Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."
Memaparkan catatan dengan label Ibu bapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ibu bapa. Papar semua catatan

UPSR Bukan Segala-galanya

Ahad, 30 November 2014

0 Komentar
Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah sudah lima hari diumumkan. Pelbagai reaksi yang boleh dilihat tatkala keputusan ini diumumkan.

Ada yang gembira, pastinya kerana cemerlang. Ada juga yang kecewa, pastinya yang kecundang. 

Namun, ingatlah bahawa UPSR bukanlah titik akhir penentu kejayaan seseorang pada masa akan datang.

Jutawan Irfan Khairi hanya memperolehi 1 A sahaja ketika UPSR.

Saya yakin, ramai di luar sana yang dahulunya biasa-biasa tetapi menjadi insan luar biasa saat dewasa. 

Semuanya berkat usaha masing-masing. Maka usahalah kerana usaha tangga kekayaan. Jadikan kegagalan hari ini sebagai pembakar semangat untuk melakar kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Ibarat kata Profesor Muhaya, anda bukan gagal namun anda belum berjaya.

Biar miskin harta namun kaya adab dan budi bahasa. Biar kurang cerdik tetapi bijak dan menjadi baik.


Kes Guru, Murid dan Lembu!

Jumaat, 31 Januari 2014

0 Komentar


Cuba tanya kepada mana-mana guru, siapa yang tidak marah apabila kerja sekolah yang diberikan oleh guru tidak disiapkan oleh anak murid?

Sebagai seorang guru, penulis amat memahami situasi yang berlaku kepada seorang guru berbangsa Cina dan dua anak muridnya yang beragama Islam baru-baru ini.

FAKTA KES

Menurut laporan, guru tersebut telah menggantungkan loceng di leher (ada yang melaporkan di butang baju sekolah murid) dan memaksa kedua-duanya makan rumput di luar kelas kerana tidak menyiapkan kerja sekolah yang telah diberikan.

Lebih menyedihkan apabila murid tersebut dipanggil 'lembu' dan hal ini telah menjatuhkan moral murid tersebut. Mereka merasa hilang harga diri kerana dimalukan sedemikian rupa. Tambahan mereka adalah murid berbangsa Melayu yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang majoritinya adalah berbangsa Cina.

Apa yang lebih mengejutkan, dua orang murid lagi yang sebangsa dengan guru tersebut tidak pula dikenakan tindakan yang sama dengan alasan mempunyai masalah kesihatan sedangkan kedua-duanya juga telah melakukan kesalahan yang sama dengan dua murid Islam yang malang itu.

PERKAUMAN

Maaf, penulis tidak berniat untuk membangkitkan isu perkauman. Namun, tindakan berani guru tersebut menjatukan hukuman telah mencalarkan sensitiviti Melayu dan Islam di Malaysia!

Malahan, kes ini telah menjatuhkan martabat dan kredibiliti sistem pendidikan dan perguruan di Malaysia. Pepatah telah menyatakan, "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".

PENGAJARAN

Sesungguhnya tindakan yang sewajarnya harus dikenakan kepada guru tersebut. Dalam masa yang sama, hal ini menjadi satu pengajaran juga buat para ibu bapa supaya sentiasa peka dengan segala kerja rumah anak mereka. Ibu bapa bukan hanya sekadar menghantar anak ke sekolah dan menyerahkan tugas mendidik seratus peratus kepada pihak sekolah semata-mata.

Bagi penulis, sebelum membuat laporan polis, sebaik-baiknya ibu bapa datang ke sekolah dan berbincang secara aman dengan pihak guru besar/ pengetua sebelum membawa kes ini kepada pihak polis.

Murid ada masalah, guru juga ada masalah, dan ibu bapa juga perlu berfikir bahawa mereka juga mungkin bermasalah. Wallahu a'alam.

MHT: Elakkan memberi masalah! :)

SOLAT: PENGAJARAN TERBESAR DARIPADA PERISTIWA ISRA’ DAN MIKRAJ

Sabtu, 23 Jun 2012

0 Komentar
Anak-anak mesti diajar solat sejak kecil
TUJUAN KITA DICIPTAKAN 
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Surah Adz-Dzariyat: 56)



AMALAN PERTAMA DIHISAB
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat islah solatnya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

MENYURUH ANAK SOLAT 
Peristiwa isra’ mikraj terjadi pada tahun ke-11 kerasulan Rasulullah. Hal ini bermakna, umat Islam dikuatkan iman mereka selama 10 tahun sebelum diuji dengan cerita isra’ mikraj. Ertinya, anak-anak berumur 10 tahun ke atas akan lebih bersungguh untuk bersolat dan mantap ilmunya jika dilatih lebih awal.

Sabda Nabi, “Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, dan rotanlah mereka kerana tidak solat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka” ( H.R. Ahmad & Abu Daud )

PERINTAH SOLAT
"Dan perintahkanlah ahli keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu diatas kesukaran-kesukaran yang kamu hadapi kerananya..” (Surah Toha: 132)

KELEBIHAN SOLAT
“Daripada Abu Umamah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Bertakwalah kepada Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu kamu, berpuasalah pada bulan kamu (Ramadan), tunaikanlah zakat harta kamu, dan taatilah orang yang mengendalikan urusan kamu; nescaya kamu memasuki syurga Tuhan kamu.” (Riwayat at-Tarmizi)

SOLAT DAN SABAR
“Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 153)

SOLAT MENCEGAH KEJAHATAN
Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut: 54)

KELEBIHAN BERWUDHU’
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya umatku datang pada hari kiamat dalam keadaan bersinar-sinar daripada kesan wudhu’. Sesiapa yang berupaya untuk melebihkan basuhan wudhu’nya, maka lakukanlah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

SIWAK (BERSIHKAN MULUT/GOSOK GIGI)
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Sekiranya aku tidak menyusahkan umatku, aku akan perintahkan berwudhu’ pada setiap kali solat dan bersiwak pada setiap kali wudhu’.” (Riwayat Ahmad)

KELEBIHAN DOA ANTARA AZAN DAN IQAMAT
Daripada Anas Bin Malik, Nabi s.a.w bersabda: “Doa tidak ditolak di antara waktu azan dan iqamat.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

ISTIGHFAR DAN WIRID SELEPAS SOLAT
Daripada thauban r.a, beliau berkata: Apabila Rasulullah berpaling (memberi salam) daripada solatnya, baginda beristighfar sebanyak tiga kali dan berkata: “Ya Allah Engkaulah yang maha sejahtera, daripada Engkaulah kesejahteraan, Engkaulah yang maha berbahagia yang mempunyai kebesaran dan kemulian.”(Riwayat Muslim)

“Maka Ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah an-Nasr: 3)

KEMULIAN DOA
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Tiada sesuatu yang mulia di sisi Allah melainkan berdoa.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Daripada Nu’man Bin Bashir r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Doa adalah ibadah.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

WAKTU MUSTAJAB BERDOA
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a, Nabi s.a.w ditanya oleh seseorang: “Apakah doa yang lebih didengar (lebih makbul dan mustajab)?” Baginda bersabda: “Waktu terakhir pada hujung malam dan selepas solat-solat fardhu.” (Riwayat at-Tirmizi)

SOLAT YANG TIDAK DITERIMA
“Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.” (Surah at-Taubah: 54)

LALAI DALAM SOLAT
“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang sembahyang - (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Surah al-Mau’un: 4 dan 5)

AZAB TIDAK SOLAT
 “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah at-Tahrim : 66)

BALASAN ORANG SOMBONG
“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya, orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mu’min: 60)

Hari-Hari Hari Guru

Isnin, 4 Jun 2012

0 Komentar
Sambutan hari guru di Malaysia sudah lama berlalu. Tetapi jasa dan pengorbanan yang dilakar oleh seorang guru dalam diari hidup kita tidak akan pernah padam dan hilang.

Seorang manusia yang hebat bermula daripada seorang guru yang hebat. Justeru, seorang guru perlu memikul tanggungjawab dengan penuh amanah dan hati yang ikhlas kerana Allah. 

Sesungguhnya perlu diingatkan di sini bahawa ibu bapa adalah guru terawal dalam kehidupan seorang manusia di dunia! Biarpun guru di sekolah yang banyak mengatur segala perancangan dalam proses pendidikan seseorang individu, ibu bapa juga wajib menghargai jasa mereka dengan membantu anak-anak mengadaptasi ilmu dan nilai-nilai yang dipelajari di sekolah ke rumah.

CONTOH MUDAH
1. Jika di sekolah anak-anak dididik agar menjaga kebersihan di sekolah dengan membuang sampah ke dalam bakul atau tong sampah, ibu bapa juga mesti menunjukkan contoh tersebut di rumah termasuk ketika membawa anak-anak berjalan-jalan di luar rumah. Ertinya, janganlah ibu bapa menunjukkan contoh yang tidak baik seperti membaling plastik makanan ke luar daripada tingkap kereta atau membuang sampah merata-rata ketika keluar bersiar-siar.

2. Jika anak-anak belajar membaca di sekolah, ibu bapa mesti mendorong anak-anak agar turut membaca di rumah. Caranya adalah dengan membeli buku untuk mereka, membina rak atau perpustakaan mini di rumah dan yang paling penting adalah bersama-sama membaca buku dengan anak-anak di rumah.

3. Jika anak-anak ditarbiah agar menutup aurat, bertudung dan memakai pakaian sopan di kawasan sekolah, ibu bapa juga mesti melakukan perkara yang sama ketika berjalan bersama anak-anak di luar rumah. Maknanya, ibu bapa mestilah menutup aurat dan tidak berpakaian seksi saat berjalan bersama anak-anak. Menutup rambut, bertudung dan berpakaian menutup aurat bukanlah sekadar peraturan sekolah, tetapi adalah amanah ALLAH!

4. Jika anak-anak diajar bersolat di sekolah, ibu bapa mestilah turut sama menunjukkan contoh tauladan yang betul di rumah. Sembahyang rukun agama, bukannya rukun SEKOLAH!

Perihal mudah tersebut adalah sesuatu yang mesti dititikberatkan oleh ibu bapa dan penjaga agar proses pemantapan kendiri murid-murid tidak bercelaru. Jika tidak nanti, murid-murid gagal mengaplikasikan pembelajaran mereka setelah keluar dari pagar sekolah.

Apa yang berlaku pada hari ini, kebanyakan murid-murid berpendapat bahawa ilmu adalah sekadar di sekolah sedangkan hakikatnya ilmu adalah apa yang patut diamalkan dalam seluruh kehidupan.

BERKAT
Ilmu yang berkat adalah ilmu yang bermanfaat dan berbekas dalam hati serta berkekalan dalam amalan. Menurut Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah, antara cara untuk mendapatkan keberkatan ilmu, yang perlu diambil perhatian oleh MURID dan GURU adalah:

1. Jangan tinggalkan solat. Ingatlah, ilmu itu datangnya daripada Allah melalui perantaraan seorang guru. Sekiranya pesanan 'tuan' kepada ilmu tidak kita tunaikan, bagaimana kita ingin mendapatkan ilmu yang berkat.

Analoginya, jika kita ingin mendapatkan hadiah dalam acara sukaneka, kita tidak boleh hanya mendengar arahan jurulatih kita tetapi kita mestilah mengikut arahan pengadil yang menganjurkan pertandingan tersebut.

2. Doakan ibu bapa. Dengan mendoakan kedua ibu bapa setiap hari, akal dan hati kita akan lebih tenang serta kita akan didoakan oleh para malaikat.

3. Doa dan maafkan guru yang mengajar kita walau dengan apa cara sekalipun mereka mendidik kita. Guru juga adalah manusia dan bisa membuat salah. Kita juga adalah manusia yang tidak dapat lari daripada dosa. Justeru, dengan selalu mendoakan guru, hidup kita akan sentiasa dalam suasana ilmu yang berpanjangan.

4. Guru dan murid mestilah sentiasa menghantar gelombang sayang antara satu sama lain (bukan cinta uda dan dara). Caranya ialah dengan selalu meberikan senyuman dan mengucapkan salam ketika bersua serta saling memberikan pujian terhadap sesuatu perkara positif yang dilakukan. Hasilnya, proses pembelajaran akan lebih kondusif, jiwa lebih semangat dan ilmu akan tersemat dalam hati sampai bila-bila.

5. Guru mestilah ikhlas dan mengajar dengan memasang niat bahawa mendidik itu ibadah kepada Allah. Jika niat kerana harta, pangkat dan nama; maka 'roh' ilmu akan hilang dan sia-sia.

KATA NABI 
Ibadah bukan hanya sembahyang dan zikir tetapi segala perkara baik yang diniatkan kerana Allah adalah ibadah. Tugas mendidik akhlak bukan hanya tugas ustaz dan ustazah tetapi semua guru boleh melakukannya. Pesan Rasulullah:

"Daripada Abu Mas'ud al'Ansori r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutinya." [Hadis Riwayat Muslim]

MHT: Selamat Hari guru. Hari-hari hari guru =)

Anak-anak Perlukan Perhatian Ibu Bapa

Ahad, 22 April 2012

1 Komentar
DENGAN NAMA ALLAH, TOLONG AMBIL PERHATIAN!

Menurut agama Islam, anak-anak yang baru lahir ibarat kain putih yang bersih lagi suci. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkan mereka. 

Sesungguhnya, setiap ibu bapa mempunyai 'alat lukisan' yang berbeza untuk diconteng di atas lapisan 'kanvas' milik mereka. Semakin anak-anak membesar, semakin banyak ragam yang ditemui. Ada yang rajin, ada yang malas, ada yang nakal, ada yang baik, ada yang pendiam, ada yang lasak. Setiap satunya memberi sejuta makna dan pengajaran untuk manusia yang bergelar ibu dan bapa.

PENDIDIKAN
Apabila menyebut tentang ilmu dan pendidikan, perkara yang terbayang di fikiran adalah perkataan 'sekolah'. Maka, ramailah ibu bapa yang mula menyekolahkan anak-anak pada umur 6 tahun. Malahan, semakin ramai kini yang menyekolahkan anak-anak mereka seawal umur 4 atau 5 tahun. Harapan mereka menggunung tinggi untuk melihat anak-anak membesar sebagai orang yang berilmu. Harapan yang sama untuk setiap ibubapa, bukan?

Segala amanat yang besar seperti 'bagaimana mahu cemerlang dalam SPM' sehinggalah kepada perihal yang kecil dan remeh seperti 'bagaimana hendak buang sampah' - semuanya terpundak di bahu guru-guru sekolah. Setiap gerak-geri guru terhadap anak-anak mereka menjadi perhatian ibu bapa. Sedikit sahaja kesilapan yang tidak selari dengan kehendak mereka akan dipersoalkan satu persatu

Tetapi, malangnya mereka terlupa bahawa sekolah yang paling awal untuk anak-anak adalah 'SEKOLAH KEIBUBAPAAN'. Kelasnya adalah RUMAH dan gurunya adalah IBU BAPA! Corak pemikiran terawal adalah datangnya daripada cara didikan ibu bapa terhadap anak-anak.

1. "'Apa yang cikgu-cikgu sudah buat pada anak saya?"
2. "Kenapa anak saya berubah?"
3. "Mengapa anak saya boleh gagal?"
4. "Why?"....
Soalan bonus yang sering sampai ke telinga para guru di sekolah.

Justeru, kepada ibu bapa, sebelum soalan tersebut berlegar dalam minda, bergelung dalam kerongkong dan terpacul dari lidah, tanyakan pada diri anda:

1. "Apa yang anda telah buat selama 3 atau 5 tahun kepada anak-anak anda di rumah (sebelum anda menghantar mereka ke alam sekolah?"
2. "Apa yang anak-anak anda telah belajar daripada 'SEKOLAH KEIBUBAPAAN' milik anda? Yang kelasnya adalah RUMAH dan gurunya adalah IBU BAPA!"

KASIH SAYANG
Kata orang Melayu, "love is heart." (Sayang adalah satu perasaan dalam hati)
Kata 'mat saleh' pula, "love is verb." (Sayang itu satu perbuatan)

Rasionalnya, orang Melayu lebih banyak bermain dengan perasaan. Sayang hanya falsafah dan tersimpan dalam hati. Ramai ibu bapa yang sayangkan anak-anak tetapi tidak tahu dan MALU untuk menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak mereka. Bagi ibu bapa yang begini, cukuplah - "Kau tahu dan aku tahu."

Kesannya, anak-anak kurang mendapat kasih sayang, belaian dan perhatian yang cukup daripada ibu bapa mereka. Kemudian, jiwa yang kosong dengan kasih sayang tadi, apabila melangkah ke alam sekolah mereka mendapat perhatian yang cukup daripada kawan-kawan. Maka, tidak mustahillah mereka gagal mengikut landasan dan piawaian ibu bapa.

'Mat saleh' yang tidak berapa hendak soleh ini pula berpendapat bahawa sayang itu adalah pebuatan yang mesti ditunjukkan dengan penuh perasaan dan disalurkan dengan gerak kerja yang jelas.

Kesannya, anak-anak matang dalam menilai sesuatu, berani berhadapan risiko kehidupan, tiada tekanan perasaan dan mereka tahu bahawa ibu bapa boleh menjadi pendengar yang baik berbanding kawan-kawan. Maka, anak-anak akan lebih menyayangi ibu bapa mereka.

PERBAIKI SETIAP SISI
1. Masih belum terlambat untuk menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Duduk bersama dan dengarlah luahan hati anak-anak yang bermasalah sehingga mereka berasa ibu bapa adalah sahabat yang paling rapat untuk berkongsi.

2. Mulakan dengan salam dan peluk anak-anak sebelum berpisah walaupun untuk ke tempat tidur.

3. Peka dengan minat dan rutin anak-anak. Duduk dan temanilah anak-anak membuat sesuatu hobi yang disukai oleh mereka termasuklah ketika mereka membuat kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru.

4. Cerita dan kongsilah pengalaman anda bersama ibu bapa ketika kecil dan remaja satu ketika dahulu.

5. Selalulah bertanyakan tenang sekolah dan kawan-kawan mereka. Kenali ibu bapa kepada sahabat anak-anak anda. Ajak kawan-kawan mereka berkunjung ke rumah dan buat kunjungan balas.

6. Didiklah anak-anak solat seawal 7, 8 dan 9 tahun dan wajibkanlah mereka menunaikannya ketika berumur 10 tahun.

KESIMPULAN
Ingatlah, kunci kejayaan adalah Allah. Biar apapun usaha, tetapi sekiranya tidak berpaksi kepada Tuhan yang maha esa, maka impaknya tidak sempurna.

Buat anak-anak yang terbaca artikel ini, hargailah jasa ibu bapa. Terimalah ibu bapa seadanya. Cubalah berkongsi masalah dengan ibu bapa biarpun anda tidak terlalu dihargai. Kerana tidak semua anda betul dalam setiap perkara. Ingatlah, ibu bapa memang sayangkan anda cuma mungkin tidak mahir untuk mempamerkan kasih sayang dalam jiwa.

Bagi ibu bapa pula, buangkanlah sikap ego. Tidak semestinya anda betul dalam semua perkara. Anak-anak permata dari Allah. Jadilah pendengar dan faham perasaan anak-anak dengan baik. Ingatlah, sekali anak-anak percayakan anda, tidak ada tempat lain yang akan mereka cari untuk bekongsi walaupun sahabat karib sendiri.

TERIMA KASIH ATAS PERHATIAN ANDA. HANYA ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI.

Bercuti Dengan Al-Quran

Rabu, 23 November 2011

0 Komentar
Musim cuti sekolah sudah bermula. Ramai dalam kalangan ibu bapa yang membawa anak-anak melancong dan berlibur tidak kira samada di dalam atau luar negara.


Bagi ibu bapa yang mempunyai kesedaran agama, mereka akan mencari mana-mana iklan yang menawarkan kelas kemahiran al-Quran untuk anak-anak mereka.


Bercuti dengan al-Quran adalah keputusan yang tepat pada masa kini. Keripuhan waktu belajar ditambah dengan pelbagai aktiviti kokurikulum sepanjang waktu persekolahan sepanjang setahun ini, tidak memungkinkan untuk para pelajar melazimkan diri dengan kitab suci Allah. Fakta ini sering sahaja menjadi alasan bagi golongan yang sentiasa berdalih.


Tetapi sekarang, musim cuti sudah datang! Apakah alasan tersebut masih relevan?


Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas muzik dan tidak merungut apabila bayaran yang dikenakan tinggi daripada biasa. Mereka sanggup berhabisan semata-mata ingin melihat anak mereka mahir bermain alat muzik dan mantap seni vokalnya.


Sedangkan yuran kelas pengajian al-Quran sangat rendah dan tidaklah semahal kelas muzik malahan berbaloi untuk memanfaatkan masa cuti anak-anak. Pelbagai ilmu berkaitan al-Quran boleh digali daripada tenaga pengajar yang dijemput.


Adapun, guru mengaji janganlah meletakkan 'harga' untuk diri sendiri. Upah memang boleh diambil tetapi berpada-padalah dalam urusan. Didiklah para peserta yang hadir dengan ikhlas dan adil.


Ingatlah pesan Rasulullah, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya."


MHT: Sebarkan iklan kelas kemahiran al-Quran ibarat menabur benih di ladang yang subur. Tanahnya boleh dipugar, hasilnya boleh disebar.

Ghairah Ke Mesir

Isnin, 12 September 2011

0 Komentar
Ramadan sudah melabuhkan tirai. Syawal menjelma bersama keriangan. Dalam kesungguhan orang kita menyambut hari raya (Raya Malaysia 30 hari = Mesir 1 hari), anak muda kita sekarang dilanda satu fenomena baru. Keghairahan menuntut ilmu di Bumi Mesir.


SEMANGAT.
Rata-rata kini sudah bersiap-siaga untuk mengirim tubuh dan jasad mereka ke negara tinggalan Nabi Musa itu. Namun, kebiasaannya hati mereka akan bergelombang dengan pelbagai rencah dan rasa. Ada yang meninggalkan tanah air dengan membawa harapan dari orang tua. Ada yang mengendong azam menyala-nyala. Ada yang memikul amanah dari para guru yang wibawa. Malah tidak kurang yang mengheret rasa bangga dari kawan dan sahabat. Kepada bakal penuntut Mesir, berdasarkan 4 situasi di atas, di manakah kedudukan semangat anda sekarang? Berapakah paras keyakinan anda? Adakah anda ke luar negara kerana desakan dari luar atau kehendak sendiri?

NIAT.

Pepatah Melayu ada menyebut, "pantang ajal sebelum maut." Justeru harus diingatkan, menuntut ilmu juga adalah jihad. Jangan mengalah sebelum bertarung. Pastikan semangat anda meninggalkan malaysia adalah untuk menambah kapasiti otak agar tahap pemikiran anda sekarang tidak statik dan tumpul. Janganlah bermusafir ke luar negara diniatkan untuk melancong dan menjelajah ke tempat-tempat menrik di Kaherah. Bimbang nanti anda benar-benar menjadi pelancong bukan penjelajah (ilmu).


PELUANG.

Apabila bergelar azhari nanti (termasuk pelajar perubatan), kutiplah segala mutiara yang tertanam di bumi barakah tersebut. Apa yang penting, kesabaran haruslah dijulang ke tahap yang tinggi apabila berada di luar negara terutamanya Mesir! Pastikan anda pulang dengan membawa perubahan pada diri. Jika tidak, sia-sialah anda ke luar negara.


CAKAP BESAR.

Tidak ramai yang tahu, selain daripada Makkah dan Madinah, Mesir juga termasuk dalam salah satu tempat yang harus dijaga kesuciannya. hal ini berikutan, terdapat beribu-ribu makam para ulama dan wali Allah yang tertanam dibuminya. Justeru, jagalah lidah dan niat anda sepanjang berada di sana. sekali anda berniat, insya-Allah Allah tunjukkan jalan. Tetapi sekali anda cuba berselingkuh, sekejap sahaja tuhan tunjukkan balasan. Kesimpulannya, jagalah adab pergaulan, perlakuan dan percakapan. Macam klise tetapi percayalah...


SEDAR.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menimbulkan provokasi tetapi sebagai pembakar semangat untuk anda yang sedang ghairah menuju ke bumi anbia Mesir. Sesungguhnya, lambakan pelajar di mesir sudah seperti pasir putih di pantai yang luas. Oleh itu, tidak salah menjadi pasir yang hitam asal kesannya menjadi fenomena yang mudah dipandang orang.


MHT: Pengalaman benar-benar mengajar saya berkelana di rantau orang.

4 Golongan Lelaki

Isnin, 1 Ogos 2011

2 Komentar
Di akhirat, ada 4 golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, membaca al-quran dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya
Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak-tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tetapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya.

3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, mengata dan sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

Firman ALLAH:

"HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA,JIN DAN BATU-BATU..."

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. Allah nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA. Semua kaum muslim dijamin masuk syurga (sesiapa yang mengucap kalimah tauhid) Dengan itu, janganlah kita membuang masa atau tidak mengendah janji dan peluang yang Allah berikan pada kita.

MHT: Ramadan kareem. Selamat berpuasa. Teruskan melazimi sunah dan memperkasakan ibadah.

Bila Anak Malaysia Menyanyi...

Selasa, 11 Mei 2010

2 Komentar
"Kau dah top-up untuk show hujung minggu ni?" Soal Suzi. Keretanya diberhentikan betul-betul di sebelah kereta Rina.

"Oh, aku awal-awal dah ready." Pintas Rina. Lampu isyarat di simpang jalan dikerling sekilas.

"Siapa la agaknya juara malam ni kan?" Ujar Suzi sambil membelek-belek make-up yang menebal di wajah.

"Siapa juara tak kisah, yang penting apa yang dipersembahkan." Jawab Rina.

"So, kau dah beli tiket?" Suzi menyoal lagi. Bibirnya dioles dengan gincu merah bata.

"Eh, gila! Tengok tv je la. Lagipun tempat tu kan jauh."

"Alah, tengok depan mata baru syok." Senyum Suzi meleret. Terbayang-bayang wajah artis kegemarannya bakal beraksi di atas pentas.

"Benar bu. Kalau lihat depan mata pasti lebih menangkap di dada." Pembantu rumah Rina yang dari tadi diam di sebelahnya tiba-tiba menyampuk.

"Hah, kan aku dah cakap. Siapa pengkritik malam ni Bibik?" Tanya Suzi. Matanya dihala ke arah wanita di sebelah Rina. Rina turut berpaling penuh minat.

PERISTIWA DI KAMPUNG TUBUH!

Sabtu, 24 April 2010

3 Komentar
"Apa yang kau cari?" Hati yang sejak tadi memerhati, menegur.

"Entah, aku rasa tak sedap hati la. Lain macam rasanya." Balas Mata sambil kelopaknya buka katup silih berganti.

"Ah, jangan bimbang. Mimpi kelmarin takkan berulang. Cuma mimpi kan?.." Akal yang sejak tadi berlari, berhenti sebentar menghirup hawa sejuk-panas kaherah. Sebetulnya musim bunga menyusur sekarang ini, namun kelibat dingin masih tampak malu-malu mahu pergi. Usai berhenti beberapa bentar, Akal kembali berlari meningalkan mata terkebil-kebil. Lagi dan lagi.

"Betul ke itu mimpi?" Perut yang baru hari ini dapat tidur, tidak mahu terus bermalam-malam. Dari dalam kamar, Perut menjengahkan kepala ikut sama menyoal.

"Tak tahulah Rut. Aku kurang pasti. Tapi dah banyak kali aku mimpi. Tapi minggu ini tak datang pulak" Mata yang masih melilau kelihatan bungkam. Seluruh urat yang menjelira di tepi kolamnya berbunyi-bunyi resah. Keliru.

"Jadi kau cari dia ye?" Kaki yang sedang bergayut dan jarang menabir di jalanan itu menebak tiba-tiba. Gayutannya dilambatkan lebih lambat daripada biasa.

"Aku cari…err…aku cari teman..." Balas mata kurang yakin. Ada getar menggumam di hujung kerokongnya.

"Kau ada kawan ke?!" Tanpa diduga, seluruh ahli jawatankuasa Kampung Tubuh itu bersuara serentak. Mata terbelalak. Terus dia terpisat-pisat. Melilau tanpa arah.

"Tak baik korang cakap macam tu." Anak Tangan mula bersuara. Perlahan-lahan Anak Tangan menjelira di sebelahnya. Memujuk. Mata diam. Bungkam.

"Ah, selalu kami tengok dia sorang je. Kami fikir, dia mana ada kawan." Ujar Akal sambil melambatkan lariannya. Mata masih melilau sana sini. Gusarnya kian mendesah. Demi terlihatkan itu, Hati yang menjauh kelihatan cuba mendekat.

"Sabar, sabar. Nanti ok la tu." Pujuk hati. Anak Tangan mengangguk-angguk.

"Kriiinggg!" Udara petang Jumaat yang hening itu tiba-tiba pecah digempar bingit. Telinga yang dari tadi cuma jadi pencerap terkejut. Mata berkalih pantas. Tanpa dipaksa Anak Tangan bergegas.

"Ayahandamu gering! Sudah berminggu! Jantungnya terseliuh!"

"Innalillah!" Serentak. Seluruh ahli jawatankuasa Kampung Tubuh itu berzikir deras. Kaki tiba-tiba berhenti berhayun. Akal yang jenuh berlari terjelepok. Perut di dalam kamar mengecut. Terpempan metah!

"Innalillah.* Sabar, masih sempat." Hati berbisik menyorok lara di gobok dada. Pelukannya dipererat. Kejap.

Mata kini tidak libang-libu lagi. Mata tidak tercari-cari lagi. Mata terus-terus memandang langit sambil menahan tubirnya dari pecah.

Tanpa diduga, Anak Tangan kesejukan, "patutkah aku catatkan ini…"

"Subhanallah!"

MHT: Di saat entri ini saya muntahkan, ayah saya, Tajuddin bin Hj Shohod rupa-rupanya sudah enam hari bermalam di Hospital Seremban. (termasuk sempat menghirup udara kusam di IJN. Sakit jantung! Berita mengejut dari Malaysia ini saya terima hanya beberapa jam usai blog ini saya bangunkan. Doakan dia diberi syifa dan kesembuhan oleh Allah insya-Allah. Allahu Akbar!

*Kalimah ini dinamai kalimah 'istirjaa' (pernyataan kembali kepada Allah) Sunnah menuturnya di kala musibah datang menimpa samada kecil mahupun sebaliknya. Dalam al-Quran Allah berfirman mafhumnya, "orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Innaa lillaahi wa inna ilaihi raaji'un" (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali) - al-Baqarah: 156.

10.44 malam. Jumaat. Kaherah.

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails