Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Hilang!

Sabtu, 30 April 2011

4 Komentar

Hari ini saya hilang sebahagian teman-teman

Hari ini saya hilang separuh masa yang lampau


Hari ini saya hilang seluruh peluang

Hari ini saya hilang...

Pergi meninggalkan diri saya yang lalu

Dan tidak tahu sampai bila saya akan terus hilang

Sebelum saya benar-benar pulang...

Kerana hari ini, hari lahir saya,

Yang tidak mungkin akan berulang...

Murid Belasah Guru

Jumaat, 8 April 2011

2 Komentar
Tidak sampai seminggu kes guru memukul murid di Malaysia (mungkin kes ini tidak ganjil di negara Barat), timbul pula kisah guru disiplin dibelasah murid.

Zaman ini zaman perang. Kalau memukul dan membelasah itu adalah durian bolehlah dikatakan sekarang adalah musim memukul dan membelasah. Sesungguhnya durian itu enak untuk dimakan tetapi dipukul dan dibelasah?

SOMBONG.
Dewasa ini, guru-guru tidak lagi menjadi sumber rujukan bagi murid-murid kerana merasakan ilmu dapat diperolehi dengan mudah dalam dunia internet yang kian berkembang pesat.

Bukan menyalahkan kecanggihan teknologi, tetapi natijahnya, murid-murid mula mendabik dada, berasa sombong dan bongkak. Malahan guru dijadikan bahan sendaan dan medan melepaskan geram.

Jika dahulu guru mempunyai hak, 'tauliah' atau lesen untuk merotan murid-murid yang nakal. Tetapi hari ini, tanpa usul periksa, guru dijadikan sasaran sekiranya sesuatu kes terjadi kepada murid.

Memang guru bukan maksum (tidak pernah membuat dosa). Namun, sikap murid-murid yang tidak menghormati dan mudah menyalahkan guru turut mengheret persepsi negatif ibubapa terhadap guru.

Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata, "kami diperintahkan supaya tawadhu' (merendah diri) kepada sesiapa yang kami pelajari ilmu daripadanya (guru/ulama')."

ETIKA.
Profesion perguruan sering berubah grafnya. Kadang-kadang nilainya tinggi, kadang-kadang turun menjunam. Siapa yang harus dipersalahkan?

Bukan menuduh tetapi terdapat segelintir (diulangi: SEGELINTIR) daripada jutaan guru-guru di Malaysia yang mengambil sikap sambil lewa dalam mencerap gerak-geri murid di alam persekolan. Rata-rata menganggap bidang ini sebagai pilihan kerana terdesak untuk mendapatkan wang.

Impaknya, pendidikan tidak lagi merangkumi aspek emosi, mentaliti, akhlak dan etika pergaulan sebaliknya hanya tertumpu kepada sukatan pelajaran, silibus dan buku teks. Waktu pengajaran dan pembelajaran (PNP) di sekolah hanya berkaitan teori dan peperiksaan tetapi tidak berjaya menyentuh lubuk nubari murid-murid.

Teknik dan ilmu harus diselarikan bak kata Saidina Ali, "Keilmuan yang tidak terancang akan dapat dikalahkan oleh kebodohan yang terancang."

Tuntasnya, guru-guru era milenium ini harus bekerja (berfikir 100 kali lebih kilometer ke hadapan) dalam menghadapi murid-murid zaman internet. Pendidikan bukan hanya tertumpu kepada hal baju apakah yang akan dipakai esok ke sekolah, muka surat berapakah yang bakal diajar esok di dalam kelas. Tetapi lebih daripada itu; AKAL siapakah yang akan dikembangkan esok dan HATI manakah yang akan disuburkan esok!!

MHT:
3 bulan bergelar pendidik menemukan satu nilai keinsafan yang sangat tinggi. Siapa kita dahulu sudah tidak penting!

Siapa Kita Dulu Sudah Tidak Penting...

Rabu, 23 Mac 2011

0 Komentar
Teori, teori, teori...

Kita sering bermain dengan teori hingga terlupa praktikal yang lebih hakiki.

Natijah SPM yang keluar hari ini memperlihatkan pelbagai reaksi pelajar terhadap usaha dan jerit perih mereka selama ini.

Bergembiralah yang cemerlang. Serasa kejayaan sedia terhidang di sepanjang jalan.

Berdukacitalah pula yang merasa kurang. Bagi mereka, banyak ranjau dan lompang yang tersedia di tepi simpang.

Tetapi harus diingat. Jika matlamat mereka sama, tidak semestinya yang cemerlang akan terus riang dan yang gagal akan terus tumbang.

Usaha dan azam akan jadi momentum yang bakal menentukan kejayaan seseorang.

Siapa dulu sudah tidak penting lagi. Tetapi siapa kita di masa hadapan adalah matlamat yang harus kita pegang.

Ayuh, galilah potensi diri sedalam mungkin. Mungkin api kecil dalam lubuk akan bisa membakar belantara yang besar. Wallahu a'alam.

MHT: Apa yang kita rancang tidak semestinya kita jua yang menang.

Teknik Elak Kecurian Dan Fitnah

Rabu, 16 Mac 2011

0 Komentar
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
1. Katakanlah (Wahai Muhammad), "aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menguasai waktu Subuh.
2. "Dan daripada bencana makhluk-makhluk yang ia ciptakan;
3. "Dan daripada bahaya malam apabila ia gelap gelita;
4. "Dan daripada kejahatan tukang sihir wanita yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); (demi memisahkan suami isteri.)
5. "Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengki".
Demikian huraian maksud ayat daripaa surah al-Falaq.
Perhatikan ayat ke-2 dan 3. Allah telah lama mengajar kita berlindung dengan-Nya agar terselamat daripada kejahatan makhluk seperti binatang berbisa dan kejahatan malam seperti kecurian dan pembunuhan.
Bahkan, dalam ayat seterusnya kita diajar agar membaca surah ini agar selamat daripada gangguan sihir yang membuatkan manusia bercerai-berai.
Kita juga digalakkan membaca surah ini agar tidak mudah difitnah dan dirosakkan oleh para pendengki yang sentiasa mencari-mencari peluang untuk menjatuhkan kita.
Betapa al-Quran yang telah lama wujud ini telahpun meletakkan panduan dan saranan agar kita selamat daripada bencana. Namun ramai yang tidak tahu dan cuba memandang rendah terhadap kekuatannya.
Kebanyakan masyarakat beranggapan bahawa al-Quran hanya untuk dibaca di dalam kelas, surau dan masjid. hakikatnya, ilmu dalam al-Quran sangat praktikal untuk diamalkan sepanjang masa.
Oleh yang demikian, bagi yang telah tahu sebar-sebarkanlah kepada keluarga dan sahabat handai sekiranya anda inginkan mereka bahagia. Barangsiapa yang membantu ke arah kebaikan, nescaya ada hikmah dan manfaat yang sentiasa menanti di alam barzakh.
Nabi pernah menyebutkan, ada 3 perkara yang akan mengikut anak adam ke kubur apabila dia mati iaitu:
1. Ahli keluarga
2. Harta
3. Amalan soleh
Ahli keluarga dan harta akan pulang dan yang tinggal pada kita sebagai teman hanyalah amalan soleh dan kebaikan yang pernah kita lakukan di dunia. Wallahu a'lam.
MHT: Berusahalah menjadi ejen perubah!

Senarai Nama Pelajar Pulang ke Malaysia

Selasa, 8 Februari 2011

0 Komentar
Ops Piramid sudah menjalankan tugasnya. Berikut antara senarai nama pelajar yang telah dan bakal dibawa pulang ke dari Jeddah ke Malaysia.

Sila rujuk Laman Web Rasmi Majlis Keselamatan Negara [klik MKN]

Sesiapa yang mempunyai informasi terkini sila kongsikan di sini.

Peperiksaan Pelajar Mesir

Ahad, 6 Februari 2011

0 Komentar
Alhamdulillah kini sahabat-sahabat kita dari Mesir sudah berada di Jeddah. Dilaporkan kira-kira 3615 orang sudah meninggalkan Mesir dan berada di bawah pemerhatian Lembaga Tabung Haji dan sedang menunggu masa untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Namun amat menyedihkan apabila memikirkan nasib mereka setelah pulang. Hal ini berikutan keengganan beberapa universiti untuk memanjangkan cuti serta meneruskan jadual peperiksaan seperti di daerah Zaqaziq. Pasti sulit untuk para pelajar kita yang telah pulang ke Malaysia untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan dalam situasi sebegini.


Suatu masa dahulu, Rasulullah pernah berada dalam situasi yang genting apabila sering dihina oleh orang Kafir malah mereka mendakwa Nabi telah ditinggalkan oleh Allah berikutan terhentinya wahyu sementara waktu. Sesungguhnya Allah berbuat demikian adalah untuk menguji sejauh mana kebergantungan Nabi Muhammad dan umat Islam terhadap kekuasaan Allah.

Dakwaan Orang Kafir tersebut telah menyebabkan nabi berdukacita. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya. Perhatikan kalam Allah yang mulia:


1. Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
2. Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,
3. Yang memberatkan punggungmu[1584]?
4. Dan kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu[1585],
5. Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
6. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
7. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain[1586],
8. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.
Nota:
[1584] yang dimaksud dengan beban di sini ialah kesusahan-kesusahan yang diderita nabi Muhammad s.a.w. dalam menyampaikan risalah.
[1585] meninggikan nama nabi Muhammad s.a.w di sini maksudnya ialah meninggikan derajat dan mengikutkan namanya dengan nama Allah dalam kalimat syahadat, menjadikan taat kepada nabi termasuk taat kepada Allah dan lain-lain.
[1586] Maksudnya: sebagian ahli tafsir menafsirkan apabila kamu (Muhammad) telah selesai berdakwah. Maka beribadatlah kepada Allah; apabila kamu telah selesai mengerjakan urusan dunia, maka kerjakanlah urusan akhirat, dan ada lagi yang mengatakan: apabila telah selesai mengerjakan solat berdoalah.
Surah Al-Insyirah, ayat 1-8. Perhalusi makna dan tenangkanlah jiwa. Tatkala kita dilanda musibah, ingatlah Allah tidak pernah melupai kita. Bahkan kita yang sering kali alpa.
Antara sumber maklumat untuk dirujuk adalah laman web JABATAN PENUNTUT MALAYSIA KAHERAH [klik JPMK], PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR [klik PMRAM], Persatuan Perubatan Mesir [klik Medic Mesir] dan Wisma Putra Malaysia [klik Wisma]. Tetapi saya tidak dapat menjamin jika laman-laman ini tidak diperbaharui [update].Sesiapa yang mempunyai informasi diharap dapat berkongsi di sini.

MHT:
Susah = (Sabar + doa + syukur) = Kesenangan dari Allah.

Mesir: Hikmah Di Celah Musibah

Khamis, 3 Februari 2011

1 Komentar
Menyaksikan perarakan kecil, piket dan mogok di beberapa tempat sekitar musim pilihan raya di Mesir adalah sesuatu fenomena yang biasa dijamu mata. Namun, perhimpunan besar-besaran di Kaherah dan bandar-bandar besar dewasa ini adalah sesuatu yang berlaku di luar jangkaan dan tidak disangka-sangka.

Beberapa bulan lalu, bunga-bunganya sudah muncul. Kenaikan harga barang utama seperti tepung dan gula ditambah dengan kemiskinan rakyat hingga merempat memang suatu isu yang boleh mengundang amarah dan sengketa. Ketiadaan pihak yang berwajib dalam memantau hak-hak pengguna mengakibatkan suasana yang rencam menjadi parah dan memeningkan kepala.

3 tahun berkelana di bumi Mesir sudah cukup menggambarkan betapa rakyat kita perlu 'ikat perut' dan tidak boleh bersenang-lenang dalam mencatur hidup sebagai musafir ilmu. Bagi yang meneruskan pengajian lebih daripada tempoh itu pastinya merasai ujian yang lebih getir dan dukacita. Hanya sabar dan redha menjadi bekalan dalam meniti hari-hari yang di sana.

Berita yang mengejutkan dunia kini pasti menggusarkan hati sesiapa terutama yang mempunyai sanak saudara dan rakan taulan di sana. Namun, jangan mudah membuat spekulasi yang tidak berasas kerana orang-orang kuat di Malaysia pasti akan mengatur sesuatu rancangan yang munasabah untuk kemaslahatan bersama.

Memang pada awal, tujuan membawa pulang pelajar Malaysia dianggap sebagai rancangan yang terburu-buru namun apabila melihat situasi yang tidak menentu dan kesanggupan beberapa pihak untuk membantu, menjadikan misi ini suatu yang rasional untuk disegerakan.

Kasihan pelajar kita di sana terpaksa menangguhkan pengajian dan kelak apabila suasana sudah reda (tidak pasti bila) pasti isu wang dan kesedian untuk pulang ke sana semula akan menjadi titik pergolakan dalam jiwa. Bersediakah mereka?

Mulai sekarang berdoalah ke atas keselamatan mereka kerana umat Islam itu bersaudara walau apa jua fahaman yang berceracak di kepala. Anggaplah musibah ini sebagai ujian Allah yang pastinya mempunyai hikmah yang tersembunyi yang tidak dapat dicerna oleh akal manusia.

Saya menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terbaru tentang situasi pelajar kita di sana bolehlah berkongsi di sini.

MHT: Persinggahan mereka di Jeddah sebelum pulang ke Malaysia nanti mungkin menjadi rezeki untuk menjejaki tanah suci Mekah dan Madinah insya-Allah. Siapa tahu bukan? Maha suci Allah.

1.1.11=?

Sabtu, 1 Januari 2011

1 Komentar
Cuba kira berapa banyak satu dalam rangkaian nombor di atas?

Ya. Itulah nombor paling cemerlang di hujung tahun ini apabila Malaysia berjaya melengkapkan jaringan sebanyak 4 gol sekaligus melayakkan Harimau Malaya kita bergelar juara bola sepak Piala Suzuki AFF. (Masih teruja dengan kejayaan Malaysia=)

Hari ini kita melangkah setapak lagi apabila gerbang 2011 membuka pintunya. Sebaiknya kita bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merasai umur dan pengalaman yang baharu. Sebelum terlambat, baiklah kita berdoa kepada Yang Maha Esa agar diberikan ilmu dan rezeki yang bermanfaat sepanjang tahun ini.

Surah al-Mukmin ayat 60 ada menyebutkan, "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka Jahannam Dalam keadaan hina."

Semoga angka-angka baharu dalam hidup kita bukan lagi sekadar nombor tetapi terapi untuk kita meluaskan paradigma dengan lebih positif dan membuat percaturan hidup dengan lebih terancang, insya-Allah.

JUDI.
Bercerita tentang nombor, saya baru mendapat mesej (SMS) daripada nombor yang tidak dikenali (barangkali Syarikat telefon sendiri) mengenai peluang untuk kita mendapat duit dan menang nombor 4D melalui telefon bimbit. Sifu 4D akan memberikan anda nombor bertuah sekiranya anda memberi maklum balas ke atas arahan-arahan yang diberi. Sengal!

Itukan judi terang-terangan! Sah, masyarakat kita sudah gila dan masih tidak serik lagi. Judi sudah menjadi mainan tanpa kita sedari. Dulu judi bola heboh satu Malaya. Selepas kecanggihan teknologi memasuki negara, banyak lagi perisian dan perancangan judi menguasai suasana.

TIPU.
Baru-baru ini sepupu saya sudah terkena mesej (SMS) daripada nombor yang tidak dikenali yang menggelarkan dirinya PakCik. Pak Cik ini telah meminta tolong supaya ditambahkan kredit (Top-up) kerana sedang berada dalam kesusahan. Merasakan mesej berasal daripada bapa saudara sendiri, hamba Allah ini pun mengikut arahan tanpa usul periksa. Akhirnya, setelah diselidik barulah dia sedar bahawa dirinya telah tertipu.

Hati-hati. Sindiket ini semakin rancak mengaut keuntungan sambil goyang kaki. Mereka akan menggunakan nama/ gelaran yang biasa dan dekat dengan kita hingga kita terasa mesej itu benar-benar daripada saudara/ keluarga kita sendiri.

Lucunya. Suatu hari, bapa saudara saya juga telah menerima mesej yang hampir sama. "Tolong top-upkan kredit ayah ke nombor 01********. Ayah di balas polis sekarang. Ayah sedang ditimpa masalah." Lebih kurang begitulah bunyi mesej yang diterima.

Tanpa fikir panjang bapa saudara saya terus membalas, "Aku mana ada ayah! Penipu!!"

MHT: Kalaulah arwah atok dan nenek ada lagi...

Hikayat Laser Paling Popular

Selasa, 28 Disember 2010

1 Komentar
3-0!! Alhamdulillah. Gegak gempita seisi buana. Langit malam Kampung Harimau gemuruh dilanggar garuda.

"Syabas pasukan harimau." Jawapan yang bernas untuk sebuah aksi yang memberansangkan dan ditunggu-tunggu. Tidak sia-sia penyokong bersorok dan bertempik di gelanggang. Tidak ketinggalan peminat-peminat Pak Belang yang melompat keriangan di rumah dan warung-warung tepi jalan.

Kejutan tiba-tiba berlaku apabila seorang bangsawan yang terkenal di Kampung Harimau naik angin apabila sebuah pancaran cahaya bernama ' sang laser' dihalakan ke arah padang atau lebih tepat lagi hinggap di wajah cemas penjaga gawang negara seberang.

Merah padam wajah baginda.

Tiba-tiba 'sang laser' tersebut dikhabarkan menjadi penyebab kekalahan pasukan lawan. Kerana perlawanan diadakan di tanah air Pak Belang, maka pelakunya disabitkan (Ala-ala kes pembunuhan di mahkamah) ke atas rakyat kampungnya. Kasihan.

Arakian, masyhurlah 'sang laser' untuk satu malam dan malam-malam berikutnya. Mungkin akan terus bersipongang di sanubari rakyat untuk berkurun-kurun tahun akan datang.

Lalu, bersoraklah orang Kampung Harimau menuntut keadilan. Kata mereka, "bukankah di negara kita ini juga terdapat ramai orang seberang?" Mendengarkan itu, terpinga-pingalah hulubalang yang dilantik untuk mencari punca.

Kata hulubalang, "tidak mengapa tuanku. Akan hamba periksa selagi mampu. Kita tunggu kebenarannya kala rombongan pasukan Pak belang tiba ke tanah seberang beberapa hari dari sekarang." Sultan tunduk setuju. Rakyat jelata akur membisu.

Malam larut. Rakyat kabur bersama sorak-sorai keriangan. Gelanggang yang tadi bagai perang kembali sunyi dan lengang. Subuh menjelang. Azan berkumandang membawa sama rahmat Tuhan. Imam dan bilal saling memandang. Masjid kosong melohong.

Kata bilal, "berapa lama mahu ditunggu? Mungkin kita harus bersolat di gelanggang, baru ramai akan datang." Pak Imam senyum. Sayugia, takbir berseru beberapa waktu. Al-kisah...

MHT: Baca lagi kisah di gelanggang Pak belang (klik sini)

Kebangkitan Skuad Malaysia

Sabtu, 25 Disember 2010

1 Komentar
Boleh berjayakah pasukan kita?
Sudah sediakah skuad kita?
Tahu serang atau bertahan sahaja..?

Mungkin banyak lagi persoalan dan cakap-cakap kosong bersiulan di bibir masyarakat malaysia apabila skuad bola sepak Negara berjaya menjejakkan kaki ke gelanggang akhir Piala AFF Suzuki 2010.

Persoalan dan impian kini sudah hampir jadi kenyataan. Menyaksikan Malaysia beraksi di padang rumput Vietnam, cukup membuatkan saya tertanya-tanya, adakah pasukan kita hanya mampu bertahan dan sudah cukup berpuas hati dengan kemenangan di Malaysia sebelumnya?

Ini pentas akhir. Indonesia tidak mungkin akan berdiam diri walaupun ramai yang membuat spekulasi. Kebangkitan skuad mereka sejak puluhan tahun lagi dalam segenap aspek kehidupan samada rencah kemiskinan, penjajahan, pendidikan, seni dan semangat kemerdekaan jelas membuktikan mereka boleh jadi apa sahaja dalam keadaan yang kritikal dan rencam.

Lihat sahaja isu demonstrasi dan piket memprotes ketidakadilan pembantu rumah yang didera muncul saban hari dalam media massa. Indomee, jenama mee segera laris di tanah-tanah Arab termasuk Mesir dan Mekah. Isu hak pemilikan batik yang dicanangkan dengan tegas kepada dunia dan banyak lagi cukup membuktikan kesungguhan mereka dalam menaikkan nama negara mereka di mata dunia.

Mereka tidak cakap kosong.

Justeru, pasukan kita harus bagaimana? Anak muda kita perlukan apa? Generasi kita mesti bagaimana dalam menghadapi fenomena ini?

Ini bukan tentang bola semata-mata. Tetapi tentang semangat dan matlamat bangsa. Perang psikologi ini mesti kita hadapi.

Bersediakah skuad kita?

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails