Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Terbaru! Matan Edisi Ke-4

Rabu, 11 Ogos 2010

1 Komentar

Klik pada gambar untuk imej yang lebih jelas

Kepada mahasiswa/wi al-Azhar Mesir, anda boleh mendapatkan majalah MATAN [Media Kontemporari Negeri Sembilan] edisi ke-4 dengan harga sebanyak LE5 sahaja. Mengandungi pelbagai isu menarik untuk dibaca dan difikirkan bersama. Ditulis oleh ahli jawatankuasa Unit penulisan, dengan kelolaan Exco Pendidikan Majlis Tertinggi Pengurusan [MTP] Negeri Sembilan Mesir [klik]. Selain daripada nombor yang tertera dalam iklan, pesanan boleh dihantar melalui emel ke alamat: hafizit@yahoo.com
Jemput baca artikel saya tentang 'Dunia Blogger Azhari' dalam MATAN edisi ke-4. Jom budayakan ilmu dan selamat membaca!


nak tahu Kandungan MATAN edisi ke-4?

Bengkel Penulisan Pertama Dalam Sejarah

Sabtu, 31 Julai 2010

0 Komentar

Dalam menghitung hari-hari terakhir di bumi Mesir ini saya menemui kembali kegemaran yang telah suram sebelum ini. Menulis! Lalu, saya bangunkan blog ini demi mengasah kembali bakat penulisan Bahasa Melayu yang telah lama menjadi taman dalam kalbu. Maklumlah diripuhi bahan-bahan bacaan berbahasa asing kadangkala mengurangkan [sedikit] penguasaan bahasa asli budaya kita.

Menyedari hakikat dunia teknologi yang kian sibuk dengan simpang-siur informasi, saya cuba menilai kembali keberadaan bahan penulisan bercetak dalam dunia siber hari ini. Ternyata, keripuhan manusia bersipongang di dunia maya dan bergelandang di laman-laman sesawang seperti Facebook [FB] tidak pernah menenggelamkan dunia tulisan dan percetakan.

Realitinya, bahan bercetak masih relevan, lama dan panjang jangka hayatnya. Lihat sahaja manuskrip yang bertahun-tahun dicetak tetap boleh dirujuk oleh generasi hari ini dan akan datang, insya-Allah. Jawapan dan keresahan yang bertandang di cepu fikir, akhirnya saya temui dalam kalam bernas Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak, Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

Award: Daripada Kawan Untuk Kawan

Khamis, 22 Julai 2010

5 Komentar
Otak akan mula bercempera dan tidak tentu hala. Jari terlentuk-lentuk di hujung papan kekunci. Kadangkala kepala yang tidak gatal mula rasa berkutu. Nah, sekarang saya sudah mula terjangkit!

Semua ini terjadi gara-gara komen 'berantai' yang saya terima minggu lalu. Komen yang memerlukan seminggu untuk saya kembali berfikir apa rasionalnya. Seperti 'blogger-blogger' lain, saya juga tak terkecuali bila terjadinya situasi seperti ini.

Baiklah, sebenarnya saya sudah dianugerahkan sebuah
award dan ditag (meminjam komen 'berantai' tersebut) oleh sahabat sendiri. Tanpa membantah dan setia mengikut arahan (moga-moga dia belanja selepas baca blog ini=) saya telahpun sudi mengikut segala syarat-syaratnya. (award bersyarat?)

Mengadu Untuk Menasihat

Isnin, 12 Julai 2010

6 Komentar

Sejak akhir-akhir ini saya sering mendengar berita tentang kesusahan dan kesakitan yang menimpa orang-orang di sekeliling saya. Malah lebih daripada itu, saya kerap melihat dan mendengar sendiri luahan perasaan sahabat-sahabat yang [secara tiba-tiba] menjadikan saya sebagai telinga untuk mereka khabarkan rasa sakit yang menyelubungi emosi dan tubuh mereka. Ada yang biasa-biasa namun ada jua yang kronik dan meruntun jiwa.

Kadangkala keliru mula menepuk kubu iman. Saya tidak tahu mengapa 'fenomena' ini tiba-tiba menjadi salah satu daripada warna yang menjalur dalam relung hidup saya. Walhal, secara jujur, saya juga sering kali letai hingga terbeban dan terkandas dalam mendepani ujian di pentas dunia milik Tuhan ini. Lalu, saya berlama-lama mendiam dan cuba lari ke pojok sepi.

Maha suci Allah! Anda tahu apa yang saya temui? Saya mencari-cari suatu hikmah dan saya temui suatu yang sepatutnya telah lama menjarah dalam hati. Kebelakangan ini, kawan-kawan sering mengadu kepada saya tentang pelbagai masalah.

Lisa Surihani dalam Tudung Ekspres

Jumaat, 2 Julai 2010

0 Komentar

Pelakon jelita, Lisa Surihani, Julia Ziegler, Chermaine Poo dan Linda Hashim bakal menemui anda dalam sebuah drama bersiri terbaru berjudul "Tudung Ekspres". Rancangan yang bakal ditayangkan oleh sebuah stesyen penyiaran swasta di Malaysia pada 8 julai ini cuba mengetengahkan watak gadis bandar yang cantik, elegen dan menariknya bertudung. Atas arahan seorang pengarah berbangsa Melayu [semestinya Islam] dan seorang bukan Melayu, "Tudung Ekspres" dikatakan akan cuba mengangkat martabat gadis atau wanita bertudung dan menepis segala tohmahan yang berkaitan dengan mereka. Menarik!

Melihat kepada gambar 4 orang pelakon di atas, pastinya drama ini akan menimbulkan pelbagai persepsi terhadap masyarakat. Diharap rancangan ini tidak akan mengajar masyarakat kita yang bukan-bukan. Cukup-cukuplah anak-anak gadis kita selama ini keliru dan ditipu oleh budaya dan fesyen yang rencam serta pelbagai gaya. Pendapat bahawa menutup rambut sudah dikira menutup aurat [tanpa menghiraukan lapisan dan helaian baju yang melilit tubuh] perlu diperbetulkan. Adakah "Tudung Ekspres" akan mengambil kira perihal ini? Sejauh manakah rancangan ini akan 'mengangkat imej' dan 'martabat' wanita bertudung, sama-samalah kita nantikan. Saya belum tahu. Anda rasa?

Wavin' Your Flag!

Ahad, 27 Jun 2010

0 Komentar
Sempena Piala Dunia 2010 ini, saya mengajak anda melihat kreativiti segolongan manusia di serata pelosok dunia yang pandai mencorakkan bakat yang tersorok dalam diri mereka. Saksikanlah...

Spain


Korea

Sorak-sorai Piala Dunia 2010

Selasa, 15 Jun 2010

0 Komentar

Anda mungkin salah seorang peminat World Cup 2010 bukan? Sesungguhnya dunia hari ini sedang riuh berceloteh tentang piala dunia. Bukan sahaja di warung kopi, sekolah, pejabat, kaki lima malah tandas awam turut menjadi gelanggang 'mesyuarat' bagi peminat sukan bertaraf dunia ini.

Saya yang berada di Mesir, turut merasa bahangnya apatah lagi setelah tanah tinggalan Nabi Musa dan Firaun ini tidak layak menjadi tuan rumah bagi piala dunia 2010. Afrika nampaknya kini sedang menjadi perhatian seluruh pelusuk dunia. Dengan lagu tema yang menarik, suasana piala dunia tahun ini tampak ceria dan bertenaga.

Rakyat Malaysia antara ribuan mata yang tidak pernah kalah dalam memanaskan semangat piala dunia. Pernah dahulu di tanah air Malaysia saya menyaksikan media kita beria-ria menjadikan perlawanan ini sebagai salah satu agenda dan siaran terpenting dalam jadual mereka. Sambutan hangat dan luar biasa yang diterima daripada rakyat Malaysia sangat mampu mengalahkan 'rating' berita, forum perdana apatah lagi rancangan agama. Hebatnya!

Perginya Seorang Peminat Cinta

Isnin, 7 Jun 2010

3 Komentar

Bagi yang belum mengenali tokoh ini, anggaplah artikel ini sebagai sebuah jalinan peristiwa dan ingatan. Bagi teman-teman yang sudah, pernah apatah lagi akrab dengan beliau, bacalah tulisan ini dengan penuh rasa insaf dan pengajaran.

USTAZ AHMADAN AFFANDI BIN HJ. MUSTAFA atau lebih mesra dipangil Tok Mat adalah seorang warga emas yang baru saya tahu nama penuhnya saat mengedit satu artikel, yang memuatkan wawancara bersamanya dalam majalah MATAN keluaran pelajar-pelajar Negeri Sembilan di Mesir (Edisi Ke-3). Dengan jarak umur yang begitu jauh, saya bukanlah orang yang betul-betul mengenali beliau. Namun, sejenak menjejaki sejarah hidupnya, pasti membuatkan anda terharu dan merasai betapa berharganya nilai secebis ilmu.

Berikut saya perturunkan sekelumit daripada selautan rentetan hidup sang pencinta ilmu ini:

Video: Sampan Mak Mah Diserang Lanun!

Rabu, 2 Jun 2010

5 Komentar
Pagi itu matahari malu-malu hendak keluar. Cuaca agak lembab memandangkan malam sebelum itu hujan datang berbondong-bondong. Mak Mah di serambi rumah terdongak-dongak memandang langit yang muram. "Barangkali hujan nak turun lagi." Gumam Mak Mah sambil mulutnya tak henti-henti mengunyah tembakau yang dibeli dari Kedai Dak Chin di tengah kampung.

"Tak payahlah Cik Mah hoi nak sibuk-sibuk hal orang. Kebun kita yang dilanggar gajah hari tu pun belum dapat kita bangunkan. Duit jual ayam itik pun dah tak ke mana lagi Mah. Ni, awak pulak susah payah nak bagi kat orang buat apa?! "Leter Pak Mat Keding kedengaran jelas dari bawah rumah. Terketar-ketar tangan kedingnya saat mengajukan anak kunci pada mangga reban ayamnya. Ayam betina Pak Mat Keding riuh rendah seolah-olah membenarkan kata-kata tuannya.

Mah Mah cuma diam. Dia yakin apa yang ingin dia buat. Celoteh suaminya langsung tidak diambil kisah. Mak Mah yang dari tadi bersimpuh di lantai kayu bangkit berdiri. Lehernya dipanjangkan setengah inci. Matanya yang agak rabun dijegilkan demi memastikan apa yang dia nampak itu benar.

Sah! Mak Lang Esah, Cik Jah Limau, Cik Poziah dan beberapa orang wanita lagi kelihatan sedang menuju ke teratak usangnya. Pantas dan tergesa-gesa. Senyum Mak Mah meleret ke pipi. Tidak disangka usahanya berkempen keliling kampung selama ini telah membuahkan hasil.

Salam Mak Lang Esah dan rombongannya di laman rumah disambut penuh semangat oleh Mak Mah.

Drama Sebabak

1 Komentar
Murid : Selamat pagi, cikgu.

Cikgu : (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?

Murid : Selamat pagi, petang dan malam cikgu!

Cikgu : Panjang sangat! Tak pernah dibuat orang! Kata selamat sejahtera! Senang dan penuh bermakna. Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.

Murid : Selamat sejahtera cikgu!

Cikgu : Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik. Hari ini cikgu nak uji kamu semua tentang perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu, faham?

Murid : Faham, cikgu!

Cikgu : Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.

Senyap..

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails