Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Peperiksaan Pelajar Mesir

Ahad, 6 Februari 2011

0 Komentar
Alhamdulillah kini sahabat-sahabat kita dari Mesir sudah berada di Jeddah. Dilaporkan kira-kira 3615 orang sudah meninggalkan Mesir dan berada di bawah pemerhatian Lembaga Tabung Haji dan sedang menunggu masa untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Namun amat menyedihkan apabila memikirkan nasib mereka setelah pulang. Hal ini berikutan keengganan beberapa universiti untuk memanjangkan cuti serta meneruskan jadual peperiksaan seperti di daerah Zaqaziq. Pasti sulit untuk para pelajar kita yang telah pulang ke Malaysia untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan dalam situasi sebegini.


Suatu masa dahulu, Rasulullah pernah berada dalam situasi yang genting apabila sering dihina oleh orang Kafir malah mereka mendakwa Nabi telah ditinggalkan oleh Allah berikutan terhentinya wahyu sementara waktu. Sesungguhnya Allah berbuat demikian adalah untuk menguji sejauh mana kebergantungan Nabi Muhammad dan umat Islam terhadap kekuasaan Allah.

Dakwaan Orang Kafir tersebut telah menyebabkan nabi berdukacita. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya. Perhatikan kalam Allah yang mulia:


1. Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
2. Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,
3. Yang memberatkan punggungmu[1584]?
4. Dan kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu[1585],
5. Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
6. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
7. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain[1586],
8. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.
Nota:
[1584] yang dimaksud dengan beban di sini ialah kesusahan-kesusahan yang diderita nabi Muhammad s.a.w. dalam menyampaikan risalah.
[1585] meninggikan nama nabi Muhammad s.a.w di sini maksudnya ialah meninggikan derajat dan mengikutkan namanya dengan nama Allah dalam kalimat syahadat, menjadikan taat kepada nabi termasuk taat kepada Allah dan lain-lain.
[1586] Maksudnya: sebagian ahli tafsir menafsirkan apabila kamu (Muhammad) telah selesai berdakwah. Maka beribadatlah kepada Allah; apabila kamu telah selesai mengerjakan urusan dunia, maka kerjakanlah urusan akhirat, dan ada lagi yang mengatakan: apabila telah selesai mengerjakan solat berdoalah.
Surah Al-Insyirah, ayat 1-8. Perhalusi makna dan tenangkanlah jiwa. Tatkala kita dilanda musibah, ingatlah Allah tidak pernah melupai kita. Bahkan kita yang sering kali alpa.
Antara sumber maklumat untuk dirujuk adalah laman web JABATAN PENUNTUT MALAYSIA KAHERAH [klik JPMK], PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR [klik PMRAM], Persatuan Perubatan Mesir [klik Medic Mesir] dan Wisma Putra Malaysia [klik Wisma]. Tetapi saya tidak dapat menjamin jika laman-laman ini tidak diperbaharui [update].Sesiapa yang mempunyai informasi diharap dapat berkongsi di sini.

MHT:
Susah = (Sabar + doa + syukur) = Kesenangan dari Allah.

Mesir: Hikmah Di Celah Musibah

Khamis, 3 Februari 2011

1 Komentar
Menyaksikan perarakan kecil, piket dan mogok di beberapa tempat sekitar musim pilihan raya di Mesir adalah sesuatu fenomena yang biasa dijamu mata. Namun, perhimpunan besar-besaran di Kaherah dan bandar-bandar besar dewasa ini adalah sesuatu yang berlaku di luar jangkaan dan tidak disangka-sangka.

Beberapa bulan lalu, bunga-bunganya sudah muncul. Kenaikan harga barang utama seperti tepung dan gula ditambah dengan kemiskinan rakyat hingga merempat memang suatu isu yang boleh mengundang amarah dan sengketa. Ketiadaan pihak yang berwajib dalam memantau hak-hak pengguna mengakibatkan suasana yang rencam menjadi parah dan memeningkan kepala.

3 tahun berkelana di bumi Mesir sudah cukup menggambarkan betapa rakyat kita perlu 'ikat perut' dan tidak boleh bersenang-lenang dalam mencatur hidup sebagai musafir ilmu. Bagi yang meneruskan pengajian lebih daripada tempoh itu pastinya merasai ujian yang lebih getir dan dukacita. Hanya sabar dan redha menjadi bekalan dalam meniti hari-hari yang di sana.

Berita yang mengejutkan dunia kini pasti menggusarkan hati sesiapa terutama yang mempunyai sanak saudara dan rakan taulan di sana. Namun, jangan mudah membuat spekulasi yang tidak berasas kerana orang-orang kuat di Malaysia pasti akan mengatur sesuatu rancangan yang munasabah untuk kemaslahatan bersama.

Memang pada awal, tujuan membawa pulang pelajar Malaysia dianggap sebagai rancangan yang terburu-buru namun apabila melihat situasi yang tidak menentu dan kesanggupan beberapa pihak untuk membantu, menjadikan misi ini suatu yang rasional untuk disegerakan.

Kasihan pelajar kita di sana terpaksa menangguhkan pengajian dan kelak apabila suasana sudah reda (tidak pasti bila) pasti isu wang dan kesedian untuk pulang ke sana semula akan menjadi titik pergolakan dalam jiwa. Bersediakah mereka?

Mulai sekarang berdoalah ke atas keselamatan mereka kerana umat Islam itu bersaudara walau apa jua fahaman yang berceracak di kepala. Anggaplah musibah ini sebagai ujian Allah yang pastinya mempunyai hikmah yang tersembunyi yang tidak dapat dicerna oleh akal manusia.

Saya menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terbaru tentang situasi pelajar kita di sana bolehlah berkongsi di sini.

MHT: Persinggahan mereka di Jeddah sebelum pulang ke Malaysia nanti mungkin menjadi rezeki untuk menjejaki tanah suci Mekah dan Madinah insya-Allah. Siapa tahu bukan? Maha suci Allah.

1.1.11=?

Sabtu, 1 Januari 2011

1 Komentar
Cuba kira berapa banyak satu dalam rangkaian nombor di atas?

Ya. Itulah nombor paling cemerlang di hujung tahun ini apabila Malaysia berjaya melengkapkan jaringan sebanyak 4 gol sekaligus melayakkan Harimau Malaya kita bergelar juara bola sepak Piala Suzuki AFF. (Masih teruja dengan kejayaan Malaysia=)

Hari ini kita melangkah setapak lagi apabila gerbang 2011 membuka pintunya. Sebaiknya kita bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merasai umur dan pengalaman yang baharu. Sebelum terlambat, baiklah kita berdoa kepada Yang Maha Esa agar diberikan ilmu dan rezeki yang bermanfaat sepanjang tahun ini.

Surah al-Mukmin ayat 60 ada menyebutkan, "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka Jahannam Dalam keadaan hina."

Semoga angka-angka baharu dalam hidup kita bukan lagi sekadar nombor tetapi terapi untuk kita meluaskan paradigma dengan lebih positif dan membuat percaturan hidup dengan lebih terancang, insya-Allah.

JUDI.
Bercerita tentang nombor, saya baru mendapat mesej (SMS) daripada nombor yang tidak dikenali (barangkali Syarikat telefon sendiri) mengenai peluang untuk kita mendapat duit dan menang nombor 4D melalui telefon bimbit. Sifu 4D akan memberikan anda nombor bertuah sekiranya anda memberi maklum balas ke atas arahan-arahan yang diberi. Sengal!

Itukan judi terang-terangan! Sah, masyarakat kita sudah gila dan masih tidak serik lagi. Judi sudah menjadi mainan tanpa kita sedari. Dulu judi bola heboh satu Malaya. Selepas kecanggihan teknologi memasuki negara, banyak lagi perisian dan perancangan judi menguasai suasana.

TIPU.
Baru-baru ini sepupu saya sudah terkena mesej (SMS) daripada nombor yang tidak dikenali yang menggelarkan dirinya PakCik. Pak Cik ini telah meminta tolong supaya ditambahkan kredit (Top-up) kerana sedang berada dalam kesusahan. Merasakan mesej berasal daripada bapa saudara sendiri, hamba Allah ini pun mengikut arahan tanpa usul periksa. Akhirnya, setelah diselidik barulah dia sedar bahawa dirinya telah tertipu.

Hati-hati. Sindiket ini semakin rancak mengaut keuntungan sambil goyang kaki. Mereka akan menggunakan nama/ gelaran yang biasa dan dekat dengan kita hingga kita terasa mesej itu benar-benar daripada saudara/ keluarga kita sendiri.

Lucunya. Suatu hari, bapa saudara saya juga telah menerima mesej yang hampir sama. "Tolong top-upkan kredit ayah ke nombor 01********. Ayah di balas polis sekarang. Ayah sedang ditimpa masalah." Lebih kurang begitulah bunyi mesej yang diterima.

Tanpa fikir panjang bapa saudara saya terus membalas, "Aku mana ada ayah! Penipu!!"

MHT: Kalaulah arwah atok dan nenek ada lagi...

Hikayat Laser Paling Popular

Selasa, 28 Disember 2010

1 Komentar
3-0!! Alhamdulillah. Gegak gempita seisi buana. Langit malam Kampung Harimau gemuruh dilanggar garuda.

"Syabas pasukan harimau." Jawapan yang bernas untuk sebuah aksi yang memberansangkan dan ditunggu-tunggu. Tidak sia-sia penyokong bersorok dan bertempik di gelanggang. Tidak ketinggalan peminat-peminat Pak Belang yang melompat keriangan di rumah dan warung-warung tepi jalan.

Kejutan tiba-tiba berlaku apabila seorang bangsawan yang terkenal di Kampung Harimau naik angin apabila sebuah pancaran cahaya bernama ' sang laser' dihalakan ke arah padang atau lebih tepat lagi hinggap di wajah cemas penjaga gawang negara seberang.

Merah padam wajah baginda.

Tiba-tiba 'sang laser' tersebut dikhabarkan menjadi penyebab kekalahan pasukan lawan. Kerana perlawanan diadakan di tanah air Pak Belang, maka pelakunya disabitkan (Ala-ala kes pembunuhan di mahkamah) ke atas rakyat kampungnya. Kasihan.

Arakian, masyhurlah 'sang laser' untuk satu malam dan malam-malam berikutnya. Mungkin akan terus bersipongang di sanubari rakyat untuk berkurun-kurun tahun akan datang.

Lalu, bersoraklah orang Kampung Harimau menuntut keadilan. Kata mereka, "bukankah di negara kita ini juga terdapat ramai orang seberang?" Mendengarkan itu, terpinga-pingalah hulubalang yang dilantik untuk mencari punca.

Kata hulubalang, "tidak mengapa tuanku. Akan hamba periksa selagi mampu. Kita tunggu kebenarannya kala rombongan pasukan Pak belang tiba ke tanah seberang beberapa hari dari sekarang." Sultan tunduk setuju. Rakyat jelata akur membisu.

Malam larut. Rakyat kabur bersama sorak-sorai keriangan. Gelanggang yang tadi bagai perang kembali sunyi dan lengang. Subuh menjelang. Azan berkumandang membawa sama rahmat Tuhan. Imam dan bilal saling memandang. Masjid kosong melohong.

Kata bilal, "berapa lama mahu ditunggu? Mungkin kita harus bersolat di gelanggang, baru ramai akan datang." Pak Imam senyum. Sayugia, takbir berseru beberapa waktu. Al-kisah...

MHT: Baca lagi kisah di gelanggang Pak belang (klik sini)

Kebangkitan Skuad Malaysia

Sabtu, 25 Disember 2010

1 Komentar
Boleh berjayakah pasukan kita?
Sudah sediakah skuad kita?
Tahu serang atau bertahan sahaja..?

Mungkin banyak lagi persoalan dan cakap-cakap kosong bersiulan di bibir masyarakat malaysia apabila skuad bola sepak Negara berjaya menjejakkan kaki ke gelanggang akhir Piala AFF Suzuki 2010.

Persoalan dan impian kini sudah hampir jadi kenyataan. Menyaksikan Malaysia beraksi di padang rumput Vietnam, cukup membuatkan saya tertanya-tanya, adakah pasukan kita hanya mampu bertahan dan sudah cukup berpuas hati dengan kemenangan di Malaysia sebelumnya?

Ini pentas akhir. Indonesia tidak mungkin akan berdiam diri walaupun ramai yang membuat spekulasi. Kebangkitan skuad mereka sejak puluhan tahun lagi dalam segenap aspek kehidupan samada rencah kemiskinan, penjajahan, pendidikan, seni dan semangat kemerdekaan jelas membuktikan mereka boleh jadi apa sahaja dalam keadaan yang kritikal dan rencam.

Lihat sahaja isu demonstrasi dan piket memprotes ketidakadilan pembantu rumah yang didera muncul saban hari dalam media massa. Indomee, jenama mee segera laris di tanah-tanah Arab termasuk Mesir dan Mekah. Isu hak pemilikan batik yang dicanangkan dengan tegas kepada dunia dan banyak lagi cukup membuktikan kesungguhan mereka dalam menaikkan nama negara mereka di mata dunia.

Mereka tidak cakap kosong.

Justeru, pasukan kita harus bagaimana? Anak muda kita perlukan apa? Generasi kita mesti bagaimana dalam menghadapi fenomena ini?

Ini bukan tentang bola semata-mata. Tetapi tentang semangat dan matlamat bangsa. Perang psikologi ini mesti kita hadapi.

Bersediakah skuad kita?

Hujan Dari Malaysia

Jumaat, 10 Disember 2010

1 Komentar

Bukan mudah.
Hampir 2 minggu saya mencumbui udara dan memesrai iklim khatulistiwa, baru hari ini saya punya masa dan semangat untuk menyuburkan kembali tapak blog ini untuk tatapan pembaca. [Tidak pasti berapa ramai yang membelek dan membaca persuratan digital saya di sini]

Matahari yang bersinar cemerlang, panas dan terik menyambut saya dan sahabat senior [Humair] ke bumi tercinta Malaysia 30 November lalu. Cuaca yang begitu kontra dengan bumi Mesir yang sedang diulit hawa dingin membuatkan tubuh terasa janggal.

Seminggu saya berlawan dengan waktu. Seminggu akal saya 'keliru' untuk menyesuaikan diri dengan masa dan keadaan. Seminggu saya berlawan dengan diri sendiri demi menyahut sebuah entiti bernama 'semangat'. Seminggu saya cuba memadam rindu dengan bumi Mesir.

Selepas 3 tahun tidak pulang, hari ini tidak boleh tidak saya harus menjerit dan berkata, "aku sekarang berada di Malaysia!!"

Babysitter.
Ya, saya sudah kerja; jika ada yang bertanya. Menjaga anak buah dan membantu kerja-kerja rumah adalah latihan dan tanggungjawab sambilan saya sekarang sebelum menjawat apa-apa jawatan yang dipohon. Bukan mudah. Kesabaran tahap kritikal amat diperlukan. Tersalah strategi emosi anda akan berubah. Tetapi jika anak-anak ini pulang ke rumah ibubapa mereka, saya akan rasa sunyi. Aduhai...(**.) Tolong saya!

Musim Hujan.
Sekarang musim hujan. Situasi yang anda akan tunggu-tunggu kala bergelandang di perlembahan Nil. Jaga kesihatan adalah perkara utama harus saya dahulukan. Tetapi keutamaan solat dan dakwah tidak harus saya ketepikan. Dakwah untuk diri sendiri dan keluarga. Malah masyarakat amat memerlukan saya. Tolong ingatkan saya!

Justeru, kepada sahabat-sahabat di Mesir, bersedialah. Masyarakat sedang menanti anda. Terima kasih kepada semua yang telah menjadi sahabat susah dan senang sepanjang keberadaan saya di Bumi Mesir. Teruskan usaha dan selamat berjuang!

Bengang!!

Selasa, 23 November 2010

3 Komentar
Perasan atau tidak, semenjak kemunculan filem Avatar yang meraih kutian tinggi hingga menjadi sangat popular beberapa waktu dahulu, kreativiti anak muda seperti mahasiswa mahasiswi jurusan seni grafik juga mula bercambah.

Impaknya, kelibat grafik ala-ala avatar mula menghiasi laman-laman web dan portal-portal di internet. Tidak pergi jauh, lihat sahaja paparan yang muncul di laman utama Yahoo saat mula-mula membuka internet; tidak kira samada melalui Internet Explorer, Mozilla Firefox ataupun Google Chrome.

Cantik memang cantik. Kreatif!

Tetapi yang merunsingkan dan menambah rasa bengang adalah subek yang digunakan. Rata-ratanya memapakan aksi porno dan menjelikkan. Bayangkan kita yang ingin mengakses maklumat ilmiah, al-Quran mahupun hadis, tiba-tiba terpapar grafik avatar yang berkelakuan tidak senonoh. Aduh!

Kartun yang dulunya '3D' sekarang dimajukan hingga entah berapa 'D' lagi. Bengang...

Bayangkan, kalau adik-adik kita tengok bagaimana? Kasihan mereka. Kecil-kecil lagi sudah tercemar. Kepada pereka grafik, tolonglah cipta ikon yang lebih bermotivasi untuk anak muda bukan menjatuhkan maruah anak bangsa! Blogger-blogger, ada tak cara nak tutup grafik tu? Tolong ajarkan...

MHT: Tidak beradab langsung! Bengangnya!!! :(

Iluminati Dalam Filem

Isnin, 15 November 2010

3 Komentar
Saat bersiar-siar di dunia maya, anak mata tertangkap sebuah video menarik. Video penuh rahsia dan tidak disangka-sangka. Bagi blogger yang mapan, ayuh sebarkan kepada pembaca-pembaca anda. Jangan lupa tinggalkan komen di sini. Sila tonton dengan penuh rasa tanggungjawab pada agama dan bangsa. Saksikanlah......




MHT: Selamat berpuasa kepada yang mengagungkan puasa sunat di hari Arafah [hari ke-9]. Memandangkan hari ini kita tidak berpeluang bersama saudara-saudara kita di padang Arafah, maka rajin-rajinlah bertasbih dan bertakbir.

Puasa Bulan Zulhijjah

Sabtu, 13 November 2010

0 Komentar
Ini ada kisah tentang puasa yang menjadi amalan Rasulullah.

PERTAMA.
Hafsah Radiallahu 'anha menceritakan, “empat amalan yang tidak ditinggalkan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘asyr, puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh.” [Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai]

Menurut ulama hadis, maksud puasa al-‘asyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Zulhijjah hingga hari ke sembilannya. [Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah]

KEDUA.
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari Rahimahullah, dari Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'anhuma bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

"Tidak ada hari dimana amal soleh pada saat itu lebih dicintai oleh Allah dari hari-hari ini, iaitu sepuluh hari dari bulan Zulhijjah. Mereka bertanya, "ya Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah? Baginda menjawab, "tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar [berjihad] dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun".

KETIGA
Imam Ahmad Rahimahullah, meriwayatkan daripada Umar Radhiyallahu 'anhuma, bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

"Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya daripada sepuluh hari (Zulhijjah) ini. Maka perbanyaklah pada saat itu tahlil, takbir dan tahmid."

KEEMPATHari ke-9 Zulhijjah dikenali sebagai hari Arafah. Sabda Nabi:

"Puasa sunat hari Arafah itu menggugurkan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya ." [Riwayat Muslim]

MHT: Sampai-sampaikanlah kepada yang belum mengetahui.

BAZAR NOGOGHI 2010

Sabtu, 6 November 2010

0 Komentar
















Apa anda TAHU tentang BAZAR?

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 BAZAR bermaksud kelompok kedai kecil atau gerai tempat menjual berbagai-bagai jenis barang seperti kain, buku, dan lain-lain.

Kata Kamus Pelajar pula, BAZAR ialah bahagian kota tempat membeli-belah; pasar, deretan atau kelompok gerai tempat menjual berbagai-bagai jenis barang dagangan yang agak murah.

Sekarang anda tahu apa TUJUAN BAZAR?

Apabila gerai jualan dibuka pasti keuntungan akan menjadi keutamaan dan objektif. Tidak ada orang yang membuka kedai dan menjalankan perniagaan untuk rugi. Namun, biarpun begitu anda perlu positif menilai sesuatu dengan lebih matang.

Dalam tempoh 3 hari bermula dari Jumaat hingga Ahad (5-7 November) BAZAR NOGOGHI akan dibuka kepada mahasiswa/wi yang ada di Mesir. BAZAR anjuran Majlis Tertinggi Pengurusan [MTP], Rumah Negeri Sembilan Kaherah [RNSK] akan menyediakan menu yang terbaik untuk para pengunjung.

Apa yang lebih penting, BAZAR kali ini akan mempertemukan anda dengan segenap lapisan wajah dan latar belakang kuliah yang bergelandang di Kota Kaherah. Justeru, matlamat untuk mengaut keuntungan bukan lagi menjadi keutamaan sebaliknya penyatuan ukhuwah itu lebih indah dan bakal menjadi objektif yang ampuh untuk dijadikan visi dan misi BAZAR NOGOGHI.

Saya sangat terkilan dengan beberapa insiden yang terjadi di Bumi Anbia' ini apabila ada dalam kalangan mahasiswa/wi yang memboikot bazar yang pernah dianjurkan oleh kelompok yang bukan daripada 'geng' dan 'persatuan' mereka sedangkan Nabi Muhammad sangat menganjurkan umatnya agar bantu-membantu sesama muslim.

Jika alasan politik menjadikan manusia bermusuhan [termasuk memboikot jualan saudara muslim mereka], maka mereka perlu muhasabah dan menyorot kembali sejarah umat Islam yang pernah diboikot oleh Kafir Kuraish kerana mengikut ajaran Rasulullah. Jika umat Islam enggan menyokong saudara mereka, siapa lagi?

Semoga tema "Berniaga Amalan Sunnah" pada BAZAR NOGOGHI kali ini mampu menyiram hati-hati mereka yang dahagakan nilai UKHUWAH di samping menjadi platform untuk anak-anak Malaysia mengasah bakat kepimpinan dan pengurusan di Mesir, bumi barakah.

Maklumat lengkap layari http://ukhwahn9.blogspot.com

MHT: Datang makan Chicken Chop [hot and spicy] LE8, enak hingga menjilat jari... [dah promosi tak kan tauke tak nak belanja=)

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails