Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."
Memaparkan catatan dengan label Kembara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara. Papar semua catatan

Malam Cinta Rasul 2013 - Hiburan Alternatif Remaja.

Isnin, 25 Mac 2013

2 Komentar
Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Maha pencipta. Ajakan daripada seorang murid yang disampaikan melalui seorang sahabat guru pada mulanya saya pandang sepi tanpa rasa teruja.

Sungguh hidayah itu milik Allah. Selang beberapa hari, saya layari laman sesawang dan membuat sedikit kajian tentang Habib Syeh dan malam cinta rasul. Ternyata, apa yang saya temui lebih daripada jangkaan. Majlis yang pernah diadakan pada tahun lalu rupa-rupanya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Jumlah kehadiran bukan calang-calang anak.

Atas rasa cinta kepada Rasulullah dan kaum kerabat baginda, saya gagahkan diri dan membuang semua bisikan dan kelat-kelat hitam dalam hati. Bahkan, saya muat turun poster majlis yang mulia ini dan saya sebarkan dalam facebook serta blog.

Sabtu, 23 Mac 2013. Perjalanan ke lorong dakwah dari Seremban ke Kuala Lumpur terasa dipermudahkan Allah. Seolah-olah ada tali yang menarik kenderaan kami sepanjang jalan. Maha suci Allah.

Malam Sabtu. Dataran Merdeka yang sebelum ini lengang dan kadang-kala ripuh dengan suara-suara artis bergelandangan tetapi malam itu menjadi sangat meriah dengan cahaya lampu yang terang benderang. Tetapi bukan itu yang menjadi ukuran. Malam itu dapat saya rasakan bahawa setiap helai rumput yang terpijak di tanah lapang itu pasti bangga dan redha untuk menjadi saksi pada setiap tapak kaki yang menginjaknya.

Dan saya sangat bersyukur kerana menjadi salah satu daripada sekian banyak tapak kaki yang berpijak di malam cinta rasul!

Realitinya, suara-suara zikir dan pujian yang berkumandang dan menyelubungi malam minggu itu menutup semua bunyi motor-motor rempit yang biasanya menguasai pancaindera anak kota. Alunan dan gerak tubuh makhluk-makhluk di dataran saat itu sangat meruntun hati-hati yang rindu kepada baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

Biarpun waktu hampir menuju detik 12 malam, kaki tidak terasa kebas dan tubuh tidak terasa letai. Alhamdulillah. Aura positif bersipongang dan mengikat hati-hati untuk bertahan. Sungguh!

Kemerduan suara syeh yang bermadeh tanpa berhenti amat mengagumkan. Inilah bukti majlis ilmu masih lagi diminati dan zikir sebegini dengan rentak muzik yang mengasyikkan berjaya menarik anak muda untuk turut serta tanpa ada nilai pesimis.

Tatkala pulang pada lewat malam, kaki melangkah dengan hati tenang dan palitan rindu yang sangat mendalam kepada Rasulullah, penghulu para nabi.

Dan saya terfikir, siapakah yang menggerakkan hati murid tersebut untuk mengajak hati ini? Dan suara siapa yang menggetarkan serta mengetuk karat pintu hati kecil saya ini? Subhanallah!

Dan saya sempat memandang langit malam itu dengan sayu dan sepi.

Nikmat mana lagi yang ingin saya dustakan?

Malam Cinta Rasul 2013 - Dataran Merdeka.

Sabtu, 23 Mac 2013

6 Komentar

TIPS MENDAKI BUKIT BROGA

Sabtu, 22 September 2012

51 Komentar
"Pinjam gambar sekejap, Datuk."
Di mana Bukit Broga? Salah sebuah bukit yang pernah menjadi latar gambar pra perkahwinan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Harlina. Lets google it! [klik]

1. Cuti Hari Malaysia yang lalu, saya penuhi dengan aktiviti yang sihat. Bukan seperti sesetengah anak muda yang berpeleseran sesuka hati. Demi mengambil semangat patriotik (bukan politik!), saya cabar diri mendaki Bukit Broga.
 
TIPS! Rancang perjalanan. Perhatikan cuaca. Jangan pergi selepas waktu hujan. Jangan lupa solat Subuh awal waktu. Lakukan zikir, wirid atau hizib. Berdoa agar ekspedisi tidak mendatangkan musibah. Bertawakkallah kepada Allah.
2. Pagi sebelum bertolak saya hanya mengambil sedikit sarapan. Cukup sekadar roti dan susu Anlene kerana baik untuk tulang dan tenaga.

TIPS! Ingat, sedikit sarapan dan bukan makan tengah hari!

3. Cuaca sangat baik. Bersama tiga lagi kenalan, saya memulakan perjalanan riadhah ini dari Seremban pada jam 7.30  pagi.

TIPS! Jika ingin melihat matahari terbit dari puncak bukit, anda perlu mendaki seawal jam 6.30 pagi. Pakai baju (t-shirt) yang nipis tetapi menyerap peluh. Bawa bersama sehelai tuala Good Morning dan sebuah beg galas kecil untuk mengisi air mineral atau 100 Plus.

4. Tidak sampai setengah jam, kami tiba ke kaki Bukit Broga.

TIPS! pandu kereta dengan berhati-hati kerana anda akan menempuh jalan kampung yang sunyi. Jalannya bengkang - bengkok seperti jalan Bukit Putus yang lama atau jalan Cameron Highland. Pastikan kereta diservis dengan sempurna.

5. Kelihatan banyak kenderaan sudah memenuhi lot parkir (kawasan ladang kelapa sawit). Lalu kami mengambil keputusan untuk meletakkan kenderaan di luar kawasan iaitu di bahu jalan.

TIPS! Jika berkehendakkan tempat yang redup, bolehlah meletakkan kenderaan di kawasan parkir tersebut dengan bayaran RM2 (dalam ladang sawit pun kena bayar!)

6. Kami memulakan pendakian kira-kira jam 8.00 pagi (dengan semangat perwira). Saya dengan yakinnya memakai baju sweater kerana merasa sejuk di pagi hari.

TIPS! Jangan berangan hendak memakai sweater tebal kerana anda akan 'terbakar' ketika mendaki nanti! Sebaik-baiknya lakukan sedikit regangan otot atau senaman ringan sebelum mendaki untuk mengelakkan kekejangan otot.

7. Ketika mula mendaki, kami bertembung dengan berduyun-duyun pendaki yang sedang turun. Dari anak kecil hinggalah warga emas. Bibir mereka murah dengan senyuman. Wajah mereka cukup tenang dan bercahaya.

TIPS! Jangan tertipu!

8. Kami memulakan langkah dengan BISMILLAH dengan niat ibadah kerana Allah. Menurut kawan yang berpengalaman, Broga tidak terlalu curam seperti Gunung Datuk (tidak terlalu...)

TIPS! Pakai kasut yang selesa dengan kaki anda. Jangan menggunakan kasut yang berat dan sudah haus tapaknya.

9. Memang ramai yang berada di sepanjang trek, Mungkin kerana musim cuti. Jadi kami tidak merasa sunyi.

TIPS! Ketika mendaki, Jangan leka dengan telefon bimbit, i-pad dan seumpama denganya. Jangan sumbat telinga dengan earphone kerana dikhuatiri anda tidak mendengar panggilan rakan atau hilang imbangan badan di tempat tinggi (sains dan biologi =)

10. Kami berhenti di beberapa kawasan landai. Kami mengambil peluang untuk berehat sebentar sambil minum air 100 Plus. Kami meyaksikan pemandangan yang sangat menarik dan berbeza di setiap hentian tersebut. Udaranya sangat segar. Dari kejauhan, kami dapat menyaksikan barisan pendaki sedang menuju ke puncak ibarat semut yang sedang pulang ke sarang.

TIPS! Jangan berhenti berehat terlalu lama kerana dikhuatiri akan cepat letih dan 'malas' untuk meneruskan pendakian. Jangan terlalu teruja untuk mengambil gambar pada hentian pertama!

11. Pendakian Broga tidak memerlukan kami masuk ke kawasan hutan yang tebal. Kami cuma menempuh kawasan hutan di kaki bukit. Apabila tiba di satu tahap, trek laluan lebih terbuka dan hanya bertemankan lalang yang meninggi di kiri dan kanan.

TIPS! Jika kawasan licin, berpaut pada akar pokok dan ikut tanah yang bertangga (terbentuk hasil pendakian beribu-ribu umat manusia yang telah mendaki)

12. Sebelum sampai ke puncak, kami perlu melalui kasawan batu yang curam. Untungnya, seutas tali sudah tersedia di situ.

TIPS! Seorang perlu naik dahulu ke atas dan menarik yang lain dengan tangan. Inilah pentingnya membawa kawan atau pergi dalam kumpulan.

13. Kira-kira empat puluh minit pendakian, kami tiba di puncak Broga. Menurut kawan yang berpengalaman, pendakian tersebut sebenarnya cuma memakan masa selama dua puluh minit jika tidak banyak berhenti. Kawasan puncaknya tidaklah terlalu luas dan dipenuhi dengan batu-batu besar. Kami perlu memanjat batu-batu tersebut untuk melihat suasana sekeliling. Sungguh sayup dan menakjubkan.

TIPS! Ucapkanlah  ALHAMDULILLAH tanda syukur dan SUBHANALLAH sebagai pujian terhadap keindahan ciptaan Allah.

14. Masa untuk mengeratkan silaturrahim! Kami melabuhkan punggung, meneguk air dan bersembang sepertimana yang dilakukan oleh pendaki-pendaki yang telah tiba lebih awal. Kelihatan beberapa buah Jalur Gemilang sudah terpacak di situ. Terdapat pula sebuah papan tanda bertulis "Puncak Broga 400M" (tingginya..? =) Sebelum turun, kami bergambar beramai-ramai di puncak tersebut (Maaf, gambar privasi =)

TIPS! teruskan bacaan kerana kami belum turun lagi...

15. Setelah hilang penat, kami memulakan perjalanan turun. Laluannya tampak lebih mudah. dalam perjalanan, kami bertembung dengan beberapa individu yang muntah dan kelihatan lemah tidak berdaya. Mereka adalah golongan muda. kami juga bertembung dengan beberapa individu yang pernah naik dan turun sebanyak lebih lima kali berturut-turut! Yang menakjubkan, mereka bukanlah golongan muda remaja tetapi warga emas yang bersemangat waja. Oleh itu, kami jadi 'malu' untuk letih dan meneruskan perjalanan.

TIPS! pasang niat untuk datang semula.

16. Terdapat dua trek untuk turun dan kami memilih jalan yang berlainan kerana perasaannya lebih berbeza.

TIPS! Pastikan jarak perjalanan anda dengan rakan tidak terlalu jauh kerana perjalanan turun lebih mudah dan pantas. Hati-hati kerana anda akan mudah jatuh. jangan terus berlari ke bawah tetapi berjalan ke arah kiri dan kanan (zig-zag)

17. Setelah tiba di kaki bukit semula, kami merasakan lebih sihat. penat kami tidak menyakitkan. kami tidak mengalami sakit lutut atau otot. Inilah hadiah Allah agaknya apabila kita berniat ibadah.

TIPS! Terdapat sebuah taman arnab bertentangan dengan lot parkir (ladang kelapa sawit RM2!) Anda boleh bermain-main dengan arnab dan menunggang kuda di kawasan tersebut dengan bayaran yang tertentu.

MHT: Apabila turun di kaki bukit nanti, jangan lupa 'senyum' pada pendaki yang baru hendak naik! Selamat mendaki =)

FANOOS: Lentera di Bulan Ramadan

Sabtu, 21 Julai 2012

1 Komentar
Sesiapa yang pernah berkunjung ke Mesir terutamanya kepada graduan-graduan Universiti al-Azhar (seperti saya=) pasti dapat memahami dan merasai memori indah tatkala membaca tajuk artikel kali ini. Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki dan bersemayam dengan udara Ramadan di sana, ini adalah informasi berharga untuk anda!

Fanoos adalah sejenis lampu elektronik yang sering dpasang dan diletakkan di balkoni rumah penduduk Mesir sepanjang malam bulan Ramadan. Kata orang-orang veteran di sana, fanoos adalah lambang perjalanan rohani ke arah cahaya hidayah. Budaya memasang fanoos di Mesir saling tidak tumpah dengan adat orang Melayu yang memasang pelita di malam-malam menjelang Syawal. Adat tersebut tetap utuh sehingga hari ini malah dikhabarkan telah diwarisi sejak zaman Fatimiyah lagi - wallahu a'lam.

Kemeriahan memasang fanoos sudah dapat dirasai seawal penghujung Syaaban lagi apabila banyak kedai mula mempamerkan lentera tersebut dengan pelbagai ragam dan cara. Anda yang baru pertama kali ke Mesir pasti akan teruja dengan fenomena tersebut. Bayangkan, daripada sekecil-kecil key-chain sehinggalah sebesar-besar kereta saiznya, disusun cantik dan tersedia untuk dijual.

Memandangkan ia bukanlah suatu kewajipan dan hanya sekadar adat penduduk dan tradisi, maka jarang saya melihat pelajar-pelajar Malaysia di Mesir membeli atau memasangnya di balkoni rumah kerana mungkin faktor harganya.

Rumah-rumah di Kaherah adalah berbentuk pangsa atau flat setinggi 7 atau 8 tingkat. Malah ada yang mencecah 10 hingga 12 tingkat. Pastinya, kita tidak akan dapat menyaksikan bentuk rumah teres atau unit lot seperti di Malaysia. Manakala jarak setiap bangunan pula sangat rapat dan tersusun-susun. Jika dapat diperhatikan dari arah langit (jika anda Superman atau Ultraman) bentuknya seolah-olah permainan Lego yang siap terpasang dan menunggu masa untuk dirempuh raksasa (bagi pelajar Mesir yang faham...)

Justeru, suasana malam Ramadan di Mesir begitu terang dan mengasyikkan apabila setiap rumah memasang fanoos di balkoni masing-masing. Pesta cahaya yang datang setahun sekali ini tentunya menjadi antara kenangan terindah buat pengembara ilmu di perlembahan Nil.

Namun, di samping sambutan yang penuh warna-warni tersebut, janganlah kita melupakan amalan yang lebih utama di malam Ramadan iaitu berterawih dan menghidupkan malam-malam dengan alunan zikrrullah, tadarus al-quran dan halaqah-halaqah ilmiah. Moga cahaya hidayah akan terus bersinar untuk sang pencari redha Allah. Selamat berpuasa. Ramadan Kareem. ALLAHU AKRAM.

MHT: Rindunya nak ke sana lagi...

Ghairah Ke Mesir

Isnin, 12 September 2011

0 Komentar
Ramadan sudah melabuhkan tirai. Syawal menjelma bersama keriangan. Dalam kesungguhan orang kita menyambut hari raya (Raya Malaysia 30 hari = Mesir 1 hari), anak muda kita sekarang dilanda satu fenomena baru. Keghairahan menuntut ilmu di Bumi Mesir.


SEMANGAT.
Rata-rata kini sudah bersiap-siaga untuk mengirim tubuh dan jasad mereka ke negara tinggalan Nabi Musa itu. Namun, kebiasaannya hati mereka akan bergelombang dengan pelbagai rencah dan rasa. Ada yang meninggalkan tanah air dengan membawa harapan dari orang tua. Ada yang mengendong azam menyala-nyala. Ada yang memikul amanah dari para guru yang wibawa. Malah tidak kurang yang mengheret rasa bangga dari kawan dan sahabat. Kepada bakal penuntut Mesir, berdasarkan 4 situasi di atas, di manakah kedudukan semangat anda sekarang? Berapakah paras keyakinan anda? Adakah anda ke luar negara kerana desakan dari luar atau kehendak sendiri?

NIAT.

Pepatah Melayu ada menyebut, "pantang ajal sebelum maut." Justeru harus diingatkan, menuntut ilmu juga adalah jihad. Jangan mengalah sebelum bertarung. Pastikan semangat anda meninggalkan malaysia adalah untuk menambah kapasiti otak agar tahap pemikiran anda sekarang tidak statik dan tumpul. Janganlah bermusafir ke luar negara diniatkan untuk melancong dan menjelajah ke tempat-tempat menrik di Kaherah. Bimbang nanti anda benar-benar menjadi pelancong bukan penjelajah (ilmu).


PELUANG.

Apabila bergelar azhari nanti (termasuk pelajar perubatan), kutiplah segala mutiara yang tertanam di bumi barakah tersebut. Apa yang penting, kesabaran haruslah dijulang ke tahap yang tinggi apabila berada di luar negara terutamanya Mesir! Pastikan anda pulang dengan membawa perubahan pada diri. Jika tidak, sia-sialah anda ke luar negara.


CAKAP BESAR.

Tidak ramai yang tahu, selain daripada Makkah dan Madinah, Mesir juga termasuk dalam salah satu tempat yang harus dijaga kesuciannya. hal ini berikutan, terdapat beribu-ribu makam para ulama dan wali Allah yang tertanam dibuminya. Justeru, jagalah lidah dan niat anda sepanjang berada di sana. sekali anda berniat, insya-Allah Allah tunjukkan jalan. Tetapi sekali anda cuba berselingkuh, sekejap sahaja tuhan tunjukkan balasan. Kesimpulannya, jagalah adab pergaulan, perlakuan dan percakapan. Macam klise tetapi percayalah...


SEDAR.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menimbulkan provokasi tetapi sebagai pembakar semangat untuk anda yang sedang ghairah menuju ke bumi anbia Mesir. Sesungguhnya, lambakan pelajar di mesir sudah seperti pasir putih di pantai yang luas. Oleh itu, tidak salah menjadi pasir yang hitam asal kesannya menjadi fenomena yang mudah dipandang orang.


MHT: Pengalaman benar-benar mengajar saya berkelana di rantau orang.

Indahnya Tanah Seberang

Selasa, 7 Jun 2011

4 Komentar
Berpeluang menjejaki tanah subur Bandung, Bogor dan Jakarta; menjadikan negara Indonesia sebagai negara kedua yang saya kunjungi selepas Mesir. Alhamdulillah. Jauh perjalanan luas pemandangan. Moga perjalanan ini mencambahkan lagi pengetahuan dan ruang lingkup pengalaman selepas ini. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda, detik-detik manis sepanjang berada di sana.

Penerbangan Malaysia Airlines sememangnya menyajikan layanan terbaik untuk para penumpang (Wah, ini bukan iklan ya!=)

Hujan Dari Malaysia

Jumaat, 10 Disember 2010

1 Komentar

Bukan mudah.
Hampir 2 minggu saya mencumbui udara dan memesrai iklim khatulistiwa, baru hari ini saya punya masa dan semangat untuk menyuburkan kembali tapak blog ini untuk tatapan pembaca. [Tidak pasti berapa ramai yang membelek dan membaca persuratan digital saya di sini]

Matahari yang bersinar cemerlang, panas dan terik menyambut saya dan sahabat senior [Humair] ke bumi tercinta Malaysia 30 November lalu. Cuaca yang begitu kontra dengan bumi Mesir yang sedang diulit hawa dingin membuatkan tubuh terasa janggal.

Seminggu saya berlawan dengan waktu. Seminggu akal saya 'keliru' untuk menyesuaikan diri dengan masa dan keadaan. Seminggu saya berlawan dengan diri sendiri demi menyahut sebuah entiti bernama 'semangat'. Seminggu saya cuba memadam rindu dengan bumi Mesir.

Selepas 3 tahun tidak pulang, hari ini tidak boleh tidak saya harus menjerit dan berkata, "aku sekarang berada di Malaysia!!"

Babysitter.
Ya, saya sudah kerja; jika ada yang bertanya. Menjaga anak buah dan membantu kerja-kerja rumah adalah latihan dan tanggungjawab sambilan saya sekarang sebelum menjawat apa-apa jawatan yang dipohon. Bukan mudah. Kesabaran tahap kritikal amat diperlukan. Tersalah strategi emosi anda akan berubah. Tetapi jika anak-anak ini pulang ke rumah ibubapa mereka, saya akan rasa sunyi. Aduhai...(**.) Tolong saya!

Musim Hujan.
Sekarang musim hujan. Situasi yang anda akan tunggu-tunggu kala bergelandang di perlembahan Nil. Jaga kesihatan adalah perkara utama harus saya dahulukan. Tetapi keutamaan solat dan dakwah tidak harus saya ketepikan. Dakwah untuk diri sendiri dan keluarga. Malah masyarakat amat memerlukan saya. Tolong ingatkan saya!

Justeru, kepada sahabat-sahabat di Mesir, bersedialah. Masyarakat sedang menanti anda. Terima kasih kepada semua yang telah menjadi sahabat susah dan senang sepanjang keberadaan saya di Bumi Mesir. Teruskan usaha dan selamat berjuang!

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails