam.

Kemeriahan memasang fanoos sudah dapat dirasai seawal penghujung Syaaban lagi apabila banyak kedai mula mempamerkan lentera tersebut dengan pelbagai ragam dan cara. Anda yang baru pertama kali ke Mesir pasti akan teruja dengan fenomena tersebut. Bayangkan, daripada sekecil-kecil key-chain sehinggalah sebesar-besar kereta saiznya, disusun cantik dan tersedia untuk dijual.

Memandangkan ia bukanlah suatu kewajipan dan hanya sekadar adat penduduk dan tradisi, maka jarang saya melihat pelajar-pelajar Malaysia di Mesir membeli atau memasangnya di balkoni rumah kerana mungkin faktor harganya.

Rumah-rumah di Kaherah adalah berbentuk pangsa atau flat setinggi 7 atau 8 tingkat. Malah ada yang mencecah 10 hingga 12 tingkat. Pastinya, kita tidak akan dapat menyaksikan bentuk rumah teres atau unit lot seperti di Malaysia. Manakala jarak setiap bangunan pula sangat rapat dan tersusun-susun. Jika dapat diperhatikan dari arah langit (jika anda Superman atau Ultraman) bentuknya seolah-olah permainan Lego yang siap terpasang dan menunggu masa untuk dirempuh raksasa (bagi pelajar Mesir yang faham...)

Justeru, suasana malam Ramadan di Mesir begitu terang dan mengasyikkan apabila setiap rumah memasang fanoos di balkoni masing-masing. Pesta cahaya yang datang setahun sekali ini tentunya menjadi antara kenangan terindah buat pengembara ilmu di perlembahan Nil.

Namun, di samping sambutan yang penuh warna-warni tersebut, janganlah kita melupakan amalan yang lebih utama di malam Ramadan iaitu berterawih dan menghidupkan malam-malam dengan alunan zikrrullah, tadarus al-quran dan halaqah-halaqah ilmiah. Moga cahaya hidayah akan terus bersinar untuk sang pencari redha Allah. Selamat berpuasa. Ramadan Kareem. ALLAHU AKRAM.

MHT: Rindunya nak ke sana lagi...

4 Golongan Lelaki

Isnin, 1 Ogos 2011

2 Komentar
Di akhirat, ada 4 golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, membaca al-quran dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya
Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak-tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tetapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya.

3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, mengata dan sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

Firman ALLAH:

"HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA,JIN DAN BATU-BATU..."

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. Allah nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA. Semua kaum muslim dijamin masuk syurga (sesiapa yang mengucap kalimah tauhid) Dengan itu, janganlah kita membuang masa atau tidak mengendah janji dan peluang yang Allah berikan pada kita.

MHT: Ramadan kareem. Selamat berpuasa. Teruskan melazimi sunah dan memperkasakan ibadah.

Kapsul 2: Manusia Macam Robot?

Selasa, 24 Ogos 2010

0 Komentar

Alhamdulillah. Beruntung bulan Ramadan kali ini. Selesai 4 rakaat terawih, dapat saya mendengar tazkirah dan peringatan ringkas daripada adik-adik junior, mahasiswa baharu Negeri Sembilan yang baru sampai ke Mesir awal Ogos lalu. Pelbagai isi penting dan cerita dapat dikumpulkan saban hari. Seronok melihat kepetahan, keberanian dan kecerdikan pucuk-pucuk muda ini dalam mewarnai kebun-kebun dakwah berbanding saya yang sudah lama meranting di bumi Anbia' ini.

Sesuatu yang menarik yang tidak mungkin saya lupa adalah tentang solat. Ya, memang tajuk sedimikian biasa singgah ke deria kita tetapi sering kali ia menjadi seperti angin. Melayang, berterbangan bebas, bertiup masuk dan keluar dari telinga kanan dan kiri. Sungguh.

Cerita adik tadi, seorang warga negara Jepun pernah mengajukan soalan tentang solat kepada seorang mahasiswa Malaysia yang menuntut di sana. Lebih kurang beginilah bunyi soalannya.

"Kenapa orang Islam mesti bersembahyang?" Soal Orang Jepun itu.

"Kenapa pula tuan bertanya?" Soalan berbalas soalan. Biasalah, kita kan selalu berhadapan dengan orang yang suka bertanya. Jadi, kenalah dipastikan samada si penyoal memang ingin tahu atau sebenarnya sengaja nak menguji.

"Bukankah sembahyang itu membuang masa. Banyak lagi kerja yang patut kita lakukan selain daripada itu." Balas warga Jepun tadi. Mahasiswa itu mula memerah otak mencari jawapan yang sesuai dan tepat.

"Orang Islam, memang begitulah suruhannya." Ringkas jawapannya. Tetapi hati kecil kurang nyaman dan selesa. Jawapan yang diberi dirasakan belum cukup meyakinkan.

(Kemudian, tidak dapatlah dipastikan akan reaksi warga Jepun tersebut kerana tidak sampai ceritanya ke telinga saya=)

Al-kisah, dengan rasa rendah diri, mahasiswa tadi meluaskan skop pemikirannya yang belum dalam tentang agama dan memecahkan benteng kedaifan dengan berjumpa seorang ahli agama atau masyhurnya digelar ustaz. Setelah diceritakan babak 3 minit tadi kepada ustaz tersebut, guru itu pun tersenyum. Mahasiswa tadi memandang wajah tulus itu dengan rasa ingin tahu yang memuncak.

Kata ustaz itu, "Nak, kalau yang menyoal itu orang Islam, bolehlah dijawab dengan dalil Quran mahupun Hadith. Andai mereka kurang faham, sekurang-kurangnya mereka masih lagi boleh terima dan akur."

"Tetapi yang bertanya ini bukan daripada orang kita dan tidak tahu menahu tentang agama. Justeru kaedah dan uslub dakwahnya juga berbeza." Terang Ustaz lagi.

"Maksud Ustaz?" Mahasiswa itu meminta kepastian. Injap akalnya simpang-siur menyerap makna. Ustaz menyeluruhi tampang di hadapannya. Dengan penuh hikmah dia menjelaskan.

"Begini. Kalau dalil Quran dan Hadith itu namanya dalil naqli, sesuatu yang sudah termaktub dan ditetapkan oleh Allah dalam kitabnya. Adapun uslub kedua dan berbeza tadi adalah dalil 'akli, sesuatu yang boleh diterang, dibincang dan dibayangkan oleh akal manusia."

"Berbicara tentang solat seharusnya juga diterangkan melalui kaedah yang kedua supaya manusia lebih senang dan tertarik untuk menerima."

"Bagaimana Ustaz?" Pemuda tadi sudah tidak sabar menanti. Kerut di dahinya bertambah seinci.

"Orang Jepun dewasa ini amat mahir dan kreatif dalam mencipta alatan canggih seperti robot dan mesin. Robot dan mesin sampai masanya perlu kepada bengkel untuk diservis dan dibaiki agar alat-alatnya tidak rosak dan sentiasa berfungsi. "

"Kita perlu ingat bahawa struktur robot dan mesin-mesin tersebut tentunya kompleks dan rumit untuk difahami. Justeru, antara robot dan manusia, mana satukah lebih kompleks dan rumit binaannya untuk dikaji?"

"Mestilah manusia ustaz." Jawab mahasiswa tadi.


"Nah, sekarang kita lihat. Jika robot yang canggih pun perlu diservis maka manusia yang seribu kali canggih ini mestilah lebih daripada itu. Jiwa, akal dan tubuh badan, semuanya perlu diservis dan direhatkan agar kompenannya sentiasa aktif dan berfungsi."

"Justeru Islam mengajarkan kaedah solat sebagai "bengkel' untuk manusia membaiki semua kompenan tersebut. Sebagai contoh selepas bangun daripada tidur, enjin tubuh kita dipanaskan dengan solat di subuh hari. Penat bekerja atau belajar di tengah hari dan petang, sekali lagi tubuh diservis dan direhatkan dengan solat Zuhur dan Asar dengan waktu tersendiri. Begitu juga dengan bakinya iaitu Maghrib dan Isya' di malam hari."

"Hasilnya, tubuh yang sentiasa diserviskan akan terus cergas dan aktif untuk menjalankan sebarang aktiviti. Walaupun tanggungjawab solat merupakan ibadah yang tidak boleh dipersoalkan, tetapi dengan jawapan sebegini pasti membuatkan orang Jepun atau sesiapa sahaja yang bertanya akan lembut hati, insya-Allah." Jawab ustaz panjang lebar.

Mahasiswa tadi mengangguk-angguk tanda setuju. Dalam benaknya timbul rasa kagum terhadap keistimewaan solat yang Allah anugerahkan kepada umat manusia. Pastinya, jika dikaji lagi tentunya lebih banyak hikmah dan rahsia yang tersembunyi.

Di pasaran sekarang berlambak buku dan kitab yang menerangkan tentang rahsia solat. Malah, penemuan sains dalam solat juga telah banyak dihuraikan oleh para doktor dan saintis. Cuma kita sahaja yang jarang hendak mencari, kan?

MHT: Dialog dan cerita tadi saya ubahsuai daripada tazkirah asal.

Kapsul 1: SMS Ramadan

Jumaat, 20 Ogos 2010

1 Komentar

PERTAMA:

Salam.

Nama saya Syaaban.

Saya ingin mengingatkan anda bahawa jiran saya iaitu 'Ramadan' akan datang mengunjungi anda tak lama lagi bersama isterinya iaitu 'Rezeki' dan kedua-dua anaknya iaitu 'Sahur' dan 'Iftaar'.

Mereka akan ditemani oleh ketiga-tiga cucunya iaitu 'Rahmat', 'Barakah' dan 'Keampunan'.

Mereka akan pulang selepas 30 hari dengan menaiki pesawat penerbangan 'Aidulfitri'. Syukran.

Kiriman: Pn. Rohani Bt Adam dan En. Tajuddin B. Hj. Shohod @ mak dan ayah=)

KEDUA:Tak terasa bila dia pergi.

Tapi sayu bila dia tak kembali...

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails