Sambutan hari guru di Malaysia sudah lama berlalu. Tetapi jasa dan pengorbanan yang dilakar oleh seorang guru dalam diari hidup kita tidak akan pernah padam dan hilang.
Seorang manusia yang hebat bermula daripada seorang guru yang hebat. Justeru, seorang guru perlu memikul tanggungjawab dengan penuh amanah dan hati yang ikhlas kerana Allah.
Sesungguhnya perlu diingatkan di sini bahawa ibu bapa adalah guru terawal dalam kehidupan seorang manusia di dunia! Biarpun guru di sekolah yang banyak mengatur segala perancangan dalam proses pendidikan seseorang individu, ibu bapa juga wajib menghargai jasa mereka dengan membantu anak-anak mengadaptasi ilmu dan nilai-nilai yang dipelajari di sekolah ke rumah.
CONTOH MUDAH
1. Jika di sekolah anak-anak dididik agar menjaga kebersihan di sekolah dengan membuang sampah ke dalam bakul atau tong sampah, ibu bapa juga mesti menunjukkan contoh tersebut di rumah termasuk ketika membawa anak-anak berjalan-jalan di luar rumah. Ertinya, janganlah ibu bapa menunjukkan contoh yang tidak baik seperti membaling plastik makanan ke luar daripada tingkap kereta atau membuang sampah merata-rata ketika keluar bersiar-siar.
2. Jika anak-anak belajar membaca di sekolah, ibu bapa mesti mendorong anak-anak agar turut membaca di rumah. Caranya adalah dengan membeli buku untuk mereka, membina rak atau perpustakaan mini di rumah dan yang paling penting adalah bersama-sama membaca buku dengan anak-anak di rumah.
3. Jika anak-anak ditarbiah agar menutup aurat, bertudung dan memakai pakaian sopan di kawasan sekolah, ibu bapa juga mesti melakukan perkara yang sama ketika berjalan bersama anak-anak di luar rumah. Maknanya, ibu bapa mestilah menutup aurat dan tidak berpakaian seksi saat berjalan bersama anak-anak. Menutup rambut, bertudung dan berpakaian menutup aurat bukanlah sekadar peraturan sekolah, tetapi adalah amanah ALLAH!
4. Jika anak-anak diajar bersolat di sekolah, ibu bapa mestilah turut sama menunjukkan contoh tauladan yang betul di rumah. Sembahyang rukun agama, bukannya rukun SEKOLAH!
Perihal mudah tersebut adalah sesuatu yang mesti dititikberatkan oleh ibu bapa dan penjaga agar proses pemantapan kendiri murid-murid tidak bercelaru. Jika tidak nanti, murid-murid gagal mengaplikasikan pembelajaran mereka setelah keluar dari pagar sekolah.
Apa yang berlaku pada hari ini, kebanyakan murid-murid berpendapat bahawa ilmu adalah sekadar di sekolah sedangkan hakikatnya ilmu adalah apa yang patut diamalkan dalam seluruh kehidupan.
BERKAT
Ilmu yang berkat adalah ilmu yang bermanfaat dan berbekas dalam hati serta berkekalan dalam amalan. Menurut Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah, antara cara untuk mendapatkan keberkatan ilmu, yang perlu diambil perhatian oleh MURID dan GURU adalah:
1. Jangan tinggalkan solat. Ingatlah, ilmu itu datangnya daripada Allah melalui perantaraan seorang guru. Sekiranya pesanan 'tuan' kepada ilmu tidak kita tunaikan, bagaimana kita ingin mendapatkan ilmu yang berkat.
Analoginya, jika kita ingin mendapatkan hadiah dalam acara sukaneka, kita tidak boleh hanya mendengar arahan jurulatih kita tetapi kita mestilah mengikut arahan pengadil yang menganjurkan pertandingan tersebut.
2. Doakan ibu bapa. Dengan mendoakan kedua ibu bapa setiap hari, akal dan hati kita akan lebih tenang serta kita akan didoakan oleh para malaikat.
3. Doa dan maafkan guru yang mengajar kita walau dengan apa cara sekalipun mereka mendidik kita. Guru juga adalah manusia dan bisa membuat salah. Kita juga adalah manusia yang tidak dapat lari daripada dosa. Justeru, dengan selalu mendoakan guru, hidup kita akan sentiasa dalam suasana ilmu yang berpanjangan.
4. Guru dan murid mestilah sentiasa menghantar gelombang sayang antara satu sama lain (bukan cinta uda dan dara). Caranya ialah dengan selalu meberikan senyuman dan mengucapkan salam ketika bersua serta saling memberikan pujian terhadap sesuatu perkara positif yang dilakukan. Hasilnya, proses pembelajaran akan lebih kondusif, jiwa lebih semangat dan ilmu akan tersemat dalam hati sampai bila-bila.
5. Guru mestilah ikhlas dan mengajar dengan memasang niat bahawa mendidik itu ibadah kepada Allah. Jika niat kerana harta, pangkat dan nama; maka 'roh' ilmu akan hilang dan sia-sia.
KATA NABI
Ibadah bukan hanya sembahyang dan zikir tetapi segala perkara baik yang diniatkan kerana Allah adalah ibadah. Tugas mendidik akhlak bukan hanya tugas ustaz dan ustazah tetapi semua guru boleh melakukannya. Pesan Rasulullah:
"Daripada Abu Mas'ud al'Ansori r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutinya." [Hadis Riwayat Muslim]
MHT: Selamat Hari guru. Hari-hari hari guru =)
0 Komentar:
Catat Ulasan