Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Siapa Guru Pada Kita?

Rabu, 19 Mei 2010

4 Komentar
Sebetulnya, entri ini agak lama saya hurung dalam dada sebelum yakin untuk dilepaskan buat tatapan pembaca.

"Guru Pembina Negara Bangsa." Demikianlah tema hari guru bagi tahun 2010 ini. Sesungguhnya, sudah lebih 48 jam hari bersejarah 16 Mei meninggalkan kita. Namun, kesannya masih hangat terasa dalam jiwa rakyat Malaysia. Melihat kepada tema yang berubah saban tahun, membuatkan saya menyedari betapa rakyat Malaysia masih meletakkan profesion perguruan sebagai suatu pekerjaan yang tidak ternilai harganya.
Relaitinya, guru, dengan segala rencah kehidupan dan masalah peribadi; masih mampu meluangkan masa mereka demi mendidik anak bangsa. Melihatkan hal ini, memang wajar penghargaan dan terima kasih dihujankan ke atas mereka. Syabas!
Tetapi, sedarkah anda berapa kalikah kita mengucapkan terima kasih dan syukur kepada guru yang mengajar kita? Berapa kerapkah kita mengungkapkan kemaafan kepada insan yang pernah mendidik kita? Adakah menanti hari guru barulah kalimah itu muncul dari bibir dan celah gigi kita? Atau mungkin tidak pernah langsung?
Di sinilah kita sering alpa dan menganggap hari guru yang istimewa sama dengan hari raya, hari buruh, hari kekasih, hari merdeka dan sebagainya. Sekiranya berlalu hari guru tersebut, siapakah guru pada pandangan mata kita? Sahabat pembaca, dengan rasa rendah diri (saya tidaklah setinggi mana) saya mengajak kalian membuka mata dan melihat takrifan guru dengan lebih terbuka dan lapang dada.

Bila Anak Malaysia Menyanyi...

Selasa, 11 Mei 2010

2 Komentar
"Kau dah top-up untuk show hujung minggu ni?" Soal Suzi. Keretanya diberhentikan betul-betul di sebelah kereta Rina.

"Oh, aku awal-awal dah ready." Pintas Rina. Lampu isyarat di simpang jalan dikerling sekilas.

"Siapa la agaknya juara malam ni kan?" Ujar Suzi sambil membelek-belek make-up yang menebal di wajah.

"Siapa juara tak kisah, yang penting apa yang dipersembahkan." Jawab Rina.

"So, kau dah beli tiket?" Suzi menyoal lagi. Bibirnya dioles dengan gincu merah bata.

"Eh, gila! Tengok tv je la. Lagipun tempat tu kan jauh."

"Alah, tengok depan mata baru syok." Senyum Suzi meleret. Terbayang-bayang wajah artis kegemarannya bakal beraksi di atas pentas.

"Benar bu. Kalau lihat depan mata pasti lebih menangkap di dada." Pembantu rumah Rina yang dari tadi diam di sebelahnya tiba-tiba menyampuk.

"Hah, kan aku dah cakap. Siapa pengkritik malam ni Bibik?" Tanya Suzi. Matanya dihala ke arah wanita di sebelah Rina. Rina turut berpaling penuh minat.

Bungkusan Hari Lahir!

Isnin, 3 Mei 2010

1 Komentar

Happy birthday to you...
Sanah helwa ya jamil...
Selamat hari lahir...
Ungkapan-ungkapan tersebut acapkali meniti di bibir malah sering dilagukan apabila tibanya hari ulangtahun kelahiran. Meskipun berbeza bahasa, budaya, agama dan negara namun ajaibnya, kalimah-kalimah tersebut dialunkan dalam rentak dan melodi yang sama di segenap pelusuk dunia. Inilah kebijaksanaan Allah yang telah menjalinkan hati-hati manusia untuk bersatu dalam satu bahasa iaitu bahasa jiwa. Jiwa insan yang berakal, tenang dan bahagia akan berusaha untuk menyambut hari kelahirannya, teman atau sanak saudaranya biar apapun bentuk rupa dan gaya kerana itulah fitrah manusia.

Dalam sebuah hadith riwayat at-Thabroni menyatakan, mafhumnya,"daripada Ibnu Abas sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah selepas perkara fardhu (wajib) ialah membawa kegembiraan kepada seseorang muslim."

Persoalannya,
Pertama:
Apakah hukum menyambut hari ulangtahun kelahiran? (lebih baik menyebut hari lahir berbanding hari jadi kerana manusia 'dilahirkan' tidak sama dengan 'dijadikan')

PERNAH DENGAR KISAH INI?

Jumaat, 30 April 2010

0 Komentar


Pada suatu hari, mundar-mandirlah seorang lelaki di dalam rumahnya. Fikirannya kusut. Dia kebosanan. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halamannya dan mengembara. Demi melihat dunia luar, dia terpaksa melalui hutan belantara memandangkan kampung kelahirannya itu amat jauh dari kesibukan.

Arakian, sewaktu dalam perjalanan, lelaki tersebut kelelahan. Mentari terik di atas kepala. Keringat memercik di seluruh tubuh. Lalu, dia berbaring di bawah sepohon pokok yang rendang. Saat mendongak, terlihatlah dia buah-buah yang memerah di atas pohon. Akan tetapi setelah diamati, tidaklah diketahui nama buah-buahan itu. Perutnya yang bulat sudah berkeroncong. Lalu, dicarilah kayu ataupun buluh buat mengait buah-buahan yang sedang meranum itu.

Namun, setelah agak lama mengait, dia merasakan buah-buahan tersebut makin lama makin meninggi. Semakin dikait semakinlah tinggi. Dia keganjilan. Dia mencuba lagi. Kali ini dipanjatnya pohon yang tidak diketahui namanya itu. Tetapi keadaan tetap sama. Semakin dipanjat semakin tinggi dahannya. Tubuhnya kepenatan. Lantas, lelaki itu turun dengan penuh kehampaan. Akhirnya, di bawah pohon dia terduduk kelaparan.

PERISTIWA DI KAMPUNG TUBUH!

Sabtu, 24 April 2010

3 Komentar
"Apa yang kau cari?" Hati yang sejak tadi memerhati, menegur.

"Entah, aku rasa tak sedap hati la. Lain macam rasanya." Balas Mata sambil kelopaknya buka katup silih berganti.

"Ah, jangan bimbang. Mimpi kelmarin takkan berulang. Cuma mimpi kan?.." Akal yang sejak tadi berlari, berhenti sebentar menghirup hawa sejuk-panas kaherah. Sebetulnya musim bunga menyusur sekarang ini, namun kelibat dingin masih tampak malu-malu mahu pergi. Usai berhenti beberapa bentar, Akal kembali berlari meningalkan mata terkebil-kebil. Lagi dan lagi.

"Betul ke itu mimpi?" Perut yang baru hari ini dapat tidur, tidak mahu terus bermalam-malam. Dari dalam kamar, Perut menjengahkan kepala ikut sama menyoal.

"Tak tahulah Rut. Aku kurang pasti. Tapi dah banyak kali aku mimpi. Tapi minggu ini tak datang pulak" Mata yang masih melilau kelihatan bungkam. Seluruh urat yang menjelira di tepi kolamnya berbunyi-bunyi resah. Keliru.

"Jadi kau cari dia ye?" Kaki yang sedang bergayut dan jarang menabir di jalanan itu menebak tiba-tiba. Gayutannya dilambatkan lebih lambat daripada biasa.

"Aku cari…err…aku cari teman..." Balas mata kurang yakin. Ada getar menggumam di hujung kerokongnya.

"Kau ada kawan ke?!" Tanpa diduga, seluruh ahli jawatankuasa Kampung Tubuh itu bersuara serentak. Mata terbelalak. Terus dia terpisat-pisat. Melilau tanpa arah.

"Tak baik korang cakap macam tu." Anak Tangan mula bersuara. Perlahan-lahan Anak Tangan menjelira di sebelahnya. Memujuk. Mata diam. Bungkam.

"Ah, selalu kami tengok dia sorang je. Kami fikir, dia mana ada kawan." Ujar Akal sambil melambatkan lariannya. Mata masih melilau sana sini. Gusarnya kian mendesah. Demi terlihatkan itu, Hati yang menjauh kelihatan cuba mendekat.

"Sabar, sabar. Nanti ok la tu." Pujuk hati. Anak Tangan mengangguk-angguk.

"Kriiinggg!" Udara petang Jumaat yang hening itu tiba-tiba pecah digempar bingit. Telinga yang dari tadi cuma jadi pencerap terkejut. Mata berkalih pantas. Tanpa dipaksa Anak Tangan bergegas.

"Ayahandamu gering! Sudah berminggu! Jantungnya terseliuh!"

"Innalillah!" Serentak. Seluruh ahli jawatankuasa Kampung Tubuh itu berzikir deras. Kaki tiba-tiba berhenti berhayun. Akal yang jenuh berlari terjelepok. Perut di dalam kamar mengecut. Terpempan metah!

"Innalillah.* Sabar, masih sempat." Hati berbisik menyorok lara di gobok dada. Pelukannya dipererat. Kejap.

Mata kini tidak libang-libu lagi. Mata tidak tercari-cari lagi. Mata terus-terus memandang langit sambil menahan tubirnya dari pecah.

Tanpa diduga, Anak Tangan kesejukan, "patutkah aku catatkan ini…"

"Subhanallah!"

MHT: Di saat entri ini saya muntahkan, ayah saya, Tajuddin bin Hj Shohod rupa-rupanya sudah enam hari bermalam di Hospital Seremban. (termasuk sempat menghirup udara kusam di IJN. Sakit jantung! Berita mengejut dari Malaysia ini saya terima hanya beberapa jam usai blog ini saya bangunkan. Doakan dia diberi syifa dan kesembuhan oleh Allah insya-Allah. Allahu Akbar!

*Kalimah ini dinamai kalimah 'istirjaa' (pernyataan kembali kepada Allah) Sunnah menuturnya di kala musibah datang menimpa samada kecil mahupun sebaliknya. Dalam al-Quran Allah berfirman mafhumnya, "orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Innaa lillaahi wa inna ilaihi raaji'un" (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali) - al-Baqarah: 156.

10.44 malam. Jumaat. Kaherah.

ASSALAMUALAIKUM

Jumaat, 23 April 2010

1 Komentar


Pagi Jumaat.
Melawan kantuk yang meripuh
Buat pertama kali
Jemari menari di atas papan kekunci
Menerawang ke lubuk sesawang
Jaringan untuk bergelandang
Mencari teman yang sehati
Dalam menukil kalam Ilahi
Atas lantai jiwa manusiawi
Sembah penuh takzim
Buat yang tahu menilai
Erti sebuah penulisan..

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails