Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Drama: Kenapa Susah Puasa 6?

Jumaat, 8 Oktober 2010


SATU.
"Apa azam Hari Raya tahun ni?" Soal Azim sewaktu balik dari solat terawih di masjid.

"Aku rasa nak puasa enam. Tahun lepas tak pernah sekali pun aku buat." Balas Bidin bersungguh. Azim menyeluruhi tampang temannya. Senyumannya sengaja digulakan.

"Eh, kenapa pandang macam tu? Salahkah kata aku?" Soal Bidin kembali. Perlakuan Azim membuatnya tidak betah duduk.

"Bukan tahun lepas saja. Tiap-tiap tahun aku dengar benda yang sama. Mana natijahnya?" Perli Azim selamba.

"Itu dulu. Kali ni aku mesti boleh. Alah, aku rasa kau pun sama kan. Kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih." Ujar Bidin mengusik.

"Hei, kau tahu ke aku puasa ke tidak?!" Azim mempertahankan diri. Suaranya melonjak dua anak tangga dari tadi.

"Amboi, marah nampak. Dulu, aku pernah ajak ahli jawatankuasa rumah kita ikut berpuasa, tapi

baru jam tujuh pagi dapur dah berasap. Lepas Zohor bau kari. Macam mana aku nak teruskan." Dakwa Bidin kembali. Nada perlinya kedengaran jelas berdesing di corong telinga terutama saat menzahirkan kalimah ahli jawatankuasa.

"Ah, alasan! Kalau dah malas, tak perlulah nak salahkan orang lain." Jawab Azim. Genggaman tangannya dikejapkan sekeras getar suara.

"Maaf, aku tak berniat begitu. Cuma aku perlukan teman yang faham untuk menyokong semangat aku. Bukankah hidup kita saling tolong-menolong." Bidin cuba meredakan suasana yang tiba-tiba tegang.

"Kau nak puasa, puasalah! Tapi aku yakin tak ke mana semangat kau tu. Kalau sempat pun mesti tak cukup enam!" Azim membidas pantas sambil berlalu meninggalkan Bidin. Pintu kamar ditutup tanpa salam.

"Astaghfirullah al-azim..." Bidin beristighfar berkali-kali. Dalam hatinya bergenang rasa kesal bergantang-gantang. Demi meladeni akhlak Nabi, menghormai sahabat sudah menjadi jarum yang sentiasa kebal tersisip di pangkal hati.
DUA.
Takbir Hari Raya bergema, menaburkan butir-butir iman di dada selautan insan yang dahagakan cinta Tuhan. Pagi yang cemerlang. Bidin membetulkan samping yang melilit pinggang; bimbang penampilan kurang kemas di mata orang. Usai solat Hari Raya, dia ditegur seorang jemaah di hadapan pintu pagar masjid.

"Assalamulaikum Bidin."

"Wa'alaikumussalam. Oh, Ayub! Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin." Riang sungguh Bidin bertemu rakan lamanya.

"Selamat Hari Raya. Sama-sama maaf. Kau apa khabar sekarang? Sejak masuk universiti ni, susah betul nak dengar berita." Tangan berjabat, pelukan dipererat, senyuman diperhebat.

"Alhamdulillah, macam ni lah aku. Maaflah Ayub. Bukan sengaja. Tapi kadang-kadang, menguruskan hal-hal kuliah buat masa aku dengan kawan-kawan jadi terbatas. Maaf ya."

"Ah, aku faham. Tak mengapa. Beginilah. Lusa kau datang rumah aku. Aku buat open house special untuk kau. Masa tu kita boleh sembang lama-lama." Pelawa Ayub. Bahu Bidin ditepuk berkali-kali.

"Alamak Yub, mintak maaf sangat-sangat. Lusa, mak saudara aku dari Singapura nak datang rumah." Jawab Bidin. Songkoknya dicabut dari jemala.

"Sebenarnya aku tak boleh lama di sini. Tulat aku perlu ke bandar semula. Orang bekerja Bidin, macam inilah.. Kalau begitu, aku tukar tarikhnya. Esok boleh?"

"Subhanallah.." Bidin memasang wajah bersalah. Sebetulnya, esok sudah diniatkan untuk dia memulakan puasa enam. Gusar, semakin lama dia menangguhkan, semakin pudar semangat dan tekad.

"Tak masalah ke tukar-tukar tarikh?" Soal Bidin mohon kepastian.

"Eh, taklah. Demi kau, tak ada masalah sahabat." Jelas Ayub sambil menghidang talam senda dan gurau.

"Kalau macam tu, insya-Allah." Balas Bidin dengan senyum kelat. Nampak gayanya, niat suci yang satu itu belum lagi terlunas.
TIGA.
Bidin memerhatikan beg galasnya dengan rapi. Merasakan tidak ada yang tertinggal, dia menutup zip dan berkemas-berkemas untuk pergi. Cuti Hari Rayanya sudah selesai. Sekarang bau kamar kampus dan dewan kuliah mula menggamit atma. Sebelum keluar rumah, sempat dia menjenguk kalender di dinding. Ternyata Syawal beredar begitu cepat tanpa sedar.

"Baik-baik jalan Bidin. Nanti dah sampai sana, jangan lupa telefon mak. Ni, mak dah siapkan bekal untuk kamu berbuka puasa nanti."

"Insya-Allah mak. Mak pun jaga diri baik-baik tau." Tangan renta itu digenggam dan dicium minta restu.

"Assalamualaikum Bidin! Kak Senah!" Tiba-tiba rumah kecil mereka diripuh satu jeritan.

"Wa'alaikumussalam Kiah. Amboi, bukan main kuat lagi salam kamu. Yang kamu tercungap-cungap ni kenapa? Ada berita penting ke?" Perli Kak Senah. Bidin di sebelah terhinjut-hinjut bahunya menahan tawa.

"Huh, sempat juga aku. Aku ingat anak Akak dah jalan tadi. Ini aku bawakan durian dan lauk Gulai Tenggiri untuk si Bidin. Jom kita makan sama-sama. Kejap lagi suami aku datang dengan anak bongsu aku. Katanya nak menjenguk si Bidin ni. Kejap sangat cutinya." Cerita Cik Kiah panjang lebar. Hengasnya bagai tidak terganggu dek celoteh bagai bertih jagung digoreng.

Kak Senah memandang anak terunanya dengan senyuman meleret. Bidin dalam dilema. Hendak meneruskan puasa atau menerima pelawaan jiran yang juga tetamunya. Menurut apa yang pernah dipelajari, menghormati jiran adalah sunnah dan memuliakan tetamu sangat dituntut oleh agama Islam. Sudahlah bermalam-malam di kampung dan menziarahi sanak saudara seolah-olah jadi rutin sepanjang cuti, hari ini pula rezeki datang melimpah-ruah tanpa henti.

"Iyalah Cik Kiah..." Nampaknya, tekadnya terkandas sekali lagi.
EMPAT.
Bidin berbaring di katil. Matanya sekejap pejam sekejap celik. Nyata dia runsing. Tesisnya masih banyak yang belum selesai. Sementelah niatnya untuk berpuasa belum juga tertunai. Memenuhi jadual kuliah dan tugasan dari pensyarah, bekejar seputar gedung kampus dan perpustakaan amat meletihkan. Dicampur meraikan undangan rumah terbuka teman-teman sepanjang bulan ini membuatkan impiannya hampir berkecai sama sekali. Hari ini hari terakhir. 30 Syawal! Genap sebulan Ramadan ditinggalkan.

"Apa kau menungkan tu Bidin?" Sergahan Azim memecahkan sepi kamar dan mencantas lamunan serta resah Bidin. Pecahannya memercik dan menyimbah rasa malu ke wajah rawan itu.

"Puasa..." Bidin serba salah ingin mengadu. Perkelahian kecil yang tercetus kira-kira sebulan lalu membuatkan dia gusar untuk meneruskan kata.

"Alhamdulillah. Aku tahu kau mesti semangat tanpa aku kan Bidin? Sejak mendengar kau bicara dulu, aku tahu kau mesti akan melangsaikan niat suci itu kan?" Bidin memasang wajah celaru. Pujian yang meluncur dari lidah teman itu ditanggapi dalam-dalam.

"Aku bersyukur ada kawan macam kau. Malah, aku rasa aku patut berterima kasih pada kau Bidin." Azim melangkah dengan wajah manis dan menyalami sahabat sekuliahnya itu.

"Terima kasih? Untuk apa?" Bidin membetulkan duduk dan memasang telinga.

"Ya, terima kasihlah. Sebab kaulah aku berusaha mengubah sikap. Sebab kaulah aku rasa aku patut menyokong dan menghormati orang-orang yang mempunyai niat yang positif. Sebab bicara kaulah aku berjaya membereskan sesuatu yang tak pernah aku buat dan terlintas untuk buat sejak dulu." Ujar Azim penuh ceria.

"Maksud kau?"

"Puasa enamlah."

"Allahu akbar!" Tuhan sahaja yang tahu betapa merah dan tebalnya wajah Bidin usai menelan butir bicara dan patah kata daripada rakannya yang seorang itu. Dia malu pada diri sendiri dan menyesali kelalaiannya selama ini. Sungguh! Lekas-lekas lidahnya melantun istighfar dan zikir berkali-kali. Langit malam Zulkaedah itu jadi suram metah saat dahi Bidin mencumbu tikar sejadah sambil kolam matanya tidak putus-putus menyiram titis sesal melimpah-limpah.
MHT: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...

0 Komentar:

Catat Ulasan

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails