Translate

"Menulis bukan suka-suka, menulis bukan kerja gila, menulis harus ada rasa; gerak hati ilham Sang Pencipta."

Anak-anak Perlukan Perhatian Ibu Bapa

Ahad, 22 April 2012

1 Komentar
DENGAN NAMA ALLAH, TOLONG AMBIL PERHATIAN!

Menurut agama Islam, anak-anak yang baru lahir ibarat kain putih yang bersih lagi suci. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkan mereka. 

Sesungguhnya, setiap ibu bapa mempunyai 'alat lukisan' yang berbeza untuk diconteng di atas lapisan 'kanvas' milik mereka. Semakin anak-anak membesar, semakin banyak ragam yang ditemui. Ada yang rajin, ada yang malas, ada yang nakal, ada yang baik, ada yang pendiam, ada yang lasak. Setiap satunya memberi sejuta makna dan pengajaran untuk manusia yang bergelar ibu dan bapa.

PENDIDIKAN
Apabila menyebut tentang ilmu dan pendidikan, perkara yang terbayang di fikiran adalah perkataan 'sekolah'. Maka, ramailah ibu bapa yang mula menyekolahkan anak-anak pada umur 6 tahun. Malahan, semakin ramai kini yang menyekolahkan anak-anak mereka seawal umur 4 atau 5 tahun. Harapan mereka menggunung tinggi untuk melihat anak-anak membesar sebagai orang yang berilmu. Harapan yang sama untuk setiap ibubapa, bukan?

Segala amanat yang besar seperti 'bagaimana mahu cemerlang dalam SPM' sehinggalah kepada perihal yang kecil dan remeh seperti 'bagaimana hendak buang sampah' - semuanya terpundak di bahu guru-guru sekolah. Setiap gerak-geri guru terhadap anak-anak mereka menjadi perhatian ibu bapa. Sedikit sahaja kesilapan yang tidak selari dengan kehendak mereka akan dipersoalkan satu persatu

Tetapi, malangnya mereka terlupa bahawa sekolah yang paling awal untuk anak-anak adalah 'SEKOLAH KEIBUBAPAAN'. Kelasnya adalah RUMAH dan gurunya adalah IBU BAPA! Corak pemikiran terawal adalah datangnya daripada cara didikan ibu bapa terhadap anak-anak.

1. "'Apa yang cikgu-cikgu sudah buat pada anak saya?"
2. "Kenapa anak saya berubah?"
3. "Mengapa anak saya boleh gagal?"
4. "Why?"....
Soalan bonus yang sering sampai ke telinga para guru di sekolah.

Justeru, kepada ibu bapa, sebelum soalan tersebut berlegar dalam minda, bergelung dalam kerongkong dan terpacul dari lidah, tanyakan pada diri anda:

1. "Apa yang anda telah buat selama 3 atau 5 tahun kepada anak-anak anda di rumah (sebelum anda menghantar mereka ke alam sekolah?"
2. "Apa yang anak-anak anda telah belajar daripada 'SEKOLAH KEIBUBAPAAN' milik anda? Yang kelasnya adalah RUMAH dan gurunya adalah IBU BAPA!"

KASIH SAYANG
Kata orang Melayu, "love is heart." (Sayang adalah satu perasaan dalam hati)
Kata 'mat saleh' pula, "love is verb." (Sayang itu satu perbuatan)

Rasionalnya, orang Melayu lebih banyak bermain dengan perasaan. Sayang hanya falsafah dan tersimpan dalam hati. Ramai ibu bapa yang sayangkan anak-anak tetapi tidak tahu dan MALU untuk menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak mereka. Bagi ibu bapa yang begini, cukuplah - "Kau tahu dan aku tahu."

Kesannya, anak-anak kurang mendapat kasih sayang, belaian dan perhatian yang cukup daripada ibu bapa mereka. Kemudian, jiwa yang kosong dengan kasih sayang tadi, apabila melangkah ke alam sekolah mereka mendapat perhatian yang cukup daripada kawan-kawan. Maka, tidak mustahillah mereka gagal mengikut landasan dan piawaian ibu bapa.

'Mat saleh' yang tidak berapa hendak soleh ini pula berpendapat bahawa sayang itu adalah pebuatan yang mesti ditunjukkan dengan penuh perasaan dan disalurkan dengan gerak kerja yang jelas.

Kesannya, anak-anak matang dalam menilai sesuatu, berani berhadapan risiko kehidupan, tiada tekanan perasaan dan mereka tahu bahawa ibu bapa boleh menjadi pendengar yang baik berbanding kawan-kawan. Maka, anak-anak akan lebih menyayangi ibu bapa mereka.

PERBAIKI SETIAP SISI
1. Masih belum terlambat untuk menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Duduk bersama dan dengarlah luahan hati anak-anak yang bermasalah sehingga mereka berasa ibu bapa adalah sahabat yang paling rapat untuk berkongsi.

2. Mulakan dengan salam dan peluk anak-anak sebelum berpisah walaupun untuk ke tempat tidur.

3. Peka dengan minat dan rutin anak-anak. Duduk dan temanilah anak-anak membuat sesuatu hobi yang disukai oleh mereka termasuklah ketika mereka membuat kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru.

4. Cerita dan kongsilah pengalaman anda bersama ibu bapa ketika kecil dan remaja satu ketika dahulu.

5. Selalulah bertanyakan tenang sekolah dan kawan-kawan mereka. Kenali ibu bapa kepada sahabat anak-anak anda. Ajak kawan-kawan mereka berkunjung ke rumah dan buat kunjungan balas.

6. Didiklah anak-anak solat seawal 7, 8 dan 9 tahun dan wajibkanlah mereka menunaikannya ketika berumur 10 tahun.

KESIMPULAN
Ingatlah, kunci kejayaan adalah Allah. Biar apapun usaha, tetapi sekiranya tidak berpaksi kepada Tuhan yang maha esa, maka impaknya tidak sempurna.

Buat anak-anak yang terbaca artikel ini, hargailah jasa ibu bapa. Terimalah ibu bapa seadanya. Cubalah berkongsi masalah dengan ibu bapa biarpun anda tidak terlalu dihargai. Kerana tidak semua anda betul dalam setiap perkara. Ingatlah, ibu bapa memang sayangkan anda cuma mungkin tidak mahir untuk mempamerkan kasih sayang dalam jiwa.

Bagi ibu bapa pula, buangkanlah sikap ego. Tidak semestinya anda betul dalam semua perkara. Anak-anak permata dari Allah. Jadilah pendengar dan faham perasaan anak-anak dengan baik. Ingatlah, sekali anak-anak percayakan anda, tidak ada tempat lain yang akan mereka cari untuk bekongsi walaupun sahabat karib sendiri.

TERIMA KASIH ATAS PERHATIAN ANDA. HANYA ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI.

Kanan @ Kiri

Ahad, 8 April 2012

2 Komentar
Sejak kecil kita disuruh oleh ibu, ayah, datuk dan nenek untuk melakukan perkara yang baik dengan tangan kanan. 

Contohnya, bersalaman, memberi dan mengambil barang, makan minum dan sebagainya.

Kita juga diajar tangan kiri adalah tangan untuk cebuk (istinja'/membasuh kemaluan)

Namun, apabila meningkat dewasa, nasihat dan ajaran tersebut mula dilupakan.

Maka, saya ingin mengingatkan sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Apabila seseorang kamu makan, maka makanlah dengan tangan kanan dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanan. Maka sesungguhnya, syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri.

Hadis riwayat (direkodkan oleh) Muslim.

Oleh yang demikian, janganlah kita bimbang untuk mengotorkan cawan yang diminum dengan tangan kanan, kerana kebersihan hati itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan.

MHT: Kalau tidak silap, cebuk juga bermaksud gayung untuk menceduk air =)

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara."

Buat insan bernama guru, tulus dari nubari... teddybear sorry
Related Posts with Thumbnails