Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Persefahaman Asas Perpaduan Ummah

Ahad, 27 November 2011

0 Komentar
Salam Maal Hijrah buat semua umat Islam dan pembaca blog ini.

Pastikan anda sudah membaca doa awal tahun.

Lakukan solat taubat, hajat dan istikharah. Koreksi diri.

Moga anda diberkati usia, dipermudahkan rezeki, ditambahkan ilmu dan terselamat daripada bala bencana.

Tema tahun ini, 1433 Hijrah adalah "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah."


Isu pergaduhan dan perkauman sudah agak tabu untuk dibincangkan tetapi masih relevan untuk direnungi. Sesungguhnya, setiap umat Islam itu bersaudara. Namun itu tidak bermaksud bahawa kita harus bermusuh dengan kaum lain.


Selagi Islam tidak 'ditembak', selagi itulah kita harus mempertahankan kubu 'persefahaman' agar bendera 'ukhuwah' dapat dikibarkan dengan megah.

MHT: Teruskan berdakwah dengan blog =)

Bercuti Dengan Al-Quran

Rabu, 23 November 2011

0 Komentar
Musim cuti sekolah sudah bermula. Ramai dalam kalangan ibu bapa yang membawa anak-anak melancong dan berlibur tidak kira samada di dalam atau luar negara.


Bagi ibu bapa yang mempunyai kesedaran agama, mereka akan mencari mana-mana iklan yang menawarkan kelas kemahiran al-Quran untuk anak-anak mereka.


Bercuti dengan al-Quran adalah keputusan yang tepat pada masa kini. Keripuhan waktu belajar ditambah dengan pelbagai aktiviti kokurikulum sepanjang waktu persekolahan sepanjang setahun ini, tidak memungkinkan untuk para pelajar melazimkan diri dengan kitab suci Allah. Fakta ini sering sahaja menjadi alasan bagi golongan yang sentiasa berdalih.


Tetapi sekarang, musim cuti sudah datang! Apakah alasan tersebut masih relevan?


Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas muzik dan tidak merungut apabila bayaran yang dikenakan tinggi daripada biasa. Mereka sanggup berhabisan semata-mata ingin melihat anak mereka mahir bermain alat muzik dan mantap seni vokalnya.


Sedangkan yuran kelas pengajian al-Quran sangat rendah dan tidaklah semahal kelas muzik malahan berbaloi untuk memanfaatkan masa cuti anak-anak. Pelbagai ilmu berkaitan al-Quran boleh digali daripada tenaga pengajar yang dijemput.


Adapun, guru mengaji janganlah meletakkan 'harga' untuk diri sendiri. Upah memang boleh diambil tetapi berpada-padalah dalam urusan. Didiklah para peserta yang hadir dengan ikhlas dan adil.


Ingatlah pesan Rasulullah, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya."


MHT: Sebarkan iklan kelas kemahiran al-Quran ibarat menabur benih di ladang yang subur. Tanahnya boleh dipugar, hasilnya boleh disebar.

Pinjam = Hutang > Mati

Isnin, 14 November 2011

3 Komentar
Meminjam beerti berhutang. Meminjam juga bermaksud ada sesuatu yang harus dipulangkan.

Seperti PTPTN, semua urusan peminjaman daripada badan-badan kewangan tertentu [apatah lagi dengan pusat zakat baitulmal] mesti dilunaskan secepat yang mungkin setelah surat permohonan bayar semula diterima.

Sebagai mahasiswa yang pernah dibayar zakat dan membuat perjanjian pinjaman daripada mana-mana pusat zakat negeri, anda bertanggungjawab untuk membayar semula pinjaman tersebut walau sesusah mana sekalipun. Jangan tunggu hingga surat amaran dikeluarkan.

Tanggungjawab ini adalah berat kerana selagi anda berhutang selagi itu tugas dan amanah sebagai seorang muslim belum selesai. Tidak perlu berapi-api bercerita tentang dosa pahala sekiranya tugas yang satu ini dpandang enteng sebelah mata. Berusahalah membayar walaupun sedikit. Tetapi dapatkan sumber yang halal dan bersih untuk tugas ini. Ingat, meminjam daripada ALONG bukan cara yang rasional untuk seorang muslim!

Kepada peminjam yang buat-buat lupa, sila bangun dan sedar diri. Anda masih berhutang. Sekiranya anda menemui ajal sebelum langsainya hutang beerti anda meletakkan beban di pundak waris yang hidup.

Kepada para penjamin, berhati-hati sebelum membuat keputusan. Ingatlah, soal hutang bukan soal main-main.

MHT: Sebelum memikirkan tentang orang lain, fikir juga tentang diri sendiri. Azab!

Rusa Masuk Gelanggang

Ahad, 30 Oktober 2011

1 Komentar
Ini bukan kisah haiwan. Tetapi hendak berkisah tentang juara baru Piala Malaysia 2011.

Tahniah pasukan Negeri Sembilan kerana mengekalkan momentum perjuangan. Selepas ini, fenomena bola sepak negara akan terus mekar dan berkembang selaras dengan teknologi semasa. Keprihatinan masyarakat berhubung harga tiket dan kesungguhan menyaksikan perlawanan bukti semangat anak Malaysia terhadap arena riadhah ini.

Namun, sebagai seorang muslim, beberapa perkara harus diambil kira sewaktu menjalankan aktiviti riadhah.

1. Mulakan sukan dengan menyebut nama Allah. Syaitan sering menghasut orang-orang yang sedang riang.
2. Niatkan untuk menambah kecergasan dan merehatkan minda. Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya. Baginda juga sering melatih umat Islam memanah dan menunggang kuda; sukan yang praktikal dalam Islam.
3. Menutup aurat. Ramai yang terlupa untuk menutup betis dan lutut sewaktu bersukan.
4. Menjaga waktu solat. Ramai yang bersorak di padang hingga lupa untuk bertakbir di masjid.
5. Menjaga tutur kata. Aktiviti sukan sering tercemar dengan caci maki dan carut marut.
6. Mengucapkan kalimah hamdalah [Alhamdulillah] selepas selesai bersukan. Apatah lagi selepas meraih kejuaraan dalam sesuatu pertandingan.

MHT: Hobin Jang Hobin!

Rekod Rancangan Mengajar

Jumaat, 28 Oktober 2011

1 Komentar
Tiada hidup tanpa visi. Tidak berjaya misi tanpa rancangan yang jelas. Sebagai seorang guru, mengisi buku rekod rancangan mengajar adalah wajib bagi institusi perguruan di Malaysia. Biarpun buku tersebut adalah hak mutlak guru tetapi terdapat segelintir guru-guru yang mengeluh dan menganggap buku tebal tersebut membebankan untuk diisi.

Sepatutnya buku tersebut ditulis sehari sebelum mengajar, bukan sesudah mengajar. Nama pun 'rancangan mengajar'. Pendek kata, tiada rekod beerti tiada perancangan. Guru yang tiada perancangan yang teliti bakal melahirkan anak murid yang cuai dan tidak bersemangat dalam pelajaran.

Guru bukan sekadar pergi dan pulang sekolah, hujung bulan makan gaji. Tetapi guru yang berjiwa pendidik akan merealisasikan matlamat pendidikan negara iaitu melahirkan generasi yang berintegriti dan berkredibiliti dalam pelbagai lapangan ilmu.

Seperkara yang lebih utama, pendidik yang bermatlamat adalah platform dalam melahirkan pelajar serta murid yang bermoral dan bersahsiah tinggi. Kepada guru-guru, sila semak, adakah anda sudah mengisi buku rekod rancangan mengajar anda untuk esok hari?

MHT: Hanya jauhari mengenal manikam.

Ghairah Ke Mesir

Isnin, 12 September 2011

0 Komentar
Ramadan sudah melabuhkan tirai. Syawal menjelma bersama keriangan. Dalam kesungguhan orang kita menyambut hari raya (Raya Malaysia 30 hari = Mesir 1 hari), anak muda kita sekarang dilanda satu fenomena baru. Keghairahan menuntut ilmu di Bumi Mesir.


SEMANGAT.
Rata-rata kini sudah bersiap-siaga untuk mengirim tubuh dan jasad mereka ke negara tinggalan Nabi Musa itu. Namun, kebiasaannya hati mereka akan bergelombang dengan pelbagai rencah dan rasa. Ada yang meninggalkan tanah air dengan membawa harapan dari orang tua. Ada yang mengendong azam menyala-nyala. Ada yang memikul amanah dari para guru yang wibawa. Malah tidak kurang yang mengheret rasa bangga dari kawan dan sahabat. Kepada bakal penuntut Mesir, berdasarkan 4 situasi di atas, di manakah kedudukan semangat anda sekarang? Berapakah paras keyakinan anda? Adakah anda ke luar negara kerana desakan dari luar atau kehendak sendiri?

NIAT.

Pepatah Melayu ada menyebut, "pantang ajal sebelum maut." Justeru harus diingatkan, menuntut ilmu juga adalah jihad. Jangan mengalah sebelum bertarung. Pastikan semangat anda meninggalkan malaysia adalah untuk menambah kapasiti otak agar tahap pemikiran anda sekarang tidak statik dan tumpul. Janganlah bermusafir ke luar negara diniatkan untuk melancong dan menjelajah ke tempat-tempat menrik di Kaherah. Bimbang nanti anda benar-benar menjadi pelancong bukan penjelajah (ilmu).


PELUANG.

Apabila bergelar azhari nanti (termasuk pelajar perubatan), kutiplah segala mutiara yang tertanam di bumi barakah tersebut. Apa yang penting, kesabaran haruslah dijulang ke tahap yang tinggi apabila berada di luar negara terutamanya Mesir! Pastikan anda pulang dengan membawa perubahan pada diri. Jika tidak, sia-sialah anda ke luar negara.


CAKAP BESAR.

Tidak ramai yang tahu, selain daripada Makkah dan Madinah, Mesir juga termasuk dalam salah satu tempat yang harus dijaga kesuciannya. hal ini berikutan, terdapat beribu-ribu makam para ulama dan wali Allah yang tertanam dibuminya. Justeru, jagalah lidah dan niat anda sepanjang berada di sana. sekali anda berniat, insya-Allah Allah tunjukkan jalan. Tetapi sekali anda cuba berselingkuh, sekejap sahaja tuhan tunjukkan balasan. Kesimpulannya, jagalah adab pergaulan, perlakuan dan percakapan. Macam klise tetapi percayalah...


SEDAR.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menimbulkan provokasi tetapi sebagai pembakar semangat untuk anda yang sedang ghairah menuju ke bumi anbia Mesir. Sesungguhnya, lambakan pelajar di mesir sudah seperti pasir putih di pantai yang luas. Oleh itu, tidak salah menjadi pasir yang hitam asal kesannya menjadi fenomena yang mudah dipandang orang.


MHT: Pengalaman benar-benar mengajar saya berkelana di rantau orang.

4 Golongan Lelaki

Isnin, 1 Ogos 2011

2 Komentar
Di akhirat, ada 4 golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, membaca al-quran dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya
Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak-tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tetapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya.

3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, mengata dan sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

Firman ALLAH:

"HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA,JIN DAN BATU-BATU..."

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. Allah nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA. Semua kaum muslim dijamin masuk syurga (sesiapa yang mengucap kalimah tauhid) Dengan itu, janganlah kita membuang masa atau tidak mengendah janji dan peluang yang Allah berikan pada kita.

MHT: Ramadan kareem. Selamat berpuasa. Teruskan melazimi sunah dan memperkasakan ibadah.

PERHIMPUNAN BERSIH 2.0

Sabtu, 9 Julai 2011

2 Komentar
Al-Baqarah ayat 195 menyebutkan:
“Dan belanjakanlah (Apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
PERHIMPUNAN BERSIH 2.0

Sekadar renungan.

Hari ini dalam sejarah. Perancangan untuk mengadakan perhimpunan tergempar benar-benar menjadi realiti. Seawal pagi, Kuala Lumpur seolah-olah bercuti. Langit mendung dengan jalan raya melohong.


Kenapa sokong Bersih? Maksud saya, perhimpunan Bersih? Persoalan itu beberapa kali merantai akal kala mencerap mentaliti anak Malaysia hari ini ketika berhadapan dengan rencah politik tanah air.
Jika anda berniat ataupun sudahpun menyertainya sila fikir dan jawab dahulu soalan-soalan berikut:

Kes Simbah Asid

Isnin, 4 Julai 2011

1 Komentar
Beberapa bulan lalu, Malaysia digemparkan dengan kes wanita disimbah asid di tepi jalan. Kebimbangan menular apabila pelakunya gagal dikenal pasti hingga menjadikan siasatan sukar dijalankan. Menurut mangsa dan beberapa saksi, kejadian dilakukan oleh dua orang penunggang motosikal yang lengkap bertopi keledar. Suspek biasanya menyerang wanita di tepi jalanan dan kes berlaku dengan begitu pantas. Natijahnya, jiwa mangsa menderita dan trauma malahan dilaporkan ada yang buta matanya. Hingga kini tidak dapat dipastikan samada suspek adalah orang yang sama. Apakah motif sebenar mereka?


Bukanlah menuduh, tetapi melihat daripada kejadian jelas menunjukkan pelaku memang seorang yang tidak berperikemanusian. Dalam erti lain, tidak mempunyai mata hati. Apa yang ingin dikongsi di sini adalah langkah yang perlu diambil sekiranya berhadapan dengan kes sedemikian.


1. Pastikan sentiasa membawa botol air. PERINGATAN! Jika terkena asid, curahkan air tersebut ke bahagian tubuh yang menjadi sasaran dengan serta merta.


2. Pakai tudung labuh agar mudah menutup wajah.


3. Pakai baju labuh untuk mengelakkan asid daripada mengenai bahagian tubuh yang terdedah.


3. Sila bawa mangsa untuk rawatan dengan segera.


4. Bagi yang melihat kejadian, camkan nombor plat motorsikal pelaku dan segera laporkan kepada pihak polis.


5. Jangan berseorangan di tempat-tempat sunyi.


6. Bagi saksi yang berani, kejar dan langgar suspek hingga tumbang.


7. Amalkan membaca surah an-Nas dan al-Falaq agar terhindar daripada kejahatan dan hasad dengki manusia yang berhati syaitan.


Kerjasama dan sikap prihatin adalah tanggungjawab setiap insan, apatah lagi muslim yang mukmin.

Indahnya Tanah Seberang

Selasa, 7 Jun 2011

4 Komentar
Berpeluang menjejaki tanah subur Bandung, Bogor dan Jakarta; menjadikan negara Indonesia sebagai negara kedua yang saya kunjungi selepas Mesir. Alhamdulillah. Jauh perjalanan luas pemandangan. Moga perjalanan ini mencambahkan lagi pengetahuan dan ruang lingkup pengalaman selepas ini. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda, detik-detik manis sepanjang berada di sana.

Penerbangan Malaysia Airlines sememangnya menyajikan layanan terbaik untuk para penumpang (Wah, ini bukan iklan ya!=)

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails