Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."
Memaparkan catatan dengan label Bola. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bola. Papar semua catatan

Sikap Penonton Bola Sepak Malaysia 2013

Selasa, 28 Mei 2013

0 Komentar
Malam ini perlawanan bola sepak antara pasukan Pahang menentang Johor di Stadium Negeri Pahang. Tetapi sikap para penonton yang berkerumun di ruang trek lumba lari stadium membuatkan jadual perlawanan terpaksa ditangguhkan beberapa jam. 

Walaupun Sultan Pahang sudah turun padang, namun para penonton tetap tidak mahu berganjak dari tempat duduk. Akhirnya, perlawanan terpaksa ditangguhkan ke satu waktu yang akan ditetapkan kelak.

Situasi ini menunjukkan sikap rakyat Malaysia yang tidak profesional dan harmonis.

Para penyokong rugi duit, rugi masa, rugi tenaga.

Rakyat Malaysia hilang respek, hilang wibawa, hilang toleransi.

Para pemain hilang motivasi.

Rusa Masuk Gelanggang

Ahad, 30 Oktober 2011

1 Komentar
Ini bukan kisah haiwan. Tetapi hendak berkisah tentang juara baru Piala Malaysia 2011.

Tahniah pasukan Negeri Sembilan kerana mengekalkan momentum perjuangan. Selepas ini, fenomena bola sepak negara akan terus mekar dan berkembang selaras dengan teknologi semasa. Keprihatinan masyarakat berhubung harga tiket dan kesungguhan menyaksikan perlawanan bukti semangat anak Malaysia terhadap arena riadhah ini.

Namun, sebagai seorang muslim, beberapa perkara harus diambil kira sewaktu menjalankan aktiviti riadhah.

1. Mulakan sukan dengan menyebut nama Allah. Syaitan sering menghasut orang-orang yang sedang riang.
2. Niatkan untuk menambah kecergasan dan merehatkan minda. Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya. Baginda juga sering melatih umat Islam memanah dan menunggang kuda; sukan yang praktikal dalam Islam.
3. Menutup aurat. Ramai yang terlupa untuk menutup betis dan lutut sewaktu bersukan.
4. Menjaga waktu solat. Ramai yang bersorak di padang hingga lupa untuk bertakbir di masjid.
5. Menjaga tutur kata. Aktiviti sukan sering tercemar dengan caci maki dan carut marut.
6. Mengucapkan kalimah hamdalah [Alhamdulillah] selepas selesai bersukan. Apatah lagi selepas meraih kejuaraan dalam sesuatu pertandingan.

MHT: Hobin Jang Hobin!

1.1.11=?

Sabtu, 1 Januari 2011

1 Komentar
Cuba kira berapa banyak satu dalam rangkaian nombor di atas?

Ya. Itulah nombor paling cemerlang di hujung tahun ini apabila Malaysia berjaya melengkapkan jaringan sebanyak 4 gol sekaligus melayakkan Harimau Malaya kita bergelar juara bola sepak Piala Suzuki AFF. (Masih teruja dengan kejayaan Malaysia=)

Hari ini kita melangkah setapak lagi apabila gerbang 2011 membuka pintunya. Sebaiknya kita bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merasai umur dan pengalaman yang baharu. Sebelum terlambat, baiklah kita berdoa kepada Yang Maha Esa agar diberikan ilmu dan rezeki yang bermanfaat sepanjang tahun ini.

Surah al-Mukmin ayat 60 ada menyebutkan, "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka Jahannam Dalam keadaan hina."

Semoga angka-angka baharu dalam hidup kita bukan lagi sekadar nombor tetapi terapi untuk kita meluaskan paradigma dengan lebih positif dan membuat percaturan hidup dengan lebih terancang, insya-Allah.

JUDI.
Bercerita tentang nombor, saya baru mendapat mesej (SMS) daripada nombor yang tidak dikenali (barangkali Syarikat telefon sendiri) mengenai peluang untuk kita mendapat duit dan menang nombor 4D melalui telefon bimbit. Sifu 4D akan memberikan anda nombor bertuah sekiranya anda memberi maklum balas ke atas arahan-arahan yang diberi. Sengal!

Itukan judi terang-terangan! Sah, masyarakat kita sudah gila dan masih tidak serik lagi. Judi sudah menjadi mainan tanpa kita sedari. Dulu judi bola heboh satu Malaya. Selepas kecanggihan teknologi memasuki negara, banyak lagi perisian dan perancangan judi menguasai suasana.

TIPU.
Baru-baru ini sepupu saya sudah terkena mesej (SMS) daripada nombor yang tidak dikenali yang menggelarkan dirinya PakCik. Pak Cik ini telah meminta tolong supaya ditambahkan kredit (Top-up) kerana sedang berada dalam kesusahan. Merasakan mesej berasal daripada bapa saudara sendiri, hamba Allah ini pun mengikut arahan tanpa usul periksa. Akhirnya, setelah diselidik barulah dia sedar bahawa dirinya telah tertipu.

Hati-hati. Sindiket ini semakin rancak mengaut keuntungan sambil goyang kaki. Mereka akan menggunakan nama/ gelaran yang biasa dan dekat dengan kita hingga kita terasa mesej itu benar-benar daripada saudara/ keluarga kita sendiri.

Lucunya. Suatu hari, bapa saudara saya juga telah menerima mesej yang hampir sama. "Tolong top-upkan kredit ayah ke nombor 01********. Ayah di balas polis sekarang. Ayah sedang ditimpa masalah." Lebih kurang begitulah bunyi mesej yang diterima.

Tanpa fikir panjang bapa saudara saya terus membalas, "Aku mana ada ayah! Penipu!!"

MHT: Kalaulah arwah atok dan nenek ada lagi...

Hikayat Laser Paling Popular

Selasa, 28 Disember 2010

1 Komentar
3-0!! Alhamdulillah. Gegak gempita seisi buana. Langit malam Kampung Harimau gemuruh dilanggar garuda.

"Syabas pasukan harimau." Jawapan yang bernas untuk sebuah aksi yang memberansangkan dan ditunggu-tunggu. Tidak sia-sia penyokong bersorok dan bertempik di gelanggang. Tidak ketinggalan peminat-peminat Pak Belang yang melompat keriangan di rumah dan warung-warung tepi jalan.

Kejutan tiba-tiba berlaku apabila seorang bangsawan yang terkenal di Kampung Harimau naik angin apabila sebuah pancaran cahaya bernama ' sang laser' dihalakan ke arah padang atau lebih tepat lagi hinggap di wajah cemas penjaga gawang negara seberang.

Merah padam wajah baginda.

Tiba-tiba 'sang laser' tersebut dikhabarkan menjadi penyebab kekalahan pasukan lawan. Kerana perlawanan diadakan di tanah air Pak Belang, maka pelakunya disabitkan (Ala-ala kes pembunuhan di mahkamah) ke atas rakyat kampungnya. Kasihan.

Arakian, masyhurlah 'sang laser' untuk satu malam dan malam-malam berikutnya. Mungkin akan terus bersipongang di sanubari rakyat untuk berkurun-kurun tahun akan datang.

Lalu, bersoraklah orang Kampung Harimau menuntut keadilan. Kata mereka, "bukankah di negara kita ini juga terdapat ramai orang seberang?" Mendengarkan itu, terpinga-pingalah hulubalang yang dilantik untuk mencari punca.

Kata hulubalang, "tidak mengapa tuanku. Akan hamba periksa selagi mampu. Kita tunggu kebenarannya kala rombongan pasukan Pak belang tiba ke tanah seberang beberapa hari dari sekarang." Sultan tunduk setuju. Rakyat jelata akur membisu.

Malam larut. Rakyat kabur bersama sorak-sorai keriangan. Gelanggang yang tadi bagai perang kembali sunyi dan lengang. Subuh menjelang. Azan berkumandang membawa sama rahmat Tuhan. Imam dan bilal saling memandang. Masjid kosong melohong.

Kata bilal, "berapa lama mahu ditunggu? Mungkin kita harus bersolat di gelanggang, baru ramai akan datang." Pak Imam senyum. Sayugia, takbir berseru beberapa waktu. Al-kisah...

MHT: Baca lagi kisah di gelanggang Pak belang (klik sini)

Kebangkitan Skuad Malaysia

Sabtu, 25 Disember 2010

1 Komentar
Boleh berjayakah pasukan kita?
Sudah sediakah skuad kita?
Tahu serang atau bertahan sahaja..?

Mungkin banyak lagi persoalan dan cakap-cakap kosong bersiulan di bibir masyarakat malaysia apabila skuad bola sepak Negara berjaya menjejakkan kaki ke gelanggang akhir Piala AFF Suzuki 2010.

Persoalan dan impian kini sudah hampir jadi kenyataan. Menyaksikan Malaysia beraksi di padang rumput Vietnam, cukup membuatkan saya tertanya-tanya, adakah pasukan kita hanya mampu bertahan dan sudah cukup berpuas hati dengan kemenangan di Malaysia sebelumnya?

Ini pentas akhir. Indonesia tidak mungkin akan berdiam diri walaupun ramai yang membuat spekulasi. Kebangkitan skuad mereka sejak puluhan tahun lagi dalam segenap aspek kehidupan samada rencah kemiskinan, penjajahan, pendidikan, seni dan semangat kemerdekaan jelas membuktikan mereka boleh jadi apa sahaja dalam keadaan yang kritikal dan rencam.

Lihat sahaja isu demonstrasi dan piket memprotes ketidakadilan pembantu rumah yang didera muncul saban hari dalam media massa. Indomee, jenama mee segera laris di tanah-tanah Arab termasuk Mesir dan Mekah. Isu hak pemilikan batik yang dicanangkan dengan tegas kepada dunia dan banyak lagi cukup membuktikan kesungguhan mereka dalam menaikkan nama negara mereka di mata dunia.

Mereka tidak cakap kosong.

Justeru, pasukan kita harus bagaimana? Anak muda kita perlukan apa? Generasi kita mesti bagaimana dalam menghadapi fenomena ini?

Ini bukan tentang bola semata-mata. Tetapi tentang semangat dan matlamat bangsa. Perang psikologi ini mesti kita hadapi.

Bersediakah skuad kita?

Wavin' Your Flag!

Ahad, 27 Jun 2010

0 Komentar
Sempena Piala Dunia 2010 ini, saya mengajak anda melihat kreativiti segolongan manusia di serata pelosok dunia yang pandai mencorakkan bakat yang tersorok dalam diri mereka. Saksikanlah...

Spain


Korea

Sorak-sorai Piala Dunia 2010

Selasa, 15 Jun 2010

0 Komentar

Anda mungkin salah seorang peminat World Cup 2010 bukan? Sesungguhnya dunia hari ini sedang riuh berceloteh tentang piala dunia. Bukan sahaja di warung kopi, sekolah, pejabat, kaki lima malah tandas awam turut menjadi gelanggang 'mesyuarat' bagi peminat sukan bertaraf dunia ini.

Saya yang berada di Mesir, turut merasa bahangnya apatah lagi setelah tanah tinggalan Nabi Musa dan Firaun ini tidak layak menjadi tuan rumah bagi piala dunia 2010. Afrika nampaknya kini sedang menjadi perhatian seluruh pelusuk dunia. Dengan lagu tema yang menarik, suasana piala dunia tahun ini tampak ceria dan bertenaga.

Rakyat Malaysia antara ribuan mata yang tidak pernah kalah dalam memanaskan semangat piala dunia. Pernah dahulu di tanah air Malaysia saya menyaksikan media kita beria-ria menjadikan perlawanan ini sebagai salah satu agenda dan siaran terpenting dalam jadual mereka. Sambutan hangat dan luar biasa yang diterima daripada rakyat Malaysia sangat mampu mengalahkan 'rating' berita, forum perdana apatah lagi rancangan agama. Hebatnya!

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails